
Sejak saya meninggalkan profesion guaman, saya dengan tegas menyatakan bahawa saya kini penulis sepenuh masa. Dengan kenyataan itu, tidak bermakna saya kini penganggur kerana tugas sebagai penulis itu saya tangani seperti juga saya memegang jawatan-jawatan lain di dunia ini. Saya ada waktu khusus menulis dan tentunya jadual penulisan saya tidak sama seperti mereka yang harus lapor diri untuk bekerja mulai jam 8.00 pagi - 5.00 petang ataupun mereka yang bekerja mengikut syif.
Namun demikian, ini juga tidak bermakna, saya mempunyai masa yang sungguh luwes (sila lihat Kamus Dewan jika perkataan ini tidak pernah singgah di dalam hidup anda) sehingga saya boleh sahaja diundang ke sana ke mari semudahnya.
Ramai yang tidak sedar, apabila saya menerima undangan, ini bermakna saya harus menganjakkan waktu menulis saya yang amat singkat dalam sehari (lantaran harus juga meladeni tugas sebagai isteri dan ibu; saya juga membantu menguruskan pesanan-pesanan ke Ujana Ilmu). Setakat itulah keluwesan yang saya ada. Akibat kekhilafan ini, mereka yang yang tidak memahami sering berfikir bahawa mengundang kertas kerja daripada saya samalah seperti memesan teh tarik ataupun kopi dari warung. Mereka fikir dengan tutup mata, dan berilah saya beberapa hari pastinya saya akan menyelesaikan 'pesanan' mereka itu.
Lantas, sudah semakin ketara pihak yang mengundang saya tanpa surat undangan. Mengundang saya membentangkan kertas kerja yang saya tidak tahu hujung dan pangkalnya - kerana orang yang berkenaan berpapasan dengan saya sewaktu saya keluar dari lif dan dia pula masuk ke dalam lif yang sama. Ada juga pesanan supaya menyediakan kertas kerja ketika berpapasan di kafeteria lantaran waktu makan yang serupa.
Hendak ditegur, mereka ini bukan orang lain juga dalam dunia sastera. Sesungguhnya, dunia sastera ini sungguh kecil. Tetapi, saya percaya tradisi persuratan ini usahlah dinafikan seni menulis suratnya. Berapa ekar hutan yang akan ditebang kerana mahu menulis surat kepada para pembentang?
Terdahulu daripada ini, saya juga pernah berurusan dengan pihak yang mempunyai wibawa menguruskan sastera hanya melalui SMS. Undangan untuk terbang ke seberang laut juga menggunakan teknologi yang sama. Saya balas kembali menggunakan teknologi yang serupa menuntut surat undangan rasmi daripada pihaknya. Sehingga pada hari yang dijanjikan, saya masih lagi tidak menerimanya.
Dengan SMS yang sama juga saya letak jawatan dan tidak mahu lagi terlibat dalam aktiviti sastera yang sebegini.
Adakah saya angkuh setelah bergelar penulis sepenuh masa? Saya fikir bukan begitu maksud saya. Selain saya perlu ada prinsip tertentu yang harus saya kukuh memegangnya. Pihak lain juga perlu menghormati saya sebagai perempuan yang bersuami. Hakikat ini seringkali terabai dalam aktiviti sastera. Yang diundang cuma satu pihak. Seolah-olah pasangannya ternafi.
Ini bukan bermakna pasangan itu harus mendapat tempat yang serupa untuk membolehkan mereka tampil ke majlis sebagai pasangan yang romantis, tetapi tidakkah terfikir di fikiran mereka bahawa tanpa izin suami (seperti di dalam kes saya), tidak mungkin saya menghadiri apa-apa program sekali pun.
Usah terkhilaf lagi, bukan suami saya mengongkong aktiviti saya. Malah, saya sungguh bersyukur kerana dianugerahkan suami yang memahami minat saya dan menjadi penyokong senyap dan setia. Dialah yang bakal menguruskan rumahtangga ketika saya berpergian ataupun terpaksa mengejar deadline tertentu. Tidak mungkin kecekapannya itu harus saya balas dengan tindakan-tindakan seperti yang saya sebutkan di atas.
Pada saya, tanpa sekeping surat undangan itu boleh sahaja saya menebak bahawa pihak yang berkenaan tidak sungguh-sungguh ketika mengundang saya. Saya boleh sahaja menolak pada bila-bila masa.
Setiap kali menerima undangan, pastinya saya akan menerangkan kepada pihak yang mengundang. Undangan melalui telefon ataupun SMS hanyalah untuk memastikan tarikh yang dicadangkan itu bersesuaian dengan tarikh saya. Ini wajar kerana kita pun tidak mahu membazir kertas setelah mengundang menggunakan surat, nanti tarikh yang dipilih tidak sesuai, lalu harus diubah pada surat yang lain pula.
Setelah berbincang melalui telefon ataupun secara SMS, saya akan menunggu surat rasmi daripada pihak penganjur. Tanpa surat tersebut, saya tidak akan mengambil sebarang tindakan - sama ada menyediakan kertas kerja, ataupun menyediakan slaid pembentangan - melainkan ada bentuk-bentuk kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak penganjur. Di dalam surat juga biasanya akan dijelaskan objektif, keperluan dan apa yang diharapkan oleh pihak penganjur kepada saya. Di sini saya akan membuat keputusan tentang apa-apa makalah yang akan saya sediakan.
Keputusan ini saya ambil setelah saya pernah berhempas pulas menyediakan kertas kerja tetapi majlis yang dijadualkan itu dibatalkan. Jadi, saya tidak mahu perkara ini berulang lagi. Undangan haruslah bersurat. Tanpa surat, saya mungkin akan sediakan catatan sahaja ataupun slaid pembentangan (tanpa sebarang kertas kerja). Itu pun setelah saya sudah menyelesaikan perkara-perkara lain yang lebih penting.
Di dalam banyak hal juga, saya banyak kali mahu memberikan kerjasama saya kepada pihak penganjur. Apa yang saya minta hanyalah sekeping surat - hatta dibuat sebagai attachment melalui e-mel dan tidak bertandatangan pun saya terima; kerana mereka seringkali terlupa bahawa saya ini penulis sepenuh masa dan perempuan bersuami juga!

