Za'ba


Sebut sahaja nama Za'ba, senusantara mengenalinya. Namun, sayang sekali sistem Bahasa Melayu yang diusahakan tokoh ini semacam tidak mahu dipakai lagi. Konon mahu progresif, kita standardkan ejaan yang telah Za'ba susun.

Pada zaman beliaulah, ejaan seperti Ramadhan, Redha, ni'mat dieja seperti mana sebutannya dalam Bahasa Arab. Apabila kita tidak lagi mengikut ejaan tersebut, maka jadilah Ramadan, reda dan nikmat. Dari segi makna juga sudah lari.

Lebih teruk daripada itu, nama Za'ba juga selalu disalaheja sebagai Za'aba. Sedangkan Za'ba ialah singkatan kepada nama beliau sendiri iaitu Zainal Abidin bin Ahmad - ataupun zai, 'ain, ba, alif. Di Seremban juga ada nama jalan yang dieja sebagai Jalan Za'aba.

Tentang Za'ba ini saya pernah tulis sebuah sajak dan telah dideklamasikan oleh Sdr Zulkifli Mohd Noor (Johan Deklamator Hari Kebangsaan Peringkat NS) sewaktu Seminar Persuratan dan Peradaban di Port Dickson Ogos lalu :

FATA MORGANA NADIM-ZA'BA

Andainya Za’ba dibawa ke menara ini
Pasti pilu rawan seorang pendeta
Raungnya kan terdengar dan menggegar
Dari kota hingga ke penghujung nusantara,
“Kalian apakan Pelita Bahasa Penggal Satu hingga Tiga?
Namaku abadi pada kolej sekolah dan asrama
Desah perjuanganku tercampak entah di sudut mana.”

Sudah lebih tiga dekad
Songkok Pendetamu belum ada pewarisnya
Anak-anak kita pun semakin
Tak pandai mengira “satu dua dan tiga”
Kononnya, membilang dengan bahasa ini
Sekadar berlegar dalam tempurung sendiri;
Meskipun dijamin Perkara 152
Dipagar kemas
Akta Dewan Bahasa dan Pustaka
Akta Bahasa Kebangsaan
Akta Pendidikan

Namun
Selagi bahasa ini tidak menjadi jati diri
Selagi tidak mengalir dalam urat dan nadi,
Semua akta boleh dikarung,
Dipaku dalam larung
Dicampak dalam gaung
Dan
Kau dan aku hanya meraung
Dalam talkin tanpa penghujung.

Selepas engkau tiada, Pendeta
Menara ini semakin tinggi membayangi bangunan lama
Ada hasrat memanjat, ada harapan ke hadapan
Namun keris bahasa hanya indah dalam sarungnya
Tak pernah terhunus menentang rempuhan penjajah kali kedua
Sedang, Sang Pemanas kerusi empuk di peterana
Mampu mengeluh semata.

Siapakah ibu bertuah menghamilkan seorang Za’ba lagi
Tidak digelar Nadim jika dibawa ke menara ini
Lahirnya kembar keris dan pena
Menikam dengan lisan
Menujah dengan tulisan
Berfirasat dengan isyarat.

Dialah pembawa pulang manuskrip moyangku dari Leiden.
Di Beijing, Sydney, London dan Capetown
Langsung ke seluruh dunia
Bukan sekadar bangga berbahasa dengan lidah ibunda
Malah tuturnya fasih bicaranya lancar
Melafazkan semua bahasa di jagat raya.

Apakah ini angan-angan kita
Mencari Za’ba seperti memandang fata morgana
Munculnya seketika selepas ini tiada
Begitukah nasib bahasa kita.

Di alaf ini semoga lahir si Nadim cendekia
Memakai songkok sang pendeta
Menghunus keris bahasa
Berjuang dengan lidah kita
Meredakan
Tangis seorang Za’ba.

Nisah Haji Haron
5 Julai 2006
Ampangan

"Dipetik dari antologi "Manuskrip Luka Bangsa" yang telah dilancarkan pada 4 Ogos 2006 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ulasan

Zaharah berkata…
Salam.
Kak Nisah, tiba-tiba saya jadi begitu sedih bila menghayati puisi Kak Nisah itu. Bagaikan Za'ba ada dan menonton kita.
Tanpa Nama berkata…
Kalau mencari seorang Z'aba itu mengambil masa untuk dia matang kerana kita telah melalui proses pengkhususan.

Kalau nak cepat macam mee segera, kita sama duduk semeja berbincang dan bertukar fikiran. Dulu saya ada dengar cerita yang kononnya Sheakspear itu cuma satu nama mewakili sekumpulan penulis dari pelbagai disiplin ilmu.

Kata bapa angkat saya Renaissance Man or women dah tak wujud lagi. Instead of kita macam orang gila menilik itu, mengagak-agak oh itu orangnya kut, dia tak, berjampi berbomoh sampai malatop-latop ada baiknya kita berkawan-kawan dan bertukar-tukar fikiran.

