Drama Melayu Mencari Kematangan

Ada kemungkinan saya ini dilahirkan bukan untuk menonton drama-drama Melayu mutakhir. Saya masih ingat lagi ketika zaman kanak-kanak dan awal remaja, pasti tidak ketinggalan menonton drama-drama seperti Opah dan PJ. Entah mengapa, pada ketika itu, drama-drama tersebut begitu mencuit rasa. Apabila tiba zaman permulaan drama-drama swasta, minat saya untuk menonton drama semakin merundum.

Kalau ada pun yang saya tonton ialah sewaktu di kampus, ketika drama disiarkan pada sekitar jam 6.30 petang - waktu membeli makan malam di kafe. Apabila sudah 'tertengok', mahu juga ikuti kesudahannya. Pun, dalam hati seringkali mempertikaikan hal-hal logik dalam cerita. Apa ya drama yang masih saya ingat? Mungkin Cinta Antara Benua kerana ia kisah pelajar di luar negara yang berusaha keras menunjang jati diri dalam hal yang tak berapa logik seperti sentiasa berbaju kurung nipis ke kuliah walaupun pada ketika itu awal musim bunga.

Selepas daripada itu, saya semakin meninggalkan drama-drama Melayu kerana saya tak tahan dengan dialog-dialog yang disampaikan dengan nada cresendo oleh pelakon-pelakonnya. Kalau tak bertempik, menengking sesama sendiri, tak sahlah drama Melayu itu. Atas alasan tersebut dan alasan-alasan lain seperti pengulangan kisah-kisah yang itu-itu juga, semakin menjarakkan saya daripada menontonnya.

Apabila saya dipelawa menonton sebuah drama tulisan seorang sahabat penulis malam tadi, saya cuba untuk menontonnya. Apatah lagi, drama tersebut merupakan adaptasi daripada sebuah novel pop yang agak meletup pada siri pertama novel tersebut. Sebagai sebuah novel, ceritanya meruntun perasaan walaupun aspek pemikirannya masih dangkal. Cerita tersebut semakin menuju kematangan apabila sampai pada siri terakhir novel tersebut.

Saya cuba betah menunggu sekitar 10 minit pertama siarannya. Saya tak tahan mendengar dialog-dialog cresendo - contohnya, mak datin yang mempuyai perwatakan klise - memarahi pekerja yang datang lewat.

Ah, mengapa watak itu tidak boleh digambarkan seperti Maryl Streep dalam The Devil Wears Prada? Beliau digambarkan sebagai majikan yang tidak berperikemanusiaan. Tetapi tidak pernah sekalipun Maryl Streep menengking kepada mana-mana pekerjanya. Semuanya dilakukan dengan mimik muka, senyuman sinis dan perwatakan sombongnya itu langsung tidak perlu hilang suara menjerit-jerit.

Pernah juga saya tanyakan kepada beberapa orang sahabat penulis yang terlibat dalam penulisan skrip drama tv tentang hal ini. Kata mereka, masalah pertama yang bajet. Kita harus akur bahawa bajet untuk drama tv tidaklah sebesar mana. Jadi, kalau nak buat cerita kereta meletup ataupun helikopter terhempas, alamat bajet tu cukup untuk siri pertama saja. Mana cukup nak bayar pelakon lagi.

Kedua, nak cari pelakon. Semua orang nak pelakon yang 'best-best'. Tapi, tak semua pelakon untuk lapang untuk shooting. Kadang-kadang sudah ada komitmen untuk berlakon dengan drama/filem lain. Oleh itu, apabila sudah tidak ada rotan, kenalah cari akar-akar yang boleh dianggap berguna, walaupun adakalanya tak boleh digunakan pun. Itu hakikat, kata mereka.

Ketiga, skrip. Ada juga penerbit / pengarah yang campur tangan dalam hal skrip. Itu belum dicampur lagi dengan stesen tv yang turut sama sibuk dan mengubah-ubah skrip yang telah ditulis. Kalau kena dengan stesen tv yang bersifat kapitalis dalam darah daging mereka, tentu lebih parah lagi.

Itu antara yang pernah dikongsi kepada saya. Justeru, tidak hairanlah kalau saya kerap kali meninggalkan televisyen ataupun beralih saluran tv jika tertonton drama Melayu. Hati ini, ingin sekali menyokong industri filem/drama tempatan, tetapi selagi industri ini mementingkan rating, rating, rating, mungkin selama itu jugalah saya tidak berupa menonton drama-drama sebegini.

