Selasa, Ogos 27, 2013

MENULIS DARI RUMAH : SUATU KERJAYA PROFESIONAL

Simposium Penulis Wanita Sarawak 2013
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak
24 Ogos 2013


MENULIS DARI RUMAH :
SUATU KERJAYA PROFESIONAL *
Oleh : Nisah Haji Haron **
(www.annyss.blogspot.com)

APABILA saya mengambil keputusan untuk menjadi pengarang sepenuh masa muncul pelbagai reaksi. Apatah lagi, saya telah memilih untuk meninggalkan profesion guaman yang dianggap sesetengah masyarakat sebagai berprestij, menguntungkan dan mempunyai masa depan yang amat menjanjikan. Keputusan untuk menjadi pengarang merupakan suatu pilihan dan saya tidak melakukannya atas dasar terpaksa ataupun mempunyai tanggapan yang negatif terhadap kerjaya sebagai peguam.

Saya berani untuk membuat keputusan ini kerana saya sungguh-sungguh percaya bahawa rezeki yang diperoleh ini bukan ditentukan oleh kerjaya yang dimiliki. Rezeki merupakan urusan Tuhan dan sebagai manusia kita boleh memilih dalam memvariasikan kerjaya. Ketika saya bergelar graduan undang-undang juga, saya percaya bahawa kerjaya harus dicipta dan bukannya sekadar menunggu dan mengharapkan kerjaya tertentu supaya nanti boleh memiliki rumah atau kenderaan besar serta dihormati masyarakat.

Semua itu boleh datang dalam apa-apa sahaja bentuk kerjaya yang menjadi pilihan. Asalkan tugas itu mendatangkan rezeki yang halal dan tidak menyalahi undang-undang. Oleh hal yang demikian, saya tinggalkan kerja guaman yang telah saya gulati selama lebih kurang lapan tahun kerana saya mencari kepuasan dalam kerjaya.

Menjadi pengarang sepenuh masa bukanlah sesuatu yang asing kerana saya telah menulis secara sambilan dan suka-suka sejak di bangku sekolah lagi. Pada ketika itu, saya dapati honorarium menjadi pengarang sambilan telah memberikan pulangan yang boleh dianggap besar sebagai pelajar sekolah. Bayangkan, honorarium menulis cerpen (pada tahun 1990) di dalam majalah Dewan Siswa ialah RM100. Wang tersebut boleh disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan ataupun digunakan untuk membeli sesuatu yang bermanfaat.

Fahamilah, bahawa dalam dunia penerbitan, setiap suatu yang diterbitkan di majalah, akhbar ataupun diterbitkan di dalam bentuk buku, pengarangnya akan dibayar dengan jumlah-jumlah tertentu. Bayaran apabila karya diterbitkan di majalah ataupun akhbar dipanggil honorarium; sementara bayaran secara tahunan berdasarkan jumlah jualan buku dipanggil royalti.

Sejak daripada hasil penulisan saya yang pertama itu, saya terus menjadi pengarang sambilan dengan hanya menumpukan kepada penulisan cerpen. Saya fikir, jika saya turut menumpu di dalam bidang lain seperti esei dan puisi, pastinya saya dapat menambah wang saku lagi.

Untuk menjadi pengarang sepenuh masa, kita harus cuba menjadi pengarang versatil. Ertinya, pengarang yang boleh menulis hampir keseluruhan genre. Tidak mungkin cerpen kita akan dipilih pada setiap bulan ataupun 3 – 4 bulan sekali dalam majalah yang sama. Peluang harus diberikan kepada orang lain juga.
Oleh itu, pengarang ada pilihan, iaitu :
  • Menghantar karya kepada majalah atau akhbar lain yang boleh menerbitkan karya berikutnya
  • Menulis bidang yang lain seperti esei, rencana dan artikel, puisi, cerpen, skrip drama dan yang seumpamanya.
Dengan cara ini, pengarang akan dapat terus berkarya secara tekal serta dapat menulis secara selang-seli antara pelbagai bidang penulisan yang ada.

