Rabu, April 28, 2010

Apabila gambar-gambar buku berbicara


Koleksi buku-buku, bulan April 2010.
Ada yang dihadiahkan.
Ada yang dibelikan orang.
Ada yang dibeli sendiri.

Terima kasih kepada yang menghadiahkan.
Terima kasih kepada yang tolong belikan.

Bersyukur kerana saya lebih mencintai buku daripada beg tangan, kasut dan baju.





Gambar atas : The Epic of Hang Tuah (ITNM), Howards End is on the Landing dan Write like Hemingway


Klik pada gambar untuk melihat imej yang lebih jelas. Judul buku-bukunya agak jelas.

Suka akan buku The Dictionary of Imaginary Places yang sungguh tebal itu! Banyak tempat-tempat fantasi dan rekaan pengarang terdahulu dihimpunkan di dalam koleksi ini.
















Paling suka ilustrasi kulit depan buku The Librarian Book of Quotes.

Khamis, April 22, 2010

Hari Buku & Hak Cipta Sedunia


Saya meraikan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2010 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat. Ada undangan untuk memberikan ceramah Hak Cipta di sini kepada warga akademik di sini.

Isnin, 26 April 2010 ialah Hari Harta Intelek Negara anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) . Majlis berlangsung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Saya akan memberikan ceramah yang berjudul : Is Copyright for Microsoft, Disney and Beatles Only?

Sesiapa yang berminat dan berhampiran dipersilakan hadir ke majlis tersebut. Maklumat seperti pada pautan.

Kepada yang tidak berkesempatan, maklumat dan pembacaan tentang asas-asas hak cipta yang perlu diketahui penulis, penerbit dan semua yang berkarya menggunakan harta intelek ini boleh membaca buku saya "Karya Kita Hak Kita".

Marilah tingkatkan kesedaran untuk menghormati karya orang lain. Kalau kita boleh menahan diri daripada masuk ke kedai 7-Eleven dan mencuri sebuku roti kerana kita tahu itu namanya mencuri; marilah kita sama-sama menyedari dan insaf bahawa mengambil ungkapan apatah lagi mencuplik dan memplagiat karya orang lain itu samalah tarafnya dengan mencuri juga. Hentikanlah alasan-alasan cliche seperti "saya tak tahu pun itu salah" atau "alah ambil sikit saja, bukan bukunya habis tak laku pun kalau saya ambil" atau apa-apa sahaja alasan untuk mencuri hasil titik peluh, jerih payah orang lain.

Kepada warga penulis, teruslah pertahankan hak kita sebagai pengarang. Apabila semua pihak tahu batas sempadan; penerbit juga menghormati penulis yang pandai mengambil manuskrip penulis dan pandai pula memasar, menjual dan membayar royalti yang sepatutnya kepada pengarang, barulah pengarang tidak perlu memikirkan hal-hal tetek bengek seperti penerbit sudah bayar ke belum; buku aku ni laku ke tidak; dan macam-macam hal yang boleh mengganggu proses kepengarangan itu sendiri.

Mencuri hak orang lain itu jenayah. Mengambil hasil kerja orang lain juga jenayah. Menerbitkan karya kemudian tidak dijual dan dipasarkan dengan penuh amanah, juga suatu jenayah.

Jenayah terbesar tentunya 'menghalang' pembaca daripada mendapatkan bahan bacaan yang baik dengan tidak memasarkan buku! Inilah jenayah bukan sahaja perbuatan aniaya kepada pengarang tetapi juga suatu jenayah dan penganiayaan terbesar kepada bangsa, agama dan negara!

Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia ini, marilah kita sama-sama menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam dunia penerbitan. Ayuh, masih belum terlewat untuk kita bermuhasabah dan membetulkan mana-mana jalan yang telah jauh tersasar!


