Kembara Sastera Italiana :
Pasar Rialto dan Marco Polo

"I believe it was God's will that we should come back, so that men might know the things that are in the world, since, as we have said in the first chapter of this book, no other man, Christian or Saracen, Mongol or pagan, has explored so much of the world as Messer Marco, son of Messer Niccolo Polo, great and noble citizen of the city of Venice." - Marco Polo

Sebelum menjejakkan kaki ke Venice, asosiasi yang paling hampir dengan nama bandar ini ialah The Merchant of Venice karya Shakespeare. Karya yang sudah saya baca sejak kecil dahulu, memperkenalkan saya pada bandar Venice, walaupun pada ketika itu saya tidak dapat membayangkan bagaimanakan rupanya. Yang terbayang hanyalah Venice sebagai sebuah pelabuhan kerana mengikut cerita The Merchant of Venice, Antonio yang menjadi 'saudagar Venice' ini sedang menunggu kapalnya berlabuh di pelabuhan Venice. Dia yang sudi menjadi penjamin kepada Bassanio yang meminjam wang dari Shylock untuk mengahwini Portia.




Kisah memulakan perkahwinan dengan hutang ini ada disentuh di dalam cerpen saya "Sepaun Daging Hutang" (Dewan Budaya, April 2007) sebuah cerpen berbaur interteks yang saya berikan makna baharu terhadap hipoteks Shakespeare ini. Betapa memulakan perkahwinan dengan hutang dan riba menimbulkan banyak petaka, hatta dalam karya Shakespeare sendiri.

Sebelum ke Venice, imej visual yang saya ada tentang bandar ini juga datangnya dari filem Casanova (2005) lakonan mendiang Heath Ledger. Saya banyak melihat lokasi-lokasi penting di Venice di dalam filem ini, khususnya kawasan Piazza San Marco dan The Grand Canal. Imej-imej Venice pastilah sangat sinonim dengan tempat-tempat ini selain pendayung gondola juga.

Dengan maklumat yang sangat minimum dan tiada maklumat lain tentang sastera yang boleh dikaitkan, kecuali karya Shakespeare, The Merchant of Venice, saya berhasrat untuk menyelongkar lagi budaya dan kalau boleh khazanah kesusasteraan yang terdapat di sini. Khabarnya, ramai penulis yang singgah di tempat ini kerana tempatnya yang dikatakan sungguh menumbuhkan inspirasi untuk berkarya. Hemingway pernah ke sini dan dikatakan selalu minum di Caffe Florian tidak jauh dari kawasan Piazza San Marco. Nama penulis Inggeris yang disebut-sebut turut menjadi Venice sebagai inspirasi menulis termasuklah Thomas Mann, Ezra Pound dan Robert Browning (sekadar menyebut beberapa nama).

Peta kembara Marco Polo dari tahun 1271 - 1295 Masehi

Saya juga mengasosiasikan tempat ini dengan Marco Polo, pengembara dunia yang terkenal itu, berasal dari Venice. Marco Polo juga dibesarkan di bandar yang menjadi pusat perdagangan di Mediterranean pada tahun 1200-an. Lokasi Venice yang menghadap Laut Adriatik ini turut menjadikan tempat ini sebagai pelabuhan yang penting dan strategik antara benua Eropah dan Asia. Kedudukannya dari segi geografi yang terlindung kerana berada di dalam sebuah teluk dan juga lagun, menjadikan tempat ini selamat untuk kapal berlabuh dan berlindung daripada angin kencang.

Terbayang-bayang di ruang mata, gambaran Venice pada tahun Marco Polo memulakan pengembaraannya kira-kira satu abad lebih awal dari Ibnu Battutah (yang lahir pada tahun 1304, manakala Marco Polo meninggal dunia pada tahun 1324). Saya bayangkan kapal-kapal dagang yang besar yang singgah di kawasan dermaganya yang terlindung. Hidup berhampiran dengan laut, pastinya menjadikan warganya berani menempuh badai. Kalau tidak, pasti tidak akan ada pepatah yang menyatakan, "Kalau takut dilebur pasang, usah berumah di tepi pantai".

