Jumaat, Disember 02, 2011

SMS : Apabila mereka mengeja sesuka hati

Gunakan Bahasa Melayu Dengan Betul
Imej disediakan oleh Emila Yusof


Tidak dapat tidak, saya perlu menulis lagi tentang isu SMS yang tidak pernah selesai. Sesungguhnya, saya sudah menulis tentang isu ini sejak saya ada blog. Selama tempoh itu juga, saya telah menyatakan pendirian bahawa blog saya, (dan kemudiannya FB dan Twitter saya) semuanya ditulis dalam Bahasa Melayu standard.

Saya tidak pernah mengakui bahawa laman Facebook atau Twitter adalah sesuatu yang santai. Bagi saya semua bentuk tulisan harus menggunakan ejaan yang betul, nahu yang mengikut tatabahasa yang asas serta penggunaan huruf besar/kecil di tempat-tempat yang wajar.

Mereka yang lebih muda mungkin menggelarkan saya 'skema', 'poyo' atau entah apa lagi gelaran yang lebih terkini.

Gelar atau selar diri saya dengan apa jua jenis panggilan, tidak pernah menjadi kudis kepada saya.

Saya sayang bangsa saya, oleh itu, saya sayang akan bahasanya.

Saya pernah tulis hal ini dalam dua entri terdahulu :
Alasan mereka yang menggunakan hal ini masih sama : SMS atau pesanan ringkas di telefon ialah situasi tidak formal. Ada juga yang mengatakan SMS terhad keapda 160 aksara, jika lebih akan dikira sebagai 2 SMS atau lebih. Mahu berjimat dengan patah perkataan. 

Jawapan saya : 
  • SMS ialah singkatan kepada short message service atau perkhidmatan PESANAN ringkas. Oleh itu, ringkaskan pesanan dan bukannya ringkaskan EJAAN!
  • Jika saudara pertama kali menghubungi seseorang yang bukan teman sepermainan, (menghubungi saya, misalnya) apakah semudahnya saudara menghantar SMS dengan ejaan ciptaan sdr itu. "Free x, leh sy tipon." 
  • Walaupun saya mungkin faham apa yang dimaksudkan pengirim, oleh sebab ini pertama kali dia mengirim pesanan ringkas (eh, bukan, ini ejaan ringkas) kepada saya, nampak sangat orang ini tidak menghormati penerimanya dan menganggap semua orang pasti mengerti ejaan ciptaannya yang tidak pernah diajar di sekolah itu. 
  • Bukankah ini sikap yang tidak beradab atau dengan kata lain BIADAP. 
  • Jika menghantar SMS dengan ejaan penuh menyebabkan satu SMS terpaksa dijadikan 2 atau lebih dan dengan itu menyebabkan kos meningkat kepada 10 sen atau 20 sen, jawapan saya begini pula : 20 sen pun mahu berkira dalam soal bahasa? Ketika saudara beli tudung, kasut, kemeja, laptop, telefon bimbit yang mencecah beratus-ratus harganya itu, ada saudara berkira-kira sehingga sen yang terakhir? 
Saya sudah biasa dengar keluhan guru-guru yang mengatakan penyakit bahasa ini sudah menular dalam karangan di sekolah, sehinggalah ke dalam SPM dan STPM. Mari saya tambah lagi, sudah sampai ke universiti pun. Sayangnya, guru-guru yang mengeluh itu pun ada yang seperti anak-anak muridnya juga. Malah, saya biasa dapat SMS daripada guru-guru yang mengundang saya ke sekolahnya dengan singkatan SMS ciptaaan sendiri yang tidak diajar di sekolah itu. 

Imej dari blog Puan Emila Yusof

Kalau sudah gurunya kencing berdiri, anak-anak muridnya? Sila habiskan sendiri peribahasa ini. 

Bolehkah ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul? 

Kini penyakit bahasa ini sudah masuk ke peringkat alam pekerjaan. Tidak lama lagi, saya tidak akan terkejut kalau menerima surat rasmi yang ditulis dalam bahasa ciptaan mereka yang baharu ini. Oleh sebab tidak difahami oleh sesetengah golongan, kita akan memerlukan semula petition writer yang dulu-dulu duduk di bawah pokok tidak jauh dengan pejabat-pejabat kerajaan. Kerja mereka ialah tolong taipkan borang-borang kerajaan untuk sesiapa yang ada urusan di pejabat kerajaan. 

Nanti petition writer yang akan datang kerjanya menterjemah ejaan yang lintang-pukang ini. 

Hari ini hal ini memang sudah menular ke alam rasmi. Gambar di bawah ialah imej yang saya ambil sendiri setelah pihak Pos Laju meninggalkan nota supaya saya ambil dokumen di pejabatnya kerana saya tidak ada di rumah. 

"ANAK KECIL YG ADE KAT UMAH" tulis posmen itu. 
Apakah posmen berkenaan sudah tidak mempunyai kemahiran untuk menulis sesuatu yang lebih rasmi. Bukankah kerja mengepos ini urusan rasmi lagi profesional?

Ini bukan soal saya faham atau tidak faham.
Ini bukan soal mesejnya sampai.
Ini bukan soal matlamatnya, saya pergi juga ke pejabat Pos Laju untuk mengambil dokumen berkenaan.

Ini soal bagaimana penyakit bahasa yang telah menjadi sebati dan menjadi darah daging setiap pengamalnya. Sudah tidak boleh dibezakan situasi yang formal dan tidak formal lagi.

Saya teringat teman saya di FB ada bercerita tentang sekumpulan anak muda bakal guru yang memarahi beliau kerana menegurnya menggunakan bahasa SMS dan lintang-pukang di FB. Perbualan mereka sama sekali tidak menggambarkan diri masing-masing sebagai bakal pendidik. Apabila ditegur dengan baik, mereka melenting lantas pantas mengatakan bahawa mereka pastinya tahu membezakan situasi yang formal atau tidak formal. FB ialah tempat mereka bersantai-santai dan menggunakan bahasa sesuka hati. Nanti apabila mereka jadi guru, tahulah apa yang patut mereka buat.

Dalam situasi santai yang penuh jenaka, seringkali kita melihat warna sebenar seseorang!

Dahulu, memang saya seorang diri yang menaip ejaan penuh, memberi salam, mengucap hamdalah, basmalah dengan ejaan penuh yang rasmi. Ketika ramai yang 'bising-bising' tentang tidak wajar menggunakan 'askum', 'a'kum' dan pelbagai singkatan ciptaaan sendiri, saya tidak terlibat kerana saya sentiasa mengeja 'Assalamualaikum' atau 'alaikumussalam' atau 'alhamdulillah'. Kini sudah ramai yang mengikuti kaedaan mengeja yang betul dalam komunikasi.

Apakah saya ada banyak masa untuk menaip sebegitu panjang?

Tidak, saudara. Masa kita sama sahaja. Namun, saya ada kemahiran untuk menaip tanpa melihat kekunci (sama ada papan kekunci komputer atau pada telefon bimbit). Itu kemahiran yang dikuasai. Demikian juga saya tidak cukup rajin untuk menaip satu-satu. Jadi, dengan telefon bimbit saya yang tidak berapa canggih itu, saya sudah sediakan 'text template' awal-awal lagi.

Hanya dengan satu butang, saya boleh tulis 'assalamualaikum' seperti kita menggunakan arahan copy and paste dalam komputer.

Saya juga mengeja 'terima kasih' dengan penuh, bukannya 'tk' atau 'tks' atau 'makasih' kerana saya sangat ikhlas lagi menghargai orang yang saya kirimkan ucapan itu. Ini bukanlah bermakna mereka yang menggunakan singkatan itu tidak ikhlas. Namun, cerminkanlah keikhlasan dan penghargaan itu dalam bentuk yang sewajarnya.

Ada beza antara orang yang beri bunga dengan dua tangan dengan orang yang melontarkan bunga yang sama kepada si penerima. Kedua-duanya mungkin ikhlas dan sayang kepada penerima. Namun, bukankah cara yang kedua itu sangat tidak wajar malah kurang ajar, bukan?

Kuasailah teknologi bukannya teknologi itu yang menguasai kita, dan bukannya mengeluh dan memberi alasan kita tidak mahir dalam hal-hal teknologi. Jika mampu menggunakan telefon canggih, kuasai dahulu kecanggihannya sebelum berani mengaku memilikinya.

Kroniknya penyakit ini, bukan sahaja menular dalam kalangan anak-anak muda, tetapi sebahagian guru, penulis, pensyarah, penggiat bahasa dan sastera serta mereka yang tidak sepatutnya berbuat demikian. Anehnya, penyakit ini cukup kronik dalam Bahasa Melayu, kurang pula saya temui dalam blog, FB atau Twitter berbahasa Inggeris.

Kalau dalam SMS atau Twitter mempunyai ruang aksara (characters) yang terhad, masakan dalam FB, Yahoo! Messenger atau e-mel pun tidak cukup ruang untuk menulis perkataan 'saya' atau 'aku' sehingga hampir semua huruf vokal harus digugurkan menjadi 'sy' atau 'ak' atau 'aq'.

Apalah dosa huruf-huruf vokal ini?

Lebih kronik lagi, cuba lihat perbualan dua remaja yang sedang dilamun cinta ini.

sumber dari sini. 

Ini bukan soal saudara boleh faham atau tidak tulisan mereka. Perhatikan betapa hancurnya bahasa kita! Kepada yang boleh faham tu, nampak sangatlah saudara juga pengamal bahasa berpenyakit ini seperti mereka.

Mereka yang mampu baca dan menulis pula sebegini terasa hebat dan cool. Apatah lagi apabila diabsahkan oleh mereka yang tidak sepatutnya memberikan sebarang endorsmen.

Kini sahabat saya Puan Emila Yusof telah menyediakan satu lencana (yang saya telah letakkan di lajur sisi kanan (right side bar) blog saya ini. Dia mengizinkan sesiapa yang mahu meletakkan lencana tersebut di blog masing-masing sebagai tanda sokongan bahawa kita wajib menggunakan Bahasa Melayu yang betul.

Nota hujung : saya terpaksa menyentuh jawatan guru, pensyarah dan penggiat bahasa dalam hal ini kerana kumpulan inilah yang paling hampir dengan kanak-kanak dan remaja selain ibu bapa. Saya tahu bukan semua guru, pensyarah dan kumpulan yang sebutkan itu terlibat dalam penyelewengan bahasa ini. Ada ramai pejuang bahasa di dalamnya.

Selain merungut, apa lagi tindakan yang boleh dilakukan?

  • Bertegas dalam penggunaan bahasa yang betul. Biar dikutuk, diketawa atau disindir, kita tetap mempunyai hak untuk menggunakan bahasa yang betul. 
  • Menegur dengan sebaik-baiknya apabila kita melihat penggunaan bahasa yang salah ini. Setiap orang ada tahap kuasa masing-masing untuk mengubah keadaan ini. Gunakan 'kuasa' yang betul dan sesuai pada tempat. 
  • Menegur dengan hikmah, usahlah tiba-tiba melempang tak tentu fasal. Belum tentu berkesan. 
  • Menulis isu-isu ini terus ke akhbar perdana dan jangan sekali-kali hal ini dipolitikkan. Nanti jauh tersasar. 
  • Guru-guru dan para pensyarah yang dekat dengan pelajar, usahlah jadi sebahagian daripada mereka dan menyatakan bahawa cara ini lebih mudah untuk mendekati jiwa remaja. Guna cara lain untuk dekati jiwa mereka, mengorbankan bahasa bukanlah kaedah yang paling menguntungkan. Pelajar belajar melalui contoh teladan. Pelajar ini akan menjadi orang-orang besar-besar yang menggantikan tempat kita. Ajar perkara yang betul. Let it be first time right. 
  • Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, telah menjelaskan singkatan standard yang telah ditetapkan di dalam Kamus Dewan dan tekankan juga aspek kesantunan berbahasa. Panduan singkatan SMS yang disediakan oleh DBP itu harus dikaji semula. 
  • Ibu bapa juga harus mengamalkan bahasa yang betul dan berhemah sewaktu bersama-sama dengan anak-anak. Mereka adalah cermin kepada ibu dan bapa. Jika kita tidak mahir, ayuh belajar bersama-sama dengan mereka. Tidak ada apa yang harus dimalukan dalam menuntut ilmu. 
Jika ada cadangan tambahan yang bernas, silakan buat penambahan. Saya dan saudara mungkin tidak ada lagi selepas ini. Namun, jika saya mati pada esok hari, saya mahu tinggalkan sesuatu supaya saya tidak ditanya di akhirat kelak. Ilmu saya dalam bahasa ini sangatlah sedikit, tetapi saya tidak mahu simpan seorang diri. Ilmu yang ada ini menyebabkan saya wajib menyampaikan dan menegur. 

