Kualiti Bakal Sarjana Sastera

I

Beberapa hari lepas, saya dihubungi seorang pensyarah. Dia mahu mencadangkan kepada anak didiknya supaya mengkaji novel Mencari Locus Standi (MLS) dan beberapa karya saya yang lain bagi tujuan tesis ijazah pertama. Lalu panggilan telefon itu dipanjangkan kepada anak didiknya. Pelajar itu pun menjelaskan (dalam keadaan serba tidak pasti) dan mengulangi apa yang telah diterangkan pensyarah tersebut. Selain itu, dia mahu saya berkongsi pengalaman kreatif dan mahu menemuramah saya kelak.

Saya memahami kehendak mereka. MLS dan cerpen-cerpen saya yang berbancuh ilmu perundangan itu mahu dikaji dari aspek pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. OK. Satu tesis yang menarik jika kena gayanya.

Soalan pertama saya kepada pelajar tersebut : "Saudara pernah bacakah karya-karya saya?"

Dengan teragak-agak, dia menyatakan 'tidak pernah'.

Hmm... Bagaimana ya, mahu jadi calon sarjana (muda)? Belum baca pun karya saya, sudah mahu menemuramah.

Terus saya katakan kepada pelajar itu supaya mendapatkan karya-karya saya terlebih dahulu, baca, fahamkan dan kemudian, kita tentunya dapat berbicara dengan lebih selesa.

Dia tanya lagi, di mana boleh dia dapatkan buku-buku tersebut. Ada dijual di kedai DBP?

Saya angkat kening. Lantas saya suruh dia beli terus dari www.ujanailmu.com.my

II


Tidak lama selepas itu, saya terima SMS seorang pelajar dari universiti yang lain pula. Dia mahu mengkaji kewajar MLS dijadikan karya KOMSAS (komponen sastera dalam Bahasa Melayu). MLS juga dicadangkan oleh pensyarahnya.

Saya balas SMS itu dengan soalan yang sama:

"Pernah baca?"

"Tak pernah."



III


Kalau diikutkan hati yang radang, mahu sahaja saya 'basuh' calon-calon sarjana sastera ini. Tetapi saya sabarkan diri. Pelajar yang pertama itu, akhirnya memesan MLS, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus dan Impian Tsu-Ryi untuk dikaji. Buku-buku itu sudah pun saya kirimkan. Harapan saya, apabila selesai ditelaah nanti, bolehlah kita 'sembang' panjang-panjang seputar hal-hal karya ini dan juga dunia penulisan dan sastera.

Setakat ini, pelajar kedua tadi belum menghubungi saya untuk memesan MLS. Saya bersangka baik bahawa dia mungkin boleh mendapatkannya dari kedai-kedai buku tertentu ataupun pinjam dari perpustakaan.

Lantas, saya pun jadi tertanya-tanya: apakah kualiti sarjana sastera yang bakal dihasilkan selepas ini. Mahu mengkaji teks tetapi teksnya bukan setakat tak pernah baca, tak pernah dengar pun! Alahai, kalau dah masuk kandang sastera, bawa-bawalah baca buku yang berkaitan dengan sastera. Takkan masih tak boleh berenggang dengan novel-novel cinta. Itu bacaan semasa masih bergelar awal remaja, takkan sudah mahu jadi 'muda jauhari' (bak kata Raihani) pun masih lagi berulit dengan khayalan tak berkesudahan itu.

Apatah lagi sudah masuk ke gelanggang kesusasteraan, jadilah sarjana yang arif dalam bidangnya. Percaya bahawa anda boleh menjadi jaguh dalam memperkatakan apa-apa sahaja (bukan sekadar teori) tentang kesusasteraan. Kita semakin ketandusan ahli akademik yang utuh dalam mengkaji karya-karya sastera. Kita sangat kekurangan pelapis.

Usah fikirkan bahawa saya mempelajari sastera ini -

sekadar untuk lulus periksa;
sekadar untuk memuaskan hati pensyarah;
sekadar memenuhi tuntutan kuliah;
sebab saya tak layak untuk ambil jurusan lain
sebab saya tak ada pilihan

dan kalau mahu saya senaraikan, ada seribu satu sebab lain yang mungkin.

Siapa kata ambil jurusan sastera tak boleh cari makan? Guru sastera kita sendiri yang berkata begitu? Guru kaunseling?

Percayalah bahawa rezeki bukan di tangan mereka. Sekali kita percaya apa yang kita lakukan ini hanya kerana Allah dan untuk memajukan ummah, insya-Allah, Tuhan itu lebih daripada seribu kali percaya dengan kebolehan kita ini. Caranya: kita hendaklah sungguh-sungguh percaya!