Menurut bukunya, The Travels of Marco Polo, beliau mengembara sehingga ke negeri China, Mongol dan sempadan Rusia, Asia dan seterusnya kembali ke Venice. Namun, yang lebih penting ialah pengembaraan itu bermula di tempat saya berpijak kini, Kota Venice!

Terlintas juga di fikiran untuk mencari rumah Marco Polo. Carian di internet tidak memberikan saya maklumat yang tepat. Saya juga tidak mencari lebih lanjut dan teliti kerana agak kesuntukan masa. Mercu tanda untuk sampai ke rumah Marco Polo ialah Jambatan Rialto. Memang itu pun yang saya cari pada peringkat awal kembara di Venice ini. Khabarnya, apabila sampai ke Jambatan Rialto, itu bermakna saya sudah sampai separuh perjalanan dari hostel ke Piazza San Marco.

Debar yang terasa sewaktu melalui lorong-lorong seperti sebuah labirin ini semakin kurang. Semalam, sewaktu baru sampai debaran ini hampir menguasai diri. Saya tidak dapat membohongi diri. Saya risau jika tersesat sendirian di lorong yang salah. Kali ini, diri saya semakin menguasai pelajaran menjadi warga Venice yang biasa hidup berlari-lari dari satu lorong ke satu lorong yang lain.

Sesekali, saya membayangkan perbualan ibu dan anak orang-orang Venice ini:

"Mahu ke mana?" soal ibu kepada anaknya.
"Ke rumah Giovanni."
"Giovanni yang mana?"
"Alah, yang rumahnya tepi jambatan kecil belakang rumah kita ni."

Pastinya, anak itu tidak boleh menjawab, "rumah yang tepi air tu" kerana semua rumah di sini di tepi air. Saya terfikir bagaimana mereka menjaga anak-anak kecil daripada 'terlepas' dan jatuh ke dalam terusan ini. Saya gerun. Barangkali, mereka ini alah bisa, tegal dek biasa. Bagi kita yang dapat merasa tinggal di kampung sewaktu anak-anak, pastinya kita sudah dapat timbangkan tahap bahaya ketika berada di tepi sungai atau ketika mandi sungai.

Terlalu banyak yang bermain di dalam fikiran saya sewaktu berjalan kaki dari satu lorong dan keluar di lorong yang lain. Tanpa disangka, langkah saya dibawa ke kawasan yang luas dipanggil campo atau medan (square). Di kawasan ini juga menjadi kawasan kanak-kanak bermain bola. Bayangkanlah, ini sahaja kawasan lebar di darat untuk berbuat apa-apa sahaja. Selebihnya adalah air belaka.

Penjual cenderamata sedang menyusun barang yang diniagakan
Di kawasan yang terbuka ini saya mula mendengar suara hingar-bingar, seolah-olah ada ramai orang di situ. Langkah saya percepatkan sambil kamera saya pegang kejap di dalam saku jaket. Hari sudah mula meninggi dan para penjual cenderamata sudah selesai menyusun barang-barang dagangan di kiosk-kiosk masing-masing.


Lagi kiosk cenderamata
Anehnya, bunyi hingar-bingar itu bukanlah datangnya dari kumpulan penjual cenderamata ini kerana pagi masih awal. Pelancong belum ramai yang mengerumuni kawasan ini. Malah, saya terjumpa dua orang pak cik yang sedang menolak kiosk bergerak ke lot perniagaannya. Mereka menjual cenderamata yang diperbuat daripada kayu dan mereka juga memanggil diri mereka sebagai Mastro Geppetto. Langsung saya teringat kepada cerita kanak-kanak The Adventures of Pinocchio karya Carlo Collodi yang telah ditulis pada tahun 1883 itu. Namun, lebih ramai yang mengenali versi adaptasi Walt Disney (terbitan tahun 1940).



Pak cik berdua yang saya temui ini ialah "Geppetto" sebenar dan hampir sama
gambaran yang dibayangkan oleh Disney dalam filem animasinya!
Cenderamata patung kayu menyerupai "Pinocchio" ini amat popular di Itali.
Pun, sumber bunyi hingar-bingar ini masih bukan berpunca dari para penjual cenderamata di kawasan ini. Semakin saya pantaskan langkah, suara hingar-bingar ini semakin ketara. Saya pandang sekeliling sambil merakam foto-foto bangunan di sini. 