Kalau pun mahu jadi pendakwah, gunakanlah bahasa yang sesuai dan betul. Saya teringat pesanan Munsyi Dewan dan Ketua Satu PEN, Puan Mahaya Mohd Yassin, "Bagaimana mahu menjadi pendakwah, kalau bahasa pun lintang-pukang!"

Betapa benar!

Ayuh, mari berbahasa sebaik-baiknya. 
Bahasa menunjukkan bangsa. 
Bahasa jiwa bangsa. 

1Malaysia bukan bermakna Bahasa Melayu boleh dipermain dan disudutkan. 

p/s : Catatan Kembara Sastera masih lagi diteruskan dan akan disambung dalam entri yang berikutnya, insya-Allah. 


12 ulasan:

Nuruddin Azri berkata...

catatan menarik.peringatan buat semua.

zaman ledakan teknologi maklumat ini memang menghasilkan generasi yang kaya dan celik teknologi tetapi paradoksnya ialah rabun peribadi dan bahasa itu sendiri.

saya sendiri pun kadang-kadang terfikir akan perkara ini.apa gunanya belajar spm pandai-pandai,bm dapat a+ tapi tak gunakan bahasa itu sebaiknya.

saya memang akui dalam penulisan dakwah memerlukan bahasa yang formal.itu memang ditekankan.

mungkin selepas ini segala cadangan yang penulis utarakan boleh diimplimentasikan dengan menyuarakannya selantang-lantang ke pihak yang berwajib.

sekadar pandangan.syukran atas perkongsian.maaf jika terkhilaf penggunaan bahasa dan kata.

masih belajar...

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Nuruddin Azri,

Terima kasih kerana menjadi pemberi reaksi yang pertama. Cuma satu teguran : Biasakan penggunaan huruf besar pada permulaan ayat dan selepas noktah.

Harap tak marah, ya!

Saya juga masih belajar sesuatu yang baharu pada setiap hari.

Al Ghazali Sulaiman berkata...

Puan Nisah,

Saya bersetuju dengan entri yang sangat bagus ini.

Cumanya, untuk menegur dan membetulkan cara orang lain berbahasa kadangkala boleh mengundang konflik. Atas sebab itu, ramai yang memilih untuk berdiam diri.

Saya sendiri begitu. Kalau sudah tak kuasa mahu menegur, saya buang sahaja daripada senarai rakan.

Hati pun tak sakit.

Tetamu Istimewa berkata...

Ya Puan Nisah, suatu catatan dan perkongsian yang baik. Saya mengharapkan lebih ramai yang membacanya. Sesetengahnya bukan tidak tahu akan bahasa SMS ini tetapi mereka mengatakan "alah dalam mesej pun nak tulis panjang-panjang". Itu tidak menjadi masalah yang kronik sangat sekiranya singkatan yang betul digunakan. Tetapi kalau sudah singkatannya pun entah ke mana. Contohnya, sayang menjadi cyang, sihat menjadi chat. Inilah yang menimbulkan barah. Kesedaran itu amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya juga berpesan kepada diri saya sendiri agar berhati-hati dalam menggunakan bahasa semasa berSMS.

Emila Yusof berkata...

Saya rasa jika menegur untuk kebaikan bersama, apa salahnya. Kalau ada konflik yang timbul, kita cuba tangani bersama. Membuang rakan dari senarai bukanlah jalan penyelesaian yang bagus.

Nisah Haji Haron berkata...

Al-Ghazali,
Kita sentiasa ada pilihan:
- mengubah dengan tangan
- mengubah dengan mulut
- mengubah dengan hati.

Nisah Haji Haron berkata...

Tetamu Istimewa,
Adakalanya isu singkatan SMS ini bukan sangat soal bahasa, tetapi lebih kepada soal sikap. Ramai yang menganggap ini perkara remeh yang diperbesarkan.

Kesan 'barah'nya sudah terasa kini.

Nisah Haji Haron berkata...

Puan Emila,
Bergantung kepada siapa yang dibuang dari senarai rakan itu. Ada pro dan kontra. Kalau orang itu sangat annoying dan tidak boleh dibantu lagi. mungkin itu antara penyelesaian terbaik.

Menegur dengan hikmah, masih lagi jalan keluar yang mempunyai kesan positif. Hanya mereka yang bodoh sombong dan tak dapat diajar saja yang akan menolaknya.

