Kembara Sastera 25 : Dublin Bhg. 7

Sungai Liffey, Dublin dengan angin dari sungai yang bertiup kencang
Menurut satu daripada sumber bacaan sebelum sampai ke Dublin, jika anda tidak pasti mahu ke mana-mana di Kota Dublin, anda boleh berjalan kaki sepanjang Sungai Liffey yang merentang dan membahagi dua kota ini. Sungai yang merentang di tengah-tengah kota biasanya memberikan suatu pemandangan : sama ada indah, seperti Sungai Liffey, Sungai Seine (Paris), Sungai Rhine (Jerman) dan kebanyakan sungai yang membahagi kota-kota di Eropah; atau tidak berapa indah - seperti Sungai Klang dan beberapa sungai di negara-negara dunia ketiga.

Bercerita tentang sungai Dublin dan United Kingdom sahaja mungkin saya boleh tulis satu artikel bersiri khusus tentang sungai.

Jadi, saya lanjutkan sahaja catatan kembara (yang sudah agak lama gendalanya di blog ini) dengan persinggahan-persinggahan berikutnya di Kota Dublin. Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, saya hanya ada satu hari penuh di Dublin (tidak termasuk hari ketibaan pada malam sebelumnya, dan hari pulang pada awal pagi esoknya); tetapi saya dapat singgah ke banyak tempat menarik di sini.

Alhamdulillah, dengan adanya teman kembara yang juga sahabat blogger yang bermukim di sini, Ainun, saya tidak perlulah berjalan sendirian di Sungai Liffey apatah lagi merayau-rayau tanpa tujuan di kota ini. Setelah meninggalkan James Joyce Centre, kami bergerak pula ke lokasi penting dan mesti-singgah (untuk saya): The Chester Beatty Library.

Lokasinya, di seberang Sungai Liffey. Untuk itu, kami harus berjalan ke arah sungai dan mencari jambatan yang berhampiran. Dalam perjalanan ke situ, Ainun menunjukkan suatu tempat yang menarik. Ya, tempat itu membuat saya teruja, tapi sayangnya, kami hanya boleh tengok dari luar dan membaca tulisan-tulisan di luarnya. Tidak mungkin kami dapat masuk ke dalam.

Banyak sekali ungkapan pengarang diabadikan di sini 
Tempat itu dinamakan "Bachelor Inn" dan ada Poet Corner di situ. Tempat ini ialah sebuah pub. Namun, tulisan di bahagian-bahagian dinding pub ini penuh dengan ungkapan dan kata-kata terpilih daripada sasterawan Ireland - yang sebenarnya dikenali sebagai sasterawan dunia kerana, hanya mereka yang tidak pernah membaca karya-karya sastera Inggeris sahaja yang tidak pernah mendengar nama-nama W.B. Yeats, George Bernard Shaw, Oscar Wilde, dan mereka yang diraikan di tempat ini.

Lagi ungkapan pada sisi dinding yang satu lagi
Harus juga kita memahami budaya setempat sebelum kita membuat tanggapan tertentu mengikut kaca mata kita sendiri. Bagi yang tidak biasa dengan budaya di sini, Ireland selain terkenal dengan keindahan alam semula jadi (khususnya di kawasan luar bandar - countryside), Ireland juga terkenal dengan Irish pub dan Guiness (ya, minuman keras itu!)
The Guinness Brewery began life around 250 years ago in Dublin. Nowadays, not only is their beer Ireland's largest export, it's also the largest brewery in the world. It's also brewed in a further 50 countries and has to be one of the best known beers in the world.
(sumber di sini)
Jadi, setiap orang ada sebab tersendiri datang ke Bumi Shamrock ini. Saya dan Ainun, masih lagi mencari ilmu dan buku yang enap di buminya.

Masih belum sampai di Chester Beatty Library, Ainun bawa saya singgah ke kedai buku yang menggelarkan diri mereka The Winding Stair. Seperti ditarik besi berani, saya melangkah masuk mengikuti Ainun.