Kalau saya katakan di Malaysia kita kekurangan pelakon yang berbakat seperti itu, nanti orang kata, 'kalau kau pandai sangat berlakon, cubalah!' dengan nada cresendo juga. Apa boleh buat, saya yang berhasrat untuk mengikuti siri drama ini, mungkin tidak dapat berbuat demikian. Seperti juga, saya tidak mungkin dapat membaca novel-novel pop yang bersifat melodrama seperti ini. Apabila dialognya mula bertele-tele dan hilang signifikan, mulalah saya membayangkan novel-novel yang tebal itu sebagai lapik untuk meninggikan bantal ataupun kadangkala sesuai untuk menjadi penyendal daun pintu saya yang gemar ditiup angin. Ah, nakal sekali fikiran itu!

Mungkin benarlah, saya tidak dilahirkan untuk menonton drama Melayu mutakhir, lalu saya hilang cara untuk menghayatinya...

Ulasan

Saya setuju pendapat kak. Drama Melayu sekarang ni terlalu meleret-leret skripnya. Tak perlu itu semua sangat, yang penting 'body language' pelakon-pelakonnya sudah dapat menggambarkan sesuatu tindakan. Bukankah itu fungsi tv, memaparkan sesuatu tulisan itu ke dalam bentuk tindakan? Bukannya memaksa para pelakonnya menghafal dan membaca. Seperti apa yang telah P. Ramlee lakukan di dalam setiap filemnya itu sudah cukup dijadikan contoh yang terbaik.
Tanpa Nama berkata…
Salam rumah baru!

Tiba-tiba di suatu petang,Marsli telefon saya dan bertanya kenapa blog saya hitam suram je. Saya tengah blues ke,tanya dia.Saya jawab, ek eleh...(nada crescendo),memanglah blog saya tu skinnya dari dulu hitam melegam gitu!Hahaha!

Tapi bukanlah adegan di atas yg nak saya highlight di sini. Bab-bab mengkritik drama Melayu ni memang makanan saya.Saya teringat PJ dan Opah dulu.Orang kata PJ tu Dallas yg tersesat.Saya tengok sebab masa tu saya suka tengok Melissa Saila yg comel.Saya juga follow Santan Berlada dan Kampung Seri Wangi.

Seorang teman yg menjaga sebuah produksi teater berkongsi dgn saya, pelakon utamanya kurang penghayatan watak dan tak ghairah pun baca skrip. Sebabnya?Terkejar-kejar jadual shooting di tempat lain. Soal komitmen ni penting. Orang akan bandingkan-'omputeh' bolehlah berlakon setahun sekali sebab shooting pun sampai 4,5 bulan, persediannya panjang(lebih2 lagi filem aksi/perang)tapi bayarannya cukup untuk goyang kaki 20 tahun (mengikut standart kitalah!).

Kalau cakap soal bajet,saya akan balik kepada yg basic-pengagihan dana kepada pembangunan seni budaya masih sangat ciput. Mungkin jika kita panggil mana2 angkasawan tolong endorse drama barulah ada tajaan yang besar?Hmmm?Tapi duit bukan satu masalah.Yang penting elemen naratif dan kekuatan skrip.Penulis yang berbakat dan berjenis,bak kata orang Kedah,bukannya sikit di Malaysia. Tapi produser Malaysia ni yang tak mahu ambil.Kata mereka,buat skrip hebat-hebat penonton tak boleh tengok.Berat sangat.Kita yg tak mahu educate penonton!

Oh,panjangnya...!Saya dah kata, ini topik kegemaran!Hahaha!By the way saya baru je tolak tawaran sorang produser ni.Mahu saya tulis doku 30 episod tapi bayar 4,500 je!Kalau doku tu nanti hanya membuatkan orang ambil novel tebal jadi penyendal bantal sambil mengalih siaran tv...jangan salahkan saya ya!Wakaka!

