Sabtu, Februari 27, 2010

Menulis Tanpa Rasa Bersalah

APABILA menjadi pembimbing di dalam bengkel-bengkel penulisan, hal yang paling menyeronokkan ialah melihat ramai calon-calon penulis – kebanyakannya sekitar akhir remaja – mempunyai semangat utuh untuk menjadi penulis. Zaman awal penulisan seseorang penulis yang benar-benar bertunas boleh sahaja menjadi ‘zaman profilik’ penulis tersebut.

Pengalaman berinteraksi dengan para pelajar yang menuntut di luar negara seperti dari Timur Tengah dan Eropah, memperlihatkan kesungguhan mereka menulis di celah-celah kesibukan sebagai mahasiswa. Ada yang mampu menulis tiga buah cerpen sebulan, sepuluh buah puisi sebulan dan ada juga yang sempat menulis novel di dalam tempoh menjadi mahasiswa itu.

Sayang sekali, sekembalinya ke tanah air ataupun apabila mereka masuk semula ke dalam masyarakat, hayat penulisan mereka seolah-olah terhenti. Semakin lama, semakin sukar untuk melihat nama mereka di dada akhbar dan majalah. Fenomena ini paling ketara di kalangan penulis wanita, apatah lagi setelah mereka mendirikan rumah tangga.

Aneh sekali, kesungguhan mereka yang begitu luar biasa sewaktu menjadi pelajar tiba-tiba lenyap tanpa sebarang tanda. Adakah mereka tiada masa untuk menulis lagi? Siapakah yang telah mengambil masa mereka ini?

Jawapannya begitu mudah. Tiada siapa yang boleh mengambil masa orang lain tanpa izin orang itu. Ertinya, masa kita tidak boleh diambil orang lain, jika kita sendiri tidak mengizinkannya.
Sekiranya benar kita mahu menjadi penulis – tidak kira sama ada penulis sepenuh masa ataupun sambilan – perkara penting di sini ialah soal masa untuk menulis.

Kita semua ada masa untuk menulis!

Kitalah yang membahagikan masa selama 24 jam itu mengikut cara kita sendiri sehingga sudah tidak ada ruang yang tinggal untuk menulis. Sewaktu menjadi pelajar, di celah-celah keriuhan kampus dan nikmat sunyi bersendirian di perpustakaan, kita dapat menulis sesuatu. Kalau bukan pada waktu semester, kita masih dapat menulis sesuatu pada waktu cuti semester.

Mengapa kita boleh berbuat demikian? Ini disebabkan kita telah meletakkan satu deadline khusus kepada tempoh masa menulis. Kita mahu sudahkan tulisan ini sebelum cuti semester berakhir, misalnya. Ataupun, kita mahu sudahkan puisi ini sebelum kita menulis tugasan yang baharu. Ada banyak inspirasi dan motivasi yang kita letakkan sebagai sasaran dan juga umpan untuk menyudahkan karya.

Sebuah karya itu hanya boleh dinilai apabila siap, bukannya ketika karya itu akan siap. Tidak ada apa yang boleh diperkatakan terhadap karya yang belum selesai. Oleh itu, carilah cara dan teknik untuk menyelesaikan penulisan kita.

Apabila kita keluar daripada ruang rutin seorang pelajar, kita sudah tidak ada lagi cuti semester, tugasan ataupun apa-apa bentuk deadline yang boleh dijadikan sempadan penulisan. Malah, kini kita sudah bebas dan boleh menulis pada bila-bila masa. Mengapa pada ruang yang bebas ini kita tidak mampu menulis?

Percaya ataupun tidak, penulis memerlukan satu bentuk ‘desakan’. ‘Dorongan’ ialah kata-kata semangat, sokongan moral, material dan sebagainya. Tetapi desakan ini lebih kuat menolak penulis supaya dapat menghabiskan karyanya. ‘Desakan’ inilah yang berlaku sewaktu menjadi pelajar dahulu. Tugasan boleh disiapkan apabila pensyarah memberi deadline. Suka ataupun tidak, kita mampu menyiapkannya.

Desakan boleh datang dalam bentuk yang pelbagai. Misalnya, desakan kewangan. Ada yang menulis kerana mahukan honorarium atau royalti. Desakan editor juga boleh memainkan peranan. Editor yang bijak mampu membuat desakan secara ‘halus’. Tindakannya lebih kepada suatu permintaan berbanding desakan. Penulis akan berasa terpanggil (bukannya tertekan) untuk menulis karya dan menyudahkannya.

Desakan tarikh akhir ataupun deadline juga boleh membantu penulis segera menyudahkan karya. Tarikh akhir ini boleh sahaja diberikan oleh editor, tarikh akhir sesebuah sayembara ataupun yang dibuat oleh penulis sendiri.

Desakan begini bergantung kepada jadual penulisan. Jadual seorang penulis boleh jadi rigid seperti jadual waktu sekolah ataupun kuliah. Jadual itu boleh juga berbentuk fleksibel tetapi masih menekankan aspek disiplin dalam penulisan.

