Kembara Sastera Italiana : Venice oh Venice...

Menggambarkan Venice dengan kata-kata, bimbang tidak tercapai apa yang saya ingin katakan. Mungkin untuk mereka yang belum pernah sampai ke Venice, video Yuna - Terukir di Bintang (Unofficial MTV) di bawah boleh menjadi suatu permulaan. Cuma, dalam kesemua perjalanan di dalam video itu, Yuna bukan sekadar ke Venice, dia juga ke Rome dan Vatican City. Namun, videonya masih dapat saya asosiasikan dengan kembara saya kali ini. Video ini saya tonton hanya setelah berada di Malaysia, jadi mungkin saya ada kesendengan (bias) terhadap kandungannya.



Subuh seawal 4.00 pagi di Venice menyebabkan saya boleh memulakan kembara solo di Venice ini lebih awal juga. Malam sebelumnya saya keletihan kerana belum mendapat tidur yang sempurna sejak memulakan kembara ini dari Kuala Lumpur. Bayangkan sahaja :

15 Mac 2012 11.45 malam Bertolak dari KLIA
16 Mac 2012 5.55 pagi Sampai di Schiphol, Amsterdam

Penerbangan lebih 12 jam di dalam kapal terbang, tidak mungkin dapat tidur dengan lenyak. Siang 15 Mac itu juga saya masih melangsaikan kuliah di Universiti Malaya sehingga pukul 6.00 petang. Pulang, terus capai bagasi. Usai solat Maghrib, suami terus menghantar saya ke KLIA. Rehat di dalam lapangan terbang? Tidak mungkin. Saya bukannya terbang dengan kelas perniagaan. Pendek kata, duduk sahajalah mana-mana yang boleh di dalam lapangan terbang.

Saya juga tak mungkin berbaring di dalam kapal terbang apabila memilih tiket kelas ekonomi. Oh, ini bukanlah rungutan. Namun, ini sekadar justifikasi kepada rasa penat yang amat berganda sewaktu tiba di Venice. Setelah tidur-tidur ayam di dalam kapal terbang (kalau betul-betul terlena pun, mungkin dalam satu ke dua jam), bangun menonton filem, membaca dan menyiapkan juga minit mesyuarat agung PEN tempoh hari. Lebih 12 jam kemudian saya pun sampai di Schiphol.

Seperti catatan yang lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol sentiasa membuat saya teruja. Masih tidak tidur sampailah saya tiba di Bologna. Di Hotel EuroGarden, saya cuma daftar masuk, letak bagasi dan kemudian keluar semula untuk ke Bologna Centrale. Setelah melalui segala cabaran untuk ke Venice - cabaran bahasa dan cabaran mencari tempat - dan segala-gala yang baharu, tidak mungkin saya tidur di dalam kereta api menuju Venice, walaupun saya tahu kereta api yang saya naiki itu akan berhenti di stesen terakhirnya di Venezia Santa Lucia. Terlalu banyak yang ingin dilihat!

Lantas, malam itu setelah sampai di Hostel L'Imbarcadero yang terletak betul-betul di tepi jeti bernama Riva di Biasio. Jika saya mahu menjelajah Venice melalui jalan air, memang saya hanya perlu melangkah dari hostel ini dan melangkah dalam 50 meter sahaja untuk ke jeti dan menghadap The Grand Canal atau jalan air utama di Venice. Saya pilih hostel ini selain harga yang berpatutan (48 Euro untuk 2 malam), ia hampir dengan Stesen Santa Lucia dan berhampiran The Grand Canal.

Untuk sampai ke hostel ini, saya perlu betul-betul ikut apa yang tertulis pada peta yang saya google dan juga panduan perjalanan yang disediakan oleh pihak hostel melalui e-mel. Saya perlu patuh kerana tiada jalan pintas atau alternatif di kawasan ini, kecuali mahu berenang! Jambatan hanya ada pada lokasi tertentu. Oleh itu, ikut sahajalah peta yang disediakan. Tempat mereka memang begitu.

