Sabtu, Mei 17, 2008

Hadiah Hari Guru


Dari kiri : Puan Siwar Kaur, Nisah Haron dan guru-guru bidang di SMK Tunku Ampuan Najihah, Seremban


Semalam Hari Guru. Sehari sebelum itu, anak-anak sudah sibuk mahu menyediakan sesuatu untuk diberikan kepada guru masing-masing. Tetapi, mereka masih tidak pasti apa yang perlu diberikan.

Saya memang sudah berhasrat untuk menziarahi guru-guru saya pada Hari Guru kali ini. Untuk itu, saya bercadang untuk menghadiahkan bunga dan buku-buku saya yang terbaharu. Tidak ramai guru saya yang masih dapat dikesan. Setakat semalam hanya 3 orang yang masih berada di sekitar Seremban. Pun, hanya 2 orang sahaja yang sempat saya bertemu.

Saya ke kedai bunga di bandar dan bercadang untuk membeli bunga. Malangnya, harga setangkai yang telah siap digubah tidak kurang RM4! Saya pun tak jadi membeli yang sudah siap memandangkan saya bercadang untuk membeli sekitar 10 kuntum bunga ros. Pilihan kedua ialah membeli bahan-bahan mentah dan gubah sendiri. Akhirnya, saya membeli 5 tangkai
bunga ros merah dan 5 tangkai bunga ros merah jambu. Turut saya beli plastik bunga, setangkai bunga halus putih (untuk hiasan) dan kapas untuk diletakkan pada pangkal tangkainya. Baru RM16 semuanya.

Ah, pengalaman sewaktu menjual bunga di kampus benar-benar membantu!

Untuk anak-anak, saya siapkan setangkai seorang. Masing-masing seronok dan tidak sabar-sabar menunggu hari esok untuk memberikan bunga kepada guru mereka.

Setelah menghantar anak yang ketiga ke tadika, saya pun terus ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Najihah untuk bertemu guru bahasa Inggeris saya - Puan Siwar Kaur, yang pernah mengajar bahasa Inggeris sewaktu di tingkatan 4 dan 5 (tahun 1989 - 1990).

Sewaktu sampai, pengawal keselamatan yang ramah memberitahu bahawa sekolah itu sedang mengadakan perayaan Hari Guru peringkat sekolah. Semua guru dan pelajar ada di kawasan perhimpunan.

Saya pun berfikir sendirian. Wah, ini memudahkan tugas saya mencari Puan Siwar. Tak perlu berlelah mengitari sekolah mencari dia. Seperti yang dimaklumkan pengawal keselamatan tadi, beliau (kini Penolong Kanan Ko-Kurikulum sekolah itu) berada bersama-sama Pengetua dan Penolong-penolong Kanan yang lain di pentas utama. Oleh sebab dia duduk di kerusi paling hujung, saya tambah yakin bahawa hasrat saya telah dimudahkan.

Saya melambai dan terus naik ke pentas. Puan Siwar terkejut dan Pengetua juga demikian. Pengetua, Puan Azizah mengenali saya kerana saya pernah memberi bengkel penulisan kreatif kepada para Pengetua sekolah-sekolah NS di Johor Bahru tidak lama dahulu. Selesai menyerahkan hadiah Hari Guru untuk Puan Siwar, saya tidak bercadang untuk duduk lebih lama kerana saya perlu ke sekolah lama untuk bertemu seorang dua guru lagi.

Tetapi, hal yang sebaliknya berlaku. Pengetua meminta saya mengambil tempat di belakang barisan Pengetua dan Guru-guru Penolong Kanan. Saya pun tidak dapat menolak, apatah lagi saya telah menjadi gate-crasher. Saya harus meninggalkan majlis itu lebih baik daripada cara saya datang.

Waktu itu, persembahan pelajar sedang berlangsung di kawasan perhimpunan. Usai segmen tersebut, Pengetua terus mencelah pengerusi majlis yang mahu meneruskan acara. Apabila beliau memegang mikrofon, saya terdengar suara-suara guru di belakang saya, "Kenapa ni, Pengetua nak menyanyi ke?"

Pengetua tanpa melengahkan masa berkata, "Pada hari ini, kamu semua patut berasa bertuah kerana kita telah didatangi seorang yang mungkin kamu tidak kenal tetapi ramai antara kamu yang telah membaca karyanya. Beliau telah datang untuk bertemu dengan gurunya yang pernah mengajar beliau sewaktu di sekolah menengah. Inilah contoh yang patut .... bla, bla, bla."

Saya pun seterusnya diperkenalkan sebagai penulis Annyss Sophilea.

Aduhai, saya yang telah dipanggil ke sisinya semakin sukar untuk memberi reaksi apatah lagi untuk menenangkan perasaan. Air mata saya tumpah di situ juga. Terharu diberi penghormatan begitu, sedangkan saya datang bukan untuk itu sebaliknya, mahu memberi penghormatan kepada guru saya!

Apabila dihulurkan mikrofon, saya terus kehilangan kata-kata. Emosi terus menjajah diri. Saya harus mengambil masa beberapa ketika untuk menenangkan diri. Akhirnya, saya pun cuba menyempurnakan permintaan Pengetua. Saya faham, dia mahu saya memotivasikan anak-anak muridnya yang sedang duduk bersila di kawasan perhimpunan dan pastinya ramai memikirkan bahawa apalah perlunya Hari Guru sedangkan guru selalu memarahinya.

Inilah lebih kurang, apa yang sempat saya ucapkan :

"Saya datang ke sini untuk bertemu dengan guru saya, Puan Siwar Kaur, yang pernah mengajar saya subjek Bahasa Inggeris sewaktu saya Tingkatan 4 dan 5 di SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban sekitar tahun 1989 - 1990. Mungkin pada adik-adik, tidak ada yang luar biasanya. Tetapi, pada saya dan kami yang belajar di sekolah agama, subjek Bahasa Inggeris adalah sukar kerana kami 100% Melayu di sekolah itu. Puan Siwar, tanpa sebarang prejudis atau prasangka, mengajar kami tanpa memikirkan persoalan perbezaan bangsa dan kaum. Beliau mengajar dengan ikhlas dan hasilnya, saya sehingga kini tidak dapat melupakan jasa Puan Siwar.

"Mungkin selepas adik-adik meninggalkan sekolah ini, adik masih tidak terasa jasa guru di sini. Tetapi 5 - 10 tahun akan datang, adik-adik akan berasa bahawa kejayaan yang dikecapi kelak bermula dengan kesabaran guru-guru yang ada pada hari ini. Selamat Hari Guru!"

Puan Siwar datang ke sisi saya lalu merangkul bahu saya ke sisinya. Ah, saya tidak pernah mengimpikan saat begitu!

Setiap tahun, sewaktu dia masih lagi di SMKA SHAMS sehinggalah dia berpindah ke sekolah ini, saya hanya sempat mengirim kad ataupun mengirimkan buku terbaru saya pada ketika itu kepadanya. Dia masih ingat itu, pernah sekali, dia yang menelefon saya (mendapat nombor telefon saya daripada sepupu saya yang bersekolah di situ) untuk mengucapkan terima kasih. Katanya, ada satu rak khusus tempat dia menyimpan buku-buku saya. Saya sungguh terharu.

Sehingga kini, saya masih lagi tidak berpeluang bergelar guru - cita-cita pertama yang masih tidak kesampaian - pun, saya bahagia kerana dapat menggembirakan guru saya. Puan Siwar dan Mendiang Mr. KRM Shanmugam - dua orang guru Bahasa Inggeris yang percaya bahawa saya mempunyai bakat menulis.

5 ulasan:

zaid berkata...

Saya juga bekas pelajar SMKA.

Saya mengajar di sekolah lama saya. Ada beberapa guru di zaman saya masih ada. Termasuk guru BM saya yang paling saya sayangi. Sebagai penulis tentulah guru bahasa amat akrab di hati.

Hingga hari ini, saya tidak tergamak memanggilnya Kak, Kakak dsb. Saya tetap dengan panggilan lama. Dan tentunya dia akan sentiasa mendapat novel percuma daripada saya.

elaira berkata...

Hati tersentuh pilu... teringat guru-guru dulu. Ada yang sempat bertemu kembali di tahun-tahun kebelakangan ini ada juga yang sudah kembali menemui Ilahi. Mereka memang amat istimewa, awal mengenal erti dunia dan segala pancaroba di dalamnya.

Selamat hari guru buat semua guru yang membaca komen saya di sini. Segala jasa dan pengorbanan hidup subur dalam diri dan peribadi murid-muridmu seperti kami. :)

p/s: osah ghajin eh nukar mekap... lawa... lawa... :D

Joy berkata...

Hi Sis,
When I read your post, I was overwhelmed with gratitude for her and Mr. Shanmugam (bang some more:)). I forgot that it's Teacher's Day in Malaysia and I immediately wrote to her to thank her for all that she has done for me. She doesn't remember me, I'm sure but I am who I am because of her and for that, I will never forget what she's done for me. She always thought that I was you whenever I came over and talked to her. Yeah, we do have similar name and after teaching for God knows how many years, I don't really expect her to know me. So thank you for reminding me :)
Love ya...
Sis

Joy berkata...

Hi Sis,
I posted a comment earlier but it seems like the comment was swallowed by the great cyberspace. Well, I just want to thank you for reminding me of her. As a result, I wrote to her and thank her. She'd be pleased to know that she has contributed greatly to my success.
Love ya..
sis
ps: just in case that the earlier comment has reached you, please feel free to delete one ok? I don't want people to think that I spammed your blog...

xoxo

Omecool20 berkata...

Membaca post kali ini, berair air mata untuk seketika, waktu bab Nisah berdiri untuk memberi ucapan. Jasa guru memang tidak ternilai harganya.

Related Posts with Thumbnails