Apa yang mereka baca?


Saya sudah beberapa kali didatangi para pelajar IPT yang mahu menemuramah tentang hal saya dan penulisan saya. Entri tentang ini juga bukan kali pertama ditulis. Pun, setiap kali para pelajar ini datang, sebanyak itu juga mereka mengecewakan saya.

Kali ini, panggilan telefon dibuat dari tempat mereka belajar, saya fikir. Taliannya pula tenggelam timbul. Entah berapa ribu kali pula saya harus 'berhelo-helo' kerana suara saya tidak dapat didengar; sedangkan suaranya saya dapat dengar jelas sekali termasuklah rungutannya yang mengatakan 'eh, tak dengarlah' - entah berapa kali diulangnya.

Amat menjengkelkan! Kalau sudah tahu mahu buat panggilan sepenting ini, pastikanlah talian anda itu jelas ataupun berdirilah di tempat yang taliannya tidak semput, bateri telefon pun cukup hayatnya. Mendengarkan hal-hal yang remeh-temeh ini sahaja sudah membuat saya mahu batalkan sebarang pertemuan dengan pelajar ini. Saya bukannya terlalu kemaruk untuk diwawancara!

Pelajar itu menelefon kembali beberapa jam kemudian dan memaklumkan hasrat yang sama. Kali ini taliannya lebih baik. Dia mahu tahu bila saya lapang untuk ditemuramah. Sebelum bersetuju saya bertanya apakah tujuan pertemuan itu nanti. Katanya, dia mahu menulis tugasan tentang cerpen-cerpen saya.

Saya tanya, sudah berapa banyak cerpen saya yang dia kaji.

Dengan bangganya dia berkata empat buah!

Saya tanya lagi, takkan empat sahaja. Saya juga ada 2 buah kumpulan cerpen - satu dewasa dan satu remaja.

Jawapan mudahnya - "tak jumpa cari, puan."

Memang saya boleh naik angin.

Saya tahu bahawa kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi dan Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus tidak mungkin dijumpai bersepah-sepah di mana-mana kedai buku. Tetapi, sudah alang-alang dapat bercakap dengan saya, tak ada sepatah pun pertanyaan daripada pelajar ini tentang bagaimana mahu mendapatkan buku-buku tersebut.

Sebagai pengkaji, merekalah yang sepatutnya berusaha untuk mendapatkan buku-buku tersebut. Tak kiralah, beli, pinjam, minta, curi dan sebagainya. Saya cukup kecewa apabila mereka mudah benar mengalah, seolah-olah - apabila tak dapat cari kumpulan cerpen saya itu, tak mengapalah; cukuplah sekadar 4 buah cerpen sahaja kita bincang-bincang dan sembang-sembang semasa pertemuan nanti.

Hai, 4 buah cerpen nak cerita apa, dik? Apatah lagi, salah satu daripada 4 buah cerpen itu ialah cerpen Annyss Sophilea. Kalau saya tanya tentang cerpen itu pun, paling bagus jawapan yang diberikan ialah jawapan-jawapan yang dihafal sewaktu membaca buku rujukan SPM. Itupun kalau masih ingat lagi.

Saya fikir, jika temuramah ini dapat diaturkan, pastinya soalan pertama daripada saya ialah berikan nama-nama Sasterawan Negara mengikut susunan daripada penerima pertama sehinggalah yang terkini. Jika gagal berikan jawapan, saya percaya temuramah itu tidak perlu diteruskan, apatah lagi, mereka ini datang dari latar belakang sastera dan pengkhususannya juga sastera di universiti.

Oleh sebab mereka ini pelajar universiti, saya tidak salahkan pensyarah mereka, kerana di universiti, kita sepatutnya banyak menggunakan inisiatif sendiri untuk mempertingkat diri. Jika hal-hal asas begini juga gagal mereka kuasai, apakah nasib dan masa depan sastera Melayu sejurus selepas mereka 'kononnya' bergelar Graduan!

Ulasan

mariahsj berkata…
Salam,
Saya pun kadang-kadang kena beri ceramah panjang apabila mereka tak buat kerja rumah sebelum datang. Majalah pun mereka tak pernah baca tapi buat tugasan tentang majalah. Apa nak jadi graduan kita hari ini? Memang bukan semua yang bersikap begitu tetapi kebanyakannya begitulah...
benuasuluk berkata…
Salam,
tumpang menjengah. Emm, entri yang menarik. Cuba tanya berapa orang SN, manalah tahu kot-kot dari 80 dah jadi 120.
Zamri Mohamad berkata…
Ada bezanya pelajar IPT yang ada jiwa dan tidak ada jiwa dalam bekerja. Pelajar yang idea jiwa pasti akan menghasilkan tugasan persis menghasilkan karya yang mahu diterbitkan. Isinya juga mendalam dan usaha mahu mendapatkan tembual dibuat sebaik mungkin.