Klik pada peta untuk paparan yang lebih jelas.

Malam itu, saya tumbang sebaik-baik sahaja selesai solat jama' dan qasar Maghrib-Isyak. Hanya sempat berbual-bual kosong seketika dengan teman sebilik dari New Zealand. Teman yang seorang lagi belum pulang dari kembaranya. Ada satu lagi katil kosong yang belum bertuan.

Subuh pagi itu, ketika selesai solat subuh dan dalam kesamaran lampu di luar kamar, seorang penghuni di kamar saya bertanya sama ada dia boleh meminjam telekung saya. Terasa sejuk hati apabila mengetahui bahawa penghuni terakhir yang tidak saya temui malam tadi merupakan seorang Muslimah. Kemudiannya, baru saya tahu yang dia dari Indonesia, menuntut di Paris dan kini bercuti di Venice dengan sahabatnya. Namanya Nabilla.

Kamar merah jambu untuk penghuni wanita. Kamar 4 orang sebilik.


Lantas kamar merah jambu ini menjadi saksi kami menunaikan solat subuh bergilir-gilir. Jiwa terasa aman dan tenang. Hilang sebentar rasa resah untuk kembara sendirian. Setiap kali kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, Dia akan kirimkan sesuatu untuk menenangkan keresahan itu. Hamba-Mu ini sangat bersyukur!

Teman-teman sekamar yang bukan Muslim tidak pun berasa hairan atau ambil peduli dengan apa yang kami lakukan. Ada yang tersedar, terlihat Nabilla bersolat, kemudian mereka tidur semula. Sesungguhnya, prejudis tentang golongan Muslim-bukan Muslim ini hanya propaganda media. Dalam dua kembara di UK/Dublin (tahun lepas) dan Itali ini saya bersyukur kerana tidak berjumpa dengan manusia-manusia prejudis.

Kolaj foto Venice: Dari atas kiri ikut arah jam - 1) T-shirt dengan paparan nama
pemain bola pasukan Itali. 2) Laluan di Venice, seperti labirin. 3) Jeti Riva di Biasio
4) Sisi kanan Riva di Biasio
Awal pagi itu saya mula mengorak langkah utuk meneroka Venice. Saya dan Nabilla membawa haluan masing-masing. Saya hanya bawa beg tangan yang boleh disandang, kamera, biskut dan air mineral. Dengan basmallah, saya meneruskan langkah meninggalkan L'Imbarcadero dan jeti Riva di Biasio. Saya memilih untuk berjalan kaki sahaja sejauh mana yang kaki ini termampu.

Lorong-lorong di Venice ini seperti sebuah labirin, seperti lorong tikus! Hanya muat dua orang berselisih. Di sini tiada kenderaan darat. Kalau ada pun mungkin basikal, tetapi masih tidak praktikal kerana setiap laluan pasti ada jambatan. Jambatan ini pula berbentuk melengkung untuk membenarkan gondola atau bot-bot kecil melalui di terusan-terusan yang berselirat di sana-sini.

Kamera saya gunakan untuk merakam perjalanan. Kamera juga menjadi penanda lokasi. Setiap gambar yang saya ambil itu menjadi bahan rujukan sepanjang perjalanan. Andai tersesat, saya boleh rujuk semula pada foto-foto di dalam kamera, apakah saya sudah melalui tempat ini? Saya boleh melakukan backtracking.

Ada dua lokasi penting yang saya mesti sampai di Venice ini :
  • Rialto; dan 
  • Piazza San Marco
Selebihnya, saya akan menikmati perjalanan untuk ke tempat-tempat ini. Bagaimana untuk ke tempat-tempat itu juga saya tidak berapa pasti. Saya hanya ada buku panduan Venice. Ya, peta sangat perlu apabila mahu menjelajah Venice secara bersendirian. Labirin yang seperti lorong tikus itu mudah sekali tersesat jika tersalah lorong. Namun, apa yang ada di dalam peta belum tentu sama dengan apa yang dilihat.

