HSKU 2011 : Kembar Sastera dan Hadiah Berganda

Tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 (HSKU 2011). Majlisnya telah berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2012.


Secangkir teh panas di penghujung acara
Secara peribadi, ada sesuatu yang mengusik nostalgia ketika berada di hotel ini. Inilah hotel tempat saya menerima anugerah sastera yang pertama dalam hidup saya pada 5 Jun 1992. Pada tarikh yang sama juga, buat pertama kalinya saya sampai ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Nostalgia 20 tahun yang lalu singgah kembali. Kala itu, saya menang cerpen "Atlantis, Duniaku Duniamu". Cerpen yang kedua tersiar dalam sejarah penulisan saya dan pertama kali dimenangkan. Ada debar dan rasa teruja sama-sama berbaur. Itulah suatu permulaan yang manis dalam sejarah penulisan yang telah berlangsung lebih dua dekad ini.

Untuk HSKU 2011, saya mendapat Hadiah Utama Rencana Sastera untuk tulisan saya "Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan". Paling manis, sahabat saya Dr. Mawar Safei turut sama menerima Hadiah Utama Kajian Sastera apabila makalahnya "Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu". Kedua-dua tulisan kami tersiar tersiar di dalam Jurnal Pemikir (Jan-Mac 2011).

Dr. Mawar Safei (kiri bertudung merah jambu)
Komen paling lazim apabila kami berdua berada di dalam majlis yang sama (dan malam tadi kami duduk semeja pula) ialah rupa kami yang dikatakan ada iras. Ramai yang keliru yang mana Mawar dan yang mana Nisah. Pernah juga saya diberikan gelaran "Dr. Nisah" dan entah berapa ramai pula yang menegur saya "Apa khabar, Dr. Mawar?"

Namun, saya bahagia sahaja dengan situasi ini. "Kekembaran" kami sering mendapat perhatian. Malam tadi, lengkaplah "kekembaran" kami. Menang kategori yang sama, duduk di meja yang sama dalam majlis yang sama!

Majlis penyampaian hadiah sastera ialah "Hari Raya" buat penulis. Di sini, kami bertemu, bertanya khabar, bergambar dan saling menyokong (dengan membeli karya). Pertembungan Majlis HSKU dan Bengkel Penulisan ITBM-PENA (yang mungkin disengajakan?) telah membawa lebih ramai penulis ke dalam majlis ini. Seharusnya, keadaan seperti ini mestilah diteruskan. Penulis yang belum sempat memenangi apa-apa hadiah akan berasa teruja dan berbahagia apabila diundang ke majlis seperti ini. Saya sendiri pernah meraikan sahabat-sahabat penulis dalam majlis-majlis hadiah sastera yang saya tidak menang sebarang hadiah. Ini disebabkan, akhirnya bukanlah soal menang-kalah dalam apa-apa bentuk pertandingan. Yang penting ialah semangat untuk menulis dan meneruskan perjuangan melalui mata pena.

Mana-mana penulis yang berasa 'dengki' dan menyuarakan rasa 'kedengkian' itu atau apa-apa sahaja perasaan negatif melalui laman-laman sosial seringkali menjadi penulis yang tidak sampai ke mana-mana pun. Tenaga kita cuma satu, eloklah tenaga yang tersimpan itu disalurkan kepada perasaan-perasaan yang positif. Apabila kita percaya bahawa rezeki dan anugerah itu kerja Tuhan, kita telah pun berdamai dengan diri. Nanti apabila sampai ketika yang sesuai Allah akan aturkan sesuatu.

Menerima hadiah daripada Sasterawan-Sasterawan Negara
Dato' Kemala dan Dato' Anwar Ridhwan. Kredit foto : Ladin Nuawi.

HSKU saya yang sebelum ini ialah pada tahun 2008 ketika memenangi novel Tawarikh Cinta. Sejak itu, tiada karya saya tersenarai dalam HSKU dan dua kali dalam senarai pendek iaitu cerpen "Resipi Dari Istana 3" dan "Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu". Namun, ada juga komen yang saya terima bahawa 'setiap tahun menang' mungkin keliru ketika saya juga memenangi hadiah sastera yang lain, misalnya :
Boleh rujuk biodata saya untuk maklumat lebih terperinci.

Tujuan catatan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi mahu membetulkan fakta dan rekod. Tidak manis kalau berkata-kata tanpa merujuk kepada fakta yang tepat. Sebagai penulis, saya sensitif dalam hal-hal ini.

