Selera yang Meragam

Memiliki 4 orang cahaya mata, jika dilihat dari jauh, kelihatan sungguh membahagiakan. Ramai yang berkata betapa bertuahnya saya memiliki 4 orang puteri sebagai penyeri hidup kami suami isteri. Itu merupakan komen-komen biasa yang didengar. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menambah betapa kami juga bertuah kerana dengan 4 orang puteri, ertinya tugas kami di dapur juga bertambah ringan.

Tetapi mereka terlupa bahawa sebelum anak-anak itu boleh menjadi 'pembantu' tugas-tugas di rumah ataupun di dapur, mereka perlu dibesarkan terlebih dahulu.

Apabila ada 4 orang anak (itu belum dicampur dengan ahli keluarga yang lain) ertinya ada sekurang-kurangnya 4 macam selera. Yang seorang makan ini tapi tak makan itu, yang seorang lagi pula hendak makan masak cara lain dan seleranya tidak serasi dengan masakan cara ini. Oh, macam-macam kehendaknya!

Adakalanya, mereka terfikir bahawa meminta lauk dari dapur itu seperti memesan makanan di restoran. Minta sahaja, tentu boleh dapat!

Jalan paling selamat ialah goreng telur. Itupun belum tentu cukup selamat. Adakalanya, yang seorang ini mahukan telur dadar, seorang lagi telur masak hancur. Kalau buat telur mata kerbau, seorang dua sahaja yang akan makan.

Sebagai anak negeri (Sembilan), mereka makan pedas (yang tidak keterlaluan). Saya pernah fikir jalan selamat juga (supaya tak perlu masak berjenis-jenis lauk) ialah dengan masak udang cili api. Dua daripada mereka gemar makan udang. Seorang hanya makan kuahnya campur kicap. Si kecil pula makan kuah (kesan-kesannya sahaja) campur udang.

Malam tadi, saya masak ikan tenggiri ala-ala szechuan sytle. Lebihkan kuahnya kerana anak-anak gemar hirup kuah dengan nasi - mereka panggil kuah itu sup. Rasanya yang masam-masam manis campur hirisan cili padi itu memberi gabungan rasa yang pelbagai. Pun, ada anak yang seorang ini tak makan ikan. Dia minta saya buatkan nasi goreng cina bubuh telur masak hancur.

Kalau hendak diikutkan hati, badan memang sudah letih. Tetapi, memikirkan jika tak dibuat, memang dia takkan makan - hatta sanggup makan biskut - saya buatkan juga. Lagipun, bukan susah benar. Nasinya sudah ada. Tumis bawang dan masukkan telur sebiji lepas itu gaulkan nasi. Dia tidak mahu sebarang sayur. Hidangan paling simple yang diminta.

Hasilnya, anak-anak makan banyak malam itu, termasuklah si kecil yang memang selalunya makan banyak. Selera si kecil itu seperti orang dewasa - tak gemar makan yang lembik-lembik seperti bubur. Dia makan nasi dan gemar minum air kosong.

Memang renyah menguruskan 4 jenis selera. Tetapi, saya fikir saya tidak wajar merungut - walaupun dalam masa yang sama, saya perlu menulis dan melayan selera sendiri.

Mungkinkah beberapa tahun dari sekarang, mereka sudah boleh ke dapur sendiri, masak sendiri ataupun masak untuk sekeluarga, sementara saya pun berangan-angan untuk terus menulis tanpa 'gangguan' begini?
.
.

Ulasan

Latiptalib berkata…
Puan Nisah,

Saya teringat masa anak-anak kami masih kecil dahulu. Paling mencuit hati apabila masak lauk ayam. Masing-masing berebut hendakkan bahagian peha. Sedangkan mereka tiga orang, seekor ayam cuma ada dua peha sahaja. Jalan paling selamat kena sembelih dua ekor ayam. Nasib baik ada ayam peliharaan sendiri.

Ketika itu gaji saya kecil. Kami tidak dapat makan mewah. Kerana itu anak-anak tidak banyak ragam mereka makan lauk apa sahaja yang dimasak ibunya. Kalau goreng telur semua makan goreng telur yang sama. Begitulah seterusnya.

Sekarang anak-anak sudah besar. Banyak kenangan masa mereka kecil-kecil dahulu yang tidak dapat kami lupakan. Sesekali bila semua berkumpul kami makan bersama sambil bercerita mengenai kisah semasa mereka kecil-kecil dahulu.
Tanpa Nama berkata…
wah..tu baru selera anak..blm masuk selera suami....:-)
Kamariah Kamarudin berkata…
salam Nisah
ohh saya amat faham keadaan itu; sebab itu saya akan tabik hormat pada ibu yang punyai ramai anak tapi dalam masa yang sama boleh menguruskan diri memartabatkan kerjaya ke puncaknya. saya kini walaupun hanya ada seorang anak, penatnya Tuhan sahaja yang tahu. banyak benda yang perlu diuruskan. mudah-mudahan segala penat jerih seorang wanita, seorang ibu dilorong jalan, dianugerah ganjaran-Nya sepanjang masa!
Rebecca Ilham berkata…
Salam Kak Nisah,

tentang menu hidangan, memang saya tabik Emak (dan emak-emak lain di seluruh dunia) yang bijak menyediakan juadah yang memenuhi selera setiap ahli keluarga. Cabaran, ya, saya yang solo (dan malas) ini pun termangu-mangu juga memikirkan menu harian walaupun memasak untuk diri sendiri =D
Tanpa Nama berkata…
salam nisah.
jangan lupa bukan sahaja ibu atau emak sahaja yang pandai memasak,kerna saya sebagai bapa juga memainkan peranan yang penting dalam urusan dapur.akan tetapi jasa seorang ibu juga telah sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat dan kemahiran seseorang anak.saya,chef Ainol...hehehe.

p.s:saya mengenali nisah di Bengkel Penulis Muda Johor.peserta dari UiTM Johor,Segamat.
terima kasih kerna ilmu yg ditumpahkan dan pengalaman yang dikongsi bersama...
Tarbus Merah berkata…
Kak Nisah,

Saya meng'insaf'i atas kalam Kak Nisah ini. Mungkin saya adalah anak yang paling cerewet. Memilih. Jika mak hanya memasak lauk pilihannya, saya dengan takaburnya meninggalkan makanan itu lantas masak sendiri.

Mungkin juga waktu itu mak kecil hati dengan saya. Namun, saya tidak makan masakan mak yang pelik-pelik.

Kini, apabila sudah berbulan-bulan tidak menjamah masakan mak, barulah terasa kepingin benar makan lauk yang tidak sedap itu.

Salah saya juga.

:(
fusarium solani berkata…
Kak Nisah:

Aliff hidup sebagai anak negori.. gulai lomak udang cili api betul-betul mengundang kenangan zaman persekolahan.

Emak lewat masak kerana lewat pulang dari kebun getah. Maka Aliff selalu makan roti 50 sen dalam perjalanan pulang ke rumah buat alas perut.

Bila ayah dapat duit lebih sikit hasil menoreh, udang kertas selalulah digulai emak..

"Batu kikir jombatan bosi, gulai udang sebelango..."

Jambatan bosi sudah jadi konkrit.. kedai atap rumbia di batu kikir sudah jadi atap genting dan saya semakin jauh dengan masakan emak...

Catatan Popular