Walau bagaimanapun, sebelum memulakan tugas sebagai pengarang sama ada secara sambilan ataupun sepenuh masa, kita harus menguasai bidang tersebut terlebih dahulu. Aspek paling utama di dalam penulisan sama ada penulisan kreatif ataupun bukan kreatif ialah bahasa.

Bahasa merupakan alat kepada pengarang seperti mana warna, berus dan kanvas kepada pelukis. Tanpa penguasaan terhadap alat, sesiapa pun tidak mungkin menjadi ahli ataupun mahir di dalam bidangnya.
Seorang pengarang merupakan pembaca. Minat membaca haruslah tumbuh subur di dalam diri pengarang dan suka membaca seluas mungkin. Pengarang yang tidak suka membaca samalah seperti penebang pokok yang mempunyai kapak yang tumpul. Orang seperti itu tidak mungkin akan pergi lebih jauh di dalam bidang yang diceburinya.

Pengarang dan ulama tersohor Indonesia, HAMKA ataupun nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah ada menggariskan beberapa petua bagi menghasilkan karya yang baik:
  • Jelas dengan tujuan menulis menetapkan pendirian bagi mencapainya
  • Apabila sudah berniat untuk menulis, tulis segera dan usah bertangguh.
  • Membaca buku-buku orang lain supaya dapat memberi kekuatan untuk penulis
  • Sentiasa memperbaiki, menambah dan mengembangkan karya.
  • Usah tunggu sehingga menjadi penulis yang sempurna untuk mula menulis. Kesempurnaan akan datang secara berperingkat-peringkat.
  • Penulis mesti melangkaui zaman
  • Semangat yang turun dan naik di dalam penulisan bersifat sementara. Bergantung haraplah kepada Tuhan sebagai punca rezeki dan sumber ilham yang paling utama.
Pengarang sepenuh masa dapat bekerja di mana-mana tempat yang dianggap sesuai. Kebanyakan pengarang menggunakan konsep small office home office (SOHO) iaitu menggunakan rumah sebagai ruang bekerja.

Ada pengarang yang memerlukan bilik khusus, lengkap dengan perpustakaan mini dan capaian internet. Ada juga yang boleh bekerja hanya dengan sebuah komputer atau komputer riba (laptop) di ruang makan, ruang tamu ataupun di mana-mana sudut di dalam rumah. Kelebihan memiliki komputer riba pula, membolehkan pengarang memindahkan tempat menulis pada bila-bila masa yang perlu.

Secara peribadi, saya lebih selesa menulis di rumah. Namun, apabila ada keperluan untuk berpergian ke tempat lain, saya boleh membawa laptop dan menulis di hotel tempat saya menginap. Kini kebanyakan hotel sudah memiliki wireless dan memungkin saya untuk terus berhubung melalui internet. Menulis di perpustakaan awam juga amat kondusif sifatnya dengan pendingin hawa dan bahan rujukan di sekeliling.

Bayangkan, tanpa terikat dengan apa-apa ruang fizikal, aktiviti mengarang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Kajian turut menunjukkan bahawa SOHO merupakan satu gaya hidup bagi menambahkan pendapatan dan tidak terikat di dalam sistem pejabat yang konvensional. Konsep dan keperluan SOHO berbeza dari satu individu kepada individu yang lain.

Pengarang yang bekerja dengan konsep SOHO juga tidak terikat dengan masa tertentu untuk menulis kerana waktu kerjanya begitu anjal. Pengarang boleh memilih untuk menulis pada waktu seperti sebelum subuh, waktu pagi, waktu petang ataupun dinihari mengikut kesesuaian pengarang.

Namun, memiliki masa yang fleksibel atau anjal boleh disalahgunakan oleh pengarang. Oleh yang demikian, pengarang harus mempunyai disiplin diri supaya dapat mengurus waktu dengan baik. Masyarakat juga adakalanya melihat bahawa sesiapa sahaja yang tidak berkerja di dalam pejabat yang konvensional ialah orang yang banyak masa. Pengarang harus bijak berdalih supaya memilih undangan ataupun pelawaan untuk keluar yang boleh mengambil waktu sebenar mengarang.

