Hospital Kerajaan Klinik Kerajaan

Setelah melalui lima kali proses kehamilan, saya menggunakan khidmat klinik kerajaan dan saya bersalin setiap kali di Hospital Besar Seremban (kini Hospital Tuanku Jaafar Seremban). Hanya sekali dua pada peringkat awal kehamilan, saya buat imbasan untuk menentukan bahawa saya hamil di klinik swasta.

Saya biasa juga mendapat soalan seperti "mengapa tidak ke klinik swasta?" ataupun "mengapa tidak bersalin di hospital swasta?" - apatah lagi ketika saya masih lagi bergelar peguam dahulu.

Pada awal tahun 2000, ketika hamil anak pertama, saya pergi juga ke klinik swasta. Sekali lawatan tidak kurang RM30. Kalau buat imbasan, tambah lagi dalam RM40 - RM50. Ini kadar di Seremban, ya. Persoalannya, bukan saya tidak mampu. Namun, di klinik kerajaan, saya boleh mendapatkan khidmat nasihat yang sama dan dibuat imbasan juga (jika temu janji itu dengan doktor) tanpa dikenakan bayaran satu sen pun!

Apabila bersalin di Hospital Besar Seremban pada tahun 2000, saya duduk di hospital selama 3 hari 2 malam. Oleh sebab bersalin normal (SVD), kos untuk tinggal di hospital tidak sampai RM50 sepanjang tempoh tersebut. Saya memilih untuk tinggal di wad kelas 3 pada ketika itu.

Saya masih lagi mendapat soalan "mengapa tidak ke hospital swasta?" ataupun "mengapa tidak duduk di wad kelas satu?"

Jika saya lahirkan anak saya di hospital swasta (kelahiran SVD), pada ketika itu kosnya mencecah RM2,000 (kadar di Seremban, ya). Saya dapat suasana hospital yang (mungkin) lebih aman kerana diberikan bilik seorang satu ataupun berdua, bertiga. Selebihnya, tidak banyak beza pun dengan apa yang saya lalui di bilik bersalin. Jika harus melalui C-Section, kosnya pastilah meningkat berkali-kali ganda.

Ada juga yang tanya, "selesakah bersalin di hospital kerajaan? Tak bersesak-sesak, kena tengking-tengking dengan misi?"

Bagaimana harus saya jawab persoalan ini? Saya akan ke mana-mana tempat yang baharu dengan 'cawan yang kosong'. Saya tahu saya ke klinik kerajaan yang menawarkan kos perubatan percuma kepada ibu-ibu mengandung. Saya belum pernah diminta satu sen pun daripada pihak klinik walaupun mereka memberi saya ubat dan vitamin. Jadi, tentulah saya tidak diharapkan saya dilayan seperti tuan puteri yang baru turun dari langit. Tentulah, tidak ada hamparan permaidani merah khusus untuk saya.

Ramai orang? Ya, ramai. Jadi kenalah bijak memilih waktu. Kalau mahu pergi sebelah pagi, datanglah awal-awal. Sebelum jam 7.30 pagi setidak-tidaknya, sudah pergi ambil nombor. Jika tidak, pilih untuk datang pada waktu petang. Orang sudah mula reda. Saya akan sediakan bahan bacaan ataupun buku nota untuk mencatat. Pada saya, inilah peluang untuk saya bersendirian dan mempunyai masa khusus untuk membaca sambil menunggu giliran.

Misi marah-marah? Siapa yang tak marah kalau tidak ikut peraturan dan arahan yang telah ditetapkan. Mereka sentiasa cuba untuk menceriakan wajah pada setiap pelanggan. Tetapi, kita juga harus faham bahawa mereka juga manusia yang setiap hari menghadapi rutin kerja sejak awal pagi sehingga lewat petang. Itu belum lagi dicampur dengan karenah pelanggan yang berfikir, dia seorang sahaja yang betul.

Selama hampir 10 tahun mengulang ke klinik kerajaan dan hospital kerajaan, saya dapat melihat perkembangan yang positif dalam usaha mereka memperbaiki perkhidmatan yang disediakan. Menunggu giliran kini, tidaklah terlalu lama seperti awal-awal dahulu.

