Kenang-kenangan Eidulfitri





Dalam masa lebih kurang seminggu dari sekarang, Ramadhan Al-Mubarak akan meninggalkan kita. Saya percaya, setiap seorang daripada kita mempunyai nostalgia tertentu apabila menyebut tentang Eidulfitri ini.

Bagi saya, kenangan di Hari Raya ada banyak yang berbeza apabila dibandingkan dengan waktu sebelum berkahwin dan selepas berkahwin.

Sebelum berkahwin, segala urusan persediaan Hari Raya tentulah diuruskan arwah emak (yang lebih banyak membuat keputusan) sama ada dalam hal-hal membuat kuih-muih, hiasan rumah dan sebagainya. Peranan saya hanya sebagai 'yang menurut perintah'. Arwah emak memang mahir serba-serbi dalam urusan sebegini. Urusan baju raya juga selesai di tangannya.

Selepas berkahwin, (ketika saya mendirikan rumah tangga, arwah emak meninggal lebih kurang 6 bulan sebelum saya bernikah), urusan itu tiba-tiba jatuh ke tangan saya sebagai satu-satunya wanita dalam rumah ini. Banyak sekali yang berubah ataupun saya ubah.

Urusan kuih raya banyak yang diselesaikan dengan cara membeli. Kalau dibuat pun, hanya yang mudah-mudah. Hiasan rumah juga banyak yang saya telah ubah, jadi tidak perlu banyak perhiasan yang harus dikemas ataupun dibersihkan untuk tujuan Hari Raya. Kalau dulu, rumah saya dipenuhi bunga-bunga plastik yang harus direndam dan dibasuh supaya timbul kembali serinya, kini rumah saya dipenuhi buku-buku yang lebih mudah dibuang habuknya berbanding habuk yang melekat pada kelopak bunga-bunga plastik itu.

Baju raya juga sudah tidak menjadi kemestian. Pada saya, baju raya adalah baju pilihan yang dipakai pada Hari Raya. Sekarang, saya hanya menempah baju apabila ada majlis sastera seperti penganugerahan dan sebagainya. Itupun hanya sepasang.

Namun, apalah erti Hari Raya tanpa insan-insan yang tersayang. Kini setelah adik saya pula mendirikan rumah tangga (saya hanya 2 beradik), kami harus berbahagi-bahagi tempat untuk berhari raya. Mujur juga keluarga mentua saya hanya sekitar 40 minit perjalanan dari Seremban (ke Seri Menanti) dan boleh pulang pada hari yang sama.

Walaupun saya tidaklah 'menggilai' baju raya, saya tetap merindui emak dan kepakarannya menjahit baju. Dia boleh siapkan sehelai baju dalam tempoh 24 jam, jika perlu. Dia akan tetap menjahitkan saya baju walaupun saya tidak meminta sebarang baju Raya.

Kini, dengan segala kudrat dan kekangan yang ada, saya cuba menghidupkan beberapa tradisi yang saya fikir harus diwarisi oleh anak-anak. Saya akan tetap membuat ketupat dan rendang, walaupun ketupat itu saya hanya buat sekitar 20 biji. Alhamdulillah, saya dapat mewarisi seni anyaman ketupat daripada arwah nenek dan arwah emak.

Suami pula boleh membuat lemang (tradisi yang diwarisi daripada sebelah keluarganya). Sekurang-kurangnya anak-anak saya dapat melihat bagaimana orang melemang dan menganyam ketupat. Memang lemang boleh dibeli di mana-mana, dan rasanya boleh sahaja pelbagai. Apa-apa pun, tentu tidak sama dengan apa yang dibuat sendiri.

Sebagai anak-anak, mereka perlukan kenang-kenangan begini untuk dibawa terus dalam zaman mereka kelak. Budaya kunjung-mengunjung juga harus diteruskan supaya mereka tidak terus terpaku di hadapan kaca televisyen pada hari-hari istimewa ini.
.
.