Hakikatnya, pengarang sendiri mestilah menghormati waktu kerjanya sendiri sebelum mengharapkan (atau menyalahkan) orang di sekelilingnya menghormati dan memahami jadual kerjanya. Terdapat beberapa kaedah untuk mendisiplinkan masa menulis, antaranya :
  • tutup laman sosial (Facebook, Twitter, WhatsApp, dll)

  • semak e-mel pada waktu lain (boleh disiplinkan supaya menyemak e-mel hanya setelah tugas selesai)
  • telefon bimbit diletakkan pada mod senyap. Telefon yang berbunyi menyebabkan kita cenderung untuk menjawab panggilan.
  • pesan pada sahabat-sahabat atau sebarkan hakikat bahawa jika telefon tidak berjawab, tinggalkan SMS (bukannya pesanan suara). Hanya mesej yang benar-benar penting akan dijawab pada waktu itu. Selagi boleh dibalas kemudian, tangguhkan. Tumpu kepada penulisan.
  • Sekiranya perlu menjawab telefon, jawab sambil berdiri. Menjawab sambil duduk akan menyebabkan kita berasa selesa dan akan terus berlama di talian. Mohon kepada pemanggil supaya hadkan waktu perbualan kerana anda ada tarikh akhir (deadline) yang tidak boleh ditangguhkan.
  • Berasa tegas dan cemburu dengan masa sendiri, biarpun orang lain akan mencemuh dengan mengatakan kita sombong, ‘macam bagus’ dan sebagainya. Hakikatnya, setiap jenis seni di dunia ini (menulis juga satu bentuk seni) akan terhasil dengan lebih baik sekiranya ditangani pada setiap hari. Bayangkan: jika kita sedang bekerja di dalam pejabat yang konvensional, pasti tidak ada yang akan marah, malah berasa malu dan akan memohon maaf, jika seseorang itu menelefon pada waktu bekerja.

Jadual Menulis

Setiap pengarang mempunyai jadual penulisannya yang tersendiri. Tidak ada waktu tetap kepada pengarang. Yang paling penting, terus berdisiplin untuk menulis mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh pengarang itu sendiri. Bagi penulis yang baru mencuba untuk menjadi penulis sepenuh masa, jadual yang dilampirkan pada hujung kertas ini mungkin boleh membantu untuk mengatur waktu tersebut.

Calon penulis atau penulis baharu disyorkan supaya mencari masa yang minimum untuk menulis, misalnya, empat jam seminggu. Tempoh empat jam itu juga boleh dibahagikan kepada beberapa hari dan jam.

Contoh pembahagian masa menulis yang optimum dan berkualiti :

SASARAN MASA : 4  JAM SEMINGGU
SASARAN MASA SEKALI MENULIS (SETIAP SESI) : 30 MINIT
30 MINIT X 8 SESI = 240 MINIT (4 JAM)