Untuk kelahiran anak-anak yang lain, saya hanya tinggal sehari di hospital. Ada yang tidak sampai 24 jam pun - sebab anak lahir sebelum subuh dan sudah boleh keluar hospital selepas waktu zuhur. Oleh itu, kos setiap kali bersalin tidak sampai RM30.

Selesa? Tidak ada apa yang harus saya rungutkan. Saya dapat kelan-kenalan baru di katil-katil bersebelahan. Berjumpa dengan golongan marhaen. Ada banyak kisah yang dapat dikongsi dalam pertemuan sesingkat itu. Kalau kita menjadi ibu buat kali pertama, akan ada ibu-ibu yang lebih berpengalaman yang akan sukarela membantu.

Setelah pulang ke rumah, misi atau jururawat di klinik kerajaan tadi akan datang ke rumah tanpa perlu diundang. Mereka akan datang melihat keadaan bayi, keadaan ibu. Sebab itulah, anak saya yang sebelum ini segera dikejarkan ke hospital kerana dikesan mendapat jaundice. Jururawat akan datang setiap hari selama hampir seminggu untuk memastikan bayi benar-benar sihat.

Berapakah kos untuk perkhidmatan ini? PERCUMA.

Jadi, perlukah saya merungut?

Saya fikir, kalau ke hospital/klinik swasta, selangkah sahaja perjalanan untuk bertemu doktor, maka bertaburlah duit di sepanjang jalan...

Terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Ampangan dan juga pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban atas perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan.
.
.
.

Ulasan

Pa'chik berkata…
masa adik saya nak lahirkan anak sulung dia... pasal dah lebih sepuluh hari dari jangkaan, makanya doktor pun masukkan ubat nak bagi cepat bersalin tu...

tapi... yang masuk sekali ngan dia, dan dimasukkan ubat tu... semua tak leh nak bersalin normal, semua kena belah perut jugak...

sekali tu, dia terdengar doktor-doktor tu cakap-cakap sesama diorang... "err... pasal semua kena bedah kali nih... jangan-jangan ubat kita ni expired dah..."

huhuhu... seriau je adik saya dengar...

pagi ke tiga belas duk lam sepital tu... baru la ada tanda-tanda dia buleh bersalin normal... tapi.. subuh esok tu lah baru leh bersalin...
Aha.. satu nasihat yang jujur. Belum pernah saya dengar orang puji layanan hospital kerajaan, kecuali makcik-pakcik di kampung. Semoga Hospital Seremban dapat membuka mata semua pihak.
Naqeb Sulaiman berkata…
salam.

Alangkah bagusnya andai para pesakit membuat anjakan paradigma, lebih bersifat rasional dari emosional.
Dalam pada yg sama, pihak hospital berusaha meningkat mutu perkhidmatan.
Usaha dua hala.
Unknown berkata…
Sebenarnya perkhidmatan di hospital kerajaan sudah banyak yang meningkat baik berbanding dulu. Cumanya perlulah bersabar dan sanggup menunggu lama sikit.

Maklumlah sekarang ni kita dah ditimpa penyakit `semua nak cepat', walaupun adakalanya menyinggung orang lain.

Tahun depan, kalau nak mencuba bersalin di Seremban Specialist Hospital pula, bagitahu saya. :)
Nisah Haji Haron berkata…
Pa'chik,
Saya tak katalah layanan mereka itu sempurna. Tetapi memadailah dengan kos yang dikenakan.

Gallivanter,
Could agree with you more!

NorziatiMR,
Biasanya orang jarang atau lambat memuji, tapi kejian memang cepat. Saya memuji apa yang betul.

mahasiswa,
Itulah yang sebaik-baiknya.

JR,
Wah, ada diskaun khusus untuk saya? Atau JR akan bertugas di Seremban pula?
Unknown berkata…
Saya sudah ada dua anak dan kedua-duanya dilahirkan di hospital swasta. satu di pusrawi satu di pantai.
Kenapa saya pilih hospital swasta, sebabnya saya mahukan update bulanan & personal consultation drp doc yg sama setiap bulan selama hamil.
di klinik desa berdekatan rumah, saya tidak boleh dapatkan semua itu kerana doc tidak ada setiap masa sebaliknya dgn janji temu yg mungkin selama 9 bulan hamil, dptlah 2 k3 3 kali saja.
Namun, saya bersetuju perkhidmatan di hospital kerajaan semakin baik.
Misalnya, apabila anak saya menjalani pembedahan di kaki, saya pilih hospital kerajaan, layananya bagus tetapi saya terkilan dgn sikap doktor yg pesakit. bila ditanya keadaan anak bgm dan mengapa tidak buat pemeriksaan dulu sebelum buat laporan (mrk ada laptop yg diletakkan dekat pesakit dan type laporan di situ) dia dgn muka serius cakap, misi sudah periksa.
Bgm judgement misi akan sama dgn judgement ortopedic surgeon? saya sgt musykil.
Namun, ia terpulang pada citarasa dan keselesaan masing-masing.
Maizura Mohd Ederis berkata…
Tahniah Nisah!

Setuju. Apabila bayi saya didapati songsang, hospital swasta terus buat keputusan untuk bedah dengan bayaran RM5,000. Padahal, bila merujuk ke HUKM, masalah itu boleh diselesaikan. Tiada masalah misi garang. Semua misi dan doktor baik-baik belaka. Mereka memberi semangat pada saya (termasuk kepada bayi dalam perut!) untuk melalui semua ini tanpa pembedahan. Seorang doktor pakar perempuan berusaha mengalihkan kedudukan bayi dengan tapak tangannya sambil memujuk bayi dengan lembut agar dengar cakap dia. Malah turut menyuruh saya menasihati bayi atas alasan "bayi biasanya dapat cam suara mak dan lebih dengar nasihat mak dari nasihat doktor." Alhamdulillah, prosedur itu berjaya. Bayi kembali ke kedudukan normal tanpa sebarang tanda bahawa dia lemas. Pada waktu ini, saya sudah tandatangan borang bedah kerana kemungkinan bayi akan lemas sewaktu prosedur ini dijalankan. Tapi prosedur itu masih dilakukan di bilik bersalin normal.
Namun, di saat saya bersedia untuk melahirkan secara normal, kepala bayi pula didapati terdongak ke atas, sedangkan pada awalnya tidak. Pulak dah!! Doktor kemudian mencadangkan prosedur vakum tetapi perlu dibuat di bilik bedah kalau-kalau vakum juga gagal. Bayi terpaksa dikeluarkan dengan bantuan tenaga mesin (vakum) serentak dengan tenaga manusia (saya meneran). Doktor hanya memberi tiga kali peluang untuk saya meneran. Kalau ketiga-tiga gagal, dia tidak akan teragak-agak memotong perut saya. Teran yang pertama dan kedua gagal. Untuk yang terakhir, doktor berhenti sebentar untuk memberi motivasi agar saya tidak sia-siakan peluang yang terakhir. Semuanya bergantung atas kekuatan tenaga saya, kerana mesin vakum waktu itu hanya berperanan sebagai membantu sahaja. Baru lah saya sedar yang mesin itu tidak lah boleh diharap sangat. Akibat motivasi dan kesedaran itu, peluang ketiga saya gunakan sepenuhnya untuk meneran. Saya sebenarnya sudah kehabisan tenaga. Tapi kata-kata perangsang doktor dan kakitangan sekelilingnya mampu mengembalikan tenaga. Peluang ketiga berjaya. Tidak perlu bedah walaupun sudah masuk bilik bedah. Dan bayarannya cuma RM500!
zamzuri_mustapha berkata…
Nak kahwin dengan misilah kalau macam tu.
Fahd Razy berkata…
SVD= spontaneous vaginal delivery. =)
Bijaksana TnC berkata…
Salam Puan Nisah,

Saya setuju. Secara keseluruhan, kualiti perkhidmatan klinik dan hospital kerajaan semakin bertambah baik.
Adakalanya, klinik swasta lebih mementingkan keuntungan berbanding kebajikan pesakit.
Nisah Haji Haron berkata…
Mel,
Sama ada Hospital Swasta ataupun Kerajaan, itu adalah pilihan kita. Saya tak kata Hospital Swasta itu tidak bagus ataupun hospital kerajaan untuk sempurna. Temu janji dengan doktor di klinik kerajaan memang bukan setiap kali. Dalam tempoh kehamilan, kalau tak ada masalah, cuma 2 - 3 kali sahaja akan bertemu doktor, yang lain semuanya Jururawat Masyarakat (JM) boleh selesaikan. Pengalaman JM ini luas dan tak perlu dipertikaikan.

