Sabtu, Oktober 29, 2011

Kembara Sastera 27 : Cambridge Bahagian 1

Penerbangan RyanAir FR 206 dijadualkan berlepas pada pukul 8.10 pagi. Walaupun sudah daftar masuk secara online, saya masih lagi perlu berada sekurang-kurangnya 1 jam setengah di Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin sebelum waktu berlepas. Campur tolak, kira-kira pukul 6 lebih sudah harus berada di sana. Oleh itu, menurut Ainun, saya harus ambil bas di O'Connell Street pukul 5.00 pagi.

Pada sebelah malamnya, saya sudah siap susun barang dalam beg galas. Ini dibuat dengan penuh kesedaran bahawa saya mesti tinggalkan rumah pada sekitar 4.00 pagi. Malam sebelumnya juga sudah tidur awal kerana keletihan seharian berjalan di sekitar Dublin. Memang betul-betul pengsan. Jam loceng segera dikunci.

Subuh awal. Sekitar pukul 3.00 pagi. Oleh itu, keluar rumah sekitar pukul 4.00 pagi, hari sudah terang seperti pukul 7.00 pagi di Malaysia. Ainun masih setia menemankan saya berjalan kaki dari apartmennya ke tempat menunggu bas. Ini ialah syarikat bas yang sama ketika naik dari Dublin Airport ke Kota Dublin. Tiketnya pun tak perlu beli kerana tempoh hari sudah beli tiket ulang-alik. Masih boleh digunakan.

Bas tiba mengikut jadual. Saya berpaling pada Ainun. Merangkulnya erat. Persahabatan singkat ini dihangatkan oleh singgahan yang singkat. Saya sungguh-sungguh bahagia dengan layanannya. Sendu mula terasa. Sebak mengisi dada. Saya pantas menaiki bas setelah meletakkan bagasi di bahagian perutnya. Sempat memberikan lambaian terakhir sebelum bas bergerak pergi.

Saya menghidupkan laptop untuk buat catatan. Wi-fi dikesan oleh peranti. Wah, ada wi-fi rupanya dalam bas ini. Lekas-lekas saya kemaskini status di Facebook, untuk makluman mereka yang penting di Malaysia.

screen capture Facebook - sewaktu dalam bas


Selesai urusan bagasi dan imigresen, saya mencari sarapan. Seketika membeli secawan cappucino di Soho Coffee yang ada di kawasan balai berlepas ini. Minuman yang terasa menyegarkan buat pengganti secawan Nescafe tarik, kalau di Malaysia. Selepas membuat catatan, saya tinggalkan kafe itu dan sambil menunggu pengumuman untuk masuk ke pesawat, merayau-rayau dalam kedai buku, mencuci mata!

RyanAir lebih kurang seperti AirAsia - syarikat tambang murah dengan bayaran-bayaran tersembunyi, jika kita mahu itu dan ini. Tempat duduk bebas dipilih sewaktu daftar masuk online dan harus bayar lebih pada tempat-tempat duduk tertentu. Alhamdulillah, dalam penerbangan pergi dan pulang dari Dublin ini saya dapat duduk di tepi tingkap. Kalau waktu sampai dulu, hanya dapat melihat lampu-lampu kerana sampai pada waktu malam, kali ini saya amat berharap dapat menikmati pemandangan Dublin - Selat Inggeris - Stansted dari udara.

Bumi Ireland dari udara
Ketika berada di udara, sewaktu ruang udara Ireland ditinggalkan, sayup kelihatan feri-feri yang beroperasi antara Ireland dan UK, seperti siput-siput laut yang berjalan di atas pasir pantai yang basah. Ada garis berekor yang ditinggalkan. Tiada kamera yang mampu merakamkan keindahan dari udara itu. Air mata terasa mahu menitik lagi melihat bumi Shamrock yang serba hijau ini. Patutlah hijau menjadi warna rasmi Ireland. Saya terlalu bersyukur kerana sudah lama benar ingin ke dunia di sebelah sini. Hasrat itu terkabul, akhirnya. Alhamdulillah!

Lapangan Terbang Stansted kira-kira 30 batu (48km) timur laut  London
RyanAir mendarat seperti mahu terhempas di Stansted. Siap dengan bunyi fanfare! Turut disertakan pengumuman bahawa penerbangan syarikat ini sentiasa sampai awal daripada masa yang dijadualkan. (Sebenarnya, jadualnya telah dianjakkan ke hadapan sekitar setengah jam. Misalnya, kalau dijadualkan sampai pada pukul 10.00 pagi, sebenarnya pesawat itu memang akan mendarat pada pukul 9.30 pagi.)

Lapangan Terbang Stansted lebih besar daripada Prestwick, di Glasgow. Lebih besar juga daripada LCCT di Sepang. Mungkin tidaklah sebesar Heathrow (saya tidak pernah melalui Heathrow, komentar ini sekadar apa yang pernah dibaca). Di Stansted, terpandang beberapa orang Malaysia. Bukankah AirAsia turun di sini.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah cari tempat simpan bagasi. Saya tidak mahu tarik bagasi ke hulu ke hilir di Cambridge nanti. Lagipun, saya hanya pergi balik hari. Tidak langsung bermalam di Cambridge. Saya akan pulang semula ke Stansted setelah selesai di Cambridge untuk terus ke London pula untuk destinasi kembara yang berikutnya.