Calon penulis mestilah menghormati waktu pada setiap sesi yang diperuntukkan itu. Mesti berada di tempat menulis dan menulis; atau melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan proses menulis. Hal itu mungkin sahaja menyunting, membaca pruf, merangka tulisan dan sebagainya. Ertinya, tempoh 30 minit itu mestilah dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana kita belum tentu akan mendapat 30 minit yang seperti itu lagi. Tempoh 30 minit itu boleh jadi : 
  • 30 minit sebelum subuh (waktu yang paling tenang di sesetengah kawasan)
  • 30 minit antara waktu Maghrib ke Isya’
  • 30 minit sebelum waktu pejabat rasmi bermula (datang lebih awal ke pejabat
Malah, pilihan waktu yang sesuai itu terpulanglah kepada penulis itu sendiri. Gunakan Lampiran Latihan pada hujung kertas kerja ini untuk mengisi sendiri waktu yang paling sesuai untuk menulis. Jadual tersebut boleh menjadi gambaran visual dalam merangka kerja-kerja menulis. Asalkan, jangan terlalu ideal atau ambitious! Ertinya, usah bayangkan yang kita boleh menulis 7 jam seminggu secara tekal kerana belum tentu kita mampu mendapat 1 jam sehari sekiranya kita mempunyai tugas-tugas lain yang lebih mendesak. Analoginya mudah : dalam sehari semalam, Allah syariatkan supaya kita bersolat sebanyak 17 raka’at. Umat Islam bukanlah bersolat 17 raka’at sekali gus, sebaliknya dibahagikan mengikut tempoh dan kesesuaian: 2 rakaat sewaktu Subuh, 4 rakaat (Zohor dan Asar), 3 raka’at Maghrib dan 4 raka’at Isya’. Pembahagian yang demikian ada rasionalnya di sisi Tuhan. Demikian juga pembahagian masa menulis yang berbeza-beza kepada setiap penulis.

Bagi penulis yang sudah berumahtangga, cabarannya berbeza daripada penulis yang bujang. Pasangan kepada penulis perlu diberikan kefahaman bahawa pada ketika tertentu penulis tidak dapat diganggu sama sekali. Dalam hal ini, komunikasi antara pasangan amat penting. Ada beberapa tip yang boleh diusahakan bersama-sama, sebagai contoh :
  • Maklumkan bahawa, misalnya, malam ini penulis mahu menghabiskan manuskripnya. Jadi, suami mungkin boleh bantu tidurkan anak-anak sementara ibunya menulis.
  • Disiplinkan juga anak-anak supaya tidak terlalu bergantung kepada ibu. Malah, anak-anak boleh selesa dengan ibu mahu pun ayahnya. Latih anak-anak  yang lebih besar (jika ada) supaya membantu menguruskan adik-adik dalam hal-hal yang kecil seperti membancuh susu, mengambilkan makanan, atau bermain dengan adik-adik.
  • Sekiranya penulis (ibu) tidurkan anak (kecil) pada malam itu, ertinya ibu tidur lebih awal, ibu akan bangun awal untuk menulis. Suami akan menguruskan anak-anak pada sebelah pagi supaya ibu tidak diganggu kerja-kerja penulisannya.
  • Belajar menulis tanpa menutup pintu bilik. Ini dipanggil situational management. Pada peringkat awal, hal ini mungkin sukar bagi penulis yang sudah biasa menulis dalam keadaan senyap. Apabila sudah biasa, penulis boleh menulis walau keadaan sekelilingnya bising atau didatangi anak-anaknya beberapa kali.
  • Tidak terikat dengan tempat menulis atau alat. Ini bererti penulis boleh menulis hampir di mana-mana seperti di ruang tamu, di dapur atau di laman. Boleh menulis menggunakan komputer, komputer riba, tablet, juga pen dan kertas.
  • Masa menulis bukanlah sepanjang hari atau malam. Peruntukan masa yang berkualiti dengan keluarga terlebih dahulu sebelum menulis. Biasanya anak-anak akan ‘mengganggu’ ibunya yang menulis kerana mereka memerlukan perhatian. Berada sepanjang masa di dalam rumah bersama-sama anak-anak tidak semestinya ‘masa berkualiti’ itu sedang berlangsung. Lakukan aktiviti tertentu bersama-sama ahli keluarga. Lama kelamaan, mereka akan faham keperluan ibunya untuk berada di tempat lain.
Sokongan  yang paling afdhal kepada penulis wanita datangnya daripada suami dan anak-anak yang memahami tugas isteri/ibu yang menulis sebagai kerjayanya.