Psst,kalau ikuti drama adaptasi yg Kak Nis maksudkan tu...nanti ada satu episod shooting di rumah PENA.Mak dan adik saya pun terselit sekali jadi pelakon ekstra!
Oh! Citarasa kita serupa. Saya juga tergolong dalam golongan Melayu yang kurang gemar menontot drama-drama Melayu mutakhir.
Wan Nor Azriq berkata…
Salam kak nisah,

Saya sendiri juga tidak gemar menonton drama opera "sabun" Melayu atau sabun-sabun negara lain.Tetapi selalu dengar ceritanya daripada mak saya yang memang peminat setia sabun-sabun ni.Dia minat sabun luar sahaja, sabun tempatan tidak suka.

Dia tidak suka drama Melayu kerana katanya plot drama kita tidak sehebat plot drama Korea atau Amerika Latin.Macam kak katalah watak-watak drama kita suka menjerit-jerit dan guna dialog klise.Jalan cerita pun boleh agak dari episod pertama - adaptasi novel popular katakan.Walaupun mak saya suka sabun-sabun luar negara, tapi saya rasa samanya sahaja.Sabun tetap sabun.
Tanpa Nama berkata…
Salam semua.

Haah la! Saya pun memang tak berkenan nak menonton drama Melayu. Satu daripadanya memang sebab plot dan persoalan yang dikemukakan langsung tak mencabar. Balik-balik ituuuu aje. Rakan sekerja sibuk bersembang tentang SPA-Q ke (entah macam mana ejaannya) atau apa-apa drama Melayu pun, memang saya diam je tidak kuasa nak menyampuk. Certainly not my league.

Kadang-kadang disindir pula saya ni ibarat katak bawah tempurung. Eleh, macamlah cerita yang mereka tontoni itu boleh mengembangkan minda!

Bunnybaby
panahpena berkata…
Salam hormat, Puan.

Memang nakal pemikiran sedemikian, tetapi saya melihatnya sebagai pemikiran cemburu. Seperti cemburunya penulis sastera terhadap kemampuan penulis pop mendapat tempat di hati masyarakat.

Jika pemikiran sedemikian terus bersarang, tinggallah sastera jauh ataupun tidak langsung terpandang dek khalayak ramai.

Maaf ya... bukan saya anti-sastera, malah saya juga orang sastera, tetapi demi memartabatkan sastera, saya melihat pendekatan yang berbeza harus diterapkan oleh penulis sastera.

Sastera untuk masyarakat tidak akan relevan jika masyarakat menolak sastera. Sastera untuk orang sastera... berapa lamakah mampu berdiri sebegini?

Maaf sekali lagi.
Tanpa Nama berkata…
Salam..
Seorang aktivis masyarakat pernah menyuarakan pendapatnya pada satu majlis ilmu gara-gara orang-orang sastera seperti puan yang menyelar karya-karya pop yang sangat diterima pembaca dan masih memiliki nilai-nilai murni dalam nilai komersialnya. Begini kata aktivis masyarakat itu
"Sebab banyak makan pekasam, belacan, budu dan jeruklah orang melayu mempunyai penyakit 'hati' yang maha dashyat. Barangkali sangat benarnya pendapat aktivis yang mengkaji dan memerhati penyakit-penyakit manusia ini. Jangan sampai orang bukan sastera melihat orang sastera sekarang sebagai kelompok pendengki dan busuk hati. kelak makin terpinggirlah sastera yang sudah pun terpinggir selama ini".
Nur Islami berkata…
Salaam Kak Nisah,
Biasa lah, produksi drama atau filem (tak semua produksi) kalau dah mengadaptasi novel, tak kira lah novel apa pun, nilai komersil dan klise mesti tetap ada, sebab itu yang kebanyakan penonton suka tengok. Tak faham betul. Masyarakat lebih suka yang "biasa" daripada yang "luar biasa".
Sebab tu lah siri Natasha kat tv3 dalam slot Lestari tu mendapat sambutan. Orang suka tengok bab-bab menjerit dan menangis tu. Sekarang lagi best, ada susuk, ada anak pontianak dll

Itu lah "seni" untuk masyarakat.
Tanpa Nama berkata…
sastera utk org sastera...
menarik...
mungkin sukar difahami oleh orang yang tidak minat satera secara mendalam...
kadangkala org sastera harus faham bahawa obligasi sosial yg mereka pikul bukan hanya dgn menulis menggunakan ayat2 yg complicated...
selalunya org akan fikir, lg susah ayat tu nak difahami,
lagi tinggi kualitinya...
tapi benarkah itu yg berlaku?
apa gunanya kalau itu hanya akan memisahkan org biasa dgn org sastera?
obligasi sosial yg tidak kesampaian mungkin?
Maizura Mohd Ederis berkata…
Salam,

Saya lah penulis skrip drama yang dikritik dalam entri di atas. Alhamdulillah. Kritikan membuatkan kita sedar diri. Sedangkan pujian boleh membawa kepada riak, tinggi diri, perasan bagus dan bongkak. Penulis memerlukan sedikit sahaja pujian untuk menaikkan semangat dan banyak kritikan untuk menjadikan karya lebih baik. Namun, ada yang langsung tidak mahukan pujian kerana tidak mahu mengotorkan hati. Saya menerima kritikan dengan terbuka.