Pintu masuk kedai buku "The Winding Stair"
"Ini antara kedai kegemaran saya, Kak Nisah," katanya. Wah, testimoni itu menyebabkan langkah saya terus pantas untuk masuk ke dalamnya. Benarlah, bahagian dalamnya yang selesa dan nyaman. Ada bahagian buku sastera, buku kanak-kanak dan pada bahagian yang lebih dalam, ada buku-buku terpakai yang dijual dengan harga rendah lagi istimewa.

Saya hanya mengurut-ngurut dada dan menyabarkan diri. Kalau saya beli dengan banyak, saya harus akur dengan natijah : buku yang banyak = berat. Berat berkadar terus dengan kos! Harga penerbangan RyanAir ke London Stansted esok akan melambung atau saya harus tinggalkan buku-buku itu supaya Ainun kirim melalui pos. Ah, dilema sungguh!

Lalu, saya harus berpuas hati dengan satu buku sahaja: Girl With a Pearl Earring (Tracy Chevalier). Penulis ini ialah graduan MFA dalam bidang penulisan kreatif di University of East Anglia, Norwich - sebuah sekolah penulisan kreatif yang telah melahirkan ramai karyawan, antaranya Tash Aw, Ian McEwan, Kazuo Ishiguro dan Anne Enright. Walaupun belum pernah membaca karya Chevalier sebelum ini, namun saya suka percubaannya untuk menggarap kisah pelukis Belanda Vermeer yang terkenal dengan lukisan "The Girl with the Pearl Earring". Buku ini juga sudah difilemkan. Watak utama (perempuan itu) dipegang oleh Scarlett Johansson.

Bahagian dalam kedai buku yang terasa cozy
Sempat juga berfoto di dalam kedai itu kerana saya sungguh menyenanginya. Pada bahagian hadapan kedai, ada meja dan kerusi untuk mereka yang mahu bersantai-santai dengan kopi dan buku, sama ada sendiri-sendiri atau bersama-sama seorang dua kawan. Sayangnya, saya dan Ainun tidak dapat hendak bersantai-santai di sini.

Kami bergerak lagi untuk mendekatkan jarak yang ada dengan The Chester Beatty Library. Cuaca sudah mula berubah. Pagi yang cerah sampai kepada awal petang yang tidak berapa menjanjikan. Awan semakin banyak berkumpul dan angin semakin kuat bertiup. Saya gagahkan juga berdiri tengah-tengah jambatan yang merintangi Sungai Liffey.

Angin semakin cabar saya supaya berdiri tegak di tengah-tengah jambatan. Dinginnya menggigit-gigit pipi dan kulit wajah. Kedinginan ini membuat saya berfikir banyak kali: bagaimana pula rasanya jika waktu ini ialah musim sejuk? Entah berapa kali saya bertanya pada Ainun, "Betulkah ini musim panas di Dublin?" Kenapa masih tak terasa teriknya matahari? Saya semakin mengakui kebesaran Allah yang Maha Pengatur segala cuaca yang ada di dunia ini!

Dilanjutkan lagi kembara ini sehinggalah sampai ke kawasan Dublin Castle yang menjadi mukadimah kepada The Chester Beatty Library. Ketika ini hujan sudah mula rintik-rintik. Saya sangat bersyukur kerana baju tebal yang menemani saya sepanjang kembara ini ialah baju yang juga kalis hujan. Kawasan laman istana ini mempunyai taman yang luas lagi menghijau . Jika tidak hujan, pasti lebih banyak gambar yang boleh diambil di kawasan laman ini sahaja.

Lalu, saya dan Ainun segera masuk ke bahagian dalam perpustakaan ini untuk mendapatkan teduhan segera daripada hujan. The Chester Beatty Library ini ialah sebahagian daripada kompleks Istana Dublin ini. Masuk ke dalam bahagian pameran perpustakaan ini percuma, seperti yang dinyatakan dalam laman Dublin Castle :



