Kembara Sastera 30 : London Bahagian 2
Sepatutnya turun di stesen ini untuk ke YHA London Holland Park. Kredit foto : Nisah Haron |
Setelah mendaftar masuk dan berbual-bual dengan penyambut tetamu baru saya tahu satu perkara : saya memilih untuk turun di stesen Holland Park yang agak jauh untuk sampai ke pintu utama taman ini. Saya sepatutnya memilih Stesen High Street Kensington sebagai destinasi.
Stesen ini berada di jalan besar dan ramai orang lalu lalang. Oh, inilah hikmah tersesat atau apabila tuhan memberi peluang kita mengikut jalan yang jauh. Kita akan belajar banyak perkara baharu dan belajar lebih menghargai sesuatu.
Setelah diberi kunci bilik, saya harus mendaki setingkat lagi (tempat ini tiada lif) dan masuk ke bilik dengan nombor katil yang telah ditetapkan. Mungkin saya biasa melihat katil 2 tingkat, kali ini saya tidur di atas katil 3 tingkat, seperti imej di sebelah.
Katil atas sekali dan paling bawah, disusun selari. Katil yang di tengah-tengah disusun melintang. Dengan itu, memberi sedikit ruang kepada penghuni katil tengah dan bawah. Memang terasa seperti tidur dalam space bunker(?). Tidaklah terasa sempit malah menjimatkan ruang. Kotak-kotak di sebelah katil itu ialah tempat penyimpanan barang yang boleh dimangga.
Opera di kawasan Holland Park masih mendayu-dayu menawarkan muzik percuma sepanjang petang. Mujur tamat juga akhirnya, sekitar pukul 9.00 malam. Saya keletihan amat. Selepas mengurus diri, terus sahaja 'terbang' ke alam mimpi.
Awal pagi saya bangkit dengan lebih bersemangat.
Sudah mengecas diri.
Sudah mengecas bateri kamera.
Sudah bersedia untuk meneroka Kota London.
Sarapan seadanya di dewan makan, dan terus keluar dengan beg galas warna hijau lemak. Dengan fikiran yang lebih tenang dan tidak lagi letih, saya dapat melihat bahawa YHA London Holland Park adalah tempat yang cantik lantaran kedudukannya di dalam sebuah taman (park).
Bahagian luar dan hadapan London Holland Park Youth Hostel |
kredit foto : Nisah Haron |
Kawasan taman (park) sangat besar di sini. Bermula dari Holland Park ini sendiri yang sudah sedia besar (bayangkan boleh ada rumah sebesar hostel ini ditambah pula dengan sebuah opera dan kawasan berjalan kaki yang sangat luas), di sebelahnya ialah Kensington Park yang kemudiannya bersambung dengan Hyde Park.
Pada hari ini saya tidak ada rencana yang benar-benar tersusun di London. Saya hanya mengikut langkah kaki. Paling penting, saya perlu menikmati setiap langkah itu.
kredit foto : Nisah Haron |
Memasuki kawasan Kensington Gardens, mengingatkan saya kembali kepada kisah Peter Pan bertemu Wendy. Mengikut cerita karya J.M Barrie itu, keluarga Wendy Darling tinggal di kawasan Kensington ini. Khabarnya, ada patung Peter Pan diabadikan di kawasan Kensington Gardens ini, tetapi saya tidak menemuinya dalam perjalanan ini.
Menurut catatan yang saya temui setelah pulang, kawasan dari Kensington sehinggalah ke Hyde Park adalah kawasan hijau (green lung) London. Berjalan di sepanjang kawasan ini pasti tidak terasa penat. Cuacanya masih kedinginan dan kawasan taman pastilah banyak bangku untuk melepaskan lelah. Padahal Kensington Gardens ini sendiri seluas 111 hektar. Ketika saya berjalan, saya tidak sedar yang saya mampu berjalan sejauh itu!
Ada dua perkara yang menarik perhatian saya sewaktu menujuk ke kawasan Kensington Gardens :
kredit foto : Nisah Haron |
Untuk semak e-mel, mungkin tak perlu di sini kerana tindakan itu akan membuang masa. Jadi, lebih kurang 5 - 10 minit bermain-main dengan peranti ini saya pun berjalan terus.