Kak Zura,
Terima kasih kerana berkongsi kisah di HUKM. Saya pun teruja membacanya. Di bilik bersalin, adakalanya macam ada 'cheerleading squad' kat sebelah kita. Mereka memberi semangat kepada kita.

Zamzuri,
Nak kahwin dengan misi? Tak ada siapa nak halang!

(Dr) Fahd,
Spontaneous? I stand corrected. But I think spontaneous is a misnomer - nothing spontaneous if one have to spend 16 hours in a labour room!

Puan Jamiah,
Saya bersetuju dengan pendapat puan.
nobody berkata…
Tahniah, saya berkerja dengan kerajaan, kita seharusnya mempercayai perkhidmatan kerajaan itu sendiri. Kelima-lima anak saya dilahir di hospital kerajaan. Dan saya bangga kerana empat bayi saya dilahir di hospital dimana saya dilahirkan. Dan saya amat berpuas hati dengan kelahiran anak yang keenam (bongsu) di hospital yang sama kerana mendapat kelayakan yang sewajar dengaan pekerjaan saya. Walaubagaimana saya berasa sedih sedikit kerana emak saya (telah meninggal) tidak dapat melihat bayi saya dilahir di hospital yang sama saya dilahirkan.
kyo berkata…
salam.. terjumpa entry ni masa tgh cari maklumat psl hospital dn tukang urut.. insyaallah.. anak kedua ni mgkin sy bersalin di hospital seremban.. anak pertama dulu di hosp. sg. buloh.. alhamdulillah.. selesa dgn layanan & perkhidmatan yg mereka berikan.. sy blm pernah lg guna perkhidmatan di hsptl seremban.. hrp2 semuanya baik2 aje.. sekarang tgh risau.. nk mintk sape jaga masa dlm pantang.. mm..
mira berkata…
Assalamualaikum puan.

Nota tahun 2008, masih ditemui dan jadi salah satu rujukan kala ini.

Bakal melalui pengalaman tersebut. Terima kasih!
goblogkugoblogmu berkata…
Kalau ada like button sy dh like entry ni. Sy setuju dgn isi kandungannya kerana sy juga memilih cara yg sama
Qyle AZ berkata…
saya juga melalui pengalaman yg sama pada 2011 & 2012. Namun kedua2 anak saya c-sect atas sbb2 yg xdpt dielakkan. kos setiap kali bedah hanya RM100++. Layanan baik diterima dari semua nurse. Hosp Tunku Jaafar juga breastfeeding friendly. Nurse membantu sy setiap kali sy mahu susukan ank ketika hari pertama dibedah kerana sy tidak dpt bergerak. Terbaru, ada staff2 yg akan melawat dan memberikan panduan utk bf terutamanya jika br pertama kali menjadi ibu. Sepanjang kehamilan, sy berpengalaman memeriksa kandungan di klinik dan hospital swasta dan juga kerajaan. Bezanya cuma kebanyakan mesin ultasound di kk kurang jelas gmbr bayi dan di swasta ada scan 3D. Yg paling penting, pd pendapat peribadi sy, ibu dipantau sepenuhnya di kk asalkan si ibu ptuh pada temujanji yg diberi. Terpulang kepada keselesaan masing2 la.
Unknown berkata…
saya pun sering kali dimasukkan ke hospital kerajaan di sebabkan saya sakit,walaupun wad kadang kala agak sesak,tapi layanan masih tetap memuaskan. menunggi giliran di klinik pakar di hospital kerajaan adalah semakin baik. dulu dulu untuk berjumpa pakar paru paru saya tunggu dalam 4 jam
tapi sekarang saya hanya tunggu 2 jam sahaja. sistem semakin baik,doktor pun semakin ramai.
Unknown berkata…
Salam. Saya juga melahirkan 3 orang anak di Hospital Besar Melaka. Setakat ini, saya berpuashati dengan khidmat diberi. saya sangat berterima kasih kepada Doktor dan jururawat yang bertugas dan yang "melayan" saya.

Catatan Popular