
Ada 2 perkara yang penting apabila memulakan penulisan, tidak kira sama ada penulisan kreatif atau bukan kreatif. Dua perkara itu ialah :
Setiap perkara yang kita lakukan haruslah dimulakan dengan niat. Ada hadith yang telah menyebut tentang hal niat. Jika mahu baca lebih lanjut tentang hal niat dalam melakukan sebarang pekerjaan, boleh baca
di sini.
Jika mahu teks yang asal, saya salin semula di bawah : (dipetik dari
sumber yang sama)

Terjemahannya :
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
OK, saya tidak berniat pula untuk memanjangkan hal niat ini. Fokus entri ini ialah tentang sasaran menulis.
Kebanyakan kesilapan umum penulis baharu ialah tidak mengenal pasti kepada siapa tulisannya itu ditujukan. Ramai pula yang bercita-cita besar bahawa dia mahu tulisannya itu dibaca SEMUA orang di dalam dunia ini. Lebih ramai, lebih baik.
Murni sungguh cita-cita itu dan alangkah bahagianya jika hal itu benar-benar boleh berlaku. Hakikatnya, kita cuma boleh menulis untuk kelompok yang kita sasarkan. Katakan kita menulis sebuah artikel untuk siaran di akhbar. Panjang artikel itu sahaja sudah menentukan jenis artikel yang bakal ditulis. Artikel di akhbar secara relatifnya lebih pendek daripada artikel yang tersiar di majalah kerana had ruang masing-masing yang berbeza.
Contoh lain: jika mahu menghantar cerpen ke
Mingguan Malaysia panjangnya sekitar 8 - 9 halaman ditaip langkau 2 baris, ke
Berita Minggu atau
Berita Harian pula, tidak boleh lebih 7 halaman (180 baris).
Menghantar karya ke media pula harus kena dengan konsep media itu sendiri. Editor
Berita Harian ada beberapa kali menyebut bahawa karya yang disiarkan di dalam ruangan sasteranya haruslah sesuai untuk pembaca akhbar itu. Demikian juga yang pernah disebut Kuseman apabila dia memilih karya untuk
Mingguan Malaysia yang pernah saya sentuh dalam
entri terdahulu.
Itu baru faktor panjang dan pendek.
Kalau mahu menghantar karya ke majalah WANITA, misalnya, pastinya yang sesuai dengan kelompok pembaca majalah itu. Karya yang mengutuk dan menghina wanita tanpa alasan yang kukuh, pastinya sukar dipertimbangkan.
Majalah
Tunas Cipta pula mahukan karya daripada karyawan baharu dan berumur bawah 35 tahun.
Dewan Siswa mahukan cerpen untuk bacaan remaja.
Oleh itu, apabila mengarang karya, fikirkan juga hasilnya itu nanti mahu dibawa ke mana. Banyak keadaan berlaku apabila karya yang baik tidak diterbitkan. Bagi pengkarya baharu, ini suatu situasi yang amat mengecewakan. Boleh membunuh semangat, malah. Sayangnya, pengkarya ini tidak bermuhasabah dan mengkaji mengapa karyanya tidak disiarkan.
Bayangkan: sebuah cerpen yang digarap sebegitu baik. Memenuhi ciri-ciri cerpen yang baik. Tiada cacat celanya. Ada percubaan menghasilkan cerpen eksperimental. Panjangnya 12 halaman ditaip langkau dua baris. Dikirimkan ke ruangan sastera
Berita Harian. Pasti sahaja cerpen ini tidak dapat diterbitkan kerana keterbatasan ruang. Bagi penulis yang pertama kali berbuat begini dan tidak memahami mengapa karyanya tidak terbit, ada banyak spekulasi yang mungkin timbul dengan fikiran yang bukan-bukan.
Padahal, cerpen yang baik itu mungkin sahaja tertolak kerana masalah panjang cerpen itu sahaja. Ada yang pernah bertanya kepada saya, mengapa editor itu tidak menghubunginya atau memaklumkan hal itu kepadanya? Ho ho, saya fikir editor itu kerjanya bukan sahaja mengedit karya, dik. Ada banyak lagi tugas yang disenaraikan di bawah tugas hakikinya. Menelefon, menghantar e-mel atau pun menghubungi penulis kerana kesilapan yang sebegini asas, tidak mungkin dilayan oleh editor. Lagipun, dalam kes akhbar
Berita Harian/Minggu, sudah dinyatakan bahawa cerpen yang diminta haruslah tidak melebihi 180 baris. Boleh kira sendiri, berapa halaman yang boleh ditulis dengan 180 baris ini, sama ada ditaip langkau 2 baris ataupun tidak, jumlahnya tidak berganjak, bukan?
Harus diingat bahawa cerpen yang disiarkan di media perlukan ilustrasi. Jika tulisan penuh dengan teks dan tiada
eye-rest akan cepat membosankan pembaca bahkan meletihkan mata. Sebab itu penyiaran cerpen perlukan bentuk seperti yang kita lihat. Dalam ruangan karya di media juga selalunya ada ruangan puisi. Jadi, harus memberi perhatian kepada 2 perkara ini.
**Nota : ilustrasi tidak perlu dibekalkan kepada editor. Mereka ada unik grafik yang akan menghasilkan ilustrasi bagi mengiringi cerpen yang berkenaan. (Saya pernah mendapat soalan sama ada ilustrasi / gambar pada cerpen mestikah dihantar bersama-sama).
Oleh itu, pastikan karya dihantar ke media yang betul. Ini dapat mengurangkan kebarangkalian karya itu tidak disiarkan. Jika suka untuk bereksperimen dalam cerpen atau puisi, barangkali wadah yang lebih sesuai tentulah
Dewan Sastera atau
Tunas Cipta.
Kepada yang berusia 30-an dan sudah ada karya tersiar di media, ini pesanan yang sering disebut editor
Dewan Sastera: "Nisah, pesan pada kawan-kawan yang selalu hantar karya ke
Tunas Cipta, jangan berebut-rebut dengan adik-adik. Kawan-kawan Nisah tu, kebanyakannya sudah lebih 30 tahun. Walaupun belum 35 tahun, bersaing jugalah dengan karyawan di
Dewan Sastera. Nisah dan kawan-kawan bukannya muda lagi!"
Saya tersenyum sahaja dengan pesanannya itu. Seringkali juga saya sampaikan di dalam bengkel-bengkel penulisan. Barangkali, ini juga peluang untuk melihat karya tersiar. Gunakanlah wadah yang betul.
Faktor yang sama juga saya lihat terpakai di dalam penulisan skrip drama televisyen. Setiap saluran tv mengkhusus kepada khalayak masing-masing. Jika mahu cerita yang bersifat suka-ramai (baca :
mass-market), tulislah skrip
Cerekarama (TV3); untuk NTV7 - golongan profesional; Astro Ria - golongan muda, Melayu, urban; Astro Prima - Melayu,
mature audience; Astro Oasis - agama dan seterusnya.
Untuk lebih memahami konsep majalah, bacalah beberapa edisi majalah tersebut. Jika mahu menghantar skrip drama tv, lihat dulu konsep drama yang pernah disiarkan. Dengan itu, kita akan dapat menulis kepada kumpulan yang disasarkan.
Perbandingan mudah dalam hal sasaran ini pula ialah dalam menulis karya ada 3 kelompok yang boleh disasarkan secara kasar :
Apabila kita jelas tentang kepada siapa karya ini ditujukan, kita lebih mudah fokus kepada mesej, stail dan bahasa yang digunakan kepada khalayak itu. Pastinya, gaya bahasa untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak tentunya berbeza.
Ertinya, setelah membetulkan niat menulis, fikirkan siapakah pembaca yang sepatutnya membaca karya ini. Jika membayangkan satu kelompok terasa besar, bayangkan seorang insan yang dikenali di dalam kelompok itu. Misalnya, menulis untuk kanak-kanak, bayangkanlah karya itu dibaca oleh anak sendiri, anak saudara, cucu, adik-adik atau sesiapa sahaja yang kita kenali dan berada di dalam lingkungan usia yang dimaksudkan. Insya-Allah, tulisan kita tidak tersasar.
Soalan : jika karya yang ditulis untuk remaja, tetapi dibaca juga oleh kanak-kanak ataupun dewasa?