Selasa, April 20, 2010

Buku-buku sempena


Syukur. Allah masih memberi nafas pada hari lahir. Ertinya masih ada tujuan hidup yang belum lengkap. Harus terus menulis!

Ada rasa gembira dan girang yang luar biasa. Lebih kurang sebulan yang lalu ada memesan buku-buku dari Amazon.com. Menurut e-melnya, ada buku yang akan tiba lambat. Oleh itu, pesanan akan dibahagi kepada 2. Pesanan dijangka sampai pada penghujung April atau awal Mei.

Tidak sangka pula buku-buku ini sampai 4 hari sebelum hari lahir. Kedua-dua pesanan yang terbahagi itu sampai serentak. Lalu sempena hari istimewa untuk diri sendiri buku-buku itu langsung menjadi hadiah sempena tarikh berkenaan dengan iringan doa supaya Allah kurniakan kekuatan dan ketabahan untuk menerima setiap cabaran menulis yang Allah sediakan.

Kemudahan teknologi telah membolehkan buku 'diselak' secara maya, dipesan secara online. Saya amat suka dengan kemudahan ini. Banyak buku tentang penulisan yang telah saya pesan sama ada dari Amazon.com atau Writer's Digest Shop. Di Malaysia, penulis tempat masih lagi kurang dalam menghasilkan buku-buku tentang penulisan ataupun buku-tentang-buku. Moga mereka yang berkenaan cepat dan segeralah menulis di dalam Bahasa Melayu. Ruang ini masih kosong.

Buku-buku yang dipesan kali ini ialah :
  • If You Want To Write - A book about Art, Independence and Spirit (Brenda Ueland)
  • The Writer's Idea Book (Jack Heffron)
  • The Writer's Digest Guide to Science Fiction and Fantasy (Orson Scott Card, et al) - Introduction from Terry Brooks
  • The Library : An Illustrated History (Stuart A. P. Murray)

Buku yang sudah lama diidamkan ialah The WD Guide to Science Fiction and Fantasy. Bukannya tidak boleh menulis fantasi, namun saya percaya tempoh belajar memang tidak pernah tamat. Apabila menerima buku, terkasima dengan bentuk buku yang di luar konvensional. Suatu pembaharuan! Terasa mendapat bonus berganda apabila buku ini sampai. (lihat gambar di sebelah).

Bentuknya semacam diari, ada ring binder, ada tab yang membahagikan dua segmen :

a) How to write Science Fiction & Fantasy;
b) The Writer's Complete Fantasy Reference

Di dalamnya terkandung bukan sahaja panduan-panduan penulisan tetapi rujukan lengkap bagi sesiapa yang meminati penulisan fantasi dan juga fiksyen sains. Oleh sebab penulisnya dari Barat, tentulah rujukan dibuat tentang gaya fantasi barat, misalnya tentang Anatomy of a Castle (lakaran bentuk istana di Eropah kuno) atau pun Dress and Costume (pakaian fantasi yang berpaksikan tamadun lama di Barat, dan sedikit di Asia Tengah dan Timur Tengah).

Ini suatu cabaran kepada penulis fantasi Melayu yang mahu mengetengahkan nuansa melayu dalam penulisan kreatif. Tulisan di dalam buku ini memang banyak membantu daripada aspek penulisan. Selebihnya terpulanglah kepada kita untuk menyesuaikan di dalam kerangka acuan kita sendiri. Penulisan fantasi jika tidak berhati-hati dan terlalu berpaksikan kepada Barat boleh menyalahi akidah dan menjadi syirik.

David Eddings, misalnya (sekadar memilih satu nama) di dalam The Belgariad Series (dan seterusnya dalam The Mallorean, Belgarath the Sorcerer, Polgara the Sorceress) mewujudkan ada banyak 'tuhan' yang bersifat seperti manusia dan tidak sempurna. 'Tuhan' di dalam novel-novelnya digambarkan bertingkah antara satu sama lain, ada yang bersekongkol dan ada yang menyendiri tanpa mempedulikan penganutnya.

