Isnin, Januari 23, 2006

Poligami Lagi!

Saya telah ditanya beberapa kali tentang isu-isu agama yang kian hangat dibincangkan secara terbuka akhir-akhir ini. Komen saya mudah. Orang bangsa asing sudah makin berani mempersoalkan tentang isu-isu sensitif orang-orang Melayu Islam dengan cara yang terbuka. Saya melihatnya sebagai sesuatu yang menghina orang Melayu dan secara tidak langsung mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan juga kontrak sosial penduduk Malaysia.

Isu undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

Isu ini sudah basi. Entah berapa kali sudah diperkatakan sebelum ini. Tetapi saya juga rasa lucu juga dengan kajian-kajian yang dijalankan oleh pihak Sisters in Islam. Khabarnya, mereka ini mempunyai satu pasukan pengkaji yang menjalankan kajian terperinci setiap kali ada isu tentang gender timbul. Sayang sekali, mereka kekurangan pentafsir yang arif dalam bidang syariah. Saya juga lihat mereka sekadar mentafsirkan hukum syara' berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang telah diterjemah sahaja. Tidak nampak pula mereka mempunyai pakar bahasa Arab yang boleh membuat tafsiran yang tepat (sekurang-kurangnya dari aspek bahasa).

Benarkah undang-undang Keluarga Islam yang dipinda ini merugikan wanita? Isu pertama yang diulang-ulang ialah tentang harta sepencarian. Persoalan sama ada suami boleh menuntut harta sepencarian. Saya fikir ini bukan lagi sesuatu yang baru. Harta sepencarian memang hak suami dan isteri. Jadi bukan isteri sahaja yang boleh menuntut harta sepencarian, tetapi suami juga. Harta sepencarian ialah harta usaha sama. Maka, wajarlah suami boleh menuntut sebahagian daripadanya.

Harta sepencarian juga bukannya boleh dibahagikan dengan sewenang-wenangnya. Pihak-pihak perlulah membuktikan takat sumbangan masing-masing. Jika tiada langsung sumbangan dalam bentuk material, pihak-pihak masih lagi ada hak-hak tertentu berdasarkan tempoh lama perkahwinan.

Sebagai contoh, kalau dulu, isteri kebanyakannya tidak bekerja. Jarang isteri menuntut haknya kerana dia fikir, dia tidak pernah membayar satu sen pun dalam pembelian sesuatu harta. Padahal, sebagai isteri yang duduk di rumah, dia tetap mempunyai hak. Logiknya, suami tersebut keluar bekerja dengan hati yang lapang kerana rumahnya ada orang jaga; anaknya ada orang jaga; harta bendanya juga ada orang jaga. Isteri itu juga sedikit sebanyak orang yang menenangkan jiwa. Bayangkan, kalau dia tiada isteri, suami tetap kena bayar/upah seseorang untuk menjaga anaknya. Jadi, wajarlah isteri mendapat sebahagian daripada harta sepencarian.

Tetapi sekarang, sudah ada ramai househusband. Isteri keluar bekerja dan terdapat suami yang memilih ataupun terpaksa menguruskan rumah tangga. Apabila suami mengizinkan, (dan jika suami itu turut sama bekerja), harta tersebut boleh menjadi harta isterinya. Tetapi jika suami hanya membantu dan memberi kelapangan supaya isterinya boleh bekerja, sedikit sebanyak, apabila harta yang dibeli untuk tujuan kegunaan bersama, wajarlah menjadi harta sepencarian. Misalnya, isteri yang bekerja membeli kereta. Kererta tersebut tidak mungkin dapat dibeli tanpa usaha isterinya. Tetapi tujuan kereta tersebut dibeli bertujuan untuk kegunaan keluarga. Jadi ia boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Suami boleh menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian.

Jadi, apa yang dikecoh-kecohkan sekarang ini?

Isu pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutan (AUKIWP) ini menyebabkan hampir semua wanita menjadi keliru, kecoh dan takut kehilangan harta. Walaupun pada hakikatnya, tiada suatu pun yang digambarkan oleh keadaan ini bakal berlaku.

Nazri Aziz (sang menteri) membuat kenyataan paling bodoh yang pernah saya dengar. Katanya, kalau pindaan AUKIWP ini berjalan dengan baik setelah diwartakan, dia mahu memastikan supaya negeri-negeri lain juga mengikuti jejak yang sama.

Hakikatnya : Negeri-negeri lain seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu telah lama meminda Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri dan telah pun melaksanakannya. Di NS, saya melihat sendiri bagaimana perlaksanaannya telah dijalankan dengan baik. Tiada yang kecoh berlaku baik di NS ataupun di negeri-negeri yang telah akur dengan pindaan tersebut.

Lucu atau tidak kenyataan Nazri Aziz tadi. Nampak sangat tak buat kerja rumah sebelum buat kenyataan akhbar.

Mengapa pindaan AUKIWP pergi sampai ke Parlimen? Sebab WP tiada raja. Jadi segala pindaan hendaklah dibawa ke Parlimen. Sebab itu, kecohnya satu negara tahu. Sedangkan di negeri-negeri lain, semuanya berlangsung dengan aman dalam Dewan Undangan Negeri.

Benarkah hak wanita akan terjejas dengan pindaan ini?

Saya tidak melihat sebarang penganiayaan. Seperti yang telah saya jelaskan tentang harta sepencarian tadi, harta sepencarian itu milik suami dan juga isteri. Hukum mana yang dipakai oleh pihak Sisters in Islam yang mengatakan harta sepencarian tidak boleh dituntut oleh suami.

Isu kedua tentang poligami. Persoalan timbul sama ada isteri patut menuntut nafkah ataupun harta sepencarian ketika suami memohon poligami. Itu pilihan isteri. Banyak kebaikannya. Isteri boleh dapat hak selepas suami terlupa ataupun buat-buat lupa setelah bernikah dengan isteri baru. Harta sepencarian juga patut diisytiharkan pada ketika itu supaya tidak bercampur dengan harta yang baru. (Saya pernah menulis tentang isu poligami ini dalam entri sebelum ini).

Suami boleh tuntut fasakh. Saya melihat suami yang tidak mahu menggunakan kuasa talaknya tetapi mahu supaya mahkamah sendiri yang membubarkan perkahwinan mereka sebagai lelaki yang sangat gentleman. Fasakh ialah pembubaran perkahwinan oleh mahkamah. Jadi suami tidak melafazkan langsung talak ke atas isterinya. Apabila mahkamah melihat perkahwinan suami dan isteri ini tidak lagi boleh diselamatkan, dengan kuasa yang ada pada mahkamah, perkahwinan itu boleh dibubarkan.

OK. Itu dulu tentang isu-isu sensitif tentang poligami dan perceraian. Hakikatnya, banyak lagi isu yang perlu diambil kira selain daripada isu-isu yang remeh temeh seperti ini. Orang Islam perlu segera faham tentang perkara-perkara ini sebelum dikatakan dengan cara terbuka bahawa Islam itu hanya tentang seks, perkahwinan dan perceraian.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails