Alumni MPR : Kelab atau Persatuan?


Semalam saya telah diundang oleh Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP yang dipengerusikan oleh Dato' Johan Jaafar dalam satu mesyuarat khas mereka. Saya hadir atas kapasiti sebagai wakil Alumni MPR. Turut hadir bersama-sama saya ialah Sdr Faisal Tehrani.

Kami difahamkan setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Sastera ini diadakan, satu pertubuhan penulis akan diundang bagi memberikan taklimat tentang pertubuhan / persatuan masing-masing. Saya kira ia lebih kepada sebagai makluman kepada pihak DBP tentang kewujudan persatuan ini dan aktiviti mereka.

Saya telah menghantar e-mel kepada mantan MPR yang berdaftar dengan mantanMPR@yahoogroups.com tentang sebarang perkara yang mahu dipanjangkan kepada pihak DBP. Alhamdulillah, sedikit sebanyak maklumat tersebut telah saya sampaikan kepada mereka.

Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang masih bermain-main di fikiran saya sehingga hari ini: pihak DBP, khususnya Dato' Johan Jaafar, bersungguh-sungguh mahukan supaya Alumni MPR ini wujud seperti sebuah persatuan yang berdaftar - lengkap dengan struktur organisasi (dengan Ketua Satu, Bendahari, Setiasaha dan AJKnya).

Pada peringkat awal, memang Alumni MPR mempunyai struktur organisasinya sendiri ketika Sdr Hizairi Othman masih lagi menerajui kelab ini. Namun, namanya pun kelab bukan Persatuan Alumni MPR. Ketika itu, kelab ini diuruskan Hizairi dengan bantuan rakan-rakan alumni MPR yang berkesempatan. Dalam banyak hal, Hizairilah yang menguruskan segala-galanya.

Pada tahun 2005, sekali lagi suatu perhimpunan kecil alumni MPR diadakan di DBP (selepas satu majlis diskusi karya MPR, saya tidak ingat karya siapa tetapi diuruskan oleh adik-adik seperti Khairunnasriah, Ghafirah, Ida Munira, Nimoiz, Fahd Razy dan kawan-kawan mereka). Dalam perhimpunan tidak rasmi itu, diputuskan bahawa alumni MPR tidak akan bersifat struktural bagi mengurangkan karenah birokrasi. Sesiapa sahaja yang mempunyai idea untuk menjalankan sebarang projek, mereka dialu-alukan untuk berhubung terus dengan pihak DBP. Tak kiralah mereka itu senior ataupun junior MPR. Kalau junior yang uruskan, para senior akan menyokong dengan menghadiri majlis tersebut.

Alumni MPR wujud melalui cara loose organisation dan setakat ini ramai mantan yang berasa selesa.

Malah, di luar negara sekalipun, tidak wujud persatuan-persatuan yang berdaftar dalam hal-hal seni dan sastera begini. Pertemuan mereka santai - di kedai-kedai kopi, di sudut-sudut tertentu atau di mana-mana sahaja tanpa ada premis yang formal. Paling penting ialah mereka terus menulis dan memastikan suara mereka didengari terutamanya dalam karya masing-masing.

Pun, saya serahkan forum ini kepada semua mantan yang sempat membaca catatan ini ataupun pihak luar Alumni MPR yang mahu memberikan pandangan. Wajarkah Alumni MPR didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah persatuan?

Sila tinggalkan pendapat anda di ruang komen. (Jika ada tidak berdaftar dengan www.blogger.com dan harus menggunakan 'anonymous' - sila tinggalkan nama anda pada hujung komen. Terima kasih.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
saya juga selesa dengan keadaan kelab mpr yang longgar & tak rasmi. tetapi faham juga alasan dbp mahu merasmikan semuanya. di kertas pun nampak lebih elok jika persatuan ni rasmi. mungkin memudahkan dapat biaya dr mana2 dan politically pun lebih credible. boleh guna sbg batu locatan, kata org.

tapi, sebuah persatuan berdaftar, bukan main daftar sj. org yang terlibat perlu kerah lebih banyak tenaga. dan birokrasi lebih byk. dan yg duduk atas kerusi2 besar pun diberi imbuhan. (this paragraph, redundant. semua dah tau).

personally, saya lebih gemar santai spt skrg.
1 berkata…
Sebuah organisasi yang berjaya perlu berjalan sebagai sebuah organisasi. Birokrasi dan struktur itu penting. Jika tidak, tida perlu kita berpersatuan. Orang nak buat kenduri kahwin pun ada organisasinya, ada pembahagian tugasnya. Jadi, MPR, kalau mahu terus hidup mesti berani berubah. Tetapi pada pandangan saya, sebuah organisasi yang baik tidak semestinya lengkap di kertas. Mendaftar MPR hanya untuk merasmikannya dari sudut politik dan pengurusan sahaja. Tidak lebih dari itu. Sehingga ini, kita tidak pernah didaftarkan di bawah akta pertubuhan misalnya, tetapi orang tahu MPR itu wujud. MPR itu sedia wujud jika kita menghasilkan karya yang baik, menjalankan program yang bermakna dan hadir sebagai satu kumpulan. Secara peribadi, saya tidak setuju mendaftarkan kelab ini. Kenapa kita ingin menyulitkan diri dengan laporan, mesyurat tahunan, minit2 merapu dll kepada pihak berkaitan. Harap kawan-kawan pertimbangkan.
Nisah Haji Haron berkata…
Terima kasih atas pandangan Saharil dan Jimadie. Pandangan mantan yang lain bagaimana?
Tanpa Nama berkata…
Salam Sis

Dalam pada tak daftar dulu pun (zaman Hizairi), saya dah merasa seksa-leceh-ruwet menulis minit mesyuarat/agenda mesyuarat walaupun cuma penolong setiausaha.Kak Ade Irma tahulah ni.

Ada banyak lagi kelab/persatuan yang tak berdaftar secara rasmi pun boleh berjaya dengan cemerlangnya. Tapi kalau Saharil kata ada juga 'pekdah-pekdahnya' mendaftar, why not.Sekarang ni zaman you know who baru kerja jalan,kan?Hmmm.50-50 pulak pendapat cek.
BooK berkata…
sy bukan mantan. huhu. sedih.
Imran Yusuf berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah,

Sekiranya MPR sudah wujud sebegitu lama dan berjaya tanpa didaftarkan, maka teruskanlah begitu.

Mendaftar sebagai pertubuhan hanya akan menambah beban kerja.

Lagi pun idea mendaftarkan pertubuhan ini ialah berasal dari penjajah British yang mewujudkan sistem ini semata-amat kerana ingin mengawal dan memantau pertubuhan atau kumpulan.

Tidak perlu daftar...itulah pendapat muktamad saya. Terima kasih.
Tanpa Nama berkata…
Saya bukan mantan MPR. Pendapat saya, MPR tidak perlu daftar. Dengan tidak berdaftarpun sdr semua masih boleh bergerak. Kalau berdaftar bermakna sdr merelakan tangan sdr diikat. Faham-faham sajalah.

-pakuban
Tanpa Nama berkata…
perkara ni dah lama ode dengar. seperti kata abg saharil.kalau, alumniMPR didaftarkan....senang sikit nak dapat peruntukan untuk program-program kita.tapi, kita terbeban dengan laporan dan lain-lain. ahli-ahli pun akan jadi lebih formal dan hilang sifat kekeluargaan.rasanya macam sekarang lebih sesuai kot.
Korakora berkata…
saya bukan mpr. kalau mpr nak didaftarkan, saya pun nak daftar, Pertubuhan Penulis Bukan Mantan MPR Bersatu atau akronimnya Bukan-bukan

:)

wanna join da club? hik!

Catatan Popular