Isnin, Jun 27, 2011

Kembara Sastera 14 : Edinburgh Bhg. 4

Sepanjang jalan di Royal Mile ini banyak sekali muzium yang saya temui. Semua ini pernah disenaraikan di dalam buku "Reading Around Edinburgh" yang telah saya telah sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Scotland ini.

Antara yang sempat saya singgah ialah :

Museum of Childhood
Museum of Edinburgh
The People's Story

Museum of Childhood akan mengembalikan kenangan mana-mana orang dewasa ke zaman kanak-kanaknya. Banyak permainan dan barang-barang yang relevan untuk kanak-kanak masa kecil dipamerkan di muzium ini. Turut dipamerkan pakaian, kereta sorong (pram) zaman dahulu, komik, bedak cuticura (kanak-kanak Malaysia zaman 70-an dan 80-an barangkali pernah dengar dan lihat jenama ini).

Pintu masuk Muzium Zaman Kanak-kanak

Antara barang yang diperagakan dalam muzium ini


Lagi barang-barang zaman 60-an dan 70-an yang barangkali
terasa seperti pernah dilihat dan terasa seperti pernah nampak
Mengabadikan gambar dengan Cathy di dalam
Museum of Childhood, Edinburgh

Tidak cukup dengan itu, ada muzium khusus untuk orang biasa di Edinburgh. Ertinya muzium ini bukanlah khusus untuk orang-orang besar atau yang ada nama. Muzium ini dinamakan The People's Story Museum atau dipendekkan kepada The People's Story.

Perhatikan lokasi muzium-muzium di sini.
Hanya seperti rumah-rumah kedai di tepi-tepi jalan.
Yang penting ialah kandungan muzium, bukan sekadar
bangunan yang gah tapi tiada berisi.


The People's Story - a closed-up signage
Saya tidak berlama-lama dalam The People Story kerana mengejar masa. Namun, jika mahu tahu lebih lanjut tentang sejarah orang-orang biasa di Edinburgh, di sinilah tempatnya. Tidak kurang menariknya muzium ini. Kebanyakannya digambarkan oleh patung-patung yang diberikan pakaian pada zaman berkenaan dan diberikan juga latar dan nuansa yang bersesuaian.

Terus berjalan lagi sehingga terjumpa Museum of Edinburgh. Ini muzium khusus untuk bandar ini. Saya pun mula terbayang, apakah boleh tempat saya mengadakan Muzium Ampangan yang khusus memperkatakan sejarah bandar kecil ini sehinggalah ia menjadi pesat seperti sekarang. Pasti ada banyak sejarah suka duka yang boleh diabadikan. Saya sendiri yang telah tinggal di sini lebih 20 tahun juga tidak banyak didedahkan dengan sejarah tempat sendiri.

Dalam Muzium Edinburgh ini turut diberikan penekanan kepada asal-usul nama bandar dan artifak-artifak yang masih lagi disimpan dengan baik. Seperti biasa, kalau mahu sejarah sesuatu tempat, datanglah ke muziumnya. Kalau mahu tahu pengurusan muziumnya baik atau pun tidak, masuklah muzium itu. Kalau lama masuknya tak keluar-keluar, ertinya muzium itu sangat menarik. Jika tak sampai 5 minit masuk sudah keluar, ada banyak keadaan yang menyebabkan hal itu terjadi : 1) muzium itu membosankan 2) orang yang masuk itu memang tidak minat muzium!

Boleh dikatakan hampir setiap tempat di sepanjang The Royal Mile ini punya sejarah yang tersendiri kerana ini adalah tempat lama yang terletak di Old Town Edinburgh. Lantas, saya terpaksa menjadi sangat selektif dalam kembara ini. Kaki sudah mula terasa sengal-sengal dan lenguh. Si Cathy juga sudah kepenatan dengan kasut yang boleh tahan juga tingginya. Ketika saya masuk ke The People's Story dan Museum of Edinburgh dia memilih untuk duduk di bangku yang disediakan di luar muzium. Saya biarkan sahaja dan dia juga tidak dibatasi oleh masa, dan memang boleh sahaja mahu duduk berlama-lama di luar itu.

Menghampiri penghujung The Royal Mile, pandangan kami tiba-tiba tersentak kerana satu perubahan yang sangat drastik daripada seni bina lama serta-merta menjadi seni bina yang sangat moden.

Inilah Bangunan Parlimen Scottish (Scottish Parliament Building) atau dalam bahasa Gaelic dieja - PĂ rlamaid na h-Alba. Arkiteknya ialah Enric Miralles meninggal dunia pada tahun 2000 dan tidak dapat melihat bangunan ini siap apabila bangunan yang dirasmikan pada tahun 2004 (oleh Queen Elizabeth II).

