Kembara Sastera 25 : Dublin Bhg. 7
Sungai Liffey, Dublin dengan angin dari sungai yang bertiup kencang |
Bercerita tentang sungai Dublin dan United Kingdom sahaja mungkin saya boleh tulis satu artikel bersiri khusus tentang sungai.
Jadi, saya lanjutkan sahaja catatan kembara (yang sudah agak lama gendalanya di blog ini) dengan persinggahan-persinggahan berikutnya di Kota Dublin. Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, saya hanya ada satu hari penuh di Dublin (tidak termasuk hari ketibaan pada malam sebelumnya, dan hari pulang pada awal pagi esoknya); tetapi saya dapat singgah ke banyak tempat menarik di sini.
Alhamdulillah, dengan adanya teman kembara yang juga sahabat blogger yang bermukim di sini, Ainun, saya tidak perlulah berjalan sendirian di Sungai Liffey apatah lagi merayau-rayau tanpa tujuan di kota ini. Setelah meninggalkan James Joyce Centre, kami bergerak pula ke lokasi penting dan mesti-singgah (untuk saya): The Chester Beatty Library.
Lokasinya, di seberang Sungai Liffey. Untuk itu, kami harus berjalan ke arah sungai dan mencari jambatan yang berhampiran. Dalam perjalanan ke situ, Ainun menunjukkan suatu tempat yang menarik. Ya, tempat itu membuat saya teruja, tapi sayangnya, kami hanya boleh tengok dari luar dan membaca tulisan-tulisan di luarnya. Tidak mungkin kami dapat masuk ke dalam.
Banyak sekali ungkapan pengarang diabadikan di sini |
Lagi ungkapan pada sisi dinding yang satu lagi |
The Guinness Brewery began life around 250 years ago in Dublin. Nowadays, not only is their beer Ireland's largest export, it's also the largest brewery in the world. It's also brewed in a further 50 countries and has to be one of the best known beers in the world.Jadi, setiap orang ada sebab tersendiri datang ke Bumi Shamrock ini. Saya dan Ainun, masih lagi mencari ilmu dan buku yang enap di buminya.
(sumber di sini)
Masih belum sampai di Chester Beatty Library, Ainun bawa saya singgah ke kedai buku yang menggelarkan diri mereka The Winding Stair. Seperti ditarik besi berani, saya melangkah masuk mengikuti Ainun.
Pintu masuk kedai buku "The Winding Stair" |
Saya hanya mengurut-ngurut dada dan menyabarkan diri. Kalau saya beli dengan banyak, saya harus akur dengan natijah : buku yang banyak = berat. Berat berkadar terus dengan kos! Harga penerbangan RyanAir ke London Stansted esok akan melambung atau saya harus tinggalkan buku-buku itu supaya Ainun kirim melalui pos. Ah, dilema sungguh!
Lalu, saya harus berpuas hati dengan satu buku sahaja: Girl With a Pearl Earring (Tracy Chevalier). Penulis ini ialah graduan MFA dalam bidang penulisan kreatif di University of East Anglia, Norwich - sebuah sekolah penulisan kreatif yang telah melahirkan ramai karyawan, antaranya Tash Aw, Ian McEwan, Kazuo Ishiguro dan Anne Enright. Walaupun belum pernah membaca karya Chevalier sebelum ini, namun saya suka percubaannya untuk menggarap kisah pelukis Belanda Vermeer yang terkenal dengan lukisan "The Girl with the Pearl Earring". Buku ini juga sudah difilemkan. Watak utama (perempuan itu) dipegang oleh Scarlett Johansson.
Bahagian dalam kedai buku yang terasa cozy |
Kami bergerak lagi untuk mendekatkan jarak yang ada dengan The Chester Beatty Library. Cuaca sudah mula berubah. Pagi yang cerah sampai kepada awal petang yang tidak berapa menjanjikan. Awan semakin banyak berkumpul dan angin semakin kuat bertiup. Saya gagahkan juga berdiri tengah-tengah jambatan yang merintangi Sungai Liffey.
