Penulis Bebas Banyak Masa ?
Rata-rata teman yang tidak memahami tugas sebagai penulis bebas seperti saya sekarang, menyatakan bahawa saya adalah insan paling bertuah kerana saya ada banyak masa. Maklumlah, pagi-pagi saya hanya akan mengambil masa sekitar 3 saat untuk sampai ke 'pejabat' kecil saya. Berbanding orang lain yang terpaksa meredah subuh dan tidak sempat melihat matahari. Pulang pula dengan bulan.
Kononnya, saya ini boleh sahaja pergi 'minum teh' dan baca akhbar hingga jam berapa pun yang saya suka. Bebas daripada lingkungan waktu. Saya juga dikatakan mempunyai waktu kerja yang sangat fleksibel. Saya boleh buka 'pejabat' jam 10 pagi, ataupun jam 12 tengah malam.
Walaupun sebahagiannya daripada gambaran itu ada sedikit kebenarannya, tetapi menjadi penulis bebas sebenarnya lebih daripada itu.
Apabila kita 'bekerja' tanpa pemantauan daripada majikan, kita sebenarnya harus lebih berdisiplin dalam menulis. Sejujurnya, saya tidak ada masa yang khusus untuk menulis. Tambahan lagi, kini anak-anak saya perlu diuruskan pada setiap pagi untuk ke sekolah dan juga tadika. Jadi, saya semakin kurang waktu untuk bersunyi-sunyi bersama laptop pada awal pagi.
Sementelah, pada setiap pagi Isnin dan Khamis, saya perlu bersedia untuk ke udara di Terengganu.FM. Pihak radio akan menghubungi saya melalui telefon sekitar jam 7.45 pagi. Pada hari Jumaat pula, pihak Pahang.FM akan berbuat demikian pada jam 6.50 pagi.
Kini, antara waktu yang saya gunakan untuk menulis ialah selepas anak-anak ke sekolah. Itu pun bergantung sama ada tidak ada tugas-tugas rumah tangga yang mendesak.
Pun, jika saya memang sudah ada deadline yang mesti dipatuhi, perkara lain saya terpaksa tolak tepi. Saya mohon untuk tidak diganggu untuk saya sudahkan sebarang tulisan. Jika tidak, saya akan dapat pesanan-pesanan 'mesra' daripada editor.
Pada masa yang lain pula, tentu sahaja saya harus meneruskan sebarang projek penulisan yang sudah pun dimulakan. Pendek kata, setiap hari mesti ada satu waktu yang diperuntukkan untuk menulis.
Cabaran menjadi penulis bebas tentu sahaja banyak. Antaranya, saya perlu menyesuaikan masa menulis dengan masa menerima undangan sebagai penceramah. Andainya terlalu banyak undangan untuk keluar, saya semakin kesempitan masa untuk menulis. Ini tentu sahaja lebih menyukarkan proses-proses penulisan. Saya akan lebih banyak bertarung dengan masa.
Itu belum lagi cabaran untuk melayan karenah anak-anak yang mulai pulang ke rumah sekitar jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari. Sekiranya suami ada di rumah, kami bolehlah mengambil giliran memasak. Jika saya harus menyudahkan sesuatu tulisan, beliau akan memberi saya ruang itu. Sesungguhnya, saya bersyukur kerana ahli-ahli di rumah saya sudah semakin faham akan keperluan untuk saya bersendirian mengadap laptop.
Anak-anak juga kini sudah semakin terlatih. Jika mereka melihat saya kelihatan begitu serius mengadap laptop, mereka akan tangguhkan dahulu niat untuk bertanya itu dan ini. Namun, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Ada masanya, mereka tetap akan merengek itu dan ini. Tetapi, itulah cabarannya.
Dugaan untuk 'baring' sekejap kerana diseru oleh katil di bilik tidur juga tidak kurang hebatnya. Ini lebih sukar untuk melawannya jika semangat dalam diri tidak kuat. Ada masanya, saya memang merehatkan diri pada waktu siang supaya dapat menulis dengan lebih segar pada waktu malam. Sayangnya, pada sebelah malam, anak-anak mungkin buat ragam dan memusnahkan 'mood' untuk menulis.
Namun, semakin lama saya dapat juga mengawal perasaan / mood untuk menulis. Saya cuba untuk tidak menulis mengikut mood. Biarlah mood itu datang pada setiap kali saya mahu menulis. Adakalanya, mood ini tidak boleh dilayan sangat.
Pada ketika yang lain juga, penulis memang sentiasa 'menulis' di dalam kepalanya. Ini juga sebahagian daripada proses penulisan. Menyerap maklumat, ilmu dan perkara-perkara yang boleh membantu dalam menulis. Antaranya, membaca dan membuat kajian. Saya suka bahagian ini. Pada ketika tertentu, saya akan jadi ralit dengan kajian. Ada ketikanya membahayakan juga kerana proses kajian akan mengambil waktu menulis yang sebenar.
