Menulis Sebagai Kerjaya Tetap

Saya terima soalan berikut di "comment box". Saya kira, jawapannya perlu lebih dari sekadar membalas semula komen tersebut.

Soalan : Saya merupakan salah seorang peminat penulisan. Saya masih lagi menulis sehingga kini. Masalahnya sekarang mengapa penulisan tidak boleh dijadikan satu pekerjaan sepenuh masa. Untuk pengetahuan saudari sehingga kini saya masih tercari-cari idea bagaimana hendak menceburkan diri secara sepenuh masa di dalam bidang penulisan kreatif.Lebih-lebih lagi kini masyarakat di Malaysia lebih menekankan kepentingan sains dan teknologi. Jadi tidak ada alternatif lainkah untuk meningkatkan prestasi pekerjaan di bidang sastera di Malaysia. - Katerina.

Komen saya :

Untuk menjadi penulis sepenuh masa, pertama sekali, tidak boleh menulis hanya satu genre. Saya menulis dalam konteks sastera tulen, bukannya sekadar menulis sastera popular. Maksud saya, menulis sebagai penulis yang layak bergelar sasterawan.

Apabila menulis banyak genre, misalnya novel, cerpen, puisi, esei dan drama, penulis tersebut tidak akan terputus idea dan ruang untuk menulis. Sebagai contoh, apabila sedang menulis novel, andaikata tersangkut atau tersangkak di mana-mana, boleh sahaja teruskan menulis cerpen ataupun puisi. Begitu juga, sementara menunggu karya-karya tersiar, boleh sahaja menulis genre yang lain.

Peribadi, saya juga berbuat demikian, walaupun saya ini belum boleh dikategorikan sebagai penulis sepenuh masa. Saya menulis esei (undang-undang / sastera), novel bersiri (Tunas Cipta), cerpen dan puisi (sekali sekala). Kesemua itu berlaku hampir serentak.

Untuk menjadi penulis sepenuh masa, membaca bahan yang berkualiti itu wajib. Apabila pembacaan seseorang penulis itu luas, dia tidak akan terputus idea untuk menulis. Saya selalu memberi analogi mudah kepada penulis baru ataupun calon penulis: jika kita mahu buat jus oren, tentu saja kita akan memilih buah-buah oren yang segar, tidak rosak/busuk. Buah yang sudah rosak akan menjejaskan rasa jus oren tersebut.

Demikian juga halnya dengan penulisan, jika kita membaca bacaan yang tidak berkualiti, kita sebagai penulis turut terkesan akibat daripada pembacaan tersebut. Ini disebabkan penulis tidak akan boleh menulis sesuatu yang tidak diketahuinya. Apa yang kita baca dan alami sahaja yang boleh ditumpahkan semula ke dalam penulisan kita.

Penulisan juga berkait rapat dengan peribadi kita sendiri. Jika kita berperibadi mulia, kita akan cetuskan nilai-nilai murni dalam diri ke dalam karya (tanpa kita sedari). Saya juga pernah berbincang-bincang dengan teman-teman penulis sedikit masa dahulu: jika kita mahu menghasilkan karya yang baik, perbaikilah diri sendiri terlebih dahulu.

Hati yang jujur ikhlas, akan menghasilkan karya yang begitu juga. Sebab itu ada istilah write from the heart. Tulislah dari hati. Ya, dari hati yang ikhlas. Semua itu akan terpancar pada karya.

Tiada siapa yang dapat menidakkan kepentingan sains dan teknologi juga ICT dewasa ini. Namun sastera ibarat sebuah jiwa dan sains ialah fizikalnya. Sastera akan melahirkan ahli sains yang mempunyai nilai kemanusiaan. Sastera itu satu unsur yang tidak boleh dipisahkan dan ia tidak berdiri dengan sendiri. Ia satu unsur yang boleh masuk sama ada ke dalam sains, teknologi, ICT, agama, dan pelbagai ruang lagi.

Saya yakin, dalam keghairahan manusia mencari-cari titik tertinggi dalam sains dan teknologi, ada kelompangan dalam jiwa manusia. Selain daripada tarbiah agama, sastera juga memainkan peranan membentuk peribadi dan jiwa yang dahagakan 'sesuatu'.

Penulislah yang memegang amanah untuk mengisi kelompangan dengan nilai-nilai yang murni, bersih dan penuh hikmah. Bukankah kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap satu yang kita lakukan di muka bumi ini? Jika kita menulis karya yang merangsang nafsu, mengkhayalkan pembaca hingga lalai menunaikan perintah-Nya dan menggalakkan pembaca melakukan maksiat (hatta berpegang-pegang tangan sekalipun) sedikit sebanyak penulis itu dapat 'saham'nya sekali.

Sebab itu, saya sering katakan : Menulis itu Amanah.

Ulasan

Catatan Popular