Catatan di Ranah Minang - 4
Gambar : Gunung Merapi yang sentiasa 'mengiringi' perjalanan kami mendaki Bukittinggi. Majestic! Masya-Allah!
Azan subuh bersahut-sahutan di Kota Bukittingi. Terasa seperti ada 5 - 6 buah masjid, surau dan musolla yang bertingkah-tingkah azannya. Syahdu dan menenangkan. Belum dicampur dengan talunnya yang melantun-lantun. Saya tiba-tiba mengibaratkan kota Paris apabila Notre Dame dan loeng-loceng gereja lain bersahut-sahutan dalam filem The Hunchback of Notre Dame. Cuma di sini azannya lebih menusuk jiwa.
Masya-Allah! Segala-galanya teasa indah di sini. Sepanjang jalan mendaki Bukittinggi pada petang sebelum ini, di kiri-kanan ada sebatang sungai yang penuh batu dan airnya keputihan akibat dihalang batu-batu itu. saya ibaratkan aliran sungai itu seperti hidup manusia. Sungai itu tidak akan jadi secantik ini jika taida batu-batan yang menghalang lingkaran perjalanannya. Demikian terduga sekali perjalanan sebatang sungai seperti mana manusia yang tidak terduga hidupnya, pasti dirinya tidak akan warna-warni dan cantik. Pengalaman dan dugaan itulah yang membentuk peribadi kita sama ada bertambah kuat seperti sungai itu atau terus lemah dan tertahan oleh batu-batu yang sekian banyak.
Perjalanan mendaki juga suatu cabaran yang mengasyikkan. Semakin menghampiri puncak gerimis menjadi lebat dan menghalang saya daripada merakamkan gambar-gambar pemandangan. Segalanya terakam dengan baik di dalam minda. Setiap kali melontar pandangan ke luar jendela Tranex Mandiri, koster yang memuatkan sekitar 12 orang penumpang, Merapi dan Singgalang kerap kali juga meninjau kedatangan kami.
Sekitar 2 jam perjalanan, kami sampai di Kota Bukittinggi. Alhamdulillah, hujan yang lebat ketika mendaki semakin berhenti ketika kami melewati Padang Panjang. Walaupun hari sudah petang, sisa-sisa cahaya yang berbaki itu masih membenarkan kami melihat dan menjelajah dengan mata apa-apa sahaja yang ditawarkan oleh kota itu, sementara sahabat kami Silfia, mengambil keretanya yang diparkir di perkarangan bangunan Radio Republik Indonesia (RRI).
Usai solat di Hotel Graha Muslim, kami keluar semula untuk melihat-lihat kota Bukittinggi pada waktu malam. Kami dibawa melihat Jam Gadang pada waktu malam. Indah sekali. Ada ramai orang di sekitar Jam Gadang itu. Ada yang menjual barang ada yang berantai-santai. Kami hanya berhenti untuk mengambil gambar dari jendela kereta. Kami tidak turun. Adakalanya, sesuatu yang indah itu terus indah jika dinikmati dari jauh.
Silfia membawa kami makan Sate Padang yang autentik. Rasanya berbeza sekali dengan Sate Padang yang pernah saya rasa di Jakarta, Palembang, Medan dan Pekanbaru. Maklumlah di sinilah tempat asalnya.
Hari pertama kembara di Padang - Bukittinggi ini harus ditamatkan untuk berehat. Jika diikutkan hati, seperti mahu menjelajah lagi. Namun, tidak banyak yang dapat dilihat pada waktu malam, lalu kami pun mengumpul tenaga untuk esok.
Esok, hari yang dinanti-nantikan. Mahu ke Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka melalui Kelok Ampek Puluh Ampek (44) dan melihat keajaiban Danau Maninjau.
Ulasan
Maaf kak. Kalau tak keberatan, boleh kakak terangkan nawaitu yang sebenar dan seharusnya ada dalam menjadi penulis?
Nawaitu setiap orang itu berbeza. Tidak mungkin saya berikan nawaitu saya kepada orang lain jika niat kita tidak serupa ketika menulis. Ada orang menulis kerana nama, wang ataupun populariti dan itu memang datang dari dalam dirinya. Lantas, bagaimana dia boleh mengubahnya dan meminjam nawaitu orang lain?
Lihat dalam diri dan tanya kepada diri sendiri mengapa sdr menulis? Mungkin di situ ada jawapannya.
Prof Madya Ahmad Nawawi,
Insya-Allah, jika tuhan mengizinkan pertemuan kita, pulau di pinggir Laut China Selatan itu akan menjadi pertemuan kita dengan bakal-bakal penulis yang berbakat!