Namun, di sini ingin jua menjelaskan beberapa keadaan. Dalam keterangan watak dan perwatakan drama Tangisan Bulan Madu (TBM), Puan Marina ditulis sebagai ego, sombong, angkuh, keras hati, materialistik, garang dan kurang berpegang pada agama. Di dalam skrip pula, Episod 1, babak pertama yang melibatkan Pn Marina, ditulis sebagai MUNCUNG MULUT/MUKA SOMBONG. Mimik muka lain seperti JELING dan JEGIL MATA. Kemudian, dalam babak-babak seterusnya yang melibatkan konflik, dialog Puan Marina ditulis TEKAN SUARA, bukan TINGGI SUARA atau TENGKING. Ada perbezaan antara tekan suara dengan tinggi suara dan tengking. Malah di dalam novel juga, Pn Marina digambarkan sekadar menjeling, berwajah sombong dan gaya berlagak seperti Meryl Streep dalam The Devils Wear Prada.

Malang sekali, pelakon memvisualkan watak itu di sebaliknya. Puncanya kerana tiada langsung perbincangan antara penulis dan pengarah sebelum shooting. Pengarah yang sepatutnya mengarah sibuk dengan sebuah drama yang delay pengambarannya. Akhirnya, pengarah baru dilantik. Semua pihak mengejar masa. Skrip siap pada hujung September 07. RTM mahukan 10 tape (10 episod) yang sudah SIAP DI EDIT pada Januari 08. Waktu itu pendukung watak utama masih belum diketahui kerana jadual para pelakon bertaraf 5 star sangat padat. Selain faktor “star value”, pelakon juga perlu menepati gambaran dalam novel. Ini lah salah satu masalah adaptasi.

Saya tidak salahkan pengarah, pelakon atau penerbit kerana kerja ini adalah kerja ‘teamwork’. Kesuntukan masa turut memaksa penerbit melakukan “block shooting”. Ini meningkatkan kos pengambaran.

TBM juga over-run (terlebih masa) selama 10 minit bagi setiap episod. 10 minit di luar TV adalah pendek tetapi di dalam TV sangat panjang. Macam-macam aksi berlaku dalam masa 10 minit. Beberapa scene dan dialog terpaksa dipotong oleh penyunting (editor) semasa proses suntingan (editing). Bila perkara ini disedari, pengambaran sudah separuh berjalan. Saya terpaksa duduk semula depan komputer untuk memotong scene dan adegan dalam separuh skrip yang belum dijalani pengambaran. TBM the TV siries mempunyai main plot tentang percintaan dan kekeluargaan serta sub-plot tentang alam sekitar, perniagaan, agama, sosial dan sastera. Sudahnya, banyak sub-plot dipotong. Drama ini kehilangan “isi” yang baik apabila cinta dan keluarga sahaja ditonjolkan.