Ya, saya baca semua itu dulu sewaktu usia yang masih remaja, namun paksi agama saya yang telah dipasak oleh keluarga, sekolah agama dan nilai-nilai yang tertanam tidak sama sekali menggoyah akidah saya ketika membacanya. Saya anggap semua itu sebagai cerita yang menghiburkan, mencabar daya pembacaan saya dan membenarkan saya membuat perbandingan agama (dengan daya fikir yang masih remaja - saya mengikuti siri novel ini ketika di tingkatan 5).

Ekoran daripada itu saya menulis banyak cerpen fantasi dan masih mengingati pesanan mentor Almarhum Dr. Haji Othman Puteh : menulis fantasi itu jangan ada kuasa yang mengatasi kuasa Allah Taala. Ertinya, jangan sampai boleh syirik. Amanat itu saya pegang sehingga hari ini dan saya masih boleh 'layan' apa jenis karya fantasi.

Buku The Library saya pilih kerana ada ilustrasi dan gambar bagi menerangkan sejarah perpustakaan. Ini penting dan satu yang mesti dibaca oleh 'penggila buku'. Ini buku rujukan penting untuk suatu projek penulisan yang sedang berjalan. Lantas, saya tiada alasan lagi. Buku yang sedang diusahakan itu mesti terus disiapkan. (Nota kepada diri!)

Buku-buku yang lain itu memang sudah berada di dalam wish-list tetapi masih tidak cukup alasan untuk memesannya. Jadi, setelah memesan 2 buah buku utama, yang lain ini terpilih di kalangan puluhan buku di dalam wish list. Yang lain tunggu dulu. Jika ada kelapangan dari segi kewangan dan rezeki akan sampailah giliran yang lain itu.

Rasa bahagia yang berganda-ganda. Sepanjang hari menerima buku-buku tersebut sehinggalah ketika menulis catatan ini masih lagi terasa bahagianya. Hanya pencinta buku sahaja yang faham perasaan saya. Buku-buku ini semacam ganjaran untuk saya sudahkan beberapa tulisan dan hanya akan dibaca setelah berjaya disudahkan dan bacaan buku yang sedang dijadualkan. (Ada buku yang mesti dihabiskan dahulu kerana ada pihak menunggu).

Ah, alangkah sukarnya membiarkan buku-buku itu sepi di atas meja. Apatah lagi, setiap kali mereka menjeling-jeling manja mengajak saya menyentuh, mengelus, membuka dan langsung masuk terpesona dan bermain-main di halamannya...

Ahad, April 18, 2010

Orang yang paling sibuk mampu menulis!


Ketika melayan sebuah buku yang baru sampai berjudul The Writer's Idea Book tulisan Jack Heffron, saya tejumpa ungkapan ini dan menyukainya :

"Recent psychological studies show that obstacles actually aid creativity. The tension between your desire to be creative and the obstacles you have to overcome sparks ideas, like rubbing two rocks together to ignite flame."

Terjemahannya lebih kurang begini : Kajian psikologi terkini menunjukkan bahawa halangan sebenarnya membantu pertumbuhan kreativiti. Ketegangan antara keinginan untuk berkreatif dan halangan yang perlu diatasi memercikkan ilham atau idea, ibarat menggosok dua biji batu untuk menghidupkan api.

Bukankah ketika kita sedang sibuk, berbagai-bagai idea menulis datang: terutama sekali ketika memasak, sedang menggosok baju, sedang menggosok gigi kerana mahu berkejar ke tempat kerja, ketika menjemput anak dari kelas petang, pada keadaan beginilah idea selalu ada dan kita tidak sempat mencatatnya. (Oleh itu, biasakan ada buku catatan/kertas di merata tempat berserta dengan satu pen/pensil.)