Genetik tak bawa apa2 makna, persekitaran yang penting. IQ statik, EQ dan SQlah yang dinamik dan perlu bangunkan dan diberikan perhatian sewajarnya.

Salam
Mardhiah
Tanpa Nama berkata…
Wah, saya memang sentimental sangat dengan Za'ba ni! Bukan saja kerana saya penyokong kuat gaya nahu aliran Za'ba -- tapi sebab saya pernah tinggal di Kolej Za'ba UM selama 10 tahun (dari Asasi Sains sampai kepada felo!).

Kolej Za'ba masa zaman 1980-an hingga awal 1990-an memang terkenal sebagai kolej kebudayaan dan persuratan. Selalu jadi juara pesta seni pentas, pernah menjuarai Pesta Pantun Inter-Kolej selama 8 tahun berturut-turut dan kolej ini turut melahirkan ramai pendebat/pemidato universiti. Tak dinafikan, nama keramat Za'ba itu sendiri merupakan satu 'kekuatan dalaman' yang menyemarakkan percikan semangat bahasa dan seni di kolej itu!

Di UPM ada sebuah kolej yang dinamakan Kolej Pendeta Za'aba. Saya pun tak faham kenapa orang masih tertukar-ganti ejaan Za'ba kepada Za'aba. Terutama dalam hal-hal yang besar seperti itu! Tambah buruk lagi bila ia disebut... huruf a'a itu juga turut dibunyikan dua kali.

Pada awal 1990-an dulu, ada sebuah usaha usaha untuk bangunkan 'mini muzium Za'ba' sebagai pusat dokumentasi warisan Za'ba (termasuk item-item fizikal peninggalan). Perkara pertama yang kami (para Za'bahan yang idealistik ketika) lakukan ialah menulis surat kepada jawatankuasa itu supaya menukar nama arkib itu daripada Arkib Za'aba kepada Arkib Za'ba!

Opppsss, macam tak ada kaitan dengan entri pula. :)
Tanpa Nama berkata…
Puan Nisah,

Mohon maaf,

Saya diajar (dan dipesan berkali-kali) oleh orang lama yang akrab dengan Pendeta Za`ba, bahawa ejaan nama Pendeta Za`ba bukan dieja sebagai Za'ba atau pada ejaan berwarna kuning dalam sajak Puan Nisah.

Za`ba sendiri mengajar orang lama tersebut (sahabat saya) bagaimana mana hendak menulis nama Za`ba dengan betul (Za`ba mengajarnya 50 tahun dahulu sewaktu menuntut di Universiti di Singapura).

Di dalam ejaan bahasa Melayu yang menggunakan kata dari bahasa Arab, tanda ` atau ' (koma di atas) melambangkan huruf `ain atau hamzah.

Contohnya: Iqra' (koma merujuk kepada huruf hamzah), Nur`Ain (koma merujuk kepada huruf `ain).

Ejaan nama Za`ba memakai koma di atas yang merujuk kepada huruf `ain. (Oleh yang demikian, ejaan nama Pendeta Za`ba pada sajak Puan Nisah tidak sama dengan ejaan Za`ba yang seharusnya).

Kepada mereka yang mengatakan bahawa mereka mencintai Za`ba, sesekali ziarahilah Koleksi Pendeta Za`ba di UM. Paling wajib dibaca ialah wasiat Za`ba tentang buku-bukunya yang dihadiahkan kepada Perpustakaan tersebut. Bacalah juga keratan suartkhabar tentang tulisan anak Pendeta Za`ba tentang hari-hari terakhir Za`ba di hospital.

Harta saudagar di uncang-uncang emas.
Harta pujangga di keping-keping kertas.
(Za`ba)

Harap maklum.
Jong berkata…
kanda
susah nak masuklah blog ni java applet failed java applet failed...ke aku yang tak reti?
Unknown berkata…
Assalamualaikum Puan Nisah,
Menarik nukilan Puan terhadap Pendita Za'ba...diakui saya tidak mendalam mengetahui riwayat Pendita ini.

Qalbu adalah jiwa akal
Akal itu memangku minda
Lantaran minda lelah hampa sesal.

Apakah bahaya miliki warna?
Ataukah buta tidak mengerti bahasa
Dihasut lesu melusuh budaya.

Nah! duka itu dari luka yang dalam
Tanggungan derita sejarah silam
Tersesat tingkah gelita gelap umpama pekat malam.

Manakah yang manis antara tawar perit kepahitan?
Manakah asas menyamatarakan akal tanpa iman?
Lantas adakah sama bicara minda tanpa petunjuk Al Quran?

Pohon rendang untuk menaungi
Bukan buat ayunan senang sendiri
Berlumba sengit majukah teknologi?

Nusa berolah cela dituba
Buntu nilai oleh pisah siasah dan negara
Apakah darjat besar diusung bersama keranda?

Catatan Popular