Pemotongan juga membuatkan kesan emosi berkurangan kerana teknik bertukar jadi “fast cut”. Ini tidak baik untuk genre melodrama. Ini lah puncanya kenapa TBM the siries kurang berkesan dari aspek runtunan emosi berbanding novel. Memang ada peminat fanatik yang berkata drama ini ‘kurreeng’ berbanding novel. Mereka tidak tahu bahawa novel hanya memerlukan bakat pengarangnya sahaja untuk bercerita tentang perasaan melalui perkataan. Pengharang memberitahu (TELL). Sedangkan drama TV, memerlukan pengkarya menunjukkan perasaan itu (SHOW). Tunjuk itu bukan melalui dialog sahaja tetapi melalui pengarahan, kerja kamera, kesan bunyi, lokasi, prop, pakaian dan sebagainya. Sebagai contoh, adegan kematian akan lebih sedih sekiranya ada rintik-rintik hujan, orang berpakaian putih dan berpayung hitam, muzik sayu menyayat hati seperti lagu Hujan nyanyian Sudirman, mimik muka sedih pelakon-pelakon tambahan, kerja kamera yang banyak CLOSE UP, dan sebagainya. Namun, untuk melakukan ini memerlukan kos yang bukan sedikit. Penerbit perlu membayar bomba, membeli banyak payung hitam, baju putih, membayar harga hakcipta lagu Sudirman kepada EMI yang walaupun sekejap tetapi sangat mahal dan sebagainya. Jadi, sebagai penulis skrip kita perlu berkompromi bila apa yang tertera dalam skrip/kepala kita tidak diterjemahkan bulat-bulat ke kaca TV. Tidak ada penerbit yang mahu rugi kerana mereka ada ramai staff dan banyak bil yang perlu dibayar. Silap-silap duit kita pulak tidak terbayar akibat hendak membuat adegan yang “grand”. Selain itu, adegan yang ditulis dengan baik oleh penulis skrip dan diarahkan dengan baik oleh pengarah boleh juga hancur jika si editor membuat kerja suntingan yang tidak kemas dan memasukkan muzik latar yang tidak ‘power’.

Saya juga penulis novel. Jadi, saya faham perbezaan antara menulis skrip dengan novel. Novel adalah “tell” manakala skrip adalah “show”. Menulis novel memang mudah. Tapi menulis skrip susah. Apa lagi hendak mengarah. Seorang pengarang novel belum tentu boleh menjadi penulis skrip yang baik kerana dalam skrip, dia perlu berfikir secara “visual”. Dan skrip adalah kerja teamwork. Kita tidak boleh menafikan peranan arahan, bakat lakonan, kerja kamera, muzik latar, lokasi, prop, wardrobe dan suntingan dalam menjayakan sesuatu adegan. Hebat atau tidak, menyentuh hati atau tidak sesuatu adegan itu memang bergantung kepada ‘tangan’ ramai orang, bukan ‘tangan’ seorang. Namun, mereka di luar sana termasuk pengarangnya sendiri pasti menyalahkan penulis skrip sekiranya drama adaptasi novel kesayangan mereka gagal memberi "feel". Saya sedar diri saya sedang dipersalahkan setelah muncul dua episod drama ini di kaca TV minggu lalu. Ini lah realiti yang perlu saya telan.
Maizura Mohd Ederis berkata…
Kenapa drama Melayu teruk? Jawapannya terletak pada industri itu sendiri. Industri drama (kalau lah boleh disebut industri) berkembang pesat sejak akhir-akhir ini berikutan tumbuhnya beberapa stesyen baru yang menawarkan slot drama Melayu. Akan tetapi kita kekurangan “talent”. Talent bermaksud penulis skrip, pengarah, pengurus produksi, jurukamera, mekap artis, wardrobe, propman dan sebagainya. Oleh kerana culture dalam industri ini memerlukan seseorang “start from scratch” yakni belajar dari pengalaman dan kesilapan, talent yang baik mesti ada pengalaman kira-kira 10 tahun. Tapi, talent yang keluar masuk industri sesuka hati dan industri yang “booming” dan “merudum” sesuka hati, menyukarkan terhasilnya satu pasukan talent yang mantap. Kita buat filem dan drama bila ada duit dan ada slot sahaja.

Slot drama Melayu mula meriah sekitar 1995-97 apabila Astro dan NTV7 ditubuhkan. TV3 pula mula memperuntukan lebih banyak slot drama Melayu. Tetapi ia lumpuh ketika ekonomi gawat 1998. Hanya 2-3 tahun kebelakangan ini industri kembali aktif. Muncul TV9 dan 8TV serta Astro menambah slot seperti Astro Prima dan Astro Oasis.

Maju mundur ini menyebabkan penggiat industri keluar masuk industri secara tidak konsisten. Tambahan pula industri ini kecil berbanding IT, manufacturing, construction, banking, aeroangkasa, etc. Kita tidak eskpot drama kita sebagaimana kita ekspot sawit atau proton saga. Jadi, ada penerbit yang masuk dalam industri kerana hendak buat untung atas angin di waktu industri “booming” atau ketika ada “cable” dengan stesyen. Mereka berhenti buat bila industri lembab atau “cable” sudah berhenti dari stesyen. Mereka ini tidak pernah berjaya memantapkan kemahiran ‘kepenerbitan’ mereka. Produk mereka hancur kerana tiada pengalaman. Ada kala mereka “sub” atau “JV” dengan orang berpengalaman tetapi ditipu. Setengah kes, mereka pula menipu orang yang mereka “sub” atau “JV” itu.

