Sabtu, September 11, 2004

Berkongres di Johor Bahru

Ketika ini saya sedang mengikuti Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu di Hotel Puteri Pan Pacific di Johor Bahru. Alhamdulillah, semuanya sedang berjalan lancar. Orang Johor ramah-tamah sekali.

Ramai sekali peserta-peserta daripada pelbagai pertubuhan kebudayaan, penulisan, serantau - hatta ada yang dari Pekanbaru, Riau dan Aceh turut sama berdialog di dalam majlis ini. Pembentangan kertas kerjanya juga merangkumi ruang lingkup yang pelbagai juga.

Agendanya tentang Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu secara keseluruhannya. Mereka mengusulkan supaya dengan kepimpinan negara yang baru, kedudukan Bahasa Melayu di negara kita turut mendapat nafas baru jua. Moga-moga begitulah hendaknya. Namun Bajet 2005 yang dibentangkan semalam, masih ada kecenderungan ke arah Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu dan sastera Melayu. Kalau ada pun cuma tentang rebate untuk pembelian buku yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM700.

Perjuangan terhadap Bahasa Melayu harus diteruskan walau apa sekalipun halangannya. Namun di dalam memperjuangkannya, perlu ada sikap rasional. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Bukan senang nak beri semua orang senang hati. Terutama sekali, kalau dalam banyak perkara, agenda politik lebih mendapat keutamaan dan sikap mementingkan diri sendiri yang masih menebal.

Saya teringat kata-kata Prof. Dr. Zainal Kling sebagai seorang pemakalah sebentar tadi: Ilmuan dan Ulama boleh berkata apa sahaja, memperjuangkan apa sahaja, namun hala tuju sesebuah bangsa itu tetap akan ditentukan oleh orang politik juga. Sejarah telah membuktikan dari dahulu hingga sekarang. Peranan Umara' dan Ulama' masih lagi berada di dalam kelompok yang sendiri-sendiri hinggakan wujud pertindanan yang tidak sewajarnya.

Lantas yang rugi, bangsa Melayu itu sendiri.

Saya bangkit berdialog. Kata saya : saya risaukan orang sekarang yang membaca bukan untuk berfikir tetapi suka benar memilih bahan bacaan yang mudah-mudah, yang berlambakan di pasaran sekarang. Bagaimana orang Melayu itu boleh maju jika dalam memilih bahan bacaan masih lagi enggan membaca bahan yang mencabar minda. Begitu juga kalau menonton filem, masih mahu menonton filem yang santai-santai. Memang sukar untuk berubah kalau paradigma individu itu enggan berubah.

Ingatlah firman Tuhan : Bahawa Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang berusaha mengubahnya.

Kongres disambung lagi pada malam ini. Esok ada dua tiga pembentangan yang menarik terutama sekali daripada Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Bapak Tenas Affendi. Saya jadi tertunggu-tunggu. Petangnya ada acara bebas. Ada peluang untuk melihat-lihat JB. Apa agaknya yang istimewa di JB?

Malam esok majlis penutup oleh YB Dr. Rais Yatim di RTM Johor Bahru.

Isnin pagi saya pulang. Harapan saya untuk pulang bersama pulangan...


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails