Sabtu, April 25, 2009

DLL Online

Kepada mereka yang tidak sempat menonton rancangan "Di Luar Lingkungan" dengan topik Melarik Minda Kelas Pertama di Celah-celah Keruntuhan Budaya Ilmu, boleh ditonton di laman web www.rtm.gov.my dan klik pada pautan "Di Luar Lingkungan". 

Panel : Nisah Haron (Penulis/Ujana Ilmu); Ainon Mohd (PTS) & Khir Ngadiron (ITNMB)

Saksikan DLL di sini. 

Khamis, April 23, 2009

Bagaimana Saya Menulis?

Berikut ialah senarai cerpen saya yang pernah tersiar :

  1. Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus
  2. Selagi Lading Masih Di Tangan
  3. Persidangan Agung Wanita Klasik
  4. Afidavit Emosi
  5. Ziarah Izrail
  6. Konspirasi
  7. Kasih Di Pintu Rahim
  8. Presiden Rebecca
  9. Rindu Seorang Rafik
  10. Impian Tsu-Ryi 2
  11. Fata Morgana Akhir Musim Yuda
  12. Saksi Delima Sakti
  13. Pusaka Cendana
  14. Resipi Dari Istana
  15. Citra Mukhlisah
  16. Minta Secawan Kopi Tenom
  17. Sepaun Daging Hutang
  18. Resipi Dari Istana 2
  19. Di Bawah Lindungan Hudaibiyah
  20. Resipi Dari Istana 3

Saya ingin bertanya, cerpen yang mana satukah yang anda mahu tahu proses kreatifnya dan mengapa?

** Untuk melihat senarai karya penuh, sila ke laman Senarai Karya Nisah Haji Haron

Isnin, April 20, 2009

Hadiah Hari Lahir

Terima kasih atas semua tanda ingatan dan doa buat saya sekeluarga.

Saya ada beribu-beribu sebab untuk bersyukur kepada Allah kerana masih memanjangkan usia saya bagi meneruskan perjuangan.

Terima kasih atas kiriman hadiah dan juga kejutan dalam majlis Forum Mini - Konvensyen Sai-Fai semalam. Saya sungguh teruja menyambut hari lahir dikelilingi buku.

Malam ini juga saya akan ke udara di RTM bagi memperkatakan tentang buku dan minda kelas pertama.

Bersyukur kerana semalam PTS telah menyerahkan novel saya untuk dibuat bacaan pruf. Khabarnya boleh terbit sekitar hujung Jun. Ah, pantas sekali mereka bekerja. Terima kasih Puan Ainon dan editor-editornya yang baharu tetapi cepat sekali belajar untuk mempertingkat diri!

Hari ini juga saya ke Pesta Buku sekali lagi (tentu sahaja berganding (dan dating) dengan CEO Ujana Ilmu). Banyak juga buku yang saya beli untuk diri sendiri sebagai hadiah hari lahir untuk diri sendiri dan juga untuk anak-anak.

Bersyukur kerana Allah memberi kekuatan untuk terus menulis dan memperjuangkannya.

Melarik Kelas Pertama di celah runtuhan budaya ilmu..


Malam ini, saya telah diundang ke RTM 1 bagi membicarakan topik  hangat : 

Melarik Kelas Pertama di celah runtuhan budaya ilmu

Perantara : Sayed Munawwar (gambar di sebelah)

Temu janji kita ialah pada jam 9.30 malam secara langsung.


"Satu Malaysia yang berpadu mendokong bangsanya? 
Bagaimana dengan budayanya? 
Bagaimana pula dengan bahasanya? 
Bagaimana pula dengan pemikirannya? 
Tidakkah pemikiran menjadi faktor pemersatu sebenar? 
Sementelah pemikiran rakyat Malaysia masih ditakuk kelas ke tiga, apa yang perlu dilakukan kini? 

