Nostalgia Mesin Taip

Sebelum adanya komputer, saya menulis menggunakan mesin taip milik ibu saya. Memang boleh bergegar satu rumah kalau saya menaip. Jika saya menaip di dalam bilik, orang di dapur pun tahu saya sedang menaip. Oleh itu, pada zaman awal remaja, saya sukar untuk 'bersembunyi' jika sedang menulis.

Tiga empat buah cerpen awal saya memang ditaip menggunakan mesin taip tersebut. Keseronokan mengetuk aksara pada mesin taip itu sukar sekali digambarkan. Tentu sahaja sangat berbeza dengan 'berlari' di atas papan kekunci laptop hari ini.

Setelah menang Hadiah Sastera Siswa - Bank Rakyat 1991 melalui cerpen Atlantis Duniaku Duniamu. Saya mengidam untuk membeli sebuah mesin taip elektrik. Dengan hadiah kemenangan sebanyak RM750, saya berbincang dengan ibu dan ayah, lalu mereka bawa saya ke kedai menjual alat-alat pejabat. Di situlah, saya bertemu dengan mesin taip elektrik yang banyak berjasa itu. Harganya, kalau tak silap dalam RM550.

Inilah rupanya mesin taip dari jenis Olivetti :

Cerpen-cerpen saya selepas itu kesemuanya ditaip menggunakan mesin taip elektrik ini (selepas ini dirujuk sebagai Olivetti). Kelebihannya? Boleh menaip dengan pantas kerana papan kekuncinya lembut seperti papan kekunci komputer. Olivetti jenis ini juga boleh memadamkan sebarang kesilapan kerana ada pemadam khusus. Tak perlu menekan papan kekuncinya dengan kuat. Sangat sesuai untuk orang yang boleh menaip dengan kepantasan 55 patah perkataan seminit (pada ketika itu).

Olivetti juga berjasa membantu saya menyiapkan banyak nota, tugasan dan segala perkara yang harus ditaip sewaktu di peringkat matrikulasi (UKM) dan juga tahun pertama di Fakulti Undang-undang. Hanya pada tahun kedua, baru saya dapat memiliki komputer peribadi.

Semalam, saya keluarkan semula Olivetti kerana ada borang yang perlu ditaip. Anak-anak saya berasa pelik.

Mereka bertanya: Ini apa?
Saya : Ini mesin taip.
Anak : Hebatnya, mesin taip ni boleh mencetak seperti sebuah printer sambil kita menaip!

Saya ketawa.

Mereka belum pernah melihat manual typewritter. Tentu mereka akan lebih hairan.

Sebelum adanya komputer, penulis akan menulis dengan apa cara sekalipun. Hatta dengan pen dan kertas sahaja. Jadi, tidak memiliki komputer bukanlah alasan untuk tidak menulis. Yang penting ialah keinginan untuk melahirkan sesebuah karya.
.
.

Ulasan

Leyla Shuri berkata…
Salam ms nisah,

Bengkel di Senawang tempoh hari sungguh berkesan. Saya dalam proses....
Saya ingin buku2 dikirimkan ke sini. Emelkan caranya.

Terima kasih memberi semangat ini.
hafizahiszahanid berkata…
Betul Kak Nisah, saya dulu pun menulis pakai pen saja. Bila dapat duit menang HSSBR 93, baru beli mesin taip - jenama olivetti juga.
Waktu itu bersemangat sungguh menulis.
Sekarang sudah ada lap top, entah kenapa tidak serajin dulu.
Mungkin, 'kesusahan' itu byk memberi inspirasi berbanding 'kesenangan' sekarang.
Selamat berpantang!
Zaid Akhtar berkata…
Memang nostalgia.
Arwah ayah saya ada meninggalkan sebuah mesin taip jenis "Brothers".
Agaknya masih ada di rumah mak di Endau. Atau mungkin di rumah Akak. Tak pasti.

Hanya sebuah cerpen sempat saya karang guna mesin taip. Mencari Kiblat - alhamdulillah, sangkut hadiah saguhati sebuah peraduan anjuran DBP-Minda Pelajar pd 1994.
Aidil Khalid berkata…
"Hebatnya, mesin taip ni boleh mencetak seperti sebuah printer sambil kita menaip!"

Haha! Saya ketawa besar baca ayat di atas. =)
saat omar berkata…
Menulis pakai komputer memang lebih senang....satu kelemahannya pada saya adalah warna terang pada pagenya yang membuatkan sakit mata kalau nak menulis, terutama pada waktu malam...:)
Layla Haq berkata…
Memang benar, kesusahan buat kita lebih menghargai.

Dahulu saya tidak punya komputer. Alasan yang baik untuk tidak menulis. Kemudian komputer ada. Tak juga menulis. sibuk dengan kertas kerja dan menaip benda-benda tak berfaedah.

Kini, di pejabat ada komputer. Di rumah juga ada komputer, lap top berseta printer sekali.

menghasilkan karya, tidak juga.
HAHAHHAHA...
NSMY berkata…
walaupun sy dilahirkan dlm tahun yg tidak susah untuk memiliki komputer, tapi menaip dengan mesin taip manual jugalah yang mmberi kepuasan dan pasti bersemangat untuk menaip... walau sakit jari mengetuk..

sekarang, guna laptop.. karya jadi sekerat jalan.. tak pernah nak ditamatkan sebab tahu boleh disambung bila-bila masa...
-shazmiey-
Tanpa Nama berkata…
saya pernah nampak novel tulisan kak nisah haron. tapi sejak dah lama saya tak berjinak dengan sastera melayu (bukan bermaksud saya beralih arah ke sastera bahasa lain) sejak sekolah rendah, novel dan cerpen yang saya baca adalah dari dewan siswa terbitan DBP dan novel-novel DBP karya sasterawan atau penulis muda DBP lainnya (dulu..), sejak dewan siswa bertukar penerbit, perubahan mulai terasa.. dan saya jarang sekali malah sudah tawar hati membaca cerpen dan melarat ke novel dan akhirnya gersang sekali setelah masuk universiti. bila buka blog kak nisah ini (secara kebetulan thn ni umur 27), ada tulisan kak nisah adalah penulis cerpen atlantis dunia duniamu, annys sophylea.. berbelas tahun dulu yang saya baca di dewan siswa.. spontan lgsg ingat.. dan saya langsung yakin setiap buku yang kak nisah tulis pastinya bagus.. dan saya jadi teruja lagi membaca novel melayu

Catatan Popular