Katanya lagi :

When find a way to make it happen, that fuels our imaginations. In a recent New York Times articles, creativity consultant Roger von Oech sums up this idea well: "Skyscrapers weren't invented by people with a lot of land, but by those who had to figure out how to build more offices on tight and incredible expensive real estate." So, instead of cursing your obstacles, be grateful from them.
Terjemahan bebas : Apabila kita ikhtiarkan cara (untuk menulis/mencari masa), ini akan membakar (semangat) dan imaginasi. Dalam sebuah rencana di dalam New York Times, seorang konsultan kreativiti Roger von Oech merumuskannya dengan baik : "Bangunan tinggi bukan dicipta oleh mereka yang memiliki banyak tanah, sebaliknya oleh mereka yang harus memikirkan cara membina lebih banyak pejabat di ruang yang sempat di atas hartanah yang sangat mahal." Oleh itu, usah menyumpah seranah halangan yang datang kepada diri, sebaliknya bersyukurlah dengan kehadirannya.

Wah, saya sangat setuju dengan kenyataan ini. Usah berharap bahawa apabila kita ada masa lapang nanti, kita akan menulis. Masa lapang itu ialah impian. Jika kita mengharapkan pada suatu hari nanti ketika ada masa lapang, akhirnya memang kita tidak akan menyudahkan cerpen itu, novel itu, drama itu dan sebagainya.

Tulislah hari ini. Biar sedikit (1/2 jam sehari) tetapi sungguh-sungguh (1/2 jam tanpa internet, FB, Astro, telefon bimbit dimatikan) dan selalu (lakukan setiap hari, atau setiap hari bekerja).

Insya-Allah, sesiapa yang berusaha, mencapai peluang yang ada, Allah tidak akan sia-siakan. Bukankah Allah sumber ilham kita semua!



Sabtu, April 17, 2010

Menulis : Serius atau suka-suka?

Setelah banyak kali diberi peluang membimbing bengkel-bengkel penulisan, saya temui beberapa kelompok calon penulis.

minat - usaha = tiada hasil

minat + usaha = ada hasil

minat + usaha + kesungguhan = hasil yang luar biasa!


Kumpulan I


Mereka yang datang hanya kerana minat akan datang dengan dialog seperti :

"Saya memang hendak menulis, tetapi tak ada masa."
"Saya teringin hendak menulis, tetapi ..... (tempat kosong ini boleh diisi dengan pelbagai alasan).

Hipotesis saya : selagi alasan itu boleh diisi, selagi itulah tiada ruang untuk menulis. Selagi beralasan dan selagi anda fikirkan bahawa alasan itu sungguh-sungguh konkrit (ertinya, anda memang ada alasan yang sah untuk mengatakan bahawa anda tidak ada masa yang cukup untuk menulis) memang anda bukanlah dilahirkan untuk menulis. Jika anda memang akan jadi penulis, datanglah alasan sebesar mana pun, anda tetap akan cari (kalau perlu curi) masa untuk menulis.

Pada saya mahu atau tidak mahu menulis ialah mind-set. Apa yang kita arahkan kepada fikiran. Jika kita sungguh-sungguh percaya kita tidak ada masa untuk menulis memanglah kita tidak ada masa. Demikianlah sebaliknya.


Kumpulan II

Mereka ini datang ke bengkel kerana cukup berminat dan sentiasa belajar untuk memperbaiki cara menulis. Tidak semestinya dengan masuk bengkel sahaja (masuk banyak bengkel tetapi akhirnya tidak menulis pun tak jadi juga), mereka ini akan sentiasa cari peluang untuk memajukan dirinya. Antaranya, banyak membaca buku, banyak bertanya (bijak bertanya - ini pula satu kemahiran lain), dan akhirnya berani mencuba.

Kumpulan ini juga, ramai yang tewas. Setelah beberapa kali mencuba dan gagal menembusi media, mereka ini akan memberitahu diri sendiri "Saya memang tidak boleh menulis, walau macam mana pun usaha saya. Saya sudah buktikan, saya sudah lakukan semuanya tetapi masih lagi tidak berjaya."