Seni bina dindingnya yang sebelah Royal Mile (Cannongate)
 Bangunan ini terletak di bahagian hujung jalan The Royal Mile. Pangkalnya seperti yang sudah diceritakan dalam catatan terdahulu iaitu Istana Edinburgh. Apabila saya sampai ke sini, ertinya saya sudah berjalan kaki lebih daripada 1 batu (kerana Royal Mile itu sepanjang 1 batu lebih). Memang sangat tertarik dengan konsep seni binanya, walaupun moden dan sangat kontras dengan apa yang telah saya lihat dari Istana Edinburgh sehinggalah sebelum sampai ke bangunan ini.

Kedudukannya di muka simpang. Sebelah kiri dan depan ada sebuah lagi istana yang dipanggil Palace of Holyrood dan sebelah kanannya ialah bukit terkenal yang dipanggil Arthur's Seat (mendaki bukit ini juga perlukan sekitar 1 jam dan menggunakan kasut berjalan yang sesuai!). Bangunan parlimen ini juga ada pintu masuk untuk orang awam kerana ada ruang pameran tentang sistem pentadbiran dan bagaimana undang-undang diperbuat di sini. Fungsi ini sama seperti mana-mana parlimen di dunia (termasuk juga Parlimen Malaysia).
Saya dan Cathy bergambar menghadap Scottish Parliament.
Belakang kami ialah Palace of Holyrood

Masuk ke dalam Scottish Parliament seperti mahu daftar masuk ke lapangan terbang. Ada pemeriksaan keselamatan. Segala benda akan diimbas. Harus buka jaket, keluarkan laptop - rutin yang sama. Namun, berbaloi kerana ruangan pamerannya sangat intertif lagi informatif. Tidak cukup dengan itu, ada kafe dan kedai cenderamata. Saya cukup berbangga kerana dapat membeli sebuah buku puisi Robert Burns yang comel bersaiz lebih kecil dari tapak tangan dan sebuah beg sandang dengan cetakan bertulis "The Scottish Parliament".

Beg ini dijual dengan harga 99p sahaja!

Sejak dari Ambleside, Lake District lagi saya memang perlukan sebuah beg sandang kain kerana beg kertas yang ada sudah mahu hancur tangkainya pada bila-bila masa. Namun harganya sekitar 7 - 9 Pound. Terlalu mahal hanya untuk tulisan "Lake District", "Edinburgh" dan sebagainya. Untuk 99p (tak sampai 1 pound) saya sangat berbangga membawa beg ini ke hulu ke hilir sepanjang kembara ini!


Berhenti rehat, melepaskan lelah dan menulis. Di sini tiada siapa yang
nak menghalang kalau mahu duduk lama-lama, selagi tempat ini belum ditutup.

Lihat sahaja dalam gambar di atas, ketika Cathy merakam gambar saya sedang menulis di ruang legar Scottish Parliament yang luas lagi selesa itu, saya pastikan beg ini masuk ke dalam gambar. :-)

Petikan daripada buku catatan yang saya tulis dalam gambar di atas (disalin semula di sini) :
Pameran ini tampak sangat educational dan ada ramai pelajar yang buat lawatan juga. Di sinilah ditunjukkan bagaimana perbahasan dalam parlimen dilakukan. Jadi, apabila pelajar menonton bahas ala parlimen dapatlah mengikut contoh yang betul. Bahas bukan setakat meninggikan suara sahaja. Bahasa juga ialah cara berfikir dan kepantasan bertindak dalam kata-kata.
Oh, nampaknya entri ini sudah cukup panjang. Saya harus tawakuf (tangguh) catatan ini ke entri yang berikutnya. Saya belum lagi bercerita tentang Edinburgh Central Mosque dan University of Edinburgh serta restauran yang menjadi tempat berteduh J.K. Rowling sewaktu menulis sebahagian daripada novel Harry Potter.

Sehingga catatan yang berikutnya, selamat membaca dan komen-komen amatlah dihargai sebagai bekal semangat untuk menghabiskan catatan-catatan yang berikutnya!






Khamis, Jun 23, 2011

Kembara Sastera 13 : Edinburgh Bhg. 3

Sewaktu mengambil gambar di National Gallery of Scotland, selepas meninggalkan Princess Street Garden, saya masih lagi bergambar sendirian menggunakan tripod. Adakalanya terasa lucu membawa tripod setinggi orang berdiri dan hampir ditahan di Schiphol Airport (sebelum berlepas ke Birmingham Airport) kerana bentuknya yang sudah dilipat itu barangkali menyerupai senjata api. Lagipun, gara-gara pasca 9-11 amat menakutkan warga Barat. Padahal, kamera yang saya gunakan bukanlah DSLR, hanya kamera kompak Lumix DMC FS15 yang sudah banyak berjasa kepada saya. (Saya tidak fikir model ini masih lagi dijual, sudah banyak model yang lebih canggih kini).