Baru-baru ini saya berhadapan hal begitu juga, pelajar mudah-mudah sahaja sms memaklumkan saya ada soalan hendak dijawab melalui e-mel dikirim.

Lebih menyedihkan sikap pelajar IPT yang mahu tugasannya siap. Diajukan soalan yang sebenarnya boleh dicari jawapan melalui kajian di internet, tetapi mahukan kita 'siapkan' tugasan itu untuk mereka.

Bagi saya menemubual sumber adalah satu perjalanan pengalaman yang mengagumkan dan membuat kita teruja mengingatinya. Mungkin itu tidak ada dalam fikiran pelajar IPT (hatta yang berada dalam senarai genius dekan).

Rasanya pelajar perlu diajar bagaimana mencari sumber, menentukan soalan dan mendalami latar belakang sumber. Perkara ini tidak diajar oleh pensyarah. Itulah jadinya sehinggakan sms kepada sumber pun dibuat seperti sms rakan-rakan.

Pada pandangan saya, menemubual sumber adalah mendapatkan maklumat untuk soalan-soalan lanjutan, bukan soalan-soalan asas.

ZAMRI MOHAMAD
www.zamrimohamad.com
Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nis,

Beberapa minit sebelum membuka entri ni, saya baru saja didatangi oleh 'bakal graduan sastera' dari sebuah U.Tak payah sebutlah U mana. Saya ni jenis 'baik' sangat.Orang nak interbiu untuk latihan ilmiah, kita layan.

Lepas tu bila berjumpa mereka akan tanya soalan-soalan 'bila mula berkarya?', 'apa tema dipilih?' dan soalan-soalan asas yang boleh menyebabkan mereka kena sepak kalau jumpa mak saya macam tu.Patutnya saya tanya mereka dulu 'pernah baca karya saya tak?' dan tahu tak siapa saya ni dalam geografi sastera Malaysia?Ewah...

Setakat jawab 'kami dapat nombor puan dari pensyarah kami'...makcik jual cekodok tepi jalan pun boleh bagi nombor telefon mereka!

Wan,siapa dia tambahan lagi 40 orang SN tu?Kui kui kui!
Tanpa Nama berkata…
Agaknya mereka terpaksa masuk bidang kesusasteraan sebab hanya bidang itu yang mereka layak mengikut sistem pendidikan negara.. inilah akibatnya apabila sistem pendidikan negara berorientasikan peperiksaan dan peluang kerjaya serta meletakkan kelas-kelas atau taraf terhadap bidang tertentu. Mereka yang minat sastera dengan serius tidak berani untuk memilih bidang itu kerana khuatir akan peluang pekerjaan(pengalaman sendiri)..
Zaid Akhtar berkata…
Saya pun ada pengalaman sebegini.
Lebih teruk saya kira bila saya diminta mengemelkan sinopsis novel saya kpdnya. Dgn alasan, nvl saya itu susah nak dijumpai (sebenarnya tak berusaha dicari! - di Ujanailmu pun ada, boleh order bila2 masa).

Saya kata, kalau nak kaji, kenalah baca novelnya dulu. Bukan main belasah aja.

:-)
Kamariah Kamarudin berkata…
salam Nisah
oho kalau diajukan isu ini, pasti "angin" saya juga menyerbu kuat. masalah mahasiswa LESU, BISU, KAKU, BONGOK terpaksa ditelan oleh saya bertahun2 lamanya di kampus ini. nampaknya mahasiswa kini hanya mahu DISUAP, DIPIMPIN dan DIBELAI setiap masa. bayangkan sudah mencecah semester 7 tapi masih terkebil-kebil banyak perkara tentang dunia sastera. sayang sekali ANAK MUDA hari ini tidak boleh berdiri dengan kaki sendiri walaupun segala kemudahan telah dinikmati!
Tanpa Nama berkata…
Salam semua,

Sokong Kak Kay...kerana saya telah ambush kelasnya tadi dan pelajar-pelajar semester 7 yg dimaksudkan itu ialah pelajar-pelajar saya juga.Ciss,malu aku nak mengaku dah!
Tanpa Nama berkata…
Karya pertama Puan nisah yang saya saya baca pun Annyss sophillea juga.Tapi bukan dari teks komsas, dari dewan siswa!

Catatan Popular