O.k. Saya mahu berbahagi cerita tentang bagaimana saya bermula. Saya mula menulis semasa di tingkatan tiga. Sepanjang tingkatan empat (yang dikatakan zaman 'bulan madu' itu) saya menulis dan menghantar karya. Buku panduan saya hanyalah tulisan Dr. Othman Puteh "Persediaan Menulis Cerpen". Hafal dari kulit-ke-kulit. Baca setiap cerpen yang terbit di dalam Dewan Siswa dan tidak putus asa mengirim cerpen.

Sepanjang tingkatan 4, tidak kurang 10 buah cerpen saya hantar.

Satu pun TIDAK TERSIAR!

Bayangkan jika saya berhenti setakat itu. Barangkali, anda akan baca blog yang lain benar isinya.


Kumpulan III

Kumpulan terakhir ini ialah mereka yang dipanggil willing to go the extra mile. Sanggup berusaha lebih sedikit daripada Kumpulan II. Bukan setakat tidak beralasan, mereka ini tidak putus asa malah menolak apa sahaja yang menjadi penghalang kepada kejayaan. Setiap batu yang tersengkang di tengah perjalanan penulisan itu tidak dianggap halangan, sebaliknya dianggap sebagai cabaran atau lebih baik lagi dianggap sebagai peluang.

Ada calon peserta bengkel yang merungut kerana lokasi bengkel yang saya adakan agak jauh. Ini dianggap penghalang. Kalau saya inilah cabaran dan peluang. Cabaran kerana saya harus atasi masalah logistik dan perjalanan. Peluang kerana inilah peluang untuk saya kembara mencari ilmu.

Tiada ilmu yang akan datang ke lutut melainkan kita yang membawa lutut kita sendiri ke tempat ilmu itu. Saya membayar harga yang mahal (bukan sahaja dari sudut kewangan) untuk mencari ilmu penulisan. Saya akan berkejar ke sana ke mari jika terdengar ada bengkel yang boleh saya manfaatkan untuk memajukan diri. Dalam keadaan berkeluarga sekarang ini, bukan setakat kewangan yang boleh menjadi penghalang tetapi cabarannya ialah untuk mengatur keluarga dan menantikan senyuman keizinan suami juga. Jika sudah bergelar isteri nanti (apatah lagi ibu), anda akan tahu betapa susah-senang untuk kembara mencari ilmu.

Peribadi, saya kagum dengan beberapa peserta bengkel yang sanggup datang dari jauh untuk belajar. Saya masih ingat bagaimana Nasriah Abdul Salam, ketika itu pelajar UIA, naik bas dari Kelantan pada waktu malam dan sampai subuh di Seremban. Saya kagum dengan Putri Lily yang datang ke Kuala Lumpur dari Singapura kerana katanya di Singapura sukar mendapat bengkel-bengkel seperti di Malaysia. Saya juga terlebih kagum dengan Kak Water Lily dan Anne Kasih yang terpaksa berusaha lebih dalam penulisan dan juga untuk menghadirkan diri ke bengkel. Mereka berdua sukar berjalan dan ada masalah ketika bertutur. Namun, semua itu tidak sama sekali menghalang kedua-duanya. Kak Water Lily menggagahi naik turun komuter dan LRT untuk sampai ke tempat bengkel dan pulang. Terpaksa melawan panahan mata manusia-manusia yang kononnya sempurna fizikal tetapi kurang sempurna akal. Tidak dapat tempat duduk di ruang OKU yang disediakan. Anne Kasih pula bertuah kerana ditemani ibu sepanjang hari yang setia menunggu di luar.

Perhatikan pengorbanan mereka ini. These are the under privilege extraordinary people (need I say, women?) who are willing to take extra miles in order to achieve whatever they have in mind.