Mercato del Pesce bermaksud pasar ikan.
Membaca tulisan pada bangunan itu, barulah saya perasan yang saya semakin memasuki kawasan pasar. Inilah Pasar Rialto yang terkenal. Sifat pasar sama sahaja seperti pasar-pasar basah yang lain. Jika mahukan barang yang bagus, harus datang awal pagi. Lebih awal lebih baik. Kedatangan saya sekitar pukul 9.30 pagi agak awal bagi pelancong biasa. Kedudukannya pasar ini betul-betul di sebelah jeti Traghetto S.Sofia benar-benar memudahkan pergerakan menghantar ikan-ikan dan makanan laut yang segar.

(Nota : Traghetto ialah feri dalam bahasa Itali. Rupanya lebih kurang sebuah gondola tanpa hiasan. Biasanya penumpang berdiri ketika menaiki traghetto dan sesuai untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat di sekitar The Grand Canal. Perjalanannya pendek. Untuk yang lebih jauh, penumpang akan menaiki bot yang dipanggil vaporetto. Mahu lebih perlahan dan romantis, naik gondola)


Pasar Rialto ini sudah berusia 700 tahun. Mereka yang datang bukanlah ramai yang membeli, lebih ramai lagi yang datang 'menembak' di sini. 'Menembak' yang saya maksudkan ialah jurufoto profesional dan amatur sama-sama melakukan aktiviti mengambil gambar di kawasan ini. Pada mulanya, saya berasa segan untuk mengambil gambar-gambar ikan, udang, sotong dan hidupan laut yang aneh ini. Maklumlah, lain laut lain ikannya. Ini ikan-ikan dari Laut Adriatik, pastilah jauh berbeza dengan ikan-ikan di Selat Melaka atau Laut China Selatan. Apabila melihat jurufoto dengan lensa masing-masing tidak kurang sehasta panjangnya, apa lagi, saya pun keluarkan kamera kompak dari saku jaket dan terus melakukan aktiviti yang sama seperti mereka.

Ikan Salmon dan makanan laut yang segar. 
Tulisan "capesante pulite fresche" bermaksud scallops (kekapis) segar yang sudah bersih.
 
Seorang daripada jurufoto yang sedang merakam subjek di Pasar Rialto.
 Lantas tidak hairanlah, Shakespeare pernah menyatakan tentang Rialto di dalam The Merchant of Venice :

"What news on the Rialto?" 
Shylock 
Act 1, Scene III, The Merchant of Venice
Rialto bukan sekadar jantung yang menjadi nadi kepada seluruh Venice, malah kedudukannya yang tepat di tengah-tengah Venice secara geografi ini juga menjadikan ia pusat yang penting untuk bandar lautan ini. Tidak cukup dengan itu, penyair Elizabeth Barrett Browning menulis sebuah soneta yang berjudul : The Soul's Rialto Hath Its Merchandise.

Sonnet XIX
The soul's Rialto hath its merchandise;
I barter curl for curl upon that mart,
And from my poet's forehead to my heart
Receive this lock which outweighs argosies,--
As purply black, as erst to Pindar's eyes
The dim purpureal tresses gloomed athwart
The nine white Muse-brows. For this counterpart, ...
The bay-crown's shade, Beloved, I surmise,
Still lingers on thy curl, it is so black!
Thus, with a fillet of smooth-kissing breath,
I tie the shadows safe from gliding back,
And lay the gift where nothing hindereth;
Here on my heart, as on thy brow, to lack
No natural heat till mine grows cold in death.

Sumber di sini.

Ah, gabungan Marco Polo, Shakespeare, Elizabeth Barrett Browning dan Pasar Rialto telah menjadikan saya tidak keruan di sini. Sedangkan, saya masih lagi belum melihat sendiri bagaimanakah rupanya Jambatan Rialto yang sering disebut-sebut itu.


Ulasan

Hawa Tahir berkata…
Assalam wrb Puan Nisah Haron.

Saya mohon keizinan untuk kongsikan entri ini di Facebook.Terima kasih :)
Nisah Haji Haron berkata…
Alaikumussalam Hawa,

Terima kasih kerana sudi berkongsi. Silakan, jika bermanfaat. Boleh 'tag' saya di "Nisah Haron - Pengarang".

Catatan Popular