"Simpanlah RM40 Untuk Jadi Bodoh"


Semalam telah berkampunglah buat sehari para pencinta buku di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Majlis tambah berseri dengan kehadiran SN A. Samad Said. Namun, pada pendapat saya, kehadiran Seminar Pencinta Buku 1 lebih ramai daripada tahun ini. Walau bagaimanapun, itu tak menjadi hal, kualiti peserta yang hadir lebih penting.

SN A. Samad Said telah memberikan ucaptama sewaktu perasmian majlis. Ucapannya sungguh menggugah rasa dan memberi makna yang pelbagai kepada setiap peserta. Pengalaman beliau jatuh cinta dengan dunia buku seawal 8 tahun di Singapura ditumpahkan dengan kata-kata yang sangat puitis, biarpun penyampaiannya dalam bentuk prosa.

Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana rata-rata rakyat Malaysia sanggup menyimpan wang daripada dilaburkan untuk membeli buku yang baik supaya menjadi pandai. Buku-buku luar negara memang mahal, beliau mengakui - ada yang bermula dari RM40 - RM400 sebuah , buku-buku tempatan pula dari RM15 - RM40 sebuah - tapi semurah-murah buku di Malaysia itu pun, masih ramai yang takut untuk melabur sebanyak RM40 itu.

Saya fikir, ramai peserta yang terkesan dengan kata-katanya, "Jadi anda ada pilihan untuk membelanjakan RM40 itu untuk jadi pandai, ataupun simpan sahaja RM40 itu untuk jadi bodoh."

Memang benar, ramai sungguh antara kita yang boleh berbelanja hingga beratus-ratus ringgit untuk sehelai baju berjenama berbanding mengeluarkan RM40 untuk sebuah buku. Jangan katakan RM40, RM10 pun belum tentu ramai yang boleh menilai apabila harga tersebut dikenakan ke atas sebuah buku.

Adakalanya saya tersenyum sendiri. Kalau beli kain baju, belum tentu orang minta diskaun. Tapi kalau beli buku - kadang-kadang buku yang dibeli itu hanya sebuah - belum apa-apa lagi sudah bertanya berapa diskaunnya. Marilah kita nilai isi sesebuah buku itu terlebih dahulu. Kita wajar menjadi pembeli yang bijak tetapi dalam masa yang sama, kita juga wajar menghargai jerih pedih penulis dalam melahirkan sesebuah karya.

Membeli buku merupakan pelaburan jangka panjang, terutamanya kepada penulis. Ini sering saya tekankan setiap kali saya beri ceramah ataupun pada bila-bila saya ada peluang untuk menyatakannya. Bacalah buku yang berkualiti dan mengajar kita berfikir kalau mahu menjadi penulis yang berkualiti.

Atau, simpan sahaja wang anda itu untuk menjadi bodoh!

Saya berasa seronok kerana akhirnya dapat berjumpa dengan Jiwarasa yang selama ini rakan akrab secara maya, semalam membentangkan kertas kerja bersama-sama. Pembentangan beliau juga cukup menarik dan harapan beliau supaya lebih banyak bloggers di luar sana yang akan menulis tentang dunia buku daripada kisah-kisah seharian seperti sebuah diari sifatnya.

Di bawah, beberapa gambar seminar yang sempat dirakamkan.


Ulasan

ulasbuku berkata…
Pak Samad agak keterlaluan mencadangkan sedemikian. Adakah membeli karya sastera bernilai RM40 menjamin seorang itu menjadi lebih pandai dan kalau sebaliknya menjadi bodoh?

Buku sastera itu cuma karya kreatif. Kita tak boleh jadi pandai kerananya, melainkan akan jadi lebih pandai berkarya kreatif; itupun kena ada anugerah untuk pandai menulis.

Nak jadi pandai, kena baca buku akademik. Dan ini mudah didapati di perpustakaan. Nak beli sesebuah buku akademik itu, alahai.

Kita sendiri pun tahu betapa susah bekerja (apa jua kerjaya) untuk mendapatkan RM40 tu? Sewenang-wenangkah kita perlu setiap bulan membelanjakan wang untuk buku?

Tidakkah membazir juga apabila menurut nafsu membeli sekian banyak buku, tapi akhirnya tersadai, tersengih di atas rak buku. Nak baca pun tak sempat.

Baca buku bukan melalui membeli sahaja. Banyak lagi wadah lain boleh dimanfaatkan. Berkunjung ke library pun satu jalan lain untuk membaca.

Lebih afdal nak jadi pandai kena berguru. Beli buku agama RM40 semata-mata pun belum tentu pandai, entah-entah sesat jadinya jika tak berguru.
zf_zamir berkata…
salam tuan rumah,

myxpltk, saya berpendapat sebaliknya..

saya tidak mendengar pak samad mengehadkan terhadap buku sastera saja..

buku tersebut boleh saja jadi buku genre lain..

yang menjadi kritikal isu ini adalah budaya, budaya masyarakat, budaya bangsa serta budaya pemikiran kita yang mengehadkan duit terhadap perkara lain selain buku..

sesuatu yang menarik untuk dibincangkan oleh sasterawan negara yang mengupas secara tersirat tetapi kritis..

kita kesal dengan budaya tersebut, bukanlah penyataan 'bodoh' itu takrifkan pula dengan emosi..

p/s:betulkan saya kalau salah..
Azree MH berkata…
Bagi saya Pak Samad tidak mengkhususkan kepada buku sastera sahaja kerana buku-buku bacaan Pak Samad juga daripada berbagai genre.

Dan bagi saya memanglah kena berguru juga. Cuma lebih senang mencari buku daripada mencari guru. Dan tak semua apa yang kita baca boleh menyebabkan kita jadi sesat tanpa berguru.

Apa yang pasti, kebanyakkan orang-orang terbilang tak kira ahli politik ataupun ahli perniagaan gemar membaca buku!

p/s: Saya lebih gemar berkunjung ke MPH mahupun Borders daripada berkunjung ke library.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Ermmm... kalau semua orang ke perpustakaan sahaja, alahai, susahlah PTS hendak bayar royalti kepada penulis....
Rebecca Ilham berkata…
Pembacaan tidak seharusnya terhad kepada satu-satu genre sahaja. Untuk jadi knowledgeable, kita tak seharusnya ralat meneroka pelbagai genre. Saya syukur sebab dari kecil Emak dan Ayah mendidik kami adik-beradik agar tak sayang duit kalau bab berbelanja untuk buku.

Sewaktu di Malaysia, saya lebih suka beli buku sendiri. Tetapi di US, jarang sangat beli buku, kerana perpustakaan awam di sini kelas satu - nak buku apa, semua ada. Malah yang belum di-release pun boleh di-booking sebelum tarikh penerbitan.
Tanpa Nama berkata…
Saya bersetuju dengan Pak Samad. Memang banyak yang teragak-agak untuk membeli buku berbanding dengan membeli pinggang mangkuk jadi hiasan misalnya.

cubalah lihat barang hiasa di kebanyak rumah terutama rumah Melayu pasti kita dapat teka jawapannya. Bukankah lebih cantik kalau rumah dihiasi dengan buku supaya boleh dibaca berulang sambil meningkatkan `persahabatan dengan buku`

Utk perhatian Nisah pula, orang membeli buku bukan dengan dua sebab seperti yang dikatakan dalam ceramahnya itu. Saya berpendapat ada juga orang membeli buku untuk dijual semula seperti yang saya lakulan.
Tanpa Nama berkata…
Saya setuju dengan Pak Samad dan Anon. Cubalah berlapang dada dengan perkataan bodoh tu dan lihat dari sudut ilmu ekonomi tingkatan 6 rendah. Fikirkan tentang kos melepaskan RM40.00 kepada yang selain dari buku. RM40.00 tak banyak.

Tak baca pun tak pun tak ada masalah, kalau kita boleh simpan set pinggan mangkuk dalam almari kayu jati, kenapa tidak pada buku? Buku pun boleh jadi home deco yang elegent kalau kreatif.

Daripada kita mengkayakan pengeluar pinggan mangkuk, rasanya lebih baik kita kayakan pengeluar buku. Btw, sekarang ini orang buat kenduri pakai katering, kalau zaman nenek saya dulu bersebab jugalah mau mgompul set pingan mangkuk.
Tanpa Nama berkata…
setuju dengan mxypltk,

owh,
sedari la penulis anyss sophillea komsas sekolah menengah

terima kasih, kerananya saya dapat A SPM bahasa melayu
Nisah Haji Haron berkata…
mxypltk,
nampaknya, kita berbicara dengan nada yang berbeza walaupun topiknya sama. Kita sama-sama betul, walaupun berlainan konteks :-)

zf zamir,
perkataan 'bodoh' mudah membuat kita terkejut dan lekas emosi.

nurani nafa,
adakalanya kunjungan ke kedai buku lebih mengujakan daripada perpustakaan. Lainlah perpustakaan itu koleksinya seperti Library of Congress!

puan ainon,
sesungguhnya, puan benar!

anonymous,
ada banyak kategori pembeli buku, senarainya tidaklah terhad kepada yang pernah saya sebutkan ataupun seperti yang sdr tambah.

mardhiah,
saya pun sampai sekarang masih tak faham mengapa ada orang suka benar buat koleksi pinggan mangkuk!

munsyi,
baru habis belajar ya? faham dulu konteks perbincangan sebelum setuju dengan sesiapa pun.

Lagipun, setahu saya annyss sophilea masih belum disoal dalam mana-mana soalan KOMSAS SPM, melainkan sdr pernah menduduki kertas Julai tahun lepas. Jadi, tidak wajarlah berterima kasih kepada saya kerana dapat A dalam SPM Bahasa Melayu.
Unknown berkata…
Sdr Nisah,

Saya juga rasa gembira dapat bertemu Nisah dan Shukri. Rasa bangga bila berpeluang berkongsi pentas dengan seorang penulis terkenal.

Ucapan Pak Samad tempoh hari memang sangat berkesan bagi seorang pencinta buku. Tersentak bila ditanya apakah nilai yang kita letak pada sebuah buku.

Saya hormat kepada semua yang suka membaca, tidak kira dibeli atau dipinjam. Jika bergaji kecil atau tidak mampu, carilah cara supaya boleh dipinjam.

Saya ada wang lebih. Suka hati sayalah nak beli apa. Saya boleh beli dan himpun set golf atau sport rim baru, atau beli dan himpun set kristal Swarovski dan Bohemian. Saya tak nak. Saya pilih beli buku.

Saya beli buku sebab nak tahu. Nak cari ilmu. Saya jumpa ilmu dalam semua jenis buku, termasuk karya kreatif. Saya beli buku sebab nak tolong penulis Malaysia yang menulis tetapi tak kaya-kaya.

RM40 boleh habis sekali makan ayam goreng di restoran makanan segera, atau makan bufet di hotel 4 bintang.

RM40 tak cukup untuk belanja saya pulang dari BM ke Ipoh.

Kalau anda bergaji RM400 dan beranak 10 jangan beli buku. Itu memang membazir namanya.
Tanpa Nama berkata…
salam. saya setuju dengan pendapat pak samad.
kalau tak sempat baca, kita pasti akan baca juga bila ada masa!
fadz berkata…
nisah, ive read your commentary in Dwn Sastera 0507. Thank you for jabbing JIAN like hell...I appreciate it. Thus, kesian org Dawama and En Abd Ahmad. They are bad designers, no? Have you actually read it? I know its a small shitty work by someone who was just 17 yo at that time, but believe me, i felt it is worth it. Oh by the way, i ve havent had the chance to read yours yet..u wait..

httop://fadliakiti.blogspot.com
Dik Mal berkata…
Salam semua :)

pada fikiran saya, Pak Samad cakap begitu dengan tujuan melambangkan budaya membaca di Malaysia. Mungkin pada sebaliknya, Pak Samad ingin menyatakan, jika ada wang, laburkanlah untuk menuntut ilmu, salah satunya membeli buku. Dan keadaan itu lebih baik dari pembaziran sewenang-wenangnya. Betul tak?

Budaya membaca perlu disemai dengan bersungguh-sungguh di Malaysia dalam usaha membudayakan ilmu pengetahuan :)

p/s : Selamat Membaca di Blog saya :)

Dik Mal
Ampang, Selangor
Blog Pembangunan Diri dan Motivasi

Catatan Popular