Isnin, November 21, 2011

Kembara Sastera 30 : London Bahagian 2

Sepatutnya turun di stesen ini untuk ke
YHA London Holland Park. Kredit foto : Nisah Haron
YHA London Holland Park, mungkin tidaklah seteruk yang disangka. Entri sebelumnya ialah kisah pengembara yang keletihan. Orang yang sedang letih dan lapar, tentunya ada banyak rungutan.

Setelah mendaftar masuk dan berbual-bual dengan penyambut tetamu baru saya tahu satu perkara : saya memilih untuk turun di stesen Holland Park yang agak jauh untuk sampai ke pintu utama taman ini. Saya sepatutnya memilih Stesen High Street Kensington sebagai destinasi.

Stesen ini berada di jalan besar dan ramai orang lalu lalang. Oh, inilah hikmah tersesat atau apabila tuhan memberi peluang kita mengikut jalan yang jauh. Kita akan belajar banyak perkara baharu dan belajar lebih menghargai sesuatu.

Setelah diberi kunci bilik, saya harus mendaki setingkat lagi (tempat ini tiada lif) dan masuk ke bilik dengan nombor katil yang telah ditetapkan. Mungkin saya biasa melihat katil 2 tingkat, kali ini saya tidur di atas katil 3 tingkat, seperti imej di sebelah.

Katil atas sekali dan paling bawah, disusun selari. Katil yang di tengah-tengah disusun melintang. Dengan itu, memberi sedikit ruang kepada penghuni katil tengah dan bawah. Memang terasa seperti tidur dalam space bunker(?). Tidaklah terasa sempit malah menjimatkan ruang. Kotak-kotak di sebelah katil itu ialah tempat penyimpanan barang yang boleh dimangga.

Opera di kawasan Holland Park masih mendayu-dayu menawarkan muzik percuma sepanjang petang. Mujur tamat juga akhirnya, sekitar pukul 9.00 malam. Saya keletihan amat. Selepas mengurus diri, terus sahaja 'terbang' ke alam mimpi.

Awal pagi saya bangkit dengan lebih bersemangat.
Sudah mengecas diri.
Sudah mengecas bateri kamera.
Sudah bersedia untuk meneroka Kota London.

Sarapan seadanya di dewan makan, dan terus keluar dengan beg galas warna hijau lemak. Dengan fikiran yang lebih tenang dan tidak lagi letih, saya dapat melihat bahawa YHA London Holland Park adalah tempat yang cantik lantaran kedudukannya di dalam sebuah taman (park).

Bahagian luar dan hadapan London Holland Park Youth Hostel
Pandangan saya tentang tempat ini (yang mungkin negatif pada petang sebelumnya) semuanya berubah pada pagi ini.

kredit foto : Nisah Haron 
Saya keluar dari kawasan hostel dengan disambut senyuman mawar merah jambu di taman kecil di tepi tangga. Hati girang, langkah ringan, dengan basmalah dan selawat, saya meneruskan kembara ke Kota London, tanpa ada siapa-siapa yang saya kenali.

Kawasan taman (park) sangat besar di sini. Bermula dari Holland Park ini sendiri yang sudah sedia besar (bayangkan boleh ada rumah sebesar hostel ini ditambah pula dengan sebuah opera dan kawasan berjalan kaki yang sangat luas), di sebelahnya ialah Kensington Park yang kemudiannya bersambung dengan Hyde Park.

Pada hari ini saya tidak ada rencana yang benar-benar tersusun di London. Saya hanya mengikut langkah kaki. Paling penting, saya perlu menikmati setiap langkah itu.

kredit foto : Nisah Haron 
Sewaktu berjalan meninggalkan Holland Park, suasana awal pagi Sabtu masih tenang. Tidak ramai yang berjalan-jalan atau membawa anjingnya berjalan-jalan. Mungkin pagi itu cuti di London, saya sendiri kurang pasti. Terpandang satu tempat yang disediakan untuk anjing melepaskan hajat - dipanggil dog toilet. Wah, anjing-anjing mereka juga cukup terlatih lagi berdisiplin!

Memasuki kawasan Kensington Gardens, mengingatkan saya kembali kepada kisah Peter Pan bertemu Wendy. Mengikut cerita karya J.M Barrie itu, keluarga Wendy Darling tinggal di kawasan Kensington ini. Khabarnya, ada patung Peter Pan diabadikan di kawasan Kensington Gardens ini, tetapi saya tidak menemuinya dalam perjalanan ini.

Menurut catatan yang saya temui setelah pulang, kawasan dari Kensington sehinggalah ke Hyde Park adalah kawasan hijau (green lung) London. Berjalan di sepanjang kawasan ini pasti tidak terasa penat. Cuacanya masih kedinginan dan kawasan taman pastilah banyak bangku untuk melepaskan lelah. Padahal Kensington Gardens ini sendiri seluas 111 hektar. Ketika saya berjalan, saya tidak sedar yang saya mampu berjalan sejauh itu!

Ada dua perkara yang menarik perhatian saya sewaktu menujuk ke kawasan Kensington Gardens :

kredit foto : Nisah Haron 
Pertama, alat ini. Tiada yang terlalu istimewa tentang peranti ini kecuali bentuknya seperti mesin ATM tetapi boleh mengirim e-mel dan mencari maklumat tentang Kota London. Ada peta dan lokasi tempat-tempat menarik di sini. Sempat juga saya kirim poskad digital kepada anak-anak!

Untuk semak e-mel, mungkin tak perlu di sini kerana tindakan itu akan membuang masa. Jadi, lebih kurang 5 - 10 minit bermain-main dengan peranti ini saya pun berjalan terus.

