Selasa, April 29, 2008

Bergurindam di Kota Kinabalu

Atas undangan pihak DBP Cawangan Sabah (dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur) saya menyempurnakan satu permintaan untuk program penghayatan KOMSAS di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Pada mulanya saya agak keberatan kerana bagaimana mungkin saya terbang ke tempat yang agak jauh apabila si kecil saya ini harus mengikut saya walau ke mana-mana sekalipun. Asalnya, saya dijadualkan terbang pada hari Ahad, hadir untuk majlis tersebut pada hari Isnin dan terbang pulang pada hari Selasa. Oleh sebab, pihak penganjur keliru dalam menentukan bagaimanakah cara untuk membiayai penerbangan saya dan juga si kecil saya (yang saya difahamkan, hanya tambah 10% daripada harga tiket kerana bawa baby bawah umur 2 tahun), jadi jadualnya pun ditukar kepada pergi dengan penerbangan jam 9.00 pagi dan pulang pada jam 7.30 malam hari yang sama.

Dengan itu, saya memilih untuk meninggalkan si kecil saya dengan bapanya! (Maaf, sayang. Adakalanya ibumu ini diperlukan juga oleh jagat kesusasteraan.)

Perjalanan ke KK agak baik cuma penerbangan sedikit terlewat kerana ada tiga orang penumpang yang telah mendaftar masuk bagasi tetapi sehingga dipanggil masih lagi tidak jumpa kapal terbangnya. Oleh itu, pihak penerbangan terpaksa mengeluarkan semula bagasi mereka dan kami pun terus terbang tanpa mereka. Sungguh menyusahkan orang lain, apatah lagi saya yang agak lapar kerana berkejar ke KLIA tanpa sempat bersarapan terlebih dahulu.

Dalam penerbangan, saya sempat menelaah tulisan tentang teater fitrah kupasan SN Nordin Hassan yang ditulis dalam majalah Pentas keluaran Mac/April 2007. Saya pernah baca wawancara dan juga rencana tersebut lama dahulu, namun saya fikir saya harus membuat persediaan kerana pihak penganjur meminta saya menyampaikan topik - Penghayatan Puisi dan Drama KOMSAS.

Pesawat MAS penerbangan MH 0080 yang mahu meneruskan penerbangan ke Narita itu sampai di KKIA dan saya dijemput oleh Puan Rasyidah dan Encik Jaafar Ungki (kedua-duanya pegawai DBP Cawangan Sabah).

Walaupun saya memilih untuk tidak menyentuh tentang konsep teater fitrah ini kepada pelajar-pelajar dalam penyampaian saya, namun saya telah menduga pasti ada soalan tentang drama Jangan Bunuh Rama-rama. Persediaan saya tidaklah sia-sia kerana memang ada satu soalan daripada seorang pelajar yang bertanya - bagaimanakah cara untuk memahami drama anti-realisme seperti Jangan Bunuh Rama-rama.

Saya tak pastilah sama ada soalan itu disogokkan oleh guru pengiringnya ataupun itu merupakan pengalaman beliau sendiri membaca naskhah drama tersebut. Pun, saya hargai soalan tersebut.

Sebelum acara saya bermula pada kira-kira jam 2.30 petang, terlebih dahulu ada pertandingan bercerita dalam bahasa/dialek Kadazandusun. Wah, bersemangat sekali adik-adik sekolah rendah ini menyampaikan cerita dengan gaya masing-masing. Busana masing-masing juga tidak kurang hebatnya. Sayang sekali, saya tidak faham bahasa itu. Saya percaya, ceritanya pasti menarik!

Sementara menunggu giliran acara saya, sempat juga melihat-lihat Pesta Buku Sabah 2008 yang turut diadakan di tempat yang sama. Tidak berapa besar pestanya, tetapi cukup untuk memenuhi ruang legar Kompleks Asia City itu. Khabarnya, kompleks ini masih baharu hatta para penganjur pun ramai yang pertama kali menjejaki tempat itu seperti saya!


Pada peringkat permulaan, saya tarik perhatian mereka dengan menyampaikan contoh-contoh syair, gurindam dan seloka. Ada pula yang meminta tunjur cara menyampaikan nazam. Mujur juga ada sebuah nazam spare dalam beg tangan. Dapatlah juga saya lagukan pada ketika itu. (Yang penting saya tegaskan bahawa rentak nazam bukanlah seperti Lagu Nazam Lebaran).

Bagi puisi moden, dalam jangka waktu yang agak terhad itu saya sempat berkongsi bahawa puisi itu boleh dibaca, dideklamasi dan juga boleh dimestamukan. (Mestamu = Melodi Sajak Tanpa Alat Muzik)

Jelas mereka tertarik mendengar pelbagai rentak syair dan pertama kali mendengar mestamu, gurindam dan seloka. Apabila minta mereka naik ke pentas untuk sama-sama bersyair, berpuisi, ramai juga yang berani dan menyahut cabaran saya. Bahagia sekali apabila penonton mengambil bahagian tanpa banyak karenah. Malah ada juga guru yang mengusik, mahu turut sama mengambil bahagian. :-)

Untuk drama pula saya perkenalkan aktiviti-aktiviti penghayatan seperti improvisasi, menulis monolog sebagai tambahan kepada teks asal, 'balang kaca' dan 'kerusi panas'.

