Sahabat Lama di Kota Bharu

8 tahun kami terputus berita. Akhirnya, kami bertemu semula di Kota Bharu. Siapa yang saya temui? Seorang teman sepengajian sewaktu di UKM dulu.

Usai diskusi Fatimah Busu di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, saya ke bandar KB. (Catatan tentang majlis itu ada di blog Salman Sulaiman. Saya fikir saya tidak perlu mengulang benda yang sama. Boleh rujuk saja di sana.)

Saya minta dihantar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kerana saya dimaklumkan oleh seorang teman peguam bahawa di situ ada Bar Room (ataupun bilik peguam). Setiap negeri mesti ada Bar Room. Di sana boleh dapatkan nama dan alamat firma peguam di negeri tersebut. Jadi saya cari nama Nora, teman saya itu.

Jumpa apa yang saya cari, lalu saya buat panggilan ke firmanya. Sayang sekali dia bercuti. Mohon pula nombor telefon bimbitnya, tetapi dimatikannya. Barangkali dia bercuti untuk berehat. Enggan diganggu. Saya telefon semula pejabatnya dan katakan saya mencarinya. Saya maklumkan juga yang saya berada di KB sehingga Isnin nanti. (Kelantan bekerja pada hari Sabtu dan Ahad).

Alhamdulillah, esoknya sewaktu sedang memberi ceramah penulisan di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim I, Pasir Mas, dia menelefon saya semula. Girangnya tidak terkata, teman lama yang tinggal sebilik selama 2 tahun (ketika Matrikulasi Undang-undang UKM) dapat saya hubungi semula. Kami benar-benar terputus hubungan sejak tamat pengajian pada tahun 1997.

Janji berjanji.

Bertemu kami keesokan harinya di firmanya. Dia setia menanti. Sempat ditempahnya makanan untuk saya, Rozais dan Zanazanzaly yang turut menghantar saya ke sana. Zanazanzaly juga teman sama sekolah dengan Nora sewaktu di Sekolah Naim Lil Banat, Kota Bharu. Alhamdullilah, pertemuan dua sahabat lama yang kini menjadi sahabat bersama. Alangkah indahnya sebuah pertemuan.

Seperti tak sudahnya bertukar-tukar cerita dan berita. Dia kini sudah punya 3 orang putera. (Seorang telah 'disimpan' katanya. Saya tumpang simpati. Anak sulungnya (khabarnya puteri) tidak sempat melihat dunia). Insya-Allah, dia bakal mendapat seorang cahayamata lagi, saya doakan agar terkabul hasratnya untuk mendapat seorang puteri penyeri hidupnya.

Sebelum pulang, dia temankan saya, Rozais dan Zana membeli keropok lekor, serunding dan beberapa keropok yang boleh digoreng. Satu beg penuh saya beli, campur lagi dengan yang Nora belanja.

Ah! Dia masih seperti dahulu. Ceria dan lucu. Pertemuan kami hanya sejam dua tetapi besar ertinya pada saya yang mencarinya di sini. Tidak sia-sia saya pulang lewat dari KB. Rupanya Tuhan telah melukiskan takdir untuk saya bertemu seorang teman sebilik @ serumah, sahabat yang akrab dan gadis yang kuat semangatnya dalam menempuhi alam pengajian kami dahulu.

Terimbau pelbagai kenangan sewaktu bersama-sama dengannya. Dia banyak mengajar saya masak masakan Kelantan. Dialek Kelantan saya juga boleh tahan kerana belajar dengan Nora. Terima kasih, Nora atas persahabatan ini.

Terima kasih juga kepada Rozais Al-Anamy dan Zanazanzaly, serta warga penulis, kenalan di Kelantan yang memberi saya layanan istimewa sewaktu saya singgah untuk beberapa hari di Negeri Che' Siti Wan Kembang ini.

Ada umur kita berjumpa lagi. Insya-Allah..

Ulasan

Catatan Popular