Jawapan : Wah, bukankah itu suatu bonus. Ketika menulis
Mencari Locus Standi, niat saya untuk membetulkan beberapa persepsi yang silap tentang undang-undang. Saya mahu betulkan pada peringkat yang lebih muda (remaja). Novel itu memang untuk remaja. Sebab itu dihantar ke Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 (HSKU). Tetapi, saya tetap menerima respons pembaca yang lebih matang menyatakan bahawa dia juga boleh menikmati novel itu. Alhamdulillah. Inilah bonusnya.
Ketika menulis
Lentera Mustika, saya mensasarkan pembacanya wanita dewasa, kontemporari kerana pada awalnya novel itu ditulis untuk siaran secara bersiri di dalam majalah ANIQAH. Setelah terbit di PTS Litera, ramai juga pembaca remaja yang dapat menikmatinya. Alhamdulillah, sekali lagi ini bonus kepada pengarang.
Soalan tambahan : Mengapa hantar ke PTS Litera?

Jawapan : Saya mahukan pembaca baharu - mereka yang belum kenal nama Nisah Haron, mereka yang selama ini beranggapan membaca karya Nisah Haron itu sukar, tidak faham, berat dan lain-lain. Novel ini saya kirim ke PTS kerana itulah penerbit yang sesuai. Novel ini bukan untuk penerbit lain. Dengan itu,
Lentera Mustika mendapat perhatian pembaca yang mengikutinya.
Demikianlah, sedikit perkongsian pengalaman untuk dimanfaatkan. Jika ada penambahan juga saya alu-alukan. Tinggalkan sahaja di ruangan komen.
Sementara itu, terus berkarya!