Dublin Castle Visitor Facilities
Since its foundation in 1204 Dublin Castle has been at the heart of the history and evolution of the city. Today, spanning an area of over 44,000 square meters (11 acres), the site contains 2 museums, 2 cafés, an international conference centre, 2 gardens, Government Buildings and the State Apartments which are the most important state rooms in the country.
The grounds of the site are free to explore, as is the Chapel Royal, the Chester Beatty Library, the Garda Museum and the Revenue Museum. Access to the State Apartments is by guided tour only and tickets may be purchased from the Apartments in the Upper Castle Yard.
Memasuki perkarangan Dublin Castle menuju Chester Beatty Library
Apa yang menjadi keistimewaan tempat ini? Saya datang ke Dublin untuk melihat sendiri koleksi Sir Alfred Chester Beatty yang suka mengembara dan (juga art collector) mengumpul artifak, serta manuskrip. Beliau telah mewasiatkan supaya koleksinya itu dimanfaatkan umum (wakaf). Lalu, kerajaan Ireland menguruskan koleksinya itu lalu ditubuhkan The Chester Beatty  Library. Bangunannya ada banyak tingkat dan bahagian dan kami mulakan penjelajahan pada bahagian yang paling atas dengan menggunakan lif. Bahagian inilah yang menyimpan manuskrip Al-Quran yang dikatakan tidak dimiliki oleh dunia Timur Tengah atau negara Islam yang lain. Ragam hiasnya indah dan sayangnya, tidak dibenarkan mengambil gambar di sini. Jadi, hanya dapat melihat dan mengabadikannya di dalam diri. Memang koleksi manuskrip Al-Quran inilah yang menjadikan perpustakaan ini terkenal. Bahagian paling atas perpustakaan ini mempamerkan hal-hal berkaitan agama, jadi selain agama Islam, artifak mengenai agama-agama lain turut dipamerkan.

Pada bahagian-bahagian yang lain ada pameran yang sedang berlangsung. Sewaktu saya di situ, pameran Henri Mantisse sedang diadakan. Peribadi, saya tidak mengenali tokoh ini. Jadi, saya hanya dapat menghayati kerja-kerja seninya berdasarkan maklumat yang ada pada bahagian pameran.

Ada Reading Room tetapi dikhususkan untuk penyelidik yang berdaftar. Bahagian inilah yang benar-benar berbentuk perpustakaan. Bahagian yang dibuka pada umum hanyalah bahagian-bahagian yang dipamerkan ini. Lantas, di sini perpustakaan tidaklah hanya menyimpan buku tetapi berfungsi sebagai sebuah muzium. Jika mahu maklumat tambahan, boleh merujuk ke bahagian perpustakaan (tertakluk kepada syarat-syarat, tentunya).

Lantas, pencarian saya jadi lengkap di Dublin. Tempat ini saya tinggalkan setelah membeli beberapa cenderamata yang berupa poskad dan satu dua buku yang dijual di kedai cenderamata. Antara yang sempat saya catatkan di sini ialah buku berjudul "Sufism - Mystical writings of Islam" yang menghimpunkan puisi-puisi sufi dari Arab, Turki dan Parsi (yang diterjemah ke Bahasa Inggeris).

Singgahan ke tempat ini juga eloklah dilengkapkan dengan minum teh atau kopi pilihan di The Silk Road Cafe yang menyediakan hidangan halal kepada pengunjung. Kami melepaskan lelah di sini kerana saya fikir tempat ini ialah destinasi terakhir saya di Dublin.

Secangkir teh, secawan kopi dan hidangan minum petang
sebelum meninggalkan Chester Beatty Library
Rupa-rupanya tidak. Ada dua tempat lagi yang tidak kurang menarik yang saya temui dalam perjalanan pulang ke apartmen Ainun.

Akan saya ceritakan dalam entri yang berikutnya...

Foto terakhir sebelum meninggalkan kawasan Dublin Castle


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Akhirnya, kisah Kembara UK kembali!
Afrida Shobri berkata…
salam.puan seorang yang sangat bertuah.semoga saya dan keluarga juga diberikan rezeki oleh-Nya untuk mengembara seperti puan...
Nisah Haji Haron berkata…
Khairul H.
Terima kasih kerana masih setia membaca. Salah diri saya juga, buat entri panjang-panjang penuh research. Apabila nak tulis yang pendek-pendek rasa tak patut pula!

Afrida,
Saya juga doakan yang terbaik buat sdr sekeluarga. Berangan-angan dulu, apabila sampai ketika yang sesuai, Tuhan akan aturkan, insya-Allah!

Catatan Popular