Ketika meninggalkan bagasi pada petugas, dia bertanya saya mahu ke mana. Apabila saya menjawab, "Cambridge," dia berkata, "Oh, tempat itu cantik!" Hati saya pun tambah berbunga-bunga. Selama ini hanya melihat Cambridge dalam gambar-gambar di internet sahaja.

Peta laluan perjalanan dari Stansted ke Cambridge
Mengapa saya pilih Cambridge? Satu daripada faktornya ialah jarak. Dari Stansted ke Cambridge hanya 25 batu dan ada perkhidmatan kereta api terus ke Cambridge yang mengambil masa tidak sampai 30 minit. Sewaktu di Malaysia, memang saya berkira-kira sama ada mahu ke Cambridge atau Oxford sebagai satu destinasi pilihan. Memandang untuk ke Oxford dari Stansted agak memakan masa sedangkan untuk ke Cambridge, tidak perlu pula tukar kereta api, saya pilih yang lebih praktikal.

Oxford, akan saya kunjungi lain kali jika ada rezeki ke daerah ini lagi.

Saya terus mencari kaunter tiket kereta api. Ada beberapa kaunter. Mula-mulanya terjumpa kaunter yang menjual tiket Stansted Express ke London. Saya sudah ada tiketnya. Dibeli sewaktu di atas RyanAir. Saya cari lagi kaunter yang lain. Rupa-rupanya di bahagian aras bawah lapangan terbang. Terus beli tiket ulang-alik (return ticket). Di UK, apa-apa tiket perjalanan kalau beli ulang-alik lebih murah daripada beli tiket sehala. (kalau di Malaysia, tidak ada bezanya!)

Sewaktu menunggu kereta api, dapat panggilan telefon daripada Kak Ira di Coventry. Dia gembira memaklumkan yang bungkusan buku dari Edinburgh yang dipos pada hari Rabu yang lalu sudah sampai ke rumahnya. (Boleh baca tentang cerita pos buku dari Edinburgh ke Coventry di sini.) Saya lega. Buku-buku itu pasti selamat berada di rumah Kak Ira. Saya tambah senang hati untuk berangkat ke Cambridge.

Ramai penumpang muda-muda di dalam kereta api ini. Saya percaya mereka ini pelajar University of Cambridge. Apatah lagi, Stansted Airport adalah lapangan terbang paling hampir untuk ke Cambridge. Lapangan terbang lain sama ada Heathrow, Luton, Gatwick (semuanya di London) apatah lagi Birmingham juga dikira agak jauh untuk ke Cambridge.

Tanpa bagasi, dan hanya sebuah beg galas, saya sudah bersedia untuk menikmati pemandangan perjalanan dari Stansted ke Cambridge. Saya tidak mencari apa-apa yang khusus di Cambridge. Ini sekadar perjalanan mengisi masa sebelum ke London. Kalau saya tidak ambil peluang ini, entah bila lagi saya dapat ke sini lagi.

Perkara pertama yang menandakan saya sudah sampai di Cambridge ialah papan tanda "Cambridge University Press" yang kelihatan pada sebelah kiri landasan. Buku-buku yang berkualiti biasanya datang daripada penerbit universiti. Cambridge University Press adalah jenama yang mencerminkan kualiti itu.

Bahagian luar Cambridge University Press -
mukadimah kepada daerah Cambridge dan tanda
stesen Cambridge semakin hampir
Tempat ini telah melahirkan begitu ramai bijak-pandai. Sesekali terfikir, apakah terlalu lewat jika saya berangan-angan untuk menjadi warga universiti ini? Dari segi logiknya, memang tidak mungkin. Namun, rezeki dan kuasa Allah itu, siapa yang mampu menafikannya. Cita-cita untuk menuntut ilmu setinggi mungkin, tidak pernah terpadam.

Pun, singgahan kali ini, saya cuma hadir sebagai pelancong yang mahu menikmati suasana kampus University of Cambridge yang menjadi nadi utama kepada bandar kecil Cambridge ini.


2 ulasan:

Syarifah Salha Syed Ahmad berkata...

Kanda Nisah, membaca catatan ini rasa teruja ingin ke sana. Namun, jika saya dalam kembara ini belum pasti dapat bercerita dan mencatat dengan baik seperti catatan kanda yang sangat baik dan hebat ini. Sungguh! Saya sangat kagum. Tahniah!

Nisah Haji Haron berkata...

Adinda Salha,
Ketika dalam perjalanan saya mencatat apa-apa yang terpandang dan biasanya nama-nama tempat. Mana yang tak sempat ditulis (kerana terlalu laju) misalnya nama-nama tempat yang dilalui ketika menaiki kereta api, saya gunakan kamera sahaja.

Setelah pulang, saya 'google' kembali tempat-tempat tersebut untuk mencari bahan bacaan tentangnya.

Niat saya, melalui setiap catatan itu ada manfaatnya kepada orang lain yang membaca atau mungkin suatu hari nanti, mahu melalui tempat-tempat yang saya telah singgah ini. Oleh sebab itu, emosi dan fakta sengaja dibaurkan, supaya menjadi semacam satu cerita dan dalam masa yang sama ada fakta yang boleh dibuat rujukan silang.

Related Posts with Thumbnails