Terpandang pula perkara kedua yang menarik perhatian :


Sebuah bangunan biasa di kawasan High Street Kensington,
tetapi tulisan "Waterstone's" itu yang menarik saya bagai besi berani.
kredit foto : Nisah Haron 
Ya, tulisan "Waterstone's" itu. Waterstones ialah kedai buku rangkaian di London. Banyak buku semasa dan popular boleh didapati di sini. Mujur sahaja pagi masih terlalu awal dan kedai ini belum beroperasi. Jika tidak, mungkin sahaja kaki saya akan terus masuk ke sini!


Waterstone's telah mengubah logonya seperti yang dilihat ini pada tahun 2010.
kredit foto : Nisah Haron 
Saya pun berjanji kepada diri sendiri supaya mesti masuk ke mana-mana cawangan Waterstone's dalam perjalanan pulang ke hostel kemudian. Ada buku yang mahu dibeli di Dublin dulu saya tangguhkan supaya dalam beli semasa di London. Inilah masanya.

Tanpa kedai buku (dan saya lebih bercita-cita untuk menjejaki Charing Cross Road untuk mencari buku-buku lama), saya terus sahaja meneroka kawasan Royal Parks yang terbentang di sebelah kiri saya.

Di kawasan ini ada banyak peta taman yang disediakan. Kredit foto : Nisah Haron
Kensington Gardens merupakan sebahagian daripada Istana Kensington, dahulunya milik peribadi dan kini menjadi tempat awam. Saya meneroka kawasan ini dan sangat terpesona dengan taman peribadi di sini. Ah.... taman di dalam taman!

Pagar Istana Kensington. Kredit foto : Nisah Haron. 
Seketika membayangkan bagaimana puteri-puteri raja bermain-main di dalam taman seindah ini. Luas, boleh berlari dan masih terjaga. Apakah dalam musim bunga, pemandangannya akan lebih cantik daripada imej di bawah?  (Ketika ini musim panas di London).

Sunken Garden dalam Kensington Gardens. Kredit foto : Nisah Haron.  

Taman peribadi (Sunken Garden) dalam Kensington Gardens.
Kredit foto : Nisah Haron. 

Patung Ratu Victoria di Istana Kensington. Ratu Victoria dikatakan lahir di istana ini.
Kredit foto : Nisah Haron. 

Merenung dan membayangkan suasana pada zaman
taman ini digunakan secara optimum.
Kredit foto : Nisah Haron
Puas sungguh bergambar dan merakamkan keadaan taman yang dinamakan Sunken Garden ini. Ada terbaca bahawa taman ini mula dibina sejak tahun 1909 lagi.

Kawasan Sunken Garden di tengah-tengah itu masih tertutup. Barangkali untuk menjaga keharmonian dan keindahannya.

Waktu ini terasa tak sia-sia mengusung tripod ke sana-sini; sungguh berbaloi untuk pengembara solo. Sungguh-sungguh terasa yang saya ingin duduk berlama-lama di taman ini!

Saya berlalu meneroka bahagian taman yang lain pula. Berjalan sambil mengambil gambar memang tidak akan laju. Saya bersyukur kerana mengambil keputusan untuk keluar awal dan kawasan taman ini boleh masuk bila-bila masa. Berbeza dengan muzium dan tempat-tempat yang ada waktu terhad.

Jadi, jika mahu merancang perjalanan akan datang, perhatikan bahawa tempat-tempat yang tidak ada had masa seperti taman ini boleh dilawat sebelum atau selepas ke tempat-tempat yang ada had masa. Ini boleh menjadikan perjalanan lebih efisien dan penggunaan masa lebih optimum. Apatah lagi, saya hanya bercadang untuk berada sehari sahaja di London. Lagipun, ini sekadar persinggahan. Matlamat pencarian sudah hampir tercapai semuanya.

Rindu pada keluarga sudah menggebu-gebu. Sudah lebih seminggu mereka ditinggalkan. Barangkali saya sudah terasa sunyi dan setiap pandangan mata semakin mengingatkan betapa saya mahu bawa mereka kembara bersama-sama saya kelak, apabila mereka lebih remaja.

Tempat ini ada banyak lokasi yang boleh dilawati. 
Ada banyak pilihan tempat yang boleh dilawati, hanya di Kensington Gardens ini sendiri. Saya terus berjalan, mencari lokasi-lokasi yang boleh memberi inspirasi!



4 ulasan:

Kak Teh berkata...

Pn Nisah, Holland Park tu sudah amat dekat sangat dengan rumah saya. Dua stop lagi selepas hentian Holland Park sudah sampai. Kalau diberitahu lebih awal setakat teh tarek dan mee bandung tu atau nak fish and chips, tak ada masalah. Seronoknya dapat berjalan dan mencatat segalanya.

Nisah Haji Haron berkata...

Kak Teh @ Puan Zaharah,
Jika ada rezeki dan kesempatan, pasti saya akan berhubung untuk kita berjumpa di sana. Masih ada banyak tempat yang tidak sempat saya lawati kerana London ialah destinasi kedua akhir. Sudah agak kepenatan.

Catatan ini sudah ketinggalan. Kembara saya ini semasa bulan Jun dan saya berazam untuk menghabiskan kesemua catatan ini sebelum akhir tahun 2011, insya-Allah.

p/s : penulisan jadi lambat kerana setiap satu entri saya merujuk dan mencari pautan yang sesuai. Tujuan saya supaya pembaca yang mahu ke tempat-tempat yang dilawati dapat memanfaatkan mana-mana maklumat yang ada.

cikyah75 berkata...

Kak Nisah,
Tiba-tiba saya rasa rindu kepada waterstone's
-cikyah75-

Nisah Haji Haron berkata...

Cikyah,
Jom ke London! :-)

Related Posts with Thumbnails