Membudayakan ilmu bukan satu gagasan yang baru diperkenalkan. Ia menjadi agenda pendidikan semenjak perdana menteri kedua sewaktu mendemokrasikan peluang pendidikan. Di susul pula dengan pelbagai dasar susulan termasuk pandang ke timur dan terkini universiti apex sekolah kluster dan program permata. 

Tetapi mengapakah takuk pemikiran dalam kerangka yang luas masih terkongkong dalam kepompong lama? Bermula dengan pemikiran politik, budaya harian, krisis membaca sehinggalah kepada kualiti pendidikan tinggi tidak menampakkan kesan yang objektif dan membanggakan? 

Membaca sebagai wahana pembinaan minda masih mendapat perhatian secara sampingan jika tidak masakan kempen membaca hanya terhad kepada institusi perpustakaan dan kementerian pelajaran. Tidak perlu berilmukah kementerian-kementerian lainnya? Tidak perlu hikmahkah pemimpin-pemimpin lain? 

Dengan pelbagai program dibelanjakan demi mempromosikan budaya ilmu, mengapakah tidak terzahir pembudayaan ilmu ini dalam dimensi kemasyarakatn, penterjemahan, penerbitan, pembuatan dasar dan wacana masyarakat sivil yang kesemuanya menjadi petunjuk atau penanda aras budaya ilmu? 

Ataukah sebenarnya budaya ilmu hakikatnya hanya subur dalam kelompok etnik tertentu sahaja? 

Self fulfilling prophecy jika kepimpinan Negara menanamkan kepercayaan bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca 2buku setahun. Itu statistikl lapuk yang tidak dapat lagi disandarkan keyakinan ke atasnya. Kini penerbitan dalam Negara mencecah 18 ribu tajuk setahun dan jualan buku terbitan dalam medium Melayu juga terus meningkat dan dianggap kalis gawat. Apa ertinya semua ini? 

Tidakkah ini gambaran bahawa masyarakat sudah semakin minat membaca dan disuburkan pula dengan peningkatan kuasa beli tidak mengira kaum – lambang kemakmuran. Syukurilah.. 

Namun mengapa wacana masyarakat sivil dan perdebatan atau mujadalah masih dangkal dan terkongkong tanpa melibatkan dan jualan akhbar Melayu pula semakin merudum? Apakahyang dibaca oleh masyarakat Melayu sebenarnya? Apa pula yang menjadi santapan minda masyarakat Cina dan India? 

Pernahkah anda mendengar bahawa garbage in garbage out? Maka jika sampah yang dihidangkan maka sampah menjadi santapan dan sampah jugalah yang akan dimuntahkan? 

Tidakkah ini masanya kita meraikan input-input berkualiti agar rakyat Malaysia seluruhnya dapat menjadi feeder atau pemberi input yang baik kea rah pembinaan Satu Malaysia?"

Sumber : www.dll.my

Khamis, April 16, 2009

Promosi "Tawarikh Cinta" di KLIBF


Gerai Utusan Publications & Distributors
Tun Razak Hall 3
11.00 pagi - 1.00 tengah hari

Bersama-sama Nisah Haron
Promosi novel : Tawarikh Cinta

(Mungkin juga saya akan bawa buku-buku saya yang lain)


Rabu, April 15, 2009

Gurindam Pesta Buku

Petikan "Gurindam Pesta Buku"

Suasana Pesta Buku semakin terasa. Bagi mengisi musim tersebut, gurindam saya telah disiarkan dalam Pelita Bahasa April 2009. Gurindam ini mempunyai 14 rangkap. Baca seterusnya di dalam majalah ini.

Dapatkan Pelita Bahasa di kedai-kedai yang khusus menjual majalah DBP.

Isnin, April 13, 2009

Forum Mini Sai-Fai di PWTC



Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Sai-Fai.com dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan akan melaksanakan program di atas berdasarkan maklumat berikut:

Tajuk : “Apresiasi Bakat Fiksyen Sains dan Fantasi Tempatan”

Tarikh : 19 April 2009 (Ahad)

Jam : 2.00 petang

Tempat : Dewan Kedah/Johor, Pusat Dagangan Dunia Putra, KL.

Ahli Panel :

Moderator : Fadli Al-Akiti

Peminat sastera, khususnya Sai-Fai dipersilakan hadir.

Atur Cara

2:00 ptg Pameran bermula

3:00 ptg Forum bermula
Tajuk: “Apresiasi pengkarya fiksyen sains dan fantasi – Cabaran dan Masa depan”

5.00 ptg Sesi soal-jawab

5:30 ptg Forum berakhir

6:00 ptg Pameran berakhir

p/s : Seperti biasa, saya selalu menyambut hari lahir sama ada semasa Seminar Pencinta Buku (hampir setiap tahun) ataupun sewaktu Pesta Buku. Sesungguhnya saya bahagia sekali!

Jumpa di sana!

.
.
.

Jumaat, April 10, 2009

CSRO : Komen Rahmat Haroun Hashim

"CSRO sangat bagus kerana saya membaui aura pembaharuan. Penulis sedar tentang konsep time-space. Sebab itu penulis tidak menggunakan babak, bab, numerikal I atau II dsbnya tetapi Ruang. Apakah beliau yang pertama kali menggunakannya, saya tidak pasti. Penggunakannya cukup tepat kerana ianya merujukan kepada RUANG MINDA KREATIF penulis."

Ikuti tulisan Dr. Rahmat Haroun di sini.

Dapatkan CSRO di Ujana Ilmu.

Rabu, April 08, 2009

Bertemu Penulis "Panggil Aku Melaju"

Pandangan daripada jendela pesawat yang dalam proses mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Matsirat

Hasrat untuk bertemu dan berbincang-bincang dengan penulis sains fiksyen terunggul di Malaysia - Dr. Rahmat Haroun akhirnya terkabul juga. Kebetulan saya sedang memenuhi undangan pihak DBP supaya mengisi satu slot hak cipta untuk bengkel penulisan cerpen di sini. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini sudah mula ada kesedaran untuk memasukkan hak cipta di dalam slot-slot tertentu, walaupun slot yang harus menyelit sebagai selingan. Namun, slot kali ini agak panjang juga iaitu sekitar 2 jam.

Kembali kepada pertemuan dengan Dr. Rahmat Haroun. Bagi yang mengikuti perkembangan penulisan fiksyen sains di Malaysia, nama Rahmat Haroun ataupun, setelah diakui sendiri oleh pengarangnya, kini menggunakan nama Rahmat Haroun Hashim, tidak boleh ditinggalkan langsung. Kepada yang tidak pernah mendengar nama ini, anda ke mana selama ini?

Pertemuan tidak dirancang ini bermula apabila saya dibawa oleh pihak urus setia ke pekan Kuah. Saya tahu Dr. Rahmat Haroun memiliki kliniknya sendiri, cuma saya tidak tahu lokasinya. Apabila pemandu memberhentikan keretanya di Jalan Pandak Mayah 2, saya terpandang sebuah klinik yang dipanggil "Klinik Rahmat". Hati saya terus berdetak, entah-entah inilah klinik beliau. Kata hati saya itu saya suarakan kepada pegawai DBP. Tanpa berfikir lanjut, beliau terus masuk dan bertanyakan sendiri di kaunter. Untuk lebih mengesahkan lagi, saya meninjau terus ke pintu bilik rawatan. Setahu saya, setiap doktor akan meletakkan nama penuhnya pada pintu bilik. Telahan saya tepat. Benarlah, inilah dia Klinik Dr. Rahmat Haroun. Namanya terpampang di situ.

Tidak dapat saya pastikan sama ada beliau terkejut dengan kunjungan yang tidak dirancang ini (walaupun saya sudah memaklumkan hasrat untuk bertemu selepas beliau tamat bertugas) tetapi, pertemuan yang tidak disengajakan ini membuat saya teruja. Ibarat bertemu dengan buku yang sukar didapati dalam sebuah kedai buku yang kita tak tahu buku apa yang dicari. Bolehkah anda bayangkan?