Nampaknya, lebih besar tripod daripada kamera!

Namun, bergambar sendirian menggunakan tripod di tengah-tengah kota Edinburgh dan sebelumnya di Hay-on-Wye dan Lake District atau di mana-mana sahaja ketika tidak mendapat bantuan sesiapa untuk bergambar bukanlah sesuatu yang aneh di daerah ini. Kalau di Malaysia barangkali, cara saya berdiri di depan kamera itu akan menyebabkan banyak mata yang memandang. Di sini, mereka tak berapa nak kisah, walaupun mereka nampak apa yang saya lakukan.

Bahagian bawah National Gallery of Scotland yang merangkap kafe
Sewaktu bergambar di perkarangan National Gallery of Scotland, ada seorang pelancong yang menegur dan menawarkan diri untuk mengambilkan gambar saya. Kebiasaannya pelancong memang begitu; kalau nampak ada sesiapa yang terpandang-pandang ke sana ke mari mencari orang tolong ambilkan gambar, pelancong lain yang terdekat haruslah menghulurkan bantuan. Oleh sebab dia sudah menawarkan, saya terus sahaja berdiri di beberapa tempat dan sebagai balasan saya pula yang mengambilkan gambarnya.

Kami berkenalan. Namanya Cathy. Warga Filipina yang menetap di Dubai. Suaminya dihantar bermesyuarat di kota Edinburgh dan dia sendirian untuk menghabiskan masa. Sebagai orang Asia, kami cepat mesra dan kebetulan boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris memudahkan perkenalan kami. Dia tidak berapa pasti hendak ke mana dan di tangannya cuma ada peta yang dibekalkan oleh pihak hotel. Lagipun, dia bukan datang ke Edinburgh untuk kembara dengan tujuan tertentu seperti saya. Dia sekadar mahu berjalan-jalan.

Akhirnya, dia memutuskan untuk menjadi teman saya sepanjang jalan. Saya khabarkan perjalanan saya dan tempat-tempat yang ingin saya kunjungi. Dia ikut sahaja. Lagipun, setelah mengikut saya nanti, dia boleh tunjukkan tempat-tempat itu kepada suaminya dan mereka akan berlama-lama di kota Edinburgh ini pada hari yang lain kelak.

Mendaki Playfair Steps, dia mengikut saya ke The Writers' Museum. Katanya, suaminya juga suka pada muzium. Dia sendiri tidak sangka Edinburgh ada banyak muzium dan bolehlah nanti dia tunjukkan tempat-tempat ini kepada suaminya.

Dari situ, kami terus ke Istana Edinburgh. Saya mengikut buku panduan yang mengatakan : jika mahu berjalan di Royal Mile, eloklah bermula dari istana itu dan berakhir di The Scottish Parliament. Setelah sampai, baru saya tahu alasannya. Istana pastilah duduknya di puncak bukit supaya dapat mengawal negeri dan mendapat benteng pertahanan istana semulajadi pada bukit itu. Dari Istana Edinburgh ke Scottish Parliament jalannya menurun bukit (dan bayangkan kalau saya bermula dari arah yang sebaliknya!)

Pemandangan kota Edinburgh dari atas bukit itu memang mengagumkan!

Dari sini, kami dapat melihat panorama dan Edinburgh skyline yang bergabung antara Old Town Edinburgh dan New Town Edinburgh. Oleh sebab saya tidak berapa takjub dengan istana-istana Inggeris dan bayarannya pula GBP15 untuk orang dewasa, saya sekadar bergambar dari luar. Lagipun saya punya jadual kembara yang ketat. Kalau ada rezeki dan kesempatan, mungkin saya akan masuk segala istana Inggeris dan menyelongkar rahsia mereka!

Di hadapan pintu masuk Istana Edinburgh
Namun, kepada yang berminat, boleh masuk ke laman sesawang Edinburgh Castle dan ada beberapa muzium, kedai cenderamata, kafe dan artifak yang dipamerkan. Di sini juga ada The One O'Clock Gun - meriam yang dibunyikan setiap hari untuk menandakan sudah pukul satu.

One O'Clock Gun

The One O'Clock Gun is a time signal, and is fired every day at precisely 13:00, excepting Sunday, Good Friday and Christmas Day. The gun was established in 1861 as a time signal for ships in the Firth of Forth, and complemented the time ball, which was installed on the Nelson Monument in 1852, but which was useless during foggy weather. The gun could easily be heard by ships in Leith Harbour, 2 miles (3.2 km) away. Because sound travels relatively slowly (approximately 343 metres per second (770 mph)), maps were produced in the 1860s to show the actual time when the sound of the gun was heard at various locations in Edinburgh.

