Rabu, Februari 23, 2011

Kerja Seni Patrick Lasak

 Memerhatikan kerja seni Patrick Lasak, sewaktu melawat Galeri Seni Lukis Negeri Pulau Pinang membuat saya dapat melihat sisi lain tentang lukisan. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, barangkali imej-imej yang sempat saya rakamkan setelah mendapat izin daripada beliau menerangkan dengan sendirinya - res ipsa loquitur.

Lukisannya mengagumkan saya, seolah-olah setiap satu daripadanya mampu bercerita kepada saya. Atau mungkin saya selesa dengna unsur fantasi yang dijelma dan digabungkan di dalam setiap karyanya.
Gambar kegemaran saya "Rainbow before the Storm".
Namun, saya lebih suka jika dijudulkan "Infinity".
Patrick tersenyum mendengar tafsiran saya tentang lukisannya

"Kerbau oh Kerbau"

"Trilogy of Ancient Stories, Myths & Legends"
Saiz lukisannya yang besar memaparkan rasa majestic.
Kebanyakannya menggunakan medium akrilik - ada kesan seperti 3-D


Bersama-sama pelukisnya, Patrick Lasak yang ceria dan
mudah mesra. Pandangan stereotaip saya tentang pelukis
ialah diam dan tidak banyak berkata-kata, tetapi bukan Patrick!
Dia menghormati saya sebagai penulis, seperti mana saya menghormatinya sebagai pelukis. Medium kami berbeza namun, setiap satu karyanya dapat bercerita dengan sendiri tanpa pengkaryanya perlu menjelaskan apa-apa.

Hasil kerja seni yang utuh, tanpa mengira medium sama ada lukisan atau tulisan, haruslah demikian sifatnya. Selepas pengkaryanya beralih ke negeri yang satu, hasil seninya masih lagi mampu hidup untuk diberikan tafsiran yang baru atau makna baru kepada penikmatnya.

Akan saya nantikan hasil seni Patrick Lasak yang seterusnya. Karyanya wajar dipamer di dinding-dinding pejabat, rumah atau sesiapa sahaja yang mampu membeli dan kemudian merakyatkannya.

Syabas, Patrick!

Maklumat tambahan tentang Patrick Lasak :

Patrick Lasak
Penangite Patrick Lasak, 48, is a self-taught artist who studied business administration courses at the Cosmopolitan College in Toronto, Canada. Although he has exhibited his work locally and internationally, his “overnight” success took him 30 years to achieve.

On his favourite piece of work
“The best has yet to come. I have to attachment to any art work, because otherwise, I would be limiting myself. I wake up every day at 4am. I sleep early, don’t drink, smoke or game. Some might call me an old-timer. You must have discipline. In my own way, I add colour to people’s life. I make the world a better place through art.

“My art pieces are about feel. For me, the subject matter is sometimes irrelevant. It is how the artist inserts ‘feel’ into his work- that matters most to me. That’s what differentiates between human and machine- we have emotions, we have that ‘feel’. If at anytime I lose that feel, then the artwork is nothing more than a piece of cloth with a few dabs of paint, never being able to enchant the eye of the beholder.”
Sumber di sini. 

Pamerannya dijadualkan berlangsung di galeri ini sehingga hujung Februari 2011.

Sabtu, Februari 12, 2011

Buku @ Perabot

Buku adalah sesuatu yang mesti dihormati. Saya tidak suka melipat hujung buku (dog-ear) untuk menandakan halaman yang sedang dibaca. Adakalanya, saya guna penanda buku dan selalunya saya hanya menghafal nombor muka surat yang terakhir dibaca sebelum menutup buku itu.

Saya juga tidak boleh tengok buku yang dipijak atau didudukkan sewenang-wenangnya - walaupun oleh anak-anak yang belum reti bahasa. Lantas, 'dosa besar' terhadap buku ialah pijak buku (sambil melompat-lompat di atasnya dengan gembira) dan duduk di atas buku adalah perbuatan yang tidak beradab. Anak-anak dididik supaya menyusun buku dan menyimpan di tempat yang sepatutnya selepas dibaca.

Kepada yang belum reti bahasa atau belum mumaiyiz, bimbingannya bersifat berterusan serta mengikut contoh tauladan.

Namun, kalau teringin benar mahu duduk di atas buku, silalah dapatkan perabot seperti yang ditunjukkan di dalam gambar-gambar di bawah ini. Jika ada perabot ini dijual di Malaysia, sila maklumkan kepada saya kerana inilah rupa perabot yang sangat sesuai dengan tema buku di rumah.


Sangat teringin untuk mendapatkan ruang rehat seperti di dalam gambar di bawah :

 sumber : http://www.bigcozybooks.com
Ruang membaca santai sebuah perpustakaa
di Amerika Syarikat

 
sumber : http://www.bigcozybooks.com
Tentunya kalau dapat ditempah di Malaysia,
judul buku pada spine boleh dijadikan
judul berbahasa Melayu


sumber : http://www.bigcozybooks.com
Membayangkan perpustakaan awam menggunakan
kerusi / sofa sebegini.
 

sumber : http://www.bigcozybooks.com
Seperti "Graha Jentayu", saya membayangkan kedai buku fizikal
yang mahu saya miliki mempunyai konsep santai dan ada
ruang bercerita seperti ini


sumber : http://www.bigcozybooks.com
Hiasan dinding yang menggunakan tema buku
p/s : berangan-angan mahal masih lagi percuma!


Rabu, Februari 09, 2011

Inspirasi & Cetusan Idea :
Rindu Seorang Rafik

Rindu Seorang Rafik
RM19 (tidak termasuk kos pos)
Boleh dibeli dari Ujana Ilmu.

Sila kirimkan e-mel berasingan ke
webmaster@ujanailmu.com.my
jika mahu naskhah dengan
tandatangan pengarang
Pengarang seringkali akan ditanya dari mana mendapat idea, sedangkan ilham dan idea ini sesuatu yang misteri dan pada saya semuanya urusan di langit. Adakalanya ilham hadir tanpa dipinta. Paling penting bukanlah idea itu sendiri, tetapi bagaimana pengarang mengolah sesuatu idea menjadi sebuah karya yang baik untuk dihidangkan kepada pembacanya.

Cerpen “Rindu Seorang Rafik” yang menjadi judul kumpulan cerpen saya yang keempat ini terhasil kerana terkesan dengan peristiwa Pulau Batu Putih yang menjadi rebutan. Cerpen ini ditulis ketika kes ini belum lagi didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague. Saya membayangkan bagaimana dua orang sahabat yang berselisih pendapat itu ibarat dua buah negara yang mengalami keadaan yang sama.

Perjalanan ke daerah pedalaman Sabah telah menghasilkan “Minta Secawan Kopi Tenom”. Selain terkenal dengan kopinya yang lemak-lemak manis, Tenom juga sebuah daerah yang kaya dengan alam semulajadi dan mampu menjadi tempat yang menginspirasikan. Separuh daripada cerpen ini terhasil sewaktu berada di dalam penerbangan pulang dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

Ikatan kekeluargaan dan rasa cinta terhadap tempat tumpah darah telah membuatkan saya mahu mengabadikannya di dalam karya. Hasilnya ialah “Pusaka Cendana” yang mengangkat tentang lagu tradisional Bongai yang semakin dilupakan dan “Lemang Nan Sebatang” tentang falsafah yang terkandung di sebalik makanan tradisi yang bukan sahaja terkenal di Negeri Sembilan kini. Lebih manis lagi apabila kedua-dua cerpen ini telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Sebagai mantan peguam, masih ada banyak isu perundangan yang berlegar-legar di fikiran. Tugas saya untuk mendidik masyarakat mengenai undang-undang melalui karya masih lagi belum selesai. Setakat yang termampu, saya cuba melakukannya di dalam karya-karya saya seperti “Ziarah Izrail”, “Kasih di Pintu Rahim” dan “Antara Dua Pusara”.

“Di Bawah Lindungan Hudaibiyah” pula ialah cetusan yang saya peroleh setelah membaca blog seorang sahabat dan pengalaman beliau menjadi imam di sebuah masjid di Asakusa, Jepun dan bagaimana isterinya berperanan menjadi pembimbing kepada mualaf di sana. Pengalaman menikahkan pasangan di dalam bahasa Jepun adalah sesuatu yang menarik dan dalam kerancakan belia Jepun dikatakan mengalami keruntuhan moral, masih ramai yang mahu mendekati Islam; sedangkan di tanah air kita tidak kurang pula jumlah yang meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.

Akibat rasa jengkel yang luar biasa terhadap beberapa institusi, saya tidak mungkin dapat meluahkan perasaan itu secara langsung. Lalu, saya hasilkan cerpen-cerpen berbentuk satira yang diwakili oleh tukang masak @ chef sebagai pembawa mesej. Siri cerpen “Resipi Dari Istana” ialah rasa kurang puas hati saya yang harus diselongkar makna yang tersirat.

Selebihnya, terpulanglah kepada pembaca untuk menilai apa yang terkandung di dalam mana-mana cerpen di dalam kumpulan ini. Pengarang hanya menghantar mesej kepada pembaca. Tafsiran dan tanggapan terhadap karya adalah hak pembaca.

