Isnin, Januari 15, 2007

Sisi Lain Seorang Penulis


Selain menjadi penulis, ada beberapa sisi lain penulis tersebut, jika diketahui, akan membuatkan kita lebih mudah memahami dan menilai dirinya.

Satu jenis bacaan yang sama gemari ialah membaca memoir penulis. Saya telah membaca On Writing (Stephen King), The Rivan Codex (David Eddings), Sometimes the Magic Works (Terry Brooks), Proses Penciptaan: Menulis Untuk Remaja (Othman Puteh - Penyelenggara) dan The Other Side of Me (Sidney Sheldon).

Kalau ada lagi buku-buku begini, pasti saya tidak akan ketinggalan membacanya kerana saya cukup menggemari dan suka mengambil tahu bagaimanakah proses kreatif seseorang penulis. Biasanya ia sangat berbeza dan ada satu dua persamaan yang sangat menonjol antara penulis. Di Malaysia, tidak banyak penerbit yang rajin untuk menerbitkan buku-buku proses kreatif penulis. Malah buku panduan penulisan juga masih belum cukup banyak. Kalau ada pun mungkin hasil tangan Othman Puteh juga seperti Persedian Menulis Cerpen dan Persediaan Menulis Novel dan Rahman Shaari - Persediaan Menulis Sajak. Di PTS, ada sebuah lagi, Buat Dengan Menulis (Jeniri Amir).

Jika ada majlis bicara karya yang turut menghadirkan penulisnya, saya lebih suka mendengar apa kata penulis itu dan bagaimana karya ini terhasil berbanding apa komen pengkritiknya. Ada sesuatu yang cukup mengghairahkan apabila penulis itu dikurniakan cetusan ilham sehingga dia mendapat kekuatan menulis dan menyudahkan karyanya. Itu cukup penting bagi saya.

Membaca The Other Side of Me tulisan Sidney Sheldon ini juga terasa seperti membaca novel-novel beliau. Perlu diingat bahawa Sheldon bukanlah penulis sastera tetapi penulis fiksyen popular. Namun, karya-karya beliau tetap kuat dan menjadi pemegang Guinness Book of Record sebagai pengarang yang paling banyak karyanya diterjemah di dunia.

Apabila sudah lebih separuh membaca buku ini, saya berasa agak kecewa kerana Sheldon lebih banyak memaparkan bagaimana dia menjadi seorang penulis lakon layar berbanding bagaimana proses kreatifnya dalam penulisan novel. Hanya pada bahagian hujung buku ini baru diceritakan pengalaman penulisan novel-novelnya.

Namun demikian, ada banyak yang boleh dikutip daripada pengalaman beliau semasa remaja sehinggalah berusia 88 tahun kini. Paling penting, sama ada secara disedari ataupun tidak, Sheldon memulakan karier penulisannya sebagai seorang pembaca. Di Hollywood, ada satu jawatan yang dipanggil The Reader. Tugas seorang reader ataupun pembaca ialah membaca karya yang bakal dipindahkan ke layar dan membuat sinopsis. Setiap hari satu novel mesti dibaca dan ditulis ringkasannya untuk dipilih penerbit.

Bayangkan, Sheldon dibayar untuk melakukan tugas yang paling digemarinya - membaca!

Selain itu, perwatakan dalam novel-novel Sheldon amat hidup dan juga pemerian latar tempatnya jelas. Dia memberikan dua sebab. Satu dia menghayati setiap watak yang dicipta dan kedua, dia mestilah pernah pergi ke tempat-tempat yang menjadi latar novelnya.

Sheldon bermula sebagai penulis yang sangat miskin. Dia memang menulis untuk mendapatkan wang. Tetapi daripada kesusahan itu, dia dapat pengalaman hidup yang mematangkan dirinya dengan cepat. Dia juga menulis tentang wanita dan cinta tetapi semua itu disulami dengan bahan-bahan bantu yang dapat mengukuh dan meyakinkan penceritaannya.

Ini yang membezakan kepengarangannya dan penulis fiksyen popular tempatan. Rata-rata (bukan semua) mempunyai pembinaan perwatakan yang amat lemah dan hanya bergantung kepada kisah cinta dan perasaan semata-mata. Tidak ada sesuatu yang baharu yang mahu disampaikan kepada pembaca. Apatah lagi, soal pemikiran dan ideologi.

Apabila ditanya, genre mana yang lebih memberi kepuasan kepadanya dalam penulisan sama ada penulisan lakon layar ataupun novel, ini jawapan Sheldon :

Writing novels is the most exciting. In writing screenplays, it's a kind of shorthand. You don't describe a character as tall and lanky and laconic because if Clint Eastwood turns you down and you show it to Dustin Hoffman, you're in trouble. You don't describe the rooms because the best set decorators in Hollywood are going to be doing those rooms. In a novel, on the other hand, you not only have to describe the rooms, but the clothes, the characters and what they are thinking. It's a much more in-depth process.

4 ulasan:

Rai The Cutie Pie berkata...

Salam Sis,
Wah, dibayar untuk membaca... bahan-bahan yang disukai pulak tu...sounds like my dream job!

Saya pernah menulis lakon layar untuk FINAS dan animasi. Berbeza dengan novel yang perlu gambaran rinci, lakon layar/skrip memang lebih mudah. Tapi masih perlu gambaran yang agak konkrit dalam kepala supaya skrip berjalan lancar. Bila terlalu konkrit tu yg muncul watak-watak tailor made untuk pelakon tertentu.

Untuk animasi (ini produsernya bungkus pulak!sedih...)Untuk animasi saya buat tentang kesultanan Melayu Melaka. Kesukarannya ialah memastikan time track tidak hilang terutama untuk watak kerana saya buat 13 episod secara kronologi. Nanti dalam episod 1 kita kata watak ni umur 20,episod 8 dia umur 16 pulak!

Apa pun membaca pengalaman penulis hebat memang menarik. Pasti ada unsur 'alien' pada diri mereka yang menjadikan mereka berjaya.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Puan, terima kasih, entri ini bagus bagi saya yang belum membaca bukunya!

Saharil berkata...

pergi ke jualan gudang dawama tempoh hari, buku "proses penciptaan" tu dijual seringgit senaskah - dilambakkan berkotak-kotak. rasa mahu menyelamatkan dan beli semua, sedekah kepada bakal-bakal penulis. itu buku favourite saya masa mula-mula mahu menulis dulu, haha.

Jiwa Rasa berkata...

Salam,

Saya sedang membaca Kuartet Buru, Pramoedya. Baru selesai Bumi Manusia dan hampir selesai novel Kedua, Anak Semua Bangsa.

Ada dialog dan monolog yang bagus tentang penulisan melalui watak protagonis Minke, seorang penulis muda. Bagaimana karya yng Minke anggap sangat bagus, dianggap sebaliknya . Sangat menarik!

Related Posts with Thumbnails