Berceramah kepada insan paling istimewa

Beberapa hari yang lalu, pihak penganjur suatu majlis telah menghubungi saya. Beliau meminta saya mengisi satu slot ceramah. Tarikhnya pada 26 November. Khalayaknya semua wanita. Judul - Ilmu dan Wanita.

Apabila ada tajuk yang dekat di hati dan tarikh pula lapang, biasanya saya mudah untuk bersetuju. Lagipun, majlis diadakan di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Taklah jauh sangat dari rumah.

Cuma, ketika ditanya siapakan khalayaknya - status pendidikan, kelompok dari mana dan sebagainya, saya dikejutkan bahawa khalayak saya itu nanti semuanya daripada insan yang cacat penglihatan. Itu membuat saya berfikir sejenak. Belum pernah saya diberi peluang untuk bercakap di hadapan mereka yang mempunyai halangan penglihatan.

Pun, saya bersetuju juga. Ini satu peluang yang luar biasa.

Jadi, lupakan saja ceramah menggunakan powerpoint atau apa-apa bentuk bantuan visual. Saya perlu fikirkan sesuatu yang lebih kreatif daripada itu dan masih boleh menarik minat mereka dalam tempoh lebih kurang 45 minit.

Isi ceramah, lebih kurang sudah ada dalam kepala. Cuma perlu ditumpahkan sahaja semasa ceramah. Tetapi saya perlukan bentuk-bentuk selingan, terutamanya dalam bentuk audio bagi membantu menjadikan ceramah itu lebih menarik. Dalam masa yang agak singkat saya tidak dapat hendak mencari lagu yang sesuai. Jadi saya teruskan juga dengan cara saya yang tersendiri.

Saya mulakan ceramah dengan Nazam Ilmu dan Amalan (karya Iladam). Sedikit ilmu dalam melagukan nazam yang sempat dipelajari dalam bengkel-bengkel puisi tradisional saya aplikasikan. Penghujung ceramah saya sudahi dengan Syair Kelebihan Ilmu (Za'ba) yang saya lagukan dengan irama Siti Zubaidah. Temponya pun pantas dan tidak perlu menarik suara.

Alhamdulillah, walaupun mereka ini diuji Allah sedemikian rupa, namun kesabaran dan kekuatan minda mereka tidak banyak berbeza dengan kita yang diberikan kesempurnaan fizikal ini. Mereka kerap bertanyakan soalan dan ada antara soalan itu saya anggap benar-benar mencabar.

Turut berada dalam kumpulan tersebut, ialah Puan Norhashimah Hashim, penulis novel "Lambaian Kinabalu" yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 (tempat kedua; ketika itu, johannya Trilogi Cinta - Siti Jasmina Ibrahim). Beliau penulis wanita yang cacat penglihatan - satu-satunya, saya kira. Seorang lagi yang saya tahu ialah Mohd Ghazali Tocheh (yang memenangi Tokoh Karya Kanak-kanak & Remaja sewaktu Anugerah Sastera Negeri Sembilan tempoh hari).

Sempat juga bertanyakan projek penulisannya yang terkini. Jangan terkejut, beliau juga sedang mengusahakan sebuah novel untuk menyertai satu daripada sayembara besar tahun ini. Jadi, kita yang sempurna ni, apa lagi? Masih hendak memberi alasan untuk tidak menulis? Sama-sama kita fikirkan.

Sementara menunggu jam 1 tengah hari untuk masa makan, peserta memperkenalkan diri dan menceritakan bagaimana mereka mendapat kecacatan mata. Kisah mereka itu ada yang menyayat hati. Namun kecekalan merekalah yang paling membanggakan. Ada yang bertugas sebagai telefonis di Universiti Malaya, Maybank, Bank Negara, Bursa Malaysia. Tidak kurang yang mahir dengan kraftangan dan juga mahir mengurut serta refleksologi.

Saya harap ada pihak yang boleh membukukan pengalaman mereka ini. Siapa tahu pihak seperti PTS yang gemar menerbitkan buku-buku berbentuk motivasi boleh mengambil pengalaman mereka untuk didokumentasikan. Pengalaman mereka sangat unik. Sayang kalau insan-insan normal ini gagal menghayati dan mengambil tahu apa yang mereka alami. Perlu ada seorang yang jadi champion atau penggeraknya.

Pengalaman yang saya lalui ini amat indah. Peluang berkenalan dan berkongsi ilmu dan pengalaman bersama-sama dengan mereka berjaya mencelikkan beberapa mata hati saya yang selama ini turut mengalami kecacatan.

Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya.

***********

Andai arwah ibu saya masih ada, hari ini ulang tahun perkahwinan ibu bapa saya yang ke-34.

Ulasan

Catatan Popular