KKRM capai sembilan resolusi

Oleh Hassan Omar

KONGRES Kebudayaan Rumpun Melayu (KKRM) pada 10 dan 12 September lalu, di Johor Bahru, Johor, meluluskan sembilan resolusi berhubung Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).

Resolusi berkenaan menyatakan sokongan kepada usaha mewujudkan permuafakatan Rumpun Melayu dan bertindak sebagai organisasi yang menyatukan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan rumpun Melayu di seluruh negara.

Permuafakatan berkenaan diharapkan dapat mendukung dan mempertahankan hal berkaitan DKK serta pelbagai aspek lain berhubung bangsa Melayu pada masa kini yang berdepan dengan segala macam cabaran.

Bagi menggerakkan permuafakatan berkenaan, Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersetuju bergabung tenaga dalam hal memantau, mendokumentasi, menyatakan pendirian, memberi tindak balas segera terhadap pelbagai isu berkaitan warisan kebudayaan Melayu, selain menyatukan pemikiran pelbagai pertubuhan rumpun Melayu.

Tidak ketinggalan KKRM bersetuju memperkasa DKK (1971) iaitu perlu berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, unsur kebudayaan lain dan yang wajar, boleh diterima sebagai unsur DKK serta Islam menjadi unsur penting dalam pembentukannya.

Resolusi ketiga ialah KKRM mendesak DKK sebagai kerangka tamadun, pembinaan bangsa dan keperibadian warganegara sejajar dengan kebudayaan Melayu-Bumiputera dan anak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu KKRM juga menerima perkara berikut:

  • Tafsiran Islam dalam konteks zaman, sejajar dengan perkembangan tamadun manusia.

  • Dasar kebangsaan mengenai kenegaraan, bahasa, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi sebagai dasar utama yang mesti dipertegaskan pelaksanaannya dan tidak boleh dirombak sewenang-wenangnya.

  • Bahasa Melayu sebagai sebagai media pengajaran ilmu pada semua peringkat pendidikan dan pengajian, pentadbiran, pengurusan dan komunikasi.

  • Unsur Kemelayuan-Kebumiputeraan sebagai asas untuk pembinaan tamadun Malaysia dan jati diri bangsa serta negara dalam menghadapi keseragaman globalisasi.

Tidak ketinggalan KKRM mendesak pertubuhan politik Rumpun Melayu membentuk biro kebudayaan, kesenian dan warisan, agar mampu memartabatkan kebudayaan di seluruh negara.

KKRM turut mencadangkan diwujudkan penyelarasan dalam kegiatan kebudayaan antara Kerajaan Johor dengan pemerintah Propinsi Riau, Yayasan Bandar Seni Raja Ali Haji (Bandar Serai) di Pekan Baru, Gapena dan badan kerabat KKRM bagi membina kecemerlangan tamadun Melayu dunia.

KKRM anjuran Kerajaan Johor diselenggarakan YWJ dan Gapena membabitkan pembentangan puluhan kertas kerja berkaitan kebudayaan rumpun Melayu oleh cendekiawan Melayu.

Di antara cendekiawan Melayu yang membentangkan kertas kerja pada majlis terbabit termasuklah Prof Tan Sri Ismail Hussein, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Datuk Dr Abdullah Hassan dan Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Hamid.

Lapan puluh lima organisasi berkaitan rumpun kebudayaan Melayu dari Semenanjung, Sabah, Sarawak, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Selatan Thailand menyertai KKRM.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, merasmikan KKRM manakala penutupannya disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

KKRM yang disifatkan kedua terbesar selepas Kongres DKK pertama pada 1971, bermatlamat memperjelas prinsip kesatuan dan kesamarataan rakyat Malaysia berlaku hanya dalam kesatuan budaya bangsa yang berlandaskan prinsip DKK.

Ulasan

Catatan Popular