Bagi penulis sepenuh masa, mungkin boleh mulakan dengan ruangan ‘mesti-menulis’ sebanyak 7 jam seminggu. Ertinya, secara purata satu jam sehari. Jika tidak boleh menulis setiap hari, waktu yang telah diambil untuk membuat kerja lain itu mestilah diganti. Misalnya, hari ini kita perlu menulis selama satu jam setengah kerana semalam kita hanya menulis selama setengah jam. Ataupun pada hari Isnin menulis selama 2 jam, Selasa sejam, Rabu 2 jam dan Khamis dan Jumaat masing-masing sejam; kerana Sabtu dan Ahad ada aktiviti yang tidak memungkinkan kita untuk menulis.

Apa-apa sekalipun alasannya, waktu 7 jam itu mestilah disempurnakan.

Cari waktu yang paling sesuai untuk menulis. Cara paling mudah ialah memvisualkan jadual penulisan dengan membuat carta seperti yang berikut :

Masa Hari

Isn

Sel

Rab

Kha

Jum

Sab

Ahad

6 pagi

7 pagi

8 pagi

9 pagi

10 pagi

11 pagi

12 tgh hari

1 tgh hari

2 petang

3 petang

4 petang

5 petang

6 petang

7 malam

8 malam

9 malam

10 malam

11 malam

12 tgh malam

1 pagi

2 pagi

3 pagi

4 pagi

5 pagi



Hitamkan pada ruangan yang pasti kita tidak boleh menulis, misalnya urusan kerja, kuliah, memasak, urusan rasmi, urusan anak, janji temu, mesyuarat dan hal-hal lain yang mesti-hadir. Selebihnya, kita akan lihat pada waktu-waktu manakah yang putih – iaitu ruangan yang boleh digunakan untuk menulis. Gunakan satu jam sahaja daripada waktu tersebut untuk menulis setiap hari secara purata.

Apabila kemahiran mencari waktu menulis ini bertambah, barulah waktu yang tujuh jam seminggu itu ditambah kepada sepuluh jam, empat belas jam dan seterusnya kepada jumlah jam yang wajar bagi seorang penulis.

Seperkara lagi yang mesti diamati ialah persoalan menghormati masa. Tidak ada gunanya membuat jadual menulis jika jadual itu tidak dipatuhi. Mungkin kita mempunyai kesungguhan untuk menghormati masa sendiri. Tetapi, agak sukar membuat orang lain menghormati masa kita sebagai penulis.

Ini disebabkan mereka yang tidak menulis menganggap kita boleh menulis pada bila-bila masa. Oleh itu, kita semudahnya boleh ‘diganggu’ dengan panggilan telefon, SMS, mengajak keluar makan, menguruskan persatuan, membeli belah ataupun sekadar berbual kosong. Padahal menulis juga suatu tugas yang profesional seperti mana tidak ada orang yang secara suka-suka menelefon sahabatnya yang bertugas sebagai doktor, peguam ataupun guru (sekadar contoh).

Dengan yang demikian, kita sendiri yang perlu bertegas kepada (a) diri sendiri (b) orang lain. Apabila kita sendiri menghormati ruang masa yang diberikan, barulah orang lain melihat keseriusan kita dalam menulis. Belajarlah untuk berkata ‘tidak mahu’ ataupun menolak sebarang pelawaan dengan pantas tetapi penuh sopan!

Bagi penulis yang sudah berumah tangga, khususnya penulis wanita, mendapat pasangan yang memahami ruang waktu menulis ini cukup penting. Pasangannya itu tidak semestinya seorang penulis ataupun ‘orang sastera’. Cukup sekadar menjadi pasangan yang bijak menghormati waktu pasangannya untuk bersendirian selama sejam dua (atau pada tempoh tertentu). Jika pasangan ini mempunyai anak, suami boleh membantu isterinya dengan membawa anak-anak keluar bermain supaya isterinya dapat menulis.

Selain daripada itu, belajarlah untuk berbahagi tugas di rumah dengan ahli keluarga. Bukan semua tugas itu mesti dilakukan oleh isteri yang sibuk menulis. Suami juga boleh mengemas rumah, anak-anak boleh tolong uruskan pakaian kotor untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh, masak lebih pada waktu tengah hari supaya lauk yang sama boleh dipanaskan pada sebelah malam tanpa perlu memasak lagi. Boleh juga berpakat dengan pasangan: sesiapa yang menidurkan anak pada sebelah malam, tidak perlu menguruskan anak-anak pada sebelah pagi. Dengan giliran yang demikian, pasangan yang menulis boleh tidur awal pada sebelah malam dan menulis pada awal pagi esoknya tanpa perlu diganggu dengan hal-hal menguruskan anak ke sekolah.

Hal ini perlu disepakati sesama pasangan. Biasanya isteri kurang mampu menulis jika ada perasaan bersalah menyelubunginya. Rasa bersalah kerana tidak dapat menyediakan sarapan (masak awal, simpan dalam peti sejuk dan ajar suami menggunakan ketuhar gelombang mikro) ataupun suami terpaksa menggosok baju anak sebelum ke sekolah dan ada banyak sebab untuk berasa bersalah. Jika perasaan ini dapat di atasi, proses penulisan dapat berjalan lancar.