Usai majlis, pelajar dan guru nampak seronok. Saya pun terasa puas kerana jumlah peserta yang sederhana itu membuatkan tumpuan yang lebih dapat diberikan. (Kumpulan yang terlalu besar biasanya sukar mencuri tumpuan mereka. )


****

Kalau sudah sampai ke KK, saya mesti carai kopi Tenom! Saya mohon kepada Encik Nadin (DBP Sabah) dan Puan Rasyidah supaya dapat mengusahakan permintaan saya itu. Tanpa berlengah-lengah lagi, Encik Nadin memandu terus ke Pasar Besar Kota Kinabalu. Sampai di situ, kedai yang menjual kopi Tenom yang siap dikisar secara live sudah tutup (kerana sudah jam 5 petang). Saya sedikit kecewa. Mujur juga dapat dipujuk apabila ada sebuah kedai lain yang menjual kopi secara loose walaupun tidak dikisar di situ. Ah, bekalan Kopi Tenom untuk tahun ini sudah cukup! Lagipun, saya bukanlah peminum kopi hari-hari.

Sampai di KKIA sudah lewat senja. Sempat melihat matahari terbenam di Laut China Selatan dari lapangan terbang. Satu fenomena yang tidak kurang menarik, apatah lagi sebuah pesawat melintasi di hadapan matahari itu. Cuma kamera saya tidak cukup canggih untuk menangkap gambar itu dengan cepat. Ketika punat ditekan, pesawat itu sudah melintasi matahari terbenam itu.

Pagi ini saya masih terasa seperti tidak percaya bahawa saya telah ke KK semalam pagi dan pulang malam tadi. Pagi ini walaupun masih ada saki-baki kantuk dan letih letak, entri ini perlu disudahkan sebelum 'semangatnya' berterbangan...

***

Entri tentang KK & Tenom sebelum ini :

Pertama Kali Kaki Memijak Bumi Borneo

Catatan Dari Kota Kinabalu

Perjalanan Melintasi Gunung-Ganang 1

Perjalanan Melintasi Gunung-Ganang 2

Flora Yang Melambai-lambai


4 ulasan:

Rem berkata...

Nisah,
Kompleks Asia City itu memang baru. Saya sendiri pun belum pernah lagi jejak ke situ. Bila tengok gambar blog ini, teruja pula mau datang tengok.

Kalau saya ada di sana, saya boleh tolong terjemah pertandingan bercerita KadazanDusun itu pada Nisah. :) Itu pun kalau saya faham dengan penuturan bebudak tu. Sekarang ini, majoriti (lebih 95% -- ikut kajian terbaru!) generasi muda Kadazandusun (pasca 1990) tidak boleh bertutur bahasa ini secara natural.

Kalau yang boleh pun, kebanyakannya menerusi teknik hafalan atau belajar secara formal di sekolah. Dalam kes begini.. faham-faham sajalah. Fonetik sebutan mesti kelakar. Saya pernah menghadiri penilaian oral bahasa Kadazandusun di sebuah sekolah. Sumpah, saya tidak faham apa pelajar itu sebut. Langsung tiada bunyi Kadazandusun! :)

Mudah-mudahan... nasib Bahasa Melayu tidak jadi seperti KadazanDusun. Bahasa ini dijangka akan pupus dari penuturan basahan menjelang 2050. Kemudian dua dekad selepas itu, bahasa ini akan pupus sepenuhnya. Sebagai etnik Kadazandusun -- saya fikir jangkaan ini amat menakutkan!

Petua untuk membeli kopi Tenom:

- Cium bau kopi. Jika ada bau 'hangit' -- abaikan. Itu adalah kopi yang dipanggang dengan cepat (mau jimat masa!). Akibatnya, aroma kopi yang tulen kurang dipelihara. Kopi yang bagus mutunya harus dipanggang berjam-jam dengan bahang yang sangat perlahan!

- Cium sekali lagi kopi. Jika ada bau 'manis' atau haruman 'asing' -- abaikan. Itu adalah serbuk kopi yang sudah dicampur dengan bahan-bahan lain. Biasanya dengan serbuk planta (to mask up the burnt smell!).

Paling bagus, beli biji kopi mentah. Panggang dan kisar sendiri. Baru ada kelas. Tapi kerjanya remeh -- mau memanggang kopi bukan macam panggang kacang. Kena buat perlahan-lahan. Macam masak dodol. Tapi nikmat kopi hasil karya sendiri lebih indah dan mengasyikkan! :)

U-HAH berkata...

Was Nisah, best lah dapat ke Tenom. Saya memang teringin sangat nak jalan-jalan ke sana...

Nisah Haji Haron berkata...

Rem,
Akan saya aplikasikan petua itu, jika saya sampai lagi ke KK kelak. Oleh sebab masa amat suntuk dan berkejaran untuk ke KKIA semula, saya capai sahaja apa-apa kopi Tenom yang ada. Setakat ini, apabila saya minum, rasanya masih sama dengan kopi Tenom yang saya beli sewaktu di Tenom dulu.

U-Hah,
Tenom amat tenang. Bacalah entri-entri saya yang terdahulu tentang Tenom. Saya juga 'kerinduan' untuk ke sana lagi! :-)

Bunnybaby berkata...

Puan Nisah,

Sehingga kini apabila menikmati kopi panas, pasti teringatkan entri ini yang mencetus minat saya untuk mencuba kopi Tenom. Bermula dari serbuk kopi Tenom, seterusnya minat saya bercambah pula ke biji kopi dari tempat lain juga (Sumatra dan Colombia) :-p

Related Posts with Thumbnails