Pesan Rindu Seorang Rafik terus dari Ujana Ilmu. 



Sabtu, Februari 05, 2011

Petrosains - Kino - BookXcess

Cuti sekolah seminggu. Anak-anak merengek mahu ke Petrosains sejak cuti sekolah yang lepas. Namun, ketika itu kami hanya dapat lihat dari jauh kerana tiket sudah habis. Kami 'balas dendam' di Kinokuniya yang tidak kurang membahagiakan.

Menonton Animasi 3-D
Cuti kali ini kami mencuba lagi. Kali ini keluar awal dan mengambil kesempatan cuti Tahun Baharu Cina. Kuala Lumpur lengang. KLCC juga tidak sesesak selalu.

Berjaya!

Anak-anak sangat teruja. Gambaran yang mereka dapat dari TVIQ dan subjek sains dari Tutor TV dapat dilihat aplikasinya di sini. Salah seorang anak memberitahu betapa mencabar dan hebatnya kerjaya jurutera petroleum. Kami 'diterbangkan' ke pelantar minyak melalui simulator helikopter yang turut bergerak, merempuh kilat dan petir sehinggalah sampai ke destinasi.

Mencuba alat Pembilang Gieger (Gieger Counter)
Sains adalah sesuatu yang menarik apabila berada di luar buku teks. Imaginasi kanak-kanak tentang kehebatan sains dan matematik haruslah dibantu secara visual dan pengalaman.

4 jam kami di dalamnya! Sungguh tidak terasa. Saya kasihan kepada anak-anak luar bandar atau mereka yang tidak mampu menghantar anak-anak untuk merasai pengalaman ini. Bagi orang dewasa, kita tahu semua ini sekadar replika dan simulasi. Namun, ertinya cukup besar kepada kanak-kanak. Saya percaya ramai yang mahu mengubah cita-citanya daripada mahu menjadi guru dan askar setelah melihat sesuatu yang di luar batasan pemikiran mereka ketika itu.

Nota kepada pihak pengurusan Petrosains : Kalian harus adakan juga pameran litar ke seluruh Malaysia. Ini jauh lebih baik daripada konsert Jom Heboh atau uji bakat Akademi Fantasia yang sekadar mengisi hiburan untuk pengguna bernafsu rendah. Mereka perlukan hiburan, jadi tidak boleh salahkan mereka seratus peratus. Namun, jika Petrosains mengadakan pameran litar pasti ada ibu bapa yang tidak berkesempatan ke KLCC akan memanfaatkannya.

Walaupun buku di sini agak mahal, tetapi berkualiti. Saya sendiri lebih menyenangi Kino berbanding MPH. Cuma lokasinya yang menghalang saya datang selalu.

Usai di Petrosains, singgahan ke KLCC pasti tidak lengkap jika tidak membeli sesuatu di Kinokuniya. Kedai buku yang menawarkan buku-buku menarik untuk anak-anak saya. Saya hanya benarkan seorang satu buku buat masa ini. (Satu buku tambahan yang boleh dikongsi bersama-sama). Saya maklumkan yang saya akan bawa mereka ke sebuah kedai buku lain yang menawarkan harga yang lebih rendah dan boleh beli banyak.

Mereka akur.

Selesai solat, kami terus ke BookXcess di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Mereka seperti tidak ingin pulang apatah lagi apabila mengetahui buku-buku di sini baru dan murah. Cuma judulnya mungkin terhad. Namun, anak-anak saya yang membaca sangat 'lahap' dan laju ini memerlukan sumber bacaan yang banyak sebagai bahan bakar yang membuka minda mereka.

Tertarik dengan persembahan buku 10 Rules of Writing : Nampak tebal tetapi nipis, namun tebal dengan isi. Buku kedua Yoko Ogawa yang saya beli selepas 'jatuh cinta' dengan The Housekeeper and the Professor). Biografi Tolkien ini nampaknya lebih berfokus tentang penulisannya. The Book That Changed My Life pula mengingatkan saya kepada You've Got to Read This Book.

Saya sendiri tidak dapat menahan rasa dan akhirnya membeli 4 judul buku (seperti gambar di atas). Alhamdulillah, anak-anak saya mahu mementingkan bahan bacaan, ziarah ke tempat berilmu (mereka sangat suka muzium dan perpustakaan juga) dan tidak berapa kisah tentang fesyen terkini. Pada mereka cukuplah pakaian mereka sederhana dan menutup aurat.

Nikmat Tuhan mana lagi yang harus saya sia-siakan?



Selasa, Februari 01, 2011

Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan

Artikel saya di dalam Jurnal Pemikir edisi Januari - Mac 2011 yang berjudul "Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan"



Related Posts with Thumbnails