Jumaat, Mei 23, 2008

Milik Siapakah Pulau Ini?

Terkini : Keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa

- bahawa Singapura memiliki Pulau Batu Puteh
- bahawa Malaysia memiliki Middle Rocks
- bahawa South Ledge dimiliki negara yang wilayahnya merangkumi pulau tersebut (pada waktu air surut) - Pulau batuan ini hanya timbul pada waktu air surut (catatan Nisah)


The Court finds that Singapore has sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh; that Malaysia has sovereignty over Middle Rocks; and that sovereignty over South Ledge belongs to the State in the territorial waters of which it is located





vs.


Pada hari ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan memutuskan tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh / Pedra Branca di The Hague pada jam 10.00 pagi waktu tempatan - bersamaan jam 4.00 petang waktu Malaysia.

Adakah Malaysia akan mendapat satu lagi pulau tambahan selepas kejayaan Pulau Sipadan/Ligitan? Ataukah kita akan kehilangan sebuah pulau kepada orang-orang kiasu di bawah sana?

***

Saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul "Rindu Seorang Rafiq" yang tersiar dalam Dewan Sastera Julai 2003 (juga diterbitkan semula dalam kumpulan cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus)

Petikannya seperti berikut :

CERPEN


RINDU SEORANG RAFIK

Nisah Haji Haron



PEDRA !


Itulah punca kekusutan ini. Selirat yang melingkari ruang kekeliruan lantas memisahkan aku jauh daripadanya. Berbulan lamanya aku memburu jawapan ini. Akhirnya di celah-celah kuntuman tulip merah muda ini kutemui apa yang selama ini kucari.


Ada bauran rasa bercampur aduk di sudut nubari. Jalur-jalur puas dan gembira kerana aku berjaya menyelesaikan kekalutan ini. Namun, jauh di sudut hati aku terkesima.


Semuanya kerana Pedra!


Hampir tiga bulan aku gagal menghubungi Rosa. Dia yang tidak jemu mengutusi berita dirinya melalui mel elektronik @ e-mel. Saban hari peti suratku di laman siber diisi mesej daripadanya. Sekalipun bukan mengirimkan nota-nota peribadinya, Rosa tetap memajukan kepadaku beberapa e-mel yang baik untuk dikongsi bersama. E-mel yang dihantar menggugah provokasi minda. Bukan sekadar e-mel kosong memenuhi peti suratku yang tidaklah sebesar mana.


Sesekali perkhidmatan pesanan pendek @ SMS nakalnya menjengah layar LCD telefon bimbitku. Ada-ada saja anekdotnya yang mampu mereda rengsa ketegangan tugas harian.


Bila sudah penat berbicara tanpa bercakap, aku jadi rindu pada suaranya yang lunak. Rosa sudi sahaja berkongsi suaranya dengan gegendangku.


Ah, Rosa… dia seorang sahabat sejati. Dia bukanlah seorang yang layak untuk menerima gelaran rakan atau taulan kerana tingkatnya lebih dari itu. Dia mungkin bukanlah orang pertama yang akan sampai ke sisiku seandainya aku disinggahi kemalangan atau kecemasan. Dia mungkin tidak mampu untuk berada di sini secara fizikal secepat teman-teman yang ada di sekitarku. Tetapi Rosa mampu mengisi kekosongan ruang jiwa dan emosi. Sesuatu yang tidak bisa disentuh oleh mana-mana pancaindera ini.


Rosa sebenarnya bukan seorang sahabat, tetapi dia adalah rafik!


Kini aku kehilangan rafik yang seorang ini.


Pedra menjadi punca.





Aku masih teringat semasa kami ‘berbual’ secara online. Rosa begitu bersemangat sekali mempertahankan negaranya.


Pedra Branca milik Singapura!” tegasnya.


“Panggillah Pulau Batu Putih itu dengan nama apa sekalipun, ia tetap seketul batu yang timbul dari permukaan laut dan berada lebih dekat dengan Teluk Ramunia berbanding Singapura.”


“Hei, kalau kau jumpa duit sepuluh dolar jatuh di sisi engkau, belum tentu itu duitmu, bukan?” pantas dia membidas.


“Nilainya mungkin sepuluh dolar pada rakyat Singapura, bagi kami di sini ia tetap juga sehelai wang kertas bernilai lebih kurang RM20 ++.” Aku memancung perkataannya.


Pedra Branca tetap milik kami!”


“Biarlah ICJ yang menentukan. Bukannya engkau atau aku.”


Aku malas hendak terus membakar semangat patriotiknya pada malam hening itu. “Beginilah, Rosa. Sekuntum mawar akan tetap harum baunya walaupun dipanggil dengan nama yang berbeza. Seperti juga engkau. Bagiku engkau tetap Rosa, biarpun kekasihmu kelak bakal memanggilmu dengan nama yang lebih mesra!”

2 ulasan:

Anuar Manshor berkata...

Mula-mula kalah dengan China 3-2. Lepas itu kalah pula dengan Singapura 12-4.Hmmm...

RMN berkata...

Baru nak pasang angan bertanding DUN batu putih dalam PRU-13! Nampaknya kena kekal di kerusi DUN Pulau Hanyut! hahaha

Related Posts with Thumbnails