Untuk memudahkan perjalanan, saya ikut sahaja papan tanda yang tertulis "Per Rialto" atau "San Marco" seperti di dalam gambar. Papan tanda unik ini menjadikan ia sangat ikonik dengan Venice. Di mana-mana sahaja di Venice, inilah papan tandanya, hinggakan dibuat replika dalam bentuk fridge magnet atau rantai kunci. Tukarlah seribu kali kerajaan tempatan atau datuk bandarnya, papan tanda ini tetap tidak berubah.
Ini sama sekali berbeza dengan tempat kita yang seringkali bertukar nama jalan, bentuk papan tanda untuk nama jalan dan tempat. Setiap penguasa mahu meninggalkan tanda dengan cara menukar apa yang telah dilakukan sebelumnya. Padahal, apa yang ditukarnya itu mempunyai bahan sejarah yang tidak boleh diubah dengan wewenang. 
Kerajaan atau penguasa boleh sahaja bertukar ganti, tetapi ada hal-hal tertentu yang wajar dikekalkan begitu sahaja. Memadam atau memanipulasi sejarah supaya generasi akan datang kekal mengingati sesuatu belum tentu menjadikan sesuatu itu kekal. Generasi baharu juga cenderung untuk menyelongkar dan mencari apa yang telah dipadam, ditimbus atau ditukar untuk kepentingan sesuatu zaman. 

Lantas, perjalanan saya hanya berpandukan dua arah yang sama ini. Mengikut buku panduan, saya akan sampai ke Rialto dahulu, kemudian baru ke San Marco. Rialto sangat terkenal dengan jambatannya. Apabila sampai ke Rialto, itu bermakna sudah separuh perjalanan antara tempat saya bermula dan Piazza San Marco yang juga dikenali sebagai St. Mark's Square.

Jambatan Scalzi yang ditemui sebaik-baik sahaja turun dari Stesen Santa Lucia
semalam. Kini saya jadikan tempat ini sebagai lokasi permulaan untuk Kembara Venice.
Ini juga satu daripada empat jambatan yang merentangi The Grand Canal.

Apa yang menarik tentang Venice sebagai bandar yang telah bertapak sekian lama ialah reka bentuk bangunannya.Venice sudah wujud sejak abad ke 7 - 8 Masehi. Ini yang menjadikan saya ralit memerhati dan merakam bangunan-bangunannya melalui foto. Selama ini, Venice hanya dilihat melalui filem-filem seperti Casino Royale, Casanova (lakonan Heath Ledger), The Tourist (dan banyak lagi, tetapi tidak tersenarai di sini). Venice juga terkenal sebagai lokasi Venice Film Festival - festival filem antarabangsa yang tertua di dunia.

Apatah lagi, seluruh bandar Venice telah dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tidak cukup sehari sebenarnya jika mahu meneroka seluruh Venice. Seperti biasa, saya mengambil langkah yang jimat dan praktikal, pilih lokasi-lokasi penting dan sesuai untuk kembara sendirian pada siang hari. 

Bermula di Jambatan Scalzi (gambar di atas) saya mengikut laluan yang bertanda "Per Rialto". Saya pilih jambatan ini kerana inilah jambatan pertama yang saya lihat sebaik-baik sahaja turun dari kereta api di Stesen Venezia Santa Lucia. Jambatan ini antara yang paling sibuk dan tidak pernah tidak ada orang menggunakannya. Inilah nadi utama yang menghubungkan mukadimah Venice. 