Lalu, fikirkan semula. Adakah anda penulis yang serius mahu belajar menulis atau pun 'kalau-saya-jadi-penulis-maka-jadilah-kalau-tak-pun-tak-mengapa."

Sabtu, April 03, 2010

Bengkel-bengkel pada bulan April 2010

April ini saya agak sibuk. Bulan kelahiran saya ini semacam sinonim dengan bulan hak cipta. Apatah lagi Hari Hak Cipta Sedunia (23 April pada setiap tahun), 3 hari selepas hari lahir saya.

Ada beberapa undangan untuk ceramah hak cipta. Insya-Allah, saya akan teruskan usaha sebagai aktivis hak cipta dan terus berjuang dalam memberikan kesedaran kepada para penulis.

Saya sungguh-sungguh berharap para penulis dapat membaca terlebih dahulu perjanjian penerbitan sebelum ditandatangani. Bukannya apa, sekurang-kurangnya anda akan tahu apa yang anda sign. Apa yang sudah ditandatangani sukar untuk dihujahkan bahawa 'saya tak tahu pun perkara ini semasa saya sign'. Hujah itu tidak sah lagi selepas menandatangani perjanjian.

Anda seorang dua yang mengirimkan e-mel meminta saya bacakan perjanjiannya. Insya-Allah, saya adakan masa untuk meneliti dan memberi tahu kepada pengarang, apakah maksud isi kandungan perjanjian yang bakal ditandatangani. Saya garisbawahkan apa-apa perkara yang harus diambil perhatian oleh pengarang.

Bulan April ini juga saya akan memberikan ceramah penulisan kreatif. Saya senaraikan tarikh-tarikhnya supaya sesiapa yang berminat boleh mengambil kesempatan. Terus terang, saya bukanlah penganjurnya. Jadi, jangan beri nama pada saya. Serahkan maklumat kepada pengajur.

  1. 8 April 2010 (Khamis)
    Kursus Memahami Penerbitan

    Tajuk : Peranan & Tugas Pegarang (8.30 pagi - 10.30 pagi)
    Perjanjian & undang-undang dalam Penerbitan (11.00 pagi - 1.00 tengah hari)
    Tempat : Hotel Summit, USJ Subang
    Penganjur : Medium Books & Consultancy

  2. 10 April 2010 (Sabtu)
    Umbara Sastera 4 & Bengkel Cerpen
    Masa : 8.30 pagi - 4.30 petang
    Tajuk : Penulisan Sastera Islam
    Tempat : Sek. Men. Agama Persekutuan Labu
    Peserta melalui undangan sahaja
    Penganjur : Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan SMAP

  3. 11 April 2010 (Ahad)
    Bengkel Cerpen A.V.A. (khusus untuk bloggers)
    Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
    Tempat : Pusat Belia Antarabangsa, berhampiran dengan HUKM
    Yuran : RM50
    Penganjur : Astaka Villa Aksara

  4. 23 April 2010 (Jumaat)
    Ceramah Hak Cipta Masa : 9.00 pagi - 11.00 pagi
    Tempat : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat
    Pengajur : Penerbit UTHM

  5. 25 April 2010 (Ahad)
    Bengkel Penulisan Skrip Drama Televisyen A.V.A. *
    Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
    Penceramah : Puan Maizura Mohd Ederis (Penulis Skrip "Nur Kasih")
    Tempat : Pusat Belia Antarabangsa, berhampiran dengan HUKM
    Yuran : RM150
    Penganjur : Astaka Villa Aksara

  6. 26 April 2010 (Isnin)
    Ceramah Hak Cipta
    Masa : 4.30 - 5.30 petang
    Tempat : Hotel Renaissance, Kuala Lumpur
    Penganjur : MyIPO

* Bengkel ini saya turut hadir sebagai peserta dan saya tidak terlibat sebagai pembimbing.



Related Posts with Thumbnails