Buku pertama Enid Blyton yang saya baca

Enid Blyton. Sumber dari sini.
Saya tidak pernah kenal akan nama Enid Blyton sehinggalah saya mendapat hadiah buku sewaktu di sekolah rendah. Ketika itu saya berada di dalam darjah empat. Saya mendapat hadiah untuk tempat pertama pada peperiksaan penggal akhir (darjah tiga). Sebuah buku lagi untuk hadiah mata pelajaran Bahasa Inggeris terbaik.

Itulah titik perkenalan yang terawal untuk karya-karya Enid Blyton.

Dua buku pertama Enid Blyton yang berada di dalam koleksi saya.


Semalam hari lahir Enid Blyton (lahir pada 11 Ogos 1897; meninggal dunia pada 28 November 1968). Semasa kanak-kanak, saya tidak pernah terfikir pun sama ada Enid Blyton ini lelaki atau perempuan. Saya hanya tahu yang cerita-ceritanya menarik dan saya suka membaca karya-karya beliau. Selepas mengenali nama ini, saya terus mencari dan membaca buku-buku Enid Blyton dengan rakus. Saya banyak membaca sehingga masuk ke sekolah menengah. Mungkin setelah masuk ke menengah atas, barulah saya beralih.

Bukan semua ceritanya saya faham. Namun, itu bukan soal. Yang penting, saya baca dan telan. Hadam tak hadam, itu soal lain. Buku ini antara yang memahirkan saya dengan Bahasa Inggeris dan saya percaya, bukan saya sahaja yang mengalaminya. Enid Blyton telah memberikan rangsangan untuk pembaca kanak-kanak remaja. Selain Beatrix Potter (juga penulis buku kanak-kanak, yang lebih banyak menulis untuk kanak-kanak yang lebih muda usianya berbanding pembaca Enid Blyton), beliau juga antara penulis yang karyanya terlaris sepanjang zaman.

Amalan menghadiah buku kepada pelajar sekolah semakin kurang kini. Anak-anak saya sendiri juga sudah tidak menerima hadiah dalam bentuk buku apabila pada Hari Anugerah Kecemerlangan. Malah, ada perpustakaan yang menghadiahkan hamper berbentuk makanan ringan dan air bergas sebagai hadiah untuk hadiah yang sepatutnya diberikan buku.  Bukannya plak atau piala itu tidak bagus, hakikatnya, plak itu ialah barang yang tidak dapat dimanfaatkan, selain mengumpul habuk di atas almari. Hendak dibawa tidur seperti buku, bimbang tercucuk pula di sana sini. Lantas, bukulah hadiah yang paling sesuai untuk menghargai pencapaian akademik seseorang.

Kini, buku ini sudah boleh saya wariskan kepada anak-anak. Mereka dapat lihat suatu kenangan yang sedikit sebanyak, bolehlah dijadikan sebagai dorongan mahupun cabaran. Hadiah 30 tahun nan lalu masih lagi dapat dimanfaatkan pada hari ini.

Anak-anak yang mula gila membaca juga terkena tempias buku-buku ini, walaupun mereka kini sudah ada bahan bacaan pilihan masing-masing. Mereka juga mengenali Roald Dahl, Beatrix Potter dan siri-siri yang lain untuk bacaan di dalam bahasa Inggeris.

 Berbanding piala-piala  yang saya kumpul sejak dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti, buku-buku yang menjadi hadiah ditempatkan di rak perpustakaan mini saya ataupun di ruang tamu. Piala-piala itu terbiar di dalam almari di bahagian belakang rumah kerana banyak memakan ruang. Bukanlah tidak menghargai hadiah yang sedemikian, tetapi kurang manfaatnya. Andai lukisan, boleh juga digantung. Kalau sijil, boleh dimasukkan ke dalam fail.

Kembali kepada buku-buku terawal Enid Blyton yang menjadi sejarah pembacaan saya, bagaimana dengan anda? Adakah Enid Blyton pernah membentuk dunia remaja anda? Apakah pula buku Enid Blyton yang terawal yang anda baca? Kongsi di sini.
 

Ulasan

依之汉 berkata…
Saya pula mengingati karya Enid Blyton bersifat fantasi. Buku-bukunya banyak di perpustakaan sekolah menengah saya dahulu. Semuanya berkonsepkan fantasi. Di situlah saya mengenali elf, gnome, troll, dan granny.

Oleh kerana ia buku pinjam, saya hanya mengingati kulit bukunya sahaja. Granny dan juga rumah berbentuk cendawan.
Saadah Khair berkata…
Saya berterima kasih kepada abang sulung saya Zulkifli Khair kerana dia yang menghadiahkan beberapa buku Enid Blyton ketika zaman sekolah rendah. Koleksi buku itu masih tersimpan elok di rumah emak tapi tajuk bukunya tidak melekat dalam ingatan. Bagi saya, penulis banyak menyentuh aspek persahabatan di samping pengembaraan yang mencabar. Kini saya berhasrat untuk membeli sendiri buku-buku beliau lebih-lebih lagi ia murah di England biarpun ia hanyalah buku terpakai :)
Aimi Rosli berkata…
Entri ini mengingatkan saya ketika saya darjah 4 dan dihadiahkan dengan novel Enid Blyton yang telah diterjemah : Pulau Rahsia (Secret Island).

Saya kira novel itu telah diterjemah dengan baik sekali kerana saya baca novel itu berulang-ulang kali kerana keseronokannya dan saya dapat rasa Enid Blyton seorang penulis yang sangat bijak. Sebelum itu saya tidak pernah membaca novel.

Beberapa tahun selepas itu, di sekolah menengah saya bertemu dengan seorang rakan yang membaca versi Bahasa Inggeris. Ternyata perasaan yang sama juga dia rasakan.

P/s : dulu saya fikir Enid Blyton seorang lelaki sehinggalaah suatu hari saya terfikir untuk Google mengenai beliau.
Aimi Rosli berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Catatan Popular