Ole-Ole Dari Medan


(Gambar : Muzium Daerah Tanjung Pura, Langkat - pernah menjadi pejabat bupati)


Hujung Januari saya 'lari' ke Medan bersama si kunang-kunang. Lari - kerana saya ke sana untuk tempoh yang amat singkat. Biasanya orang ke Medan untuk shopping sakan, tapi maaflah, rugi kalau mahu ke Medan bersama-sama saya kerana sedikit pun tidak terliur jika diajak ke Pajak Ikan membeli telekung, kain batik atau apa sahaja ole-ole yang demikian sifatnya.

Wisata singkat itu dimanfaatkan untuk ke Tanjung Pura - tempat pujangga Amir Hamzah. Almarhum terkenal dengan karya-karyanya Nyanyi Sunyi, Buah Rindu dan Setanggi Timur. Puisi-puisi kesufiannya sudah lama saya hadam cuma inilah kali pertama dapat menjejakkan kaki ke daerah Tanjung Pura, lebih tepat lagi di sebuah Balai Kerapatan (yang kini menjadi Muzium Daerah) - tempat Amir Hamzah menjadi Bupati pertama di situ.

Perjalanan hampir dua jam ke arah utara dari Kota Medan melalui Stabat dan seterusnya Tanjung Pura ternyata amat indah apabila disambut oleh Drs. Zainal Ariffin AKA. Beliau telah diamanahkan menjadi ketua di Muzium Daerah itu dan menyimpan di dalam dadanya banyak sejarah Langkat - Tanjung Pura. Apatah lagi beliau sendiri merupakan anak jadi daerah itu. Banyak cerita-cerita tentang Amir Hamzah yang sebati di dalam jiwanya. Kisah Amir Hamzah yang menjadi mangsa korban fitnah dan cinta yang tidak kesampaian itu mengekori saya sepanjang waktu dari Tanjung Pura sehinggalah pulang ke tanah air. (gambar : bersama adik di anjung Balai Kerapatan)

Sempat juga kami dibawa menziarahi persantren tempat Amir Hamzah menuntut ilmu agama dan ke Masjid Azizi, tempat jenazahnya yang dikatakan ditemui di dalam sebuah perigi buta (setelah dipancung tanpa bicara) lalu dikebumikan di kawasan masjid itu. Walaupun keturunan diraja, Amir Hamzah tidak dimakamkan di dalam kompleks pemakaman diraja seperti isterinya (Tengku Kamaliah) dan juga puterinya (Tengku Tahura). Menurut cerita, Amir Hamzah sangat dekat di hati rakyat, oleh itu dia lebih sesuai bersama-sama mereka. Namun, saya pasti ada rahsia yang harus kekal rahsia.

Kumpulan penyelidikan kami terasa dapat mengenali Amir Hamzah dengan lebih dekat melalui wisata ini. Ada banyak persamaan antara warga Tanjung Pura dengan kita. Persamaan paling ketara ialah pada bahasa. Orang-orang Tanjung Pura - Langkat juga orang melayu Deli. Istilah Melayu di sana, setepatnya ialah orang-orang Melayu Deli, ertinya, bukan orang Minang, orang Jawa, ataupun apa-apa kelompok etnik yang lain. Ini juga bermakna kelompok Melayu di Sumatera, khususnya, lebih kecil daripada pengertian Melayu di Malaysia.

Bingkisan paling bererti untuk saya ialah kesempatan singgah ke Gramedia di Sun Plaza. (Tidak sempat ke Pasar Buku - kerana maklumat yang diperoleh hanyalah pada saat-saat akhir sebelum pesawat berangkat meninggalkan Medan.) Tidak banyak yang saya beli kali ini berbanding ketika di Jakarta beberapa tahun yang lalu. Sempat juga membeli DVD Lasykar Pelangi sebagai koleksi peribadi, Bujang Tan Domang oleh Tenas Effendy (sudah ada fotokopinya, kita lebih berbahagia memiliki edisi asal), Tanah Ombak (Abrar Yusra - pemenang hadiah Mastera - Indonesia, kategori novel), sebuah novel baharu Putri Melayu (Amiruddin Noor) - sengaja dibeli kerana ada menyebut tentang Langkat dan sejarahnya.

Pembelian paling berharga kerana berjaya menemui 4 jilid buku Proses Kreatif - Mengapa dan Bagaimana Saya Mengarang - Pamusuk Eneste (editor) (seperti gambar di bawah). Inilah pembelian paling berbaloi kerana tak sangka buku ini tidak berada di ruangan sastera tetapi saya dapati 'bersepah' di kawasan buku-buku agama (antara buku-buku Islam dan Kristian). Sesat barangkali, atau pun ada yang sudah mengambil tetapi tidak diletakkan semula ke tempat asal. Kategori buku proses kreatif sudah menjadi kegemaran saya sejak dulu. Bersyukur benar kerana menemuinya.

Boleh klik pada gambar untuk melihat imej yang lebih besar dan terang.

Antara pengarang yang berbahagi proses kreatifnya bersama-sama pembaca ialah Pramoedya Ananta Toer, Sutan Takdir Alisjahbana, Putu Wijaya, Nh. Dini, Danarto, Umar Kayam, Rendra, Achdiat K Miharja, Ayu Utami, Ahmad Tohari, Afrizal Malna dan ramai lagi - maklumlah ada 4 jilid kesemuanya. Menurut catatan pada jilid 1 buku ini, koleksi ini telah diterbitkan semula dan disusun di dalam bentuk yang lebih teratur dan mudah dibaca. Susunan juga dibuat berdasarkan senioriti kepengarangan.

Mungkin jika ada kesempatan yang lain, saya akan menghabiskan masa di Pasar Buku yang hanya sempat saya lewati tetapi tidak sempat berhenti itu!

Ulasan

Mawar berkata…
Nis
saya punya Proses Kreatif I dan II, mahu lihat juga yang III dan IV. pinjam nanti ya!
Nisah Haji Haron berkata…
Mawar,
Tentu sekali. Tungguh saya habis baca ya!
Salam Nisah,

Sudah lama saya kepingin ke Gramedia...membeli-belah buku di sana. Saya tak sabar nak buat pasport untuk ke Medan atau Jakarta. Saya percaya pengarang yang jauh perjalanannya bisa mengarang cerita-cerita yang luar biasa....lain kali Mas nak kirim beli buku pada Nisah kalau Nisah ke Indonesia lagi. Saya di Kuching, minta tolong rakan penulis di Indonesia kirim secara pos dan guna western union kirim wang ongkosnya.
Unknown berkata…
Salam Nisah, bahaso negoghi laku tak kek sini? :D

Kempunan sungguh buku-buku karya Amir Hamzah, nanti bila ada masa yang sesuai aku nak dengar pengalaman wisata serta kisah Amir Hamzah dari Drs. Zainal Ariffin AKA itu ya... :)

Catatan Popular