Bachok - Kota Bharu

Saya telah dijemput oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur sebagai pembimbing Minggu Penulis Remaja Timur 2005. Ia diadakan di Sudara Beach Resort, Tok Bali, Bachok, Kelantan. Cerita tentang Sudara Beach Resort, mungkin dalam entri yang lain.

Buat masa ini, saya di Cyber Cafe Hospital USM Kubang Krian. Acara di Bachok usai tengah hari tadi. Saya kemudiannya dipindahkan ke Hotel Perdana di Kota Bharu. Esok ada acara di hotel ini. Khabarnya Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Cerpen Remaja Timur. Saya diminta mengisi slot sebelah pagi (jam 9) untuk memberi motivasi dan ceramah kepada pemenang, pelajar dan juga guru.

Sementara di Kota Bharu, seperti biasa saya akan gunakan untuk menjalin silaturrahim yang terputus oleh jarak dan masa. Kali terakhir saya di Kota Bharu (bulan Mei lepas, rasanya, ketika Diskusi Karya-karya Fatimah Busu), bertemu dengan sahabat sama sekuliah di UKM - Nora Mohamad. Baru berbadan dua, dia kala itu.

Dia baru sahaja lepas bersalin kelmarin. Kesempatan yang ada ini saya gunakan untuk ke HUSM. Pertama kali di sini, tetapi pernah lalu di kawasan ini. Bagus hospitalnya, ada banyak kedai di bahagian bawahnya - kedai buku, makanan, optometri, dll. Tak macam hospital biasa yang saya pergi yang cuma ada satu dua kedai.

Ada pula cyber cafe di sini. Itulah yang saya tersadai sebentar di sini sementara menunggu waktu melawat jam 5 nanti.

Ulasan

Catatan Popular