Kulit Tebal, Kulit Nipis

Jika anda diberi peluang memilih buku, sama ada naskhah yang berkulit tebal ataupun berkulit nipis, yang mana satukah yang menjadi pilihan? Sewaktu menjadi pelajar, tentulah kulit nipis menjadi pilihan. Faktor pemilihan tiada lain - kerana kosnya lebih murah. Terutama sekali, buku-buku rujukan undang-undang. Sedangkan yang kulit nipis pun boleh mencecah harga RM100 - tak sampai 100 halaman pun!

Setelah bekerja, saya mula memberi perhatian kepada buku-buku berkulit tebal. Mungkin kerana sudah berduit sedikit. Saya memang sukakan buku kulit tebal walaupun agak berat untuk diusung ke sana ke mari. Tetapi, nikmat membaca buku kulit tebal dan kulit nipis ternyata berbeza. Maka, tidak hairanlah di Barat, naskhah kulit tebal ini biasanya terbit terlebih dahulu. Selepas itu, barulah naskhah paperback pula beredar di pasaran.

Menurut SN A. Samad Said, dia juga gemarkan buku-buku kulit tebal. Jika tiada naskhah berkulit tebal, dia akan beli yang berkulit lembut. Naskhah kulit lembut itu tidak akan diconteng dengan sebarang catatan. Katanya lagi, jika satu hari dia terjumpa naskhah kulit tebalnya, dia tetap akan membeli. Naskhah kulit lembut itu akan dijadikan hadiah.

Kini, saya cenderung membeli buku-buku berkulit tebal apabila ada pilihan. Selain cantik apabila disusun di rak, kulit tebal itu juga melindungi kertas dan kandungan buku itu sendiri. Membaca buku kulit tebal pula terasa lebih selesa berbanding buku-buku comel dan novel-novel dengan font halus, seperti mahu menjimatkan halaman. Oh, faktor usia yang sudah meningkat barangkali. Membaca tulisan-tulisan yang halus itu amat memenatkan mata!

Apatah lagi, jika harganya cuma berselisih sekitar RM20, saya masih membeli edisi kulit tebal. Memang ada orang yang sangat berkira dalam hal membeli buku. Kalau boleh nak beli buku, yang murah nak murah lagi. Dapat diskaun 15% pun dah bersorak, padahal kos dia pergi ke kedai membeli buku yang kononnya dapat diskaun tu dia tak kira. Jadi, dalam hal membeli buku ini saya selalu tutup mata dan beli.

Saya tidak pernah menyesal membeli buku walaupun selepas itu saya dapati buku yang sama dijual dengan harga diskaun. Pada saya, kepuasan membeli buku ialah apabila saya memilikinya dan menikmati buku itu. Kepuasan pembelian buku bukan terletak pada harganya.

Suatu hari nanti, saya bayangkan karya saya juga dapat diterbitkan dalam edisi kulit keras. Saya bayangkan, karya itu mestilah sebuah karya yang bukan sahaja tebal pada kulit, tetapi 'tebal' juga isinya.

Apa pula pilihan anda? Mengapa pilih buku kulit tebal / kulit nipis?
.
.

Ulasan

baca fikir berkata…
salam,
puan nisah,
ini kali pertama saya terbaca kaitan perdebatan antara dua jenis kulit buku. tak pernah terfikir hal itu sebelum ini..beri sedikit masa saya mengkajinya dan baru boleh komen. aneh juga dunia buku.
S.K berkata…
Salam,

sebenarnya, saya sedikit "kiasu"...
Saya, biasanya, errr... nak dua-dua...

Saya jenis kalau dah suka satu-satu buku, nanti, saya akan beli buku tu dalam kulit buku versi lain-lain buat koleksi...

Wassalam...
ulasbuku berkata…
Tapi sesetengah penerbit pada pandangan saya kadang-kadang macam mengelat.

Buku tu jadi tebal sebab saiz font diperbesarkan dan paragraph yang terlalu jauh jaraknya.

Saya lihat setakat ini DBP dan Alaf 21 amat jujur dlm hal ini, tak boleh nak kata yg sama utk penerbit terkemuka lain.

Saya tahu orang tak suka bandingkan dgn barat tapi novel mereka (dlm bentuk paperbakc), macam ada satu format tersendiri yang semua orang ikut. Kalau tebal pun puas hati kerana setiap mukasurat terisi penuh tidak spt di Malaysia.
Bunnybaby berkata…
Salam.

Lama juga saya memikirkan perkara ini, bertanya kepada diri sendiri, kulit tebal, atau kulit nipis?

Bagi saya, lebih praktikal membeli buku berkulit nipis, kerana senang disimpan di dalam tas tangan jika hendak dibawa ke mana-mana. Jika buku kulit tebal, hanya boleh muat satu, tapi kalau berkulit nipis, saya boleh bawa 2 sekaligus.

Memang selesa membaca buku berkulit tebal. Di samping tidak perlu bersusah payah membalutnya lagi dengan selapis plastik, kulit tebal terasa stabil dipegang. Kulitnya pun tidak mudah rosak berbanding yang nipis. Cuma, dari segi storan, kulit tebal kalah sikit. Cantik disusun, tapi ia memakan lebih banyak ruang.

Catatan Popular