(sumber di sini)

The One O'Clock Gun dalam Istana Edinburgh. Sumber di sini.
Laman sesawang rasmi Edinburgh Castle juga ada disediakan pandangan 3-D rupa bentuk istana itu dan gambar foto yang menarik dan bagaimana mahu membeli tiket secara online.

Saya tinggalkan istana itu dan mula menuruni the Royal Mile - sebatang jalan yang panjang (lebih dari satu batu) dari istana sehingga ke Istana Holyrood di hujungnya. Jalan ini lurus dan merupakan laluan diraja. Lantas nama ini dikutip daripada sejarahnya itu. Menurut sejarahnya juga nama Edinburgh berasal daripada bahasa Gaelic "Dun Eidyn" (terus teringat nama-nama watak dan tempat dalam buku The Lord of the Rings) yang bermaksud lebih kurang 'kota di lereng bukit'. Asal bukit ini merupakan tinggalan gunung berapi dan lokasi yang sangat strategik dari segi georgrafi telah menjadikan tempat ini sangat sesuai dijadikan istana.

Kami menuruni cerun landai The Royal Mile untuk terus ke St Giles Cathedral, sebuah gereja lama yang dikatakan telah dibina seawal tahun 1124 lagi. Di sini saya rasa beruntung kerana ada Cathy yang beragama Kristian Katolik. Ketika kami masuk di dalam gereja itu, pintunya ada pengesan automatik dan boleh terbuka sendiri. Bahagian dalamnya cukup seni dan mengingatkan saya pada seni bina Mezquita di Alhambra, Sepanyol.

Perkarangan St Giles Catheral
Kata Cathy, ini memang bukan gereja Katolik.
"Mengapa tidak?" saya ingin tahu lebih lanjut.
"Susun atur di dalamnya sangat jauh daripada sebuah gereja Katolik."

Saya mengangguk sahaja kerana inilah pertama kali dapat menjejakkan kaki ke dalam semua gereja. Kalau di Malaysia, pasti sahaja sudah ada mata-mata yang curiga. Aktiviti mengambil gambar di dalam gereja dibenarkan, tetapi tersekat kerana waktu sudah pukul 11.30 pagi - waktu the 11.30 mass. Dapat lihat sebuah patung perempuan bersayap (gambaran mereka tentang malaikat) yang menadah sebuah dulang batu berbentuk kulit kerang. Kata Cathy, kalau di gereja biasanya di dalam dulang inilah letaknya holy water. Setiap kali penganutnya masuk mereka akan celup jari dan membuat tanda cross pada diri sendiri. Namun, ketika itu dulang batu dalam Gereja St. Giles ini kering. Mahu bertanya, semua petugas sedang beri perhatian kepada mass yang sedang berlangsung. Bimbang pula saya mengganggu mereka.

Bahagian dalam St Giles Catheral. Sumber di sini.
Daripada pembacaan saya, St Giles Catheral ini juga seperti Makam Pahlawan di Masjid Negara. Banyak negarawan mereka yang diadakan memorial di sini. Antara yang saya maklum ialah memorial penulis Robert Louis Stevenson. Pada dinding-dindingnya juga turut diabadikan nama tokoh-tokoh yang telah menyumbang kepada peradaban bangsa mereka dan juga peradaban dunia. Di bawah ini satu daripada dinding gambar yang sempat saya ambil gambar sebelum pukul 11.30 pagi :

Nama dua tokoh yang diabadikan pada dinding gereja ini.
Klik pada gambar untuk imej yang lebih besar.

Kami terus berjalan dan meninggalkan St Giles Catheral yang dikatakan menjadi titik tengah antara Istana Edinburgh dan Holyrood Palace di hujung yang satu lagi. Sepanjang jalan ini banyak sekali muzium (selain daripada The Writers' Museum).

Tapi, itu dalam entri yang akan datang. Saya akan cerita tentang muzium-muzium yang ada di sepanjang Royal Mile ini. 

Selasa, Jun 21, 2011

Kembara Sastera 12 : Edinburgh Bhg. 2

Sarapan dahulu, sebelum ke mana-mana
Lokasi : Edinburgh Central Youth Hostel, Leith Walk
Sebelum mengesahkan tiket untuk Kembara Sastera ke UK dan Dublin ini, ada banyak buku yang saya beli dan baca untuk mendapatkan lagi panduan tentang lokasi yang bakal saya jejaki. Membaca buku travel biasanya akan memberikan lokasi tempat-tempat beli-belah, pub dan sebagainya.

Untuk mendapatkan tempat-tempat yang memberitahu kita pusