Dia Tidak Menangis Lagi
Judul entri ini barangkali tidak ada kena mengena dengan isinya. Tetapi ia mempunyai makna yang tersendiri buat saya.
Sebelum saya mula menulis, saya banyak meneliti tulisan orang lain. Selain daripada penulis mapan, saya turut mengikuti perkembangan penulis remaja pada ketika itu. Saya telah mengakrabi Dewan Siswa sejak tahun 1987 lagi (ketika itu di Tingkatan 2). Masa itu sudah kenal pada sajak-sajak Rahimidin Zahari, Tuan Faridah Syed Abdullah dan ramai lagi. Cerpen pula, saya menyenangi karya Hizairi Othman, Puteri Al-Insyirah Megat Sapeli, Arfah Ahmad, Alina Idris, Ani Mawar Abdullah dan tidak ketinggalan Shaidah Shafie.
Isnin lepas, saya dihubungi seseorang dari sebuah akhbar tempatan. Katanya, mahu menemuramah saya tentang isu menerbitkan buku sendiri. Kebetulan, ketika itu saya sedang berada di Shah Alam. Lalu kami pun berjanji untuk bertemu di MPH Mid-Valley.
Selesai salam perkenalan, kami duduk di Book Cafe, MPH. Tempat yang sesuai untuk berbual. Bila dia memberitahu saya yang dia pernah menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR), saya bertanyakan namanya sekali lagi. Rupanya, dialah Shaidah Shafie!
Masih saya ingat susun kata dan jalan cerita cerpen beliau yang berjudul Dia Tidak Menangis Lagi. Cerpen itu pernah saya salin ke dalam buku catatan saya kerana entah mengapa saya suka benar pada cerpen itu. Sedikit sebanyak, cerpen itu juga mencetus saya untuk menulis kemudianya.
Kami sama-sama gembira dapat bertemu. Selama ini, kami hanya mengenal nama masing-masing. Dan seringkali penulis begitulah. Kami amat akrab kerana sering 'bertemu' di dada akhbar ataupun majalah. Kami sudah lama berkenalan sebetulnya. Cukup sekali menyebut nama ketika bertemu secara fizikal @ peribadi, sudah membuka pintu kemesraan seumur hayat.
Shaidah banyak menulis cerpen. Itu saya pasti, tetapi yang paling saya ingat ialah cerpen Dia Tidak Menangis Lagi. Ketika itu, penulis menghasilkan karya yang amat baik jika sudah terbit di Dewan Siswa. Bukan senang untuk menembusinya. Kualitinya benar-benar terjaga. Sebelum menjadi penulis, dan sejak melanggan Dewan Siswa, karya-karya siapa sahaja yang tersiar akan saya baca dan hayati. Mencari kekuatan dan kelemahannya untuk dijadikan panduan untuk saya menulis.
Lama juga baru penulisan saya dikira 'menjadi'. Hanya pada tahun 1990 barulah cerpen pertama tersiar di Dewan Siswa dengan judul Di Sebalik Wajahmu, Aries. Ah, girang sekali! Tetapi itu cerita lama. 15 tahun dulu. Namun itulah permulaan yang memulakan apa yang telah ada hari ini. Kita harus bermula di mana-mana.
Dua kali DBP menjemput saya untuk menyertai MPR. Tawaran pada tahun 1991 terpaksa saya tolak kerana sedang mengikuti orientasi ketika di Matrikulasi Undang-undang UKM. Mujur sampai tawaran kedua 2 tahun berikutnya.
Penulis muda hari ini lebih bertuah. Banyak wadah untuk menghantar karya. Kalau tak terbit di sini, boleh hantar ke sana pula. Sungguh-sungguh banyak tempat untuk mengasah pena. Namun, mereka ini perlu banyak membaca dan menguasai ilmu. Jika tidak, karya akan terasa kosong. Cabaran buat penulis hari ini lebih hebat daripada penulis dahulu. Apa yang ditulis hari ini mestilah sesuatu yang segar supaya tidak sekadar menulis semula apa yang pernah ditulis sebelum ini.
Sehebat cabarannya, peluangnya juga tidak kurang banyak. Untuk mendapatkan ilmu, tidak hanya tertumpu pada media cetak. Media elektronik juga ada. Internet lagi. Ruginya penulis hari ini jika gagal memanfaatkan semua ini.
Gaul sebati semua ilmu ini dan campurkan dengan sejumlah emosi untuk memberi nilai-nilai insani dalam karya. Andai tidak sebati, nanti terasalah bahan bantunya seperti menempel-nempel dan dipaksa-paksa.
Kemudian tulislah dari hati yang ikhlas. Kita menulis kerana ada penyakit masyarakat yang ingin kita berikan penawarnya.
Kepada Kak Shaidah dan para senior MPR yang pernah merintis jejak penulisan remaja, terima kasih daripada saya. Tanpa kalian, saya mungkin tidak berada di tempat ini. Dan saya juga merindui karya kalian...

Ulasan