Bagaimana mengatasi perasaan ini? Setiap penulis akan melalui cara yang berbeza-beza. Hanya penulis itu sendiri yang dapat menghapuskan perasaan tersebut. Selagi perasaan bersalah bermain-main dalam fikirannya, selama itu juga tidak ada karya yang akan berjaya disudahkan.

Bagi yang belum berkeluarga pula, kurangkan (bukannya ditiadakan) aktiviti-aktiviti luar bersama-sama rakan, membeli-belah, menonton rancangan televisyen (yang sekadar hiburan, kecuali untuk merehatkan diri selepas penat menulis), berbual panjang di telefon dan ada seribu satu macam alasan lagi untuk tidak menulis. Rasa bersalah pasti hadir apabila kita menolak pelawaan rakan ataupun menolak panggilannya. Jika kita sedang menulis, pendekkan perbualan. Katakan kepada rakan, kita akan keluar apabila tugas ini selesai ataupun beri satu tempoh yang wajar.

Paling penting, teruslah menulis tanpa rasa bersalah!



6 ulasan:

Rebecca Ilham berkata...

Salam Kak Nisah,

saya suka sekali entri ini!

Secara purata, waktu saya di rumah hanya 12 jam sehari, iaitu dari 6.30 petang - 6.30 pagi. Lagi 12 jam di pejabat dan berulang-alik menggunakan pengangkutan awam. Dalam 12 jam di sebelah malam itulah saya perlu rehat (tidur secara purata 6-7 jam), mandi, makan, berhibur, membaca dan tentunya menulis.

Baru minggu lepas beberapa rakan sepejabat berkata, "Banyaknya masa engkau!" lalu saya jawab kembali, "Kalau engkau ada 24 jam, aku pun sama. Bagaimana kita mengatur hidup itu yang berbeza."

Namun saya masih gerun membayangkan aturan kehidupan yang lebih padat pastinya untuk penulis yang telah berkeluarga. Buat masa ini, saya rasa belum mampu melakukannya!

ILHAM HAMDANI berkata...

Assalamualaikum,

Kak Nisah Haron yang dhormati,

Terima kasih atas panduan yang sangat berguna ini.

Saya tertarik dengan frasa-frasa berikut:

Seperkara lagi yang mesti diamati ialah persoalan menghormati masa. Tidak ada gunanya membuat jadual menulis jika jadual itu tidak dipatuhi. Mungkin kita mempunyai kesungguhan untuk menghormati masa sendiri.

Saya kira mendisiplinkan diri untuk patuh kepada jadual yang sudah ditentukan lebih awal, aduh, ini yang nampaknya sedikit berat. Pun begitu, saya yang masih baru akan terus mencuba.

Terima kasih sekali lagi.

Nisah Haji Haron berkata...

Salam Becky,
Usah bimbang kepada ketentuan yang belum sampai. Insya-Allah, selagi kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, semua Allah akan bantu. Selagi kita kata boleh, kita memang boleh!

Ilham,
Penulis sepenuh masa harus ada disiplin waktu dan disiplin menulis. Selagi kita menghormati masa sendiri, insya-Allah orang lain juga lambat laun akan hormat masa kita. Kalau kita berlebih kurang menguruskan masa kita, orang lain pun perkara yang sama kepada masa kita.

Terus menulis ya! Saya percaya Ilham perlukan suatu karya 'besar' bagi mengekalkan status HSPM yang telah disandang. Anugerah juga satu bentuk ujian dari Allah.

Aishah Jamal berkata...

Salam Nisah,

Saya amat suka dengan artikel ini. Terimakasih kerana memberi ilmu.
Mungkin saya boleh gunakan disatu hari nanti.

NorziatiMR berkata...

Menulis memerlukan disiplin yang kuat. Saya punya masa panjang dirumah kerana lokasi tempat kerja dan rumah yang dekat - amat menjimatkan masa. Walau pun begitu, saya lihat diri tidak juga produktif tetapi leka dengan perkara lain. Misalnya, bila duduk depan PC, leka berblog, FB, atau melayan YM.

Maka saya fikir, saya harus sibukkan diri dengan aktiviti lain supaya punya waktu terhad untuk menulis. Biasanya ilham datang dalam waktu terdesak dan masa yang sangat cemburu. Laju pula otak berfikir dan menjadi produktif dalam keadaan terburu-buru, tetapi bila waktu lapang sepatah pun tak muncul.

:-)

syaza nazura. berkata...

Assalamualaikum Kak Nisah.

I've been thinking of writing, but never got around to it. I don't know why. I have the idea, I know what I want to write, but when I start to type it up, my mind goes blank. I got stuck on the first few sentences, and I don't know how to go on.

Maybe you can share something, perhaps a tip or two on how to start writing? I'm a 16 years old teenager who loves reading books and novels.

Thanks:)

Syaza Nazura.
aza_cute94@yahoo.co.uk

Related Posts with Thumbnails