Penulis yang hanya 'menulis' dalam kepala ini masih belum lagi menulis. Dia hanya baru merangka tulisan itu dan bagaimana dia mahu mempersembahkannya kelak. Jadi, apabila saya membaca, apatah lagi, saya juga dilihat sebagai suri rumah (pada ketika tertentu) mereka fikir saya ada banyak masa untuk membaca.
Berbeza dengan sesetengah suri rumah lain yang akan menghabiskan masa menonton telenovela latin, indonesia dan negara-negara dunia ketiga yang lain pada sebelah petang, saya tidak meminati aktiviti tersebut. Tambahan lagi, anak-anak lebih menguasai televisyen. Saya tidak berhasrat untuk berebut dengan mereka. Malah, waktu mereka ralit dengan televisyen itulah saya gunakan untuk menulis juga.
Hakikatnya, menulis memerlukan disiplin yang tersendiri. Masa yang diberikan kepada kita tidak pernah lebih daripada 24 jam. Cuma, bagaimana kita mengatur keutamaan dalam hidup itu yang akan membezakan cara hidup kita dengan orang lain.
Ya, sampai sekarang saya masih lagi belum memandu kereta mewah ataupun kereta besar - sebab niat saya menulis bukanlah untuk mendapatkan kereta besar. Saya memilih untuk meneruskan cara hidup yang sederhana dan sangat percaya kepada rezeki daripada Allah. Saya juga mahu menikmati kehidupan saya dan bukannya bekerja bermati-matian siang malam tanpa dapat menikmati rezeki yang dikurniakan.
Biarlah secara lahiriahnya, saya memiliki pendapatan yang sederhana, tetapi saya mahukan yang berkat dan insya-Allah, apa yang saya tulis itu memberi bekas, memberi manfaat kepada setiap pembaca yang mahu berfikir. Saya juga mengharapkan bahawa mereka yang membaca karya dan tulisan saya itu kelak dapat memanjangkannya kepada orang lain.
Ulasan
Tabik spring untuk puan.
Part 'baring' sekejap itulah yang paling sukar diatasi. Selalunya jadi 'baring' terlebih masa.
Saya kira kerjaya apa pun yang kita pilih, hatta seorang suri rumah bukanlah penentu kelapangan masa itu, kerana kitalah yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk memilih bagaimana hendak menggunakannya. Ramai juga orang menyangka kerjaya guru dan pensyarah mempunyai banyak masa yang terluang. Hakikatnya,ya terluang, andai kita tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja sampingan. Apa yang orang nampak, jumlah jam mengajar sahaja. Persediaan sebelum dan selepas dan lain-lain tugasan sampingan yang di luar waktu, mungkin tidak dapat dibayangkan seandai tidak pernah mengalaminya sendiri. Begitu juga dengan seorang suri rumah sepenuh masa,ya terluang, andai pilihan mereka untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan kenyataan Nisah tentang 'menulis' dalam kepala, banyak membaca dan membuat kajian. Saya banyak juga berbuat begitu sehingga terkorban waktu menulis sebenar.
Saya boleh tamsilkan bagai "The Road Not Taken" dari Robert Frost.
Berat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Menjadi penulis bebas, bunyinya sahaja 'bebas'.
Mak saya sejak pencen memang ada lebih banyak masa untuk menulis. Tetapi orang yang tidak faham akan ganggu (biasanya ahli keluarga kembanganlah)-ajak ke situ ke sini, suruh buat itu ini yang tak ada kena mengena dalam ''ini gambar''. Sampai ada masanya mak cakap, lebih baik aku pi kerja.Dah tentu orang tahu aku sibuk.
Saya selepas grad pun ingat akan punya banyak waktu untuk menulis. Heh, baik lagi masa masuk U dulu. Orang tak ganggu dan tugasan-tugasan yang mana gempak tu boleh diubahsuai dan dihantar ke penerbitan. Sebenarnya sejak masuk kerja di UPM ni, saya macam tak pergi kerja pun sebab apa yang saya perlu buat di sini telah pun saya buat sebelum ini. Memberi bimbingan, membaca, menyediakan bahan pengajaran, lepak-lepak secara 'ílmiah'dengan adik-adik di sini. Tolak kena bangun awal untuk punch ibu jari dan hidupkan enjin kereta, yang lain saya rasa OK.
Bak kata mak saya, baiklah saya pergi kerja. Orang-orang yang nak mengganggu dengan hal-hal tak ada kena mengena dalam ini gambar pun boleh fikir dua tiga kali.Tapi semuanya bergantung kepada disiplin diri. Kalau malas tu, malas jugalah!
Betul Zaid, part baring-baringan tu yang tak dapek den nolong!
'Baring' terlebih masa tu yang buat tulisan jadi 'off-side' :)
Shima,
Memang betul, kitalah yang patut menentukan masa itu.
Puan Ainon,
Ya, gelaran penulis bebas itu ialah suatu 'misnomer' dalam bahasa Melayu.
Rai,
Elok sangat Rai pergi kerja. Sebenarnya, orang yang 'pergi kerja' itu ada lebih banyak masa daripada kita yang 'kununnya' terlebih masa ini.
penulis bebas agak beruntung kerana tumpuan pada pengjkaryaan.
aku? hanya 'bebas'kan ekspresi.