Angin semakin cabar saya supaya berdiri tegak di tengah-tengah jambatan. Dinginnya menggigit-gigit pipi dan kulit wajah. Kedinginan ini membuat saya berfikir banyak kali: bagaimana pula rasanya jika waktu ini ialah musim sejuk? Entah berapa kali saya bertanya pada Ainun, "Betulkah ini musim panas di Dublin?" Kenapa masih tak terasa teriknya matahari? Saya semakin mengakui kebesaran Allah yang Maha Pengatur segala cuaca yang ada di dunia ini!
Dilanjutkan lagi kembara ini sehinggalah sampai ke kawasan Dublin Castle yang menjadi mukadimah kepada The Chester Beatty Library. Ketika ini hujan sudah mula rintik-rintik. Saya sangat bersyukur kerana baju tebal yang menemani saya sepanjang kembara ini ialah baju yang juga kalis hujan. Kawasan laman istana ini mempunyai taman yang luas lagi menghijau . Jika tidak hujan, pasti lebih banyak gambar yang boleh diambil di kawasan laman ini sahaja.
Lalu, saya dan Ainun segera masuk ke bahagian dalam perpustakaan ini untuk mendapatkan teduhan segera daripada hujan. The Chester Beatty Library ini ialah sebahagian daripada kompleks Istana Dublin ini. Masuk ke dalam bahagian pameran perpustakaan ini percuma, seperti yang dinyatakan dalam laman Dublin Castle :
Dublin Castle Visitor Facilities
Since its foundation in 1204 Dublin Castle has been at the heart of the history and evolution of the city. Today, spanning an area of over 44,000 square meters (11 acres), the site contains 2 museums, 2 cafés, an international conference centre, 2 gardens, Government Buildings and the State Apartments which are the most important state rooms in the country.
The grounds of the site are free to explore, as is the Chapel Royal, the Chester Beatty Library, the Garda Museum and the Revenue Museum. Access to the State Apartments is by guided tour only and tickets may be purchased from the Apartments in the Upper Castle Yard.
Memasuki perkarangan Dublin Castle menuju Chester Beatty Library |
Pada bahagian-bahagian yang lain ada pameran yang sedang berlangsung. Sewaktu saya di situ, pameran Henri Mantisse sedang diadakan. Peribadi, saya tidak mengenali tokoh ini. Jadi, saya hanya dapat menghayati kerja-kerja seninya berdasarkan maklumat yang ada pada bahagian pameran.
Ada Reading Room tetapi dikhususkan untuk penyelidik yang berdaftar. Bahagian inilah yang benar-benar berbentuk perpustakaan. Bahagian yang dibuka pada umum hanyalah bahagian-bahagian yang dipamerkan ini. Lantas, di sini perpustakaan tidaklah hanya menyimpan buku tetapi berfungsi sebagai sebuah muzium. Jika mahu maklumat tambahan, boleh merujuk ke bahagian perpustakaan (tertakluk kepada syarat-syarat, tentunya).
Lantas, pencarian saya jadi lengkap di Dublin. Tempat ini saya tinggalkan setelah membeli beberapa cenderamata yang berupa poskad dan satu dua buku yang dijual di kedai cenderamata. Antara yang sempat saya catatkan di sini ialah buku berjudul "Sufism - Mystical writings of Islam" yang menghimpunkan puisi-puisi sufi dari Arab, Turki dan Parsi (yang diterjemah ke Bahasa Inggeris).
Singgahan ke tempat ini juga eloklah dilengkapkan dengan minum teh atau kopi pilihan di The Silk Road Cafe yang menyediakan hidangan halal kepada pengunjung. Kami melepaskan lelah di sini kerana saya fikir tempat ini ialah destinasi terakhir saya di Dublin.
Secangkir teh, secawan kopi dan hidangan minum petang sebelum meninggalkan Chester Beatty Library |
Akan saya ceritakan dalam entri yang berikutnya...
Foto terakhir sebelum meninggalkan kawasan Dublin Castle |
Ulasan
Terima kasih kerana masih setia membaca. Salah diri saya juga, buat entri panjang-panjang penuh research. Apabila nak tulis yang pendek-pendek rasa tak patut pula!
Afrida,
Saya juga doakan yang terbaik buat sdr sekeluarga. Berangan-angan dulu, apabila sampai ketika yang sesuai, Tuhan akan aturkan, insya-Allah!