Masa Bermuhasabah



1426H bakal berlalu secepat kemunculannya. Tahun baru bakal muncul. Walaupun kita digalakkan bermuhasabah pada setiap masa dan setiap hari, bagi sentiasa sibuk selama ini dengan urusan-urusan dunia, marilah ambil peluang untuk bermuhasabah. (Sedar tak sedar, bulan Januari menghimpunkan 3 Tahun Baru yang dirayakan oleh tiga kaum utama di Malaysia - Tahun baru 2006, Tahun Baru Cina dan Maal Hijrah.)


1427H nanti akan ada beberapa perkara yang baru dalam dunia penulisan dan juga dunia-dunia lain yang berkaitan dengan diri saya.


Mulai 2 Februari 2006, insya-Allah saya akan muncul di Terengganu.FM jam 7.45 pagi setiap hari Isnin, Khamis dan Sabtu. Ada jemputan untuk 'bersembang-sembang' ala 'motivasi' pagi. Pihak radio akan telefon saya pagi itu dan saya akan memperkatakan apa-apa sahaja yang boleh menggugah pemikiran pendengar. Saya juga terkejut ketika dihubungi oleh pihak Terengganu.FM. Tak sangka pula diberi ruang dan penghormatan sedemikian. Bimbang juga, jika pencapaian / persembahan saya tidak seperti yang mereka harapkan. Nampaknya saya perlu menambahkan lagi bahan bacaan dan pengamatan tentang motivasi, psikologi dan bahan-bahan berilmu. Hasrat saya dalam tempoh 7 - 8 minit itu dapat dimanfaatkan oleh para pendengar. Ada ilmu yang dapat dikutip.


Bagi saya, inilah masa untuk saya sendiri bermuhasabah. Inilah peluang untuk memperbaiki diri. Saya harus percaya tentang apa yang saya perkatakan. Seperti mana ketika saya menulis, saya harus percaya tentang apa yang saya tulis. Ilmu yang sedikit ini milik-Nya. Saya telah diberi peluang untuk menyampaikannya. Andainya apa yang saya perkatakan nanti boleh mengubah peribadi seseorang walaupun sebesar hama, daripada yang negatif kepada positif. Itu sudah cukup membahagiakan saya.



II


Sesudah meninggalkan derita menulis "Puisi Untuk Esdyzuar", saya mencari 'derita' baru. Alhamdulillah, saya mendapat ruang untuk terus menulis dan mencipta 'derita' baru untuk saya nikmati. Kalau ada yang membaca tulisan ini, pasti terfikir - agaknya penulis-penulis ini manusia yang 'ada tak betul sedikit di atas sana'. Namun, itulah hakikat penulis. Mereka sentiasa mencari-cari konflik baru untuk ditulis. Bukankah seorang penulis itu mesti selalu resah dan sentiasa berfikir.


Kepada yang pernah berpeluang membaca 'Mencari Locus Standi' - saya akan menulis lagi sesuatu tentang ini. Bukan, saya bukan hendak menulis sambungannya. Tetapi, insya-Allah, saya akan mengangkat watak Ibu Mustika (ibu tiri/ibu angkat E-Jay) dan menulis sesuatu daripada sudut pandangan watak ini. Selama ini, Ibu Mustika hanyalah watak sampingan yang menyokong kepada kekuatan E-Jay. Kali ini, E-Jay akan menjadi watak sampingan pula. Dia akan muncul sekali sekala. Tumpuan cerita akan beralih kepada Ibu Mustika pula.


Isunya tentang konsep harta sepencarian. Saya akan kembangkan tentang perjuangan Mustika mempertahankan harta suaminya daripada dibolot oleh ipar-iparnya yang lapar harta. Tetapi itu hanyalah muatan utamanya. Akan ada sub-plot lain bagi menyokong cerita tersebut.


Judulnya, masih lagi dalam pertimbangan.


Nantikan dalam majalah ANIQAH (majalah tentang wanita yang lahir daripada penerbit Millenia Muslim) bulan Mac 2006.

Doakan saya terus diberi kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan satu lagi bentuk dakwah tentang undang-undang Islam kepada orang ramai.



III


Tidak ketinggalan, sedang saya melalui Semester II Program Sarjana Undang-undang ini, tugasan bagi setiap subjek tidak berhenti-henti. Hampir setiap minggu ada sahaja yang perlu dibereskan. Mujur juga saya dapat memilih tarikh pembentangan kertas kerja yang mempunyai jarak yang berbeza antara satu sama lain.


Semester ini saya memilih subjek-subjek berikut :


  • Harta Intelektual Lanjutan
  • Undang-undang Kanak-kanak
  • Undang-undang Ekonomi Antarabangsa
  • Methodologi Kajian (Wajib Fakulti)


IV

Saya dan keluarga mengucapkan Salam Tahun Baru 1427H kepada semua pembaca setia Lakaran Tinta Terkini

Ulasan

Catatan Popular