Venice, disebut Venezia dalam bahasa tempatan (sebutannya Ve-nit-zia) ialah lokasi pelancongan yang sangat terkenal di dunia. Pelancong luar negara paling ramai di sini dan boleh dikatakan setiap orang yang berpapasan dengan saya memiliki sebuah kamera di tangan. Pastinya warga tempatannya tidak sibuk dengan kamera. Tidak cukup dengan itu, di sini juga ramai warga Bangladesh yang mencari rezeki. Apabila nampak saya yang berpakaian secara tipikal seperti orang Malaysia, sudah ada yang menegur dalam Bahasa Melayu. Nampak sangat orang Malaysia memang 'kaki shopping' walau di mana sekali pun mereka berada, sehingga penjual-penjual di luar negara (hatta di Mekah sekali pun, khabarnya) sanggup belajar bahasa Melayu asalkan dapat menjual dan merapatkan jurang komunikasi!

Saya tidak mahu memulakan kembara singkat di Venice ini dengan membeli cenderamata. Itu semua akan memberatkan perjalanan. Saya mahu meneroka terlebih dahulu.

Kafe terbuka di Campo Nazario Sauro. Campo bermaksud kawasan lapang yang terbuka.
Melalui lorong-lorong labirin di Venice tidaklah terlalu membimbangkan. Awal pagi, walaupun tidak ramai pelancong yang bermula seawal saya, masih ada orang di sana-sini. Bau roti yang baru siap dari bakeri mula menebarkan aroma di sana-sini. Pada waktu-waktu seperti ini, saya terasa sedikit kesal mengembara sendiri. Jika tidak, mungkin boleh sahaja saya bersarapan di pasticcerie (kedai kek dan roti). Secawan cappuccino dan brioche (croissant bersaiz kecil) akan menjadi bertambah manis jika kita berkongsi meja untuk dua orang (a table for two) di tepi Grande Canale atau terusan utama di Venice ini. Asap tipis dari cappucino yang hangat itu mampu menyimbangkan suasana di sekitar yang sesekali dihembus semilir dingin. Pasti keenakannya menjadi berganda. Ah, itu hanya angan-angan saya!

Hakikatnya, saya terus berjalan dan berhenti sekali sekala untuk mengambil gambar. Apabila letih, saya cari tempat duduk seperti foto di bawah dan minum air mineral atau makan biskut 'sihat' yang mengenyangkan. Kemudian saya akan berjalan lagi.

Campo atau square (medan lapang) seperti ini banyak ditemui setelah membelok
beberapa 'lorong tikus' di Venice.
Selang beberapa campo atau medan lapang ini, saya terjumpa kedai menjual poskad yang di hadapannya, ada peti surat. Saya pun memilih tiga keping poskad untuk dikirim kepada dua orang yang terpilih. Satu lagi dikirim untuk diri sendiri, sebagai tanda saya sudah sampai Venice. 

Mengirim poskad
Aktiviti ini amat membahagiakan saya pada pagi yang masih awal di Venice. Suasana dingin menjadi saksi saya mengepos beberapa keping poskad yang mungkin sampai kepada penerimanya setelah saya pulang ke Malaysia.

Namun, bukankah yang penting ialah tanda ingatan itu. Tidak kiralah bila sebenarnya poskad itu sampai kepada diri saya sendiri atau sahabat yang lain.

Saya tinggalkan kawasan kedai poskad dan cenderamata tanpa membeli sebarang cenderamata yang lain. Pagi yang masih awal itu saya gunakan untuk menjelajah sebahagian daripada Kota Venice ini. Hati ini sungguh tidak sabar untuk sampai dan melihat sendiri Jambatan Rialto dengan mata saya sendiri!


Ulasan

Tangkai berkata…
Assalamualaikum Puan Nisah Haron.Seronok membaca catatan perjalanan Puan. Tiba-tiba teringat satu rancangan di radio RTM pada suatu masa dahulu. Rancangan dimana pemanggil akan menceritakan pengalaman kembara mereka.Semoga Puan Nisah akan terus mengembara dari masa ke masa dan berkongsi keseronokkn pengembaraan bersama kami ;-)
mama ju berkata…
Salam

Saya baru kembali dari Kg Air. Saya teringatkan Venice!

Catatan Popular