10092009 - 20 Ramadhan 1430H

Oleh sebab ramai benar yang memilih untuk mengabadikan tarikh 090909 semalam, saya memilih tarikh sehari selepasnya untuk mencatat sesuatu. Gambar di sisi ialah putera bongsu yang tidak ada kena mengena secara khusus dengan entri ini.

Benar, tidak semua yang ditulis itu harus berkait dengan sesuatu secara tersurat. Namun, apa yang tersirat itu biarlah diselongkar oleh sesiapa yang berminat.

Sesuatu tarikh atau masa atau peristiwa menjadi istimewa apabila ia memberi makna kepada diri kita. Pada saya, tarikh semalam tiada erti yang signifikan. Lantas, saya tiada alasan untuk mengabadikannya.

Tarikh hari ini? Pada saya ada erti yang tersendiri. Selain hari ini ialah 20 Ramadhan - bermulanya fasa ketiga dalam bulan penuh barokah ini - pada tarikh ini juga saya mendapat seorang anak saudara pada tahun lepas. Kini (pada hari ini) sudah 2 bulan pula dia meninggalkan kami semua kerana dijemput pulang ke pangkuan-Nya. Dia hanya dipinjamkan kepada kami sekeluarga selama 10 bulan.

Dia hampir seusia dengan putera bongsu saya (yang lahir kira-kira 40 hari kemudian). Jika umurnya panjang, pasti dia akan menjadi hero-hero di teratak kami yang sudah sedia gamat dengan puteri-puteri yang lain. Dia pulang dengan tergesa-gesa pada hari lahirnya yang kesepuluh bulan itu.

Kepulangannya harus menjadi peringatan kepada setiap insan bahawa tarikh kepulangan kita bukannya dapat ditentukan seperti tiket-tiket untuk pulang berhari raya. Tiketnya sudah lama kita tempah cuma, kita sendiri yang tidak dimaklumkan tarikhnya. Oleh itu, kita boleh saja dijemput pulang pada bila-bila masa.

Saya teringat kisah Rabiatul Adawiyah. Pada setiap kali bersolat, beliau membayangkan bahawa itu ialah solat terakhirnya.

Selamat beribadah!
.
.

Ulasan

Mawar berkata…
Nis

makanya kita bersedia sahaja. sekejap atau kemudian, bukan soalnya. semua yang ada dipinjamkan sebagai ujian. kita di sini untuk diperiksa melangkah masuk ke ruang sana...
Nisah Haji Haron berkata…
Benar, sahabatku. Bersyukur kerana hidup ini diberikan sebagai pinjaman dan kita ada sahabat untuk saling mengingatkan.

Catatan Popular