Dari segi talent pula, ada talent bagus bertindak keluar dari industri kerana kecewa dengan banyak perkara. Antaranya underpaid, overworked, tidak profesional, menjadikan sekadar hobi, passion atau glamor. Kadang-kadang talent yang bagus keluar kerana timbul kesedaran agama. Mereka berpendapat seni visual ini adalah haram di sisi agama. Ada talent yang bagus enggan masuk dalam industri ini kerana bayaran kurang. Jadi, mereka memilih advertising yang bayarannya cukup lumayan. Selain itu, ada talent bagus yang enggan masuk kerana ingin mempertahankan ideologi dan prinsip. Mereka ini adalah graduan sekolah filem terutama yang menjadi best student, dapat ijazah kelas pertama atau sekurang-kurangnya TOP 5 dalam kelas. Di sekolah, mereka dibasuh oleh pensyarah untuk menonton/mengkaji ‘international/foreign film’ yang mempunyai intelek tinggi seperti filem Perancis, Itali, Iran, India dan Cina. International/Foreign filem bukan lah filem2 blockbuster Hollywood, Bollywood atau Hong Kongwood yang meletup-letup di panggung. Filem blockbuster Hollywood, Bollywood dan Hong Kongwood sangat komersil sifatnya. Hanya kita yang rasa filem Hollywood itu “educated” kerana beberapa dialog berisi falsafah ringan, teknik persembahan yang baik dan segar serta didokong oleh budget besar. Kita tidak sedar bahawa Hollywood juga mempromosi budaya popular malah lagi teruk kerana mendakyah, menjajah dan godless (tanpa Tuhan).

Industri drama berpotensi untuk lumpuh sekiranya berlaku musibah ekonomi. Gawat 1997 adalah bukti. Jadi, tidak ramai yang berani untuk serius dalam industri ini kerana bimbang musibah itu akan berulang. Mereka sekadar menjadikannya sebagai ‘passion’ dan mempunyai kerja atau bisnes lain yang tidak ada kaitan dengan filem. Boleh dikatakan ramai talent mempunyai dua jenis pekerjaan yang berlainan. Ini menyukarkan tumpuan terhadap kerja drama.
Masalah ini bukan dirungutkan oleh Nisah Haron seorang. Pendukung atau hard core dalam industri ini sudah lama merungut. Kita perlukan talent baru..talent baru...talent baru. Tapi siapa? Dan di mana hendak cari? Di ceruk kampung, sekolah pondok atau di universiti? Tidak ramai yang mahu terjun dalam industri ini lebih-lebih lagi golongan agama dan cendiakawan. Golongan agama lebih selesa berdakwah di masjid dan surau berbanding berdakwah melalui filem. Golongan cendiakawan lebih selesa berteori di seminar dan dewan kuliah. Comfort zone!