Nuruddin Azri berkata...

Terima kasih atas teguran.Tetapi kadangkala ketersayangan seseorang individu itu terhadap masa membuatkan mereka mengabaikan hatta aspek-aspek kecil itu.Peringatan buat diri juga.

Saya ada satu permintaan kepada penulis.

Saya ada menghasilkan beberapa artikel dan puisi Bahasa Melayu di blog saya.Namun,sehingga sekarang saya masih tidak mempunyai 'guru' ataupun pembimbing dalam penulisan saya.

Ya,saya memang berminat dengan bahasa.Semua bahasa saya berminat.

Saya mohon untuk penulis yang semakin meningkat nama dan keranuman penulisan ini untuk dinilai dan dikomen pada puisi saya.

Ini supaya dapat saya meningkatkan lagi mutu kerja saya di samping tidaklah terlalu jauh menyimpang daripada konsep bahasa itu sendiri.

Ini antara link terbaru puisi yang saya berjaya hasilkan baru-baru ini :
http://nuruddinazrizulkifli.blogspot.com/2011/11/atmosfera-politik-tercemar-negara.html

Harap penulis dapat memberi rating dari sudut sastera dan bahasa serta memberi komen dan pandangan terhadap puisi saya itu.

Boleh selitkan juga sebarang kritikan dan teguran untuk penambahbaikan.

Harap jika penulis ada masa bolehlah menjenguk ke laman itu.

Masih dan ingin terus belajar...=)

DIARI SANG PENYAIR berkata...

salam, saya sangat setuju dengan catatan puan tentang sms ni. saya pun lebih suka menggunakan ejaan penuh di blog mahupun face book. malah masa chat dengan kawan-kawan pun lebih suka guna bahasa Melayu standard walaupun ada kalanya tatabahasa Bahasa Melayu saya tidak berapa baik . kebanyakan rakan-rakan saya lebih suka menggunakan bahasa seperti yang puan katakan. kadang-kadang, saya cuba menegur mereka tapi jawapannya sama seperti apa yang ada dalam catatan puan ni. katanya lebih santai, tidak terlalu formal dan yang penting semua orang sudah menggunakannya.

adakalanya saya sedih dengan sikap mereka. saya rasa mereka yang suka menggunakan bahasa singkatan ini ialah hanya mereka yang tahu berbahasa Melayu tapi tidak pernah mahu memikirkan masa depan bahasa Melayu itu sendiri. mungkin bagi mereka ianya satu bentuk hiburan dan tidak salah menggunakannya pada zaman serba moden ini, kononnya berasa bahawa untuk mencapai kemajuan maka semuanya harus diubah termasuk bahasa itu sendiri. padahal sebenarnya, kerana sikap itulah lebih ramai manusia yang rosak pemikirannya. memang kita bijak, bijak dari segi ilmu pengetahuan tapi jika kebijaksaan kita itu tidak digunakan pada tempat yang betul, maka lambat-laun kebijaksanaan kita akan lenyap ataupun mungkin akan beransur-ansur berkurang. maka, jangan salahkan bangsa asing sekiranya mereka merendahkan bangsa kita hanya bermula dengan hal-hal kecil seperti ini(sebenarnya hal yang sangat besar.

# percaya tak bahawa salah satu punca negara menjadi maju adalah kerana bahasa itu sendiri.

# salam dari saya puan. maaf jika penggunaan bahasa Melayu saya kurang baik.

Mohamad Rizal berkata...

Assalamualaikum..

Saya amat bersetuju dengan entri Kak Nisah ini, sangat bagus.

Sebagai seorang guru saya sangat bersetuju dengan Kak Nisah. Ya! memang benar saya seringkali menerima SMS daripada anak murid saya MasyaAllah kadang-kadang memang tidak faham langsung apa yang mereka ingin sampaikan.

saya mohon keizinan juga dari Kak untuk mengambil entri ini dan tampal dekat blog saya.

DAMAI SURIA berkata...

Tidak banyak kesedaran orang ramai tentang penggunaan bahasa Melayu secara betul. Apalah nasib bahasa Melayu di masa depan.

Saya melihat seandainya agensi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama dengan kerajaan dan pimpinan hari ini giat memperhebat, mempromosi dan mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan secara berterusan alangkah positif hasilnya. Masyarakat teramai insya-Allah akan jadi pengikutnya.

Related Posts with Thumbnails