Bersama-sama Puan Alina Idris
Seperti yang saya katakan tadi, majlis sastera terasa seperti "Hari Raya" buat penulis. Paling manis ialah pertemuan dan masa utnuk merapatkan ukhwah sesama penulis. Ada sempat ditegur, ada yang sempat dilambai dari jauh dan ada sempat berbual mesra sehingga akhir majlis. Antara yang paling manis buat saya ialah pertemuan dengan seorang lagi "idola" saya sejak zaman remaja - Puan Alina Idris. Ketika saya masih di sekolah menengah, dan ketika saya terlalu ingin untuk melihat nama saya sebaris dengan nama-nama penulis muda dalam Dewan Siswa, nama Alina Idris memang tidak dapat saya lupakan. Saya mahu nama saya sebaris dengan Putri Al-Insyirah Megat Sapeli, Lily Haslina Nasir, Ani Mawar Abdullah dan tidak lupa Alina Idris.

Kini kami bertemu semula setelah sebelum ini hanya sempat berbual di telefon dan bertemu di laman maya.

Kononnya, HSKU kali ini ada dominasi penulis wanita dalam senarai pemenang. Pada saya ini kebetulan sahaja dan panel bukan menilai pengarangnya tetapi apa yang dikarang. Saya tidak pernah mempertikaikan keputusan hakim, walaupun pada mana-mana anugerah yang saya tidak berjaya. Bukankah semua itu ada hikmahnya. Rezeki di tangan Allah. Dia akan berikan apa yang kita perlu, bukan semestinya apa yang kita mahu.

Hafizah Iszahanid juga mantan peserta MPR
Bertemu sahabat penulis Hafizah Izhanid yang menang berganda melalui novel Deru Angin yang mendapat tempat pertama juga cerpen istimewanya yang berjudul "Istimewa" yang memenangi Hadiah Utama. Lebih berganda lagi, bagi Hafizah hari lahirnya bakal tiba (HSKU jadi hadiah hari lahir yang diawalkan) dan juga buat si kecil yang bakal lahir tidak lama lagi. Alhamdulillah.

Meja kami menjadi agak 'happening' apabila semuanya perempuan dan yang lelaki cuma suami Sri Rahayu Mohd Yusop dan suami saya. Kami dapat makan seperti adik beradik. Apabila harus makan dengan gaya 'terlalu bersopan' (seperti di meja VIP) hilang selera dan akhirnya, tidak kenyang.

Tahniah buat semua sahabat-sahabat penulis. Lebih menarik lagi, ramai juga muka-muka baharu dalam HSKU 2011. Ini suatu perkembangan yang sihat. Jika balik-balik muka itu juga yang menang, kami yang biasa menang ini juga turut bimbang dengan kualiti sastera dalam gambar yang lebih besar. Nama-nama seperti Tuah Sujana, Dayang Mastura, Zaniffa Azzura adalah antara nama-nama yang menjanjikan. Semoga HSKU 2012 akan jadi lebih meriah lagi. Yang senior dan biasa menang juga masih kekal seperti trio "Zaen - Zakir - Zainal", Fahd Razy dan Salina Ibrahim.

Novel-novel dan antologi karya HSKU 2011 akan berada secara online di Ujana Ilmu. Nantikan pengumumannya.

Novel-novel HSKU 2011.
Pertama : Deru Angin (Hafizah Iszahanid)
Kedua : Waris Pejuang (Ruhaini Matdarin)
Ketiga : Rimba Jiwa (Sri Rahayu Mohd Yusop)

Antologi Istimewa - Kajian / Rencana Sastera, dan Cerpen
Antologi Cerita Akhir Tahun - Cerpen Remaja

Hafizah Iszahanid (merah) dan Salina Ibrahim (hijau)
Dari kiri : Sri Rahayu, Dr. Mawar Safei, Norziati Md Rosman, dan Nisah Haron

Ulasan

Tetamu Istimewa berkata…
Salam, tahniah Puan Nisah. Tidak sempat berjumpa pada malam itu dan bergambar. (Sebenarnya rasa malu juga untuk menegur penulis terkenal dan hebat ini)
AinNur Haris berkata…
Tahniah puan..
tumpang gembira dengan "Hari Raya" kalian..mudah-mudahan satu hari nanti dapat juga saya merasa "beraya" bersama..insyaAllah..aminnn.. :)


p/s : mesti cari Deru Angin sebentar lagi.. :)
srirahayumohdyusop berkata…
Salam Kakanda Nisah,

Sebenarnya, saya ini suka 'berdengki'. Tetapi berdengki simpan dalam hati. Perasaan dengki dijadikan motivasi. Hendak menulis jangan ditunggu lagi.
Nisah Haji Haron berkata…
Tetamu Istimewa dan Cahaya Mata,
Terima kasih. Semoga ada pertemuan lain yang Tuhan aturkan buat kita. :-)

Adinda Ayu,
'Dengki' yang positif memang digalakkan. Saya pun tengah 'dengki' juga ni, tapi tak cukup kuat lagi untuk menghasilkan sebuah novel. :-D

Catatan Popular