Bagi penulis wanita yang bujang, tidak semestinya anda perlu mencari pasangan yang menulis juga. Malah, ada beberapa pasangan penulis yang saya temui berpendapat, seorang daripada mereka terpaksa ‘berundur’ untuk memberi laluan kepada pasangannya. Biasanya yang berundur itu ialah pihak isteri. Misalnya, pasangan SN A. Samad Said – Salmi Manja, Dr. Othman Puteh – Timah Baba, Dr. Lim Swee Tin – Selina SF Lee. Calon suami penulis tidak semestinya mereka yang berada dalam bidang penulisan, penerbitan atau perbukuan. Perkara yang paling penting ialah berlaku komunikasi dua hala, saling memahami dan saling menghormati tugas pasangan.

Pendapatan Pengarang

Sebagai pengarang ada dua bentuk pendapatan yang akan diperoleh melalui bidang ini :
  • Pendapatan aktif
  • Pendapatan pasif
 Pendapatan aktif ertinya seseorang pengarang itu mendapat honorarium setiap kali karyanya tersiar di media cetak seperti majalah dan akhbar. Pendapatan ini bergantung kepada bentuk penulisan. Secara anggaran dan tertakluk kepada penerbit serta panjang karya, sebuah esei boleh dibayar antara RM100 – RM750; sebuah cerpen yang tersiar akan dibayar antara RM100 – RM300; puisi pula sekitar RM30 – RM200.




Pendapatan penulis skrip juga tidak kurang lumayannya dan mereka merupakan golongan yang agak tinggi bayaran honorariumnya tertakluk kepada medium. Penulis skrip radio boleh mendapat antara RM1,000 – RM2,000 untuk drama 40 minit hingga satu jam. Demikian juga kadar yang berbeza (malah lebih tinggi) bagi penulis skrip drama televisyen dan juga drama pentas. Bagi drama bersiri, penulis skrip akan dibayar antara RM500 – RM1,500 bagi drama 20 – 30 minit. Bagi telemovie ataupun cereka panjang sekitar 90 minit akan dibayar antara RM3,000 – RM5,00 bagi setiap skrip. Penulis skrip sitcom setengah jam boleh dibayar antara RM800 – RM1,000 setiap episod.

Penulis skrip untuk dokumentari juga akan dibayar sekitar RM800 – RM1,000 bagi setiap episod 30 minit. Jika ada kajian yang dilakukan oleh penulis sebelum menghasilkan skrip, bayaran tersebut akan dibayar secara berasingan. Ertinya, penulis akan mendapat imbuhan yang lebih.

Terdapat juga syarikat pengeluar (producer) swasta yang membayar lebih daripada kadar yang diberikan kepada penulis-penulis skrip. Ada yang membayarnya mengikut tahap kekuatan kepengarangan seseorang penulis. Penulis skrip yang terkenal tentunya akan dibayar lebih daripada penulis skrip yang menghantar skripnya untuk kali pertama.

Bagi pendapat pasif pula, seseorang pengarang itu yang telah menghasilkan novel ataupun buku akan mendapat royaltinya pada setiap kali bukunya dijual di pasaran. Selagi bukunya terjual, pengarang tersebut akan menerima bayarannya walaupun pengarang itu telah meninggal dunia. Undang-undang hak cipta di Malaysia menetapkan bahawa seorang pengarang yang telah meninggal dunia akan tetap mendapat royalti sehinggalah 50 tahun selepas kematiannya. Misalnya, jika pengarang itu meninggal pada tahun 2010 dan karyanya terbit pada tahun 2009; warisnya akan dapat royalti daripada karyanya sehinggalah pada tahun 2060.


Pengarang dan Kembara


Menulis dari rumah bukan bermakna kita mesti terus ‘terperangkap’ dan tidak boleh keluar dari kamar kerja. Kembara ialah sesuatu yang amat penting buat penulis. Kembara mampu merobah perspektif dan sudut pandang pengarang. Hal ini penting supaya aspek dan topik yang diangkat di dalam tulisan tidak akan berulang-ulang atau klise. Sekiranya kita tidak mampu untuk berbuat demikian, kaedah yang lain ialah membaca atau mendapatkan maklumat daripada pelbagai media termasuklah mendengar pengalaman orang lain.