Setelah beliau tutup klinik sekitar jam 9.30 malam, Dr. Rahmat singgah ke hotel kami dan dapatlah duduk semeja dan berbincang-bincang dengan suasana coffee house yang lengang. Hanya kami dan beberapa pegawai DBP yang baru hendak makan malam. Dia menghadiahkan saya naskhah berautograf novelnya yang terkini - Panggil Aku Melaju - yang sudah saya khatam dan sebenarnya, tidak puas membacanya! Sebagai imbalannya, saya hadiahkan juga senaskhah Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, yang jauh ketinggalan berbanding novelnya yang sarat membawa pengertian Melayu dalam dimensi yang berbeza.

Ikut arah jam : Dr. Rahmat Haroun (membelakangi kamera), Encik Mohamad Shahidan, Puan Nazmah, Puan Akibah dan saya

Kami terus berbincang, berhujah dan bertukar-tukar pandangan sambil SMS di telefon masing-masing bergantian dimasukki mesej tentang keputusan terkini pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Saya lebih berminat dengan proses kreatif Panggil Aku Melaju, novelnya yang tidak berapa sai-fai tetapi ada kelas yang tersendiri. Saya sedang usahakan reviu untuk novel ini tetapi bimbang sekali jika saya tidak memberikan keadilan yang sewajarnya kepada novel ini.
Saya bersama-sama dengan Encik Mohamad Shahidan (DBP KL) dan Dr. Rahmat Haroun (bertali leher)

Dalam novel ini juga, dia menjelaskan mengapa PPSMI itu harus dibantah dengan hujahnya yang saintifik. Jadi, mereka yang menentang dan menyokong harus membaca novel ini dahulu. Belajarlah membaca sebuah novel yang kaya dengan lapis-lapis makna. Bukan sekadar cerita yang mahu disampaikan melalui karya ini. Ada sesuatu yang lebih besar daripada itu. Ada sejarah asal-usul bangsa Melayu dengan hujah yang tidak kurang menarik.

Dr. Rahmat Haroun, seorang pengarang yang peka dengan pemilihan diksi, apatah lagi pemilihan judul. Setiap perkataan yang ditulisnya itu sarat makna dan dia tahu mengapa dia sebagai pengarang memilih dan mahukan makna tersebut. Dia juga bukti hidup bahawa dikotomi sastera dan sains dalam pembelajaran sebenarnya tidak wujud tetapi sengaja diadakan atas tujuan yang kabur.

Sesungguhnya, jauh sebelum pertemuan ini, saya telah menelusuri karya-karyanya : Di.Ar.Ti, Manuklon, Terang Bulan, Sentuhan Oedipus hinggalah yang agak terkini Hikayat Neogenesis dan Fitrah Kimiawi. Novel Di.Ar.Ti juga menjadi inspirasi untuk saya menulis Mencari Locus Standi kerana dia menulis novel tentang pelajar perubatan dan saya yang sebaliknya.

Pertemuan singkat itu amat bermakna buat saya sebagai pengarang, betapa seorang doktor yang tidak meninggalkan profesionnya tetap menyanjung bahasanya, malah menjiwai ungkapan "Bahasa Jiwa Bangsa" dan dalam masa yang sama tidak kalah menuturkan bahasa Inggeris. Kita perlukan lebih ramai lagi orang seperti beliau.

Peminat Dr. Rahmat boleh mengikuti perkembangan beliau melalui blognya : www.rahmatharounhashim.blogspot.com

Sabtu, April 04, 2009

Bengkel Puisi Intensif PEN

Anda berminat untuk menyertai Bengkel Puisi bagi memperbaiki kualiti penulisan puisi? Silakan ke Bengkel Puisi Intensif anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Maklumat lanjut di laman web PEN.
Related Posts with Thumbnails