Cakna Penulis Wanita Pantai Timur di DBPWT



Baru pulang dari Kota Bharu. Ini bukan kunjungan kali pertama. Tetapi tentunya setiap kunjungan itu akan saya bawa pulang kenangan manis yang sangat berbeza.

Sengaja saya datang awal kerana kebetulan membawa seorang teman - Puteri Elaira Eliza - yang katanya dengan penuh lelucon "Inilah kali ke satu, aku ke Kota Bharu." Jadi, setelah beberapa kali sampai ke daerah ini, tentu sahaja saya menawarkan diri sebagai pemandu pelancong tidak rasmi. Apatah lagi, setakat hendak buat operasi tawar menawar di Pasar MPKB ataupun Pasar Siti Khadijah, boleh jugalah dapat harga yang lebih murah (kerana tidak dianggap sebagai orang luar - sebagai orang luar, peniaga Kelantan tidak akan menurunkan harga jualan seperti mana yang diberikan kepada orang tempatan).

Kunjungan pertama kali ke rumah seorang teman yang sama-sama belajar undang-undang di UKM tentu sahaja menggamit nostalgia. Itulah kali pertama saya sampai ke Chicha - kawasan Kubang Krian.



Tetapi, paling menyeronokkan ialah sebaik-baik sahaja dijemput pihak penganjur, mereka membawa kami ke Ekspo HUSM. Tak pasal-pasal, kami ke Dewan Besar USM (Kubang Krian) untuk menjalani ujian darah, ujian pernafasan, ujian tekanan darah dan banyak lagi, secara percuma! Alhamdulillah, segalanya normal bagi saya. Namun, sedikit lucu apabila pelajar bio-perubatan yang mengambil darah kami untuk diuji, lebih menggigil daripada 'pesakit'nya yang rela menghulurkan jari untuk ditembuk. (Rujuk gambar di atas)

Singgahan kali ini di Kota Bharu juga turut memperkenalkan beberapa jenis kuih tempatan yang baru pada pengalaman saya. Kalau setakat kuih tahi itik dan akok, saya dah biasa dengar. Kali ini, saya berkenalan dengan kuih lompat tikam dan pulut dakap pula. Tidak ketinggalan, buat pertama kali juga saya dapat merasa etok. (Sebelum ini saya tahu tentang etok dari cerpen Nasriah Abd. Salam - Elegi Puteri Sa'adong ketika dia berbengkel dengan saya.)

Majlis Cakna berlangsung pada hari Ahad di Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Timur. Kertas saya berjudul "Mencari Keindahan Dalam Karya 4 Penulis Wanita Pantai Timur". Empat penulis wanita pantai timur itu ialah cerpen-cerpen eceran Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy, Nasriah Abd. Salam dan Amaruszati Noor Rahim.

Saya dikejutkan juga dengan kehadiran mantan naib canselor Universiti Malaya, Dato' Dr. Hashim Yaakob di majlis tersebut. Beliau bukan sahaja mendengar dengan penuh minat, malah sempat mengutarakan pandangan.

Ulasan

Faizah Azaman berkata…
salam akak...

wah ripuh ya dengan aktvt penulisan. saya rindu benar pasar khadijah. teringat kenangan masa balik kampung dulu, nenek saya teringin nak makan lontong, sakan saya dan mama carik tempe satu pasar. jenuh! tak jumpa kak.rupa-rupanya tempe tu pun diorg tak tau apa ke benda dan rupanya. selamat berkerja kak! moga Allah beri kekuatan dan kemampuan!
A. Jazmin berkata…
Puan Nisah, merujuk kepada tulisan / entri Puan pada 31 Ogos, 2006 bertajuk "Sesungguhnya kita belum merdeka!", saya hendak komen dan bertanya ringkas - kenapa ya, Puan seolah-olah mengatakan bahawa penggunaan bahasa Indonesia sebagai salah satu agenda 'penjajahan' , sedangkan kita dari suatu rumpun yang sama. Saya kira, sedikit-sedikit perbezaan itu tidak mengapa.

Selamat terus maju jaya, Puan.

Assalamualaikum.

Aminah Jazilah Abu Bakar
Nisah Haji Haron berkata…
Faizah,
Bukankah tempe itu lebih popular di pantai barat? Tak hairan juga tiada di pantai timur :)

Aminah Jazilah,
Sesungguhnya kita serumpun tetapi setiap negara itu berdaulat dan merdeka. Mengapa kita harus memilih bahasa Indonesia, jika kita mempunyai Bahasa Melayu yang khusus untuk rakyat Malaysia. Ini bukan soal perbezaan yang sedikit-sedikit dan penggunaan kata pinjam. Aminah wajar menonton rancangan kanak-kanak saluran 64 Astro untuk menyetujui ataupun menolak tulisan saya itu. Terus terang, saya bercakap dalam konteks saluran TV tersebut, bukan dalam hal yang lain.

Terima kasih, atas keprihatinan Aminah.
Tanpa Nama berkata…
kebetulan pada waktu berlangsung program sastera itu, saya wajib berada di Dewan Utama USM Kampus Kesihatan. JIka tidak, saya pasti sampai juga ke sana..... :)
Tanpa Nama berkata…
Nisah, saya suka dengan gambar pasar itu!

Tahniah. Sudah melepasi kunjungan yang ke seratus ribu. Semoga ia akan terus jadi pendorong!

Catatan Popular