Bagi yang pernah membaca tulisan saya Kembara Sastera Nisah Haron – United Kingdom & Dublin, ini bukanlah tulisan kembara saya yang pertama. Benar, ia buku kembara saya yang pertama tetapi sebelum ini saya telah banyak menulis dalam ruangan kembara di majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Mingguan Wanita. Pengalaman-pengalaman kecil ini kemudiannya saya satukan menjadi suatu tulisan yang lebih lengkap.

Kembara ini juga tidak bermakna mesti pergi ke suatu tempat yang sangat jauh sehingga ke Alaska, Rusia, Kutub Utara atau Kutub Selatan. Cubalah kembara di dalam negara terlebih dahulu. Jika berasa yakin dan cukup persediaan, kembaralah seorang diri. Anda akan dapat rasakan suatu perasaan yang berbeza berbanding kembara bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan atau mengikut rombongan. Perasaan mandiri ketika kembara ini penting bagi pengarang untuk mencari dirinya sendiri. Bagi pengarang kreatif, mengembara bukan sekadar mencari latar baharu atau sekadar inspirasi. Mengembara menawarkan nikmat yang berbeza-beza kepada setiap pengarang.

Secara peribadi, saya menggunakan peluang apabila diundang untuk memberikan ceramah sama ada di Semenanjung Malaysia, mahupun di Sabah dan Sarawak. Biasanya, saya akan cuba mengambil satu waktu untuk melihat kawasan atau daerah yang belum pernah saya lawati. Memang benar, dengan kemajuan teknologi pada abad ini, kita tidak perlu menghadirkan diri secara fizikal ke banyak lokasi sebelum menulis tentang sesuatu tempat. Perkhidmatan Google Maps, misalnya telah menawarkan Google Street View, iaitu pengguna boleh melihat lokasi tempat-tempat tertentu secara panorama. Kemudahan ini amat membantu para penulis yang berhasrat melihat sesuatu tempat secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, dengan mengembara secara fizikal, penulis boleh merasakan suasana dan tahap kemesraan penduduk yang tidak mungkin dapat digambarkan oleh teknologi. Begitu juga dengan dingin salji, teriknya matahari ketika musim panas di Timur Tengah atau paling mudah sekali bau sesuatu tempat, misalnya bau semua ladang bunga lavender atau sesuatu yang lebih tempatan, misalnya bau bunga yang khsusu seperti kesidang, melur, kenanga dan pandan tidak dapat dirakam oleh teknologi. Penulis mestilah turun ke lapangan untuk menikmatinya sendiri.

Lawatan ke Tenom (Sabah), Palembang (Sumatera Selatan) dan Shanghai (China) telah saya abadikan dalam novel Lentera Mustika. Pekan kecil Tenom juga saya jadikan judul cerpen : “Minta Secawan Kopi Tenom” (Dewan Siswa, April 2007) . Lawatan ke Paris saya tulis dalam Dewan Budaya Mac 2013 dengan judul “Di Sebalik Masjid Besar Paris”. Singgahan ke Singapura awal tahun ini juga saya tidak sia-siakan. Saya tulis tentang keunikan Perpustakaan Esplanade di Kota Singa itu dalam Dewan Budaya Mei 2013. Tidak ketinggalan, lawatan ke United Kingdom dan Dublin memberi saya ruang untuk menulis rencana pendek di dalam Dewan Siswa yang menawarkan untuk semua pengembara iaitu “Rakaman Pengembara”. Semua ini ialah peluang yang wajar dimanfaatkan penulis. 

Ramai yang mengembara tetapi penulis mengembara penuh dengan sensitiviti. Orang biasa mungkin bercuti hanya untuk berehat dan membeli belah. Penulis ke luar negara atau keluar dari daerah kebiasaannya untuk mencerap sesuatu yang baharu – sekurang-kurangnya sebagai modal dan bahan untuk karya-karya yang berikutnya. Secara peribadi, mengembara dan menulis tentang kembara itu ialah suatu cara untuk saya mendapatkan kembali wang yang telah dilaburkan dalam pengembaraan tersebut. Oleh itu, usah berasa ‘kehilangan’ wang sewaktu mengembara atau membeli buku dan majalah. Semua itu ialah modal untuk penulis.

Bagi yang tidak berpeluang mengembara atas sebab-sebab tertentu sama ada komitmen atau faktor kewangan, usah beralasan. Cari cara lain untuk mendapatkan pengalaman dan sudut pandangan yang berbeza daripada orang lain yang mungkin kaya dengan pengalaman hidup mahupun pengalaman mengembara. Mereka ini juga boleh menjadi sumber modal untuk kita menulis. Paling tidak, banyakkan membaca dan jadilah pembaca yang kritis dan mampu berfikir tentang isi kandungan yang dibaca. Penulis bukan sekadar memuntahkan kembali setiap tulisan yang dibaca. Penulis mestilah bijak mencerna dan mentafsir serta memberikan sesuatu yang segar kepada pembacanya.

Kesimpulan

Rumah ialah ‘padang permainan’ wanita. Definisi rumah di sini bukan semestinya 'rumah' secara fizikal. Ia bukan bermakna dapur, ruang tamu atau kamar tidur. Rumah itu boleh jadi di mana-mana sahaja. Rumah bermaksud tempat yang paling selesa.

Menulis dari rumah mampu menjadi kerjaya profesional untuk wanita. Mereka perlu diberikan ruang dan masa serta penghormatan untuk mencetus pemikiran selain menjana pendapatan aktif dan pasif untuk memberikan pulangan ekonomi kepada diri sendiri mahu pun keluarga. Menjadi penulis sepenuh masa, bukanlah bermakna menulis novel atau karya kreatif semata-mata. Terdapat banyak genre dan peluang penulisan yang harus diselongkar. Dalam banyak perkara pada zaman ini, penulis perlulah proaktif dan menggunakan kemudahan-kemudahan teknologi masa kini untuk menjaring peluang-peluang tersebut.

Dalam masa yang sama, penulis juga perlulah mempertajamkan minda supaya tulisan-tulisan yang dihasilkan segar, dalam dan menjadikan khazanah persuratan negara berkembang dengan sihat. Apabila sudah sampai pada suatu peringkat kelak, menulis bukan sekadar menjana pendapatan semata-mata.

Penulisan akan menjadi tanda aras kepada tahap ketamadunan bangsa. Penulis yang sejati akan tahu bahawa mendapat pulangan material hanyalah sebahagian daripada tujuan menulis. Mereka yang serius untuk tekal di dalam bidang ini akan menemui makna baharu dalam penulisannya. Karya-karya itu kelak akan terus hidup dan menjadi ‘suara’ kepada pemikiran yang ditinggalkan. Itulah yang ditinggalkan oleh Pak Sako, Keris Mas, Hamka, dan Masuri S.N.  Kita juga harus berbangga apabila nama-nama seperti Siti Zainon Ismail, Zaharah Nawawi, Fatimah Busu, Mahaya Mohd Yassin, Zurinah Hassan dan Adibah Amin terus mekar kerana wanita-wanita ini tidak berputus asa dalam penulisan masing-masing. Bukan anugerah dan label yang mereka dambakan. Marilah kita menjadi puspa yang mewangi di taman persuratan Melayu!

* Kertas kerja ini disesuaikan daripada rencana “Pengarang Sepenuh Masa Kerjaya Profesional” yang terbit di dalam Dewan Siswa Oktober 2009.

** Nisah Haji Haron meninggalkan profesion guamannya pada tahun 2006 untuk menjadi pengarang sepenuh masa setelah menjadi peguam selama 8 tahun.



16 ulasan:

Mama Rocky! berkata...