Namun, usah lupa pada usaha. Ya, gandakan usaha. Tajamkan tindak. Bertawakkal kepada-Nya.

** Bacaan tambahan : Lihat juga blog Dr. Ramzah Dambul tentang isu siswazah masa kini.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
...pensyarah...mencadangkan kepada anak didiknya supaya mengkaji novel MLS dan beberapa karya bagi tujuan tesis ijazah pertama. Lalu panggilan telefon itu dipanjangkan kepada anak didiknya. Pelajar itu pun menjelaskan (dalam keadaan serba tidak pasti) dan mengulangi apa yang telah diterangkan pensyarah tersebut.

* seingat saya, 1 kali buat penulisan ilmiah (untuk sarjana muda kajian tidak dipanggil tesis tetapi penulisan ilmiah/academic excercise) dan 2 kali tulis disertasi (thesis), calon (saya)harus tampil dengan idea sendiri, tentang apa kajian yang mahu dilakukannya.

malah saya sendiri beritahu/terangkan pada penyelia buku apa yang saya akan rujuk, dan menerangkan serba sedikit bagaimana saya akan melakukan kajian tersebut, daripada perspektif mana etc. etc.

penyelia cuma akan memberi sedikit panduan dan pandangan dan lebih banyak mendengar (dengan penuh minat) apa yang mahu dikaji. once, when asked by univ. senate members who're quite sceptical with the proposal of my dissertation-to-be, my supervisor cleverly answered: that is why we must let him do the research so he can enlighten us about the whole idea of his writings (dissertation).

nampaknya, masa kini pensyarah pula yang tentukan kajian apa, buku apa yang harus dirujuk dan dikaji. very funny eh!

wassalam,
-a not-so scholarly person-
Tanpa Nama berkata…
Ya,ya, sayalah yang muda jauh hari tu!Muahaha!

Al-kisahnya seorang anak didik (adik didik, lebih tepat) meluahkan rasa hati dalam blognya tentang kisah seorang pejuang sastera yang juga pensyarahnya kini. Rasanya tak perlu beritahu siapa...akak kenal.Kisah merajuk dan lara hati.

Saya rasa si adik didik ni telah dropped my waterface sedikit sebanyak...dengan tindakannya yang mencerminkan usia muda tetapi tidak jauhari itu.Saya pun tak sangka dia yang prolifik berkarya dan nampaknya boleh diharap akan terasa jauh hati dengan sedikit hukuman akibat lewat ke kelas. Malah mengungkit-ungkit sampai ke tahap perlantikan dan gaji.

Talk about being muda eh!
Unknown berkata…
Sdr Nisah,
Memang patut dibasuh!
Basuh betul-betul, smapi hilang daki dan kekotoran yang melekat di jiwa mereka...
Tanpa Nama berkata…
Saya 100% percaya yang cerita Nisah ini bukan cerita buat-buat..walau macam tak logik. Amboi manjanya budak tu sampai telefon pun didailkan.

La ni kalau tulis benda pelik sikit nanti orang kata penulis yang pelik, berimaginasi yang bukan-bukan. Tengok sahajalah cerita 2 hati kat TV tu. Penulis ka yang kuat berangan atau memang itulah realiti budak-budak pompuan sekarang, sampai sanggup tuuttt nak lulus punya pasai?

Itu gempar keluar radio, guru tuut anak murid. Kalau zaman kita sekolah dulu ada kah guru nak buat macam itu? ka budak pompuan tu yang dah gian tergila-gilakan cikgu sendiri sampai sanggup create story yang bukan-bukan.
Salmah MY berkata…
Puan,

Seandainya guru kaunseling yang mengatakan sedemikian, saya kira guru kaunseling itu tersalah memberi panduan kepada anak didiknya. Kaunselor diajar untuk melihat potensi diri seseorang, seperti kata Holland manusia ada 6 kecenderungan/minat dan jenis personaliti. Artistik salah satu darinya dan saya kira sasterawan merupakan salah satu dalam kategori itu. Identiti Artistik yang kuat akan mendorong individu melakukan aktiviti yang bersesuaian dengan minat artistiknya (menulis/melukis/berlakon dll). Jadi tidak hairan penulis seperti Puan yg berlatarbelakangkan guaman juga ada ciri Artistik, begitu juga klimatologis Dr Rem Dambul yang saya kira identiti Invenstigatif dalam ciri Hollandnya tinggi juga mempunyai Artistik. Saya berharap lontaran sedikit kemarahan Puan di atas tidak dituju kepada 'guru kaunseling' yang secara asasnya diajar untuk tidak melabel klien apatah lagi melabel sesuatu kerjaya. Mohon maaf sekadar terpanggil menulis pandangan.

Catatan Popular