Ulasan

Rebecca Ilham berkata…
Mencipta tradisi keluarga pada hari-hari penting seperti Eid sangat penting. Bukanlah makanan itu menjadi kejaran utama, tetapi pengalaman dan kenangan akan menggamit dan mewujudkan rasa sayang pada keluarga dan kampung halaman. Lalu,panggilan untuk beraya di kampung bersama keluarga akan mekar kembang dalam hati.

Dalam keluarga saya, hidangan utama kami pada pagi Eid adalah nasi himpit, kuah kacang dan sate. Sewaktu kecil dan sepupu-sepupu yang lebih dewasa masih solo, saya hanya bersila di sebelah dan ralit memerhati mereka mencucuk sate. Tradisi ini bermula seawal tengah hari Ramadhan terakhir lagi dengan kerja-kerja merebus nasi dan menyiang ayam dan daging di samping bergotong-royong menyiapkan hidangan berbuka (yang merangkumi 4, 5 keluarga nukleus!).

Sejak Tingkatan 4 atau 5 apakala sepupu-sepupu mula berkeluarga, saya mengambil alih tugas utama mencucuk sate (6 ekor ayam dan 2 kilo daging) pada setiap malam hari raya. Tahun ini masuk tahun keempat saya tidak berpeluang 'ambil kontrak' mencucuk sate. Semoga kesempatan itu masih ada tahun hadapan!
zamzuri_mustapha berkata…
Lemang dibawa masuk oleh orang Minangkabau sedari kedatangan Raja Melewar yang memudiki Sungai Linggi untuk ditabalkan sebagai raja. Dan kemahiran melemang kebiasaannya dimiliki oleh kaum yang datang dari Sumatera. Orang Jawa lain pula kemahirannya.

Lemang disediakan kerana makanan ini boleh tahan daripada rosak (basi)selama beberapa hari. Mengapa lemang? Kerana hari raya bagi masyarakat Melayu ialah waktu untuk mengunjungi dan dikunjungi saudara mara (bukan menonton sarkis di depan TV). Bagi saudara mara yang datang dari jauh, apabila mereka tiba di muka pintu dan tidak memberitahu bila mahu berziarah (zaman dulu mana ada telefon atau telegram), maka lemanglah dihidangkan kerana untuk menyediakan nasi, ia mengambil sedikit masa.

Lemang juga disediakan untuk menyambut perantau yang pulang ke desa (tidak semestinya pada hari raya). Memang lelaki Minang digalakkan merantau. Dan satu lagi, lemang disediakan pada hari mantai dan ketika mendapat hasil tuaian padi. (Dalam sajak 'Mata Ayah' oleh Allahyarham Usman Awang, aku lirik dalam sajak tersebut menyatakan bahawa bapanya menjemputnya pulang untuk menikmati beras baru).

Bagi masyarakat Melayu, padi bukan sekadar padi.
Zaid Akhtar berkata…
Aduh, sodapnya!
Masih terasa-rasa enaknya rondang Abang Syukri dan Kak Nisah di Klawang.
:-)

Camana plan beraya kito tahun ni?
Nisah Haji Haron berkata…
Zaid,
Raya tahun ni saya tak dapat berjalan jauh, jadi orang Segamat jugalah yang kena turun Seremban :-)
Salina Ibrahim berkata…
Susah jadi anak perempuan tunggal kan, Nisah. Saya sejak umur 10 tahun, setiap kali nak raya (raya puasa dan raya haji) kena buka daun palas, lepas tu lipat jadikan bekas ketupat, supaya senang masa nak isi pulut. Setiap tahun kena tahan miang habuk daun palas dan sakit-sakit jari melipat daun. Pernah juga pikir nak lari dari tugas rutin tapi kalau kita tak buat, sapa lagi? Abang-abang tau makan je... ;-)

Anyway selamat hari raya, Nisah & famili.
Azmir Ismail berkata…
:) Syukur Nisah dan suami masih boleh melakukan amalan menganyam dan membuat lemang yang dapat diturunkan kepada anak - anak. Seni yang makin hilang di kalangan anak-anak muda sekarang.

Salam Aidilfitri buat Nisah sekeluarga :)

Catatan Popular