Salam sejahtera saudari Nisah..saya amat meminati penulisan anda!. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat ini..saya juga ada berjinak-jinak dengan genre sajak/puisi lewat remaja dulu dan kini cuba mengembangkan sayap dengan menghantar 30 buah puisi ke peraduan sayembara novel, cerpen dan puisi anjuran ITBM-PENA-Berita Harian..tak tahu lagi keputusannya..bukan nak sangat menang cuma kepuasan yang sangat-sangat diinginkan! Betul tak saudari Nisah?. Semoga saudari Nisah terus berjaya dalam lapangan ini dan semoga perkenalan ini kian menguntum!.

Nisah Haji Haron berkata...

Mama Rocky,

Terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya. Saya doakan yang terbaik untuk karya puan. Terus menulis!

MONALITA MANSOR berkata...

Assalamualaikum, perkongsian yang melantunkan semangat. Terima kasih.

ruru berkata...

Puan Nisah,
Artikel yang sungguh terkesan dalam hati.
Terima kasih kerana sudi berkongsi.
Saya masih baru berjinak-jinak sebagai penulis bebas. Masih banyak yang perlu belajar. Membaca buku kembara Puan terbitan ITBM, memberi momentum & idea kepada saya menghasilkan karya travelog. Kebetulan tugas sebagai penyelidik memberi peluang saya ke luar negara. Insya Allah, semoga Puan terus dirahmati dan diberkati.

Nuruddin Azri berkata...

wah,ingatkan pelaburan akhirat sahaja. menarik perkongsian.

Rin berkata...

Assalamualaikum, terima kasih atas perkongsian ini. Sangat bermanfaat

Nisah Haji Haron berkata...

Nuruddin Azri,
Semoga bermanfaat!

Rin,
Alaikumussalam.
Terima kasih, kembali.

CAHAYA MATA berkata...

Assalamualaikum Kak Nisah,

Mohon izinkan saya kongsi (share) artikel ini di facebook ye.

Terima kasih.. :)

Nisah Haji Haron berkata...

Cahaya Mata,
Harap share pautannya sahaja di Facebook, bukan salin dan tampal di sana, ya.

Bawa pembaca datang membaca di blog ini. Harap maklum.

Terima kasih.

CAHAYA MATA berkata...

ya puan, tentu sekali... :)

terima kasih sekali lagi.

mahmud thalut berkata...

Assalamualaikum Puan. Salam kenal. Saya pertama kali bertemu blog dan membaca entri Puan ini. Alhamdulillah. Ia amat memenuhi tuntutan fitrah saya yang mencari panduan untuk di ikuti. Terima kasih ya Puan.

cerita dari pasir mas berkata...

Semangat sy untuk menulis selepas membaca blog puan..
Mohon doa dan tunjuk ajar

farah elena berkata...

artikel yang menarik & padat dengan info untuk panduan

Maryam Hamidah Zulkifli berkata...

Terima kasih puan. Benar-benar memenuhi apa yang dicari selama ini. :)

Zura Rahman Novelis berkata...

terima kasih puan untuk perkongsian ini. saya ke sini untuk mendapatkan semangat bagi menyambung semula penulisan yg telah terhenti selama berbulan. betapa sukarnya untuk menulis apabila ada komitment kerja dan keluarga. this really helps. thanks again.

Tommy Love berkata...

Assalamualaikum Puan Nisah Haron.

Terima kasih di atas perkongsian yang sangat bermanfaat ini. Bahasa lembut ala 'ibu ibu' di dalam tulisan puan amat menyenangkan. Perkataan perkataan biasa disambung sambung menjadi kata kata yang mendamaikan serta berguna sekali.

Terima kasih kerana mencungkil kembali semangat tulis yang berhabuk nun jauh di dalam diri saya. Saya punya kelemahan bertangguh yang agak kritikal, mengakibatkan hasil setakat ini hanyalah tajuk tajuk sahaja, beserta plot. Perkongsian ini sedikit sebanyak menaikkan semangat saya semula.

Teruskan menulis dan memberi inspirasi terutama kepada bakal penulis seperti saya. Semoga Allah memberkati setiap bait kata puan.
Terima kasih.

Related Posts with Thumbnails