Terpandang pula perkara kedua yang menarik perhatian :
Sebuah bangunan biasa di kawasan High Street Kensington, tetapi tulisan "Waterstone's" itu yang menarik saya bagai besi berani. kredit foto : Nisah Haron |
Ya, tulisan "Waterstone's" itu. Waterstones ialah kedai buku rangkaian di London. Banyak buku semasa dan popular boleh didapati di sini. Mujur sahaja pagi masih terlalu awal dan kedai ini belum beroperasi. Jika tidak, mungkin sahaja kaki saya akan terus masuk ke sini!
Waterstone's telah mengubah logonya seperti yang dilihat ini pada tahun 2010. kredit foto : Nisah Haron |
Tanpa kedai buku (dan saya lebih bercita-cita untuk menjejaki Charing Cross Road untuk mencari buku-buku lama), saya terus sahaja meneroka kawasan Royal Parks yang terbentang di sebelah kiri saya.
Di kawasan ini ada banyak peta taman yang disediakan. Kredit foto : Nisah Haron |
Pagar Istana Kensington. Kredit foto : Nisah Haron. |
Sunken Garden dalam Kensington Gardens. Kredit foto : Nisah Haron. |
Taman peribadi (Sunken Garden) dalam Kensington Gardens. Kredit foto : Nisah Haron. |
Patung Ratu Victoria di Istana Kensington. Ratu Victoria dikatakan lahir di istana ini. Kredit foto : Nisah Haron. |
Merenung dan membayangkan suasana pada zaman taman ini digunakan secara optimum. Kredit foto : Nisah Haron |
Kawasan Sunken Garden di tengah-tengah itu masih tertutup. Barangkali untuk menjaga keharmonian dan keindahannya.
Waktu ini terasa tak sia-sia mengusung tripod ke sana-sini; sungguh berbaloi untuk pengembara solo. Sungguh-sungguh terasa yang saya ingin duduk berlama-lama di taman ini!
Saya berlalu meneroka bahagian taman yang lain pula. Berjalan sambil mengambil gambar memang tidak akan laju. Saya bersyukur kerana mengambil keputusan untuk keluar awal dan kawasan taman ini boleh masuk bila-bila masa. Berbeza dengan muzium dan tempat-tempat yang ada waktu terhad.
Jadi, jika mahu merancang perjalanan akan datang, perhatikan bahawa tempat-tempat yang tidak ada had masa seperti taman ini boleh dilawat sebelum atau selepas ke tempat-tempat yang ada had masa. Ini boleh menjadikan perjalanan lebih efisien dan penggunaan masa lebih optimum. Apatah lagi, saya hanya bercadang untuk berada sehari sahaja di London. Lagipun, ini sekadar persinggahan. Matlamat pencarian sudah hampir tercapai semuanya.
Rindu pada keluarga sudah menggebu-gebu. Sudah lebih seminggu mereka ditinggalkan. Barangkali saya sudah terasa sunyi dan setiap pandangan mata semakin mengingatkan betapa saya mahu bawa mereka kembara bersama-sama saya kelak, apabila mereka lebih remaja.
Tempat ini ada banyak lokasi yang boleh dilawati. |
Ulasan
Jika ada rezeki dan kesempatan, pasti saya akan berhubung untuk kita berjumpa di sana. Masih ada banyak tempat yang tidak sempat saya lawati kerana London ialah destinasi kedua akhir. Sudah agak kepenatan.
Catatan ini sudah ketinggalan. Kembara saya ini semasa bulan Jun dan saya berazam untuk menghabiskan kesemua catatan ini sebelum akhir tahun 2011, insya-Allah.
p/s : penulisan jadi lambat kerana setiap satu entri saya merujuk dan mencari pautan yang sesuai. Tujuan saya supaya pembaca yang mahu ke tempat-tempat yang dilawati dapat memanfaatkan mana-mana maklumat yang ada.
Tiba-tiba saya rasa rindu kepada waterstone's
-cikyah75-
Jom ke London! :-)