Dunia penerbitan drama/filem memerlukan seseorang itu bekerja dalam realiti dan batasan tertentu yang menyakitkan dan menekan. Kapitalis contohnya, adalah realiti dunia akhir zaman. Seperti juga globalisasi, kita tidak boleh menghalang kapitalis. Apa yang kita boleh lakukan ialah menanganinya. Face it dan deal with it! Bagaimana kita dapat memenuhi selera khalayak (mass audience), stesyen (kapitalis) dan pengiklan (kapitalis) dan pada masa yang sama mempertahankan ideologi dan prinsip? Untuk mendidik atau berdakwah misalnya. Dalam soal ini, free-TV seperti TV3 agresif dalam soal branding dan komersil kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan iklan. Paid-TV seperti Astro dan Government-TV seperti RTM pun perlukan iklan juga. Cukup kah Astro dengan pendapatan dari “subscribers”? Cukupkan RTM dengan dana dari kerajaan? Jadi, semua stesyen perlukan iklan. Mahal atau tidak iklan itu sangat bergantung kepada rating. Sebagai contoh, drama Natasha TV3 yang menarik 4.7 juta penonton telah berupaya membawa masuk pendapatan iklan sebanyak RM500,000 seminggu. Memang ada di kalangan intelektual yang mahu menghantukkan kepala ke dinding bila menonton Natasya. Bottom line, 4.7 juta penonton gembira, stesyen gembira dan pengiklan gembira. Ini lah matlamat akhir industri. Apatah lagi semua stesyen bernaung bi bawah public listed company, bukannya NGO.
Jadi, bagi seseorang talent yang mahu menyertai industri ini, ada kala sesetengah idelogi dan prinsip harus digadaikan dan sesetengahnya perlu atau boleh dipertahankan. Namun ada juga talent yang memilih untuk langsung menggadaikan seluruh prinsip dan ideologi yang dipegang semasa di sekolah. (Prof Razak Mohidin??) Jawapannya, terserah kepada individu....
U-HAH berkata…
Salam, itulah...drama melayu ni memang layu. kadang-kadang drama indonesia lebih menarik, walau ceritanya ulang-ulang lebih kurang juga. drama melayu ada juga yang bagus. ia memerlukan kombinasi skrip, pengarah dan pelakon yang betul. M Rajoli sesuai berlakon dengan Azean Erdawaty dan Jalaludin Hassan serta Benjy misalnya, watak hidup je...malangnya, drama kita suka tayang kisah orang kaya yang naik keta beso, rumah beso dan bini nye pun beso!
zubin berkata…
Saya baru dikenalkan kepada nama Nisah Harun, dulunya hanya dengar nama tapi tak boleh mencipta satu gugusan imajan yang jelas. Selepas dituturkan lagi namanya oleh Fadz di DBP (www.fadliakiti.blogspot.com) apa bila kita membicarakan tentang mengadakan forum blog seni di DBP pada Julai ini, nama Nisah Harun keluar. Apalagi pagi ini, nama itu dikaitkan lagi oleh kenalan baik saya Rai di dalam blognya. Maaf, saya tak banyak tahu tentang sastera, cuma mengikuti perkembangan teater, tari, media, seni visual dan baru belajar tulis skrip teater!

Saya setuju dengan tulisan anda tentang drama Melayu. Mungkin itu jugalah banyak orang menonton sitcom and siri luar - Ugly Betty, Brothers and Sisters, Californiacation dll, dan semakin kurang menonton RTM and mungkin TV. Mereka harus sulai sedar, zaman dah berubah orang melayu semakin pandai dan sibuk!
Sata Saalimun @1974 berkata…
Filem atau drama lahir dari skrip yang hebat.Saya menonton lebih banyak filem/drama Inggeris/Korea berbanding Melayu.

Maaf,bukan anti Malaysians atau tiada semangat patriotik.Sejak dunia nak kiamat,semakin teruk filem dan drama Melayu.

Kebanyakan penerbit mahukan wang,bukan moral of story.

Menonton drama Korea "Love of Rain " berkali-kali dan tidak membosankan.Menonton filem "Pretty Woman " yang simple,namun banyak mesej berguna.Nyahkan babak erotik kerana itu memang selera pembikin Hollywood.

Industri drama/filem sudah beralih kepada sampah kerana dihasilkan oleh penerbit yang tamakkan wang.Eksploitasi wanita cantik dan gebu,pakaian ghairah,namun jalan cerita sampah.

Kita x perlukan cerita komedi lucah atau aksi ganas seperti Hollywood.

Namun kita boleh berjaya seperti Korea dan Filipina yang banyak menerbitkan drama puitis yang penuh moral dan logikal.


Maaf cakap,industri penerbitan drama dan filem dalam negara menghasilkan keuntungan jutaan ringgit kepada penerbit dan pelakon,namun nilainya setaraf sampah.

Ketika kecil,saya pun berteleku di depan TV menonton " Opah" dan " PJ".Malah drama "Oshin" menyebabkan saya mengayuh laju basikal pulang dr sekolah agama petang semata-mata mahu menontonnya.

Industri kita dimaniskan dengan pujian melambung,keuntungan jutaan ringgit namun tidak menerima kritikan dan komplen dari org lain.

Maaf cakap,saya ditendang keluar dari sebuah Gabungan pro penulis skrip,sebab mereka lebih bijak pandai.Saya x pernah kisah kerana saya mahu melihat dan belajar bagaimana sikap penulis skrip.Sikap mereka mencerminkan hasil skrip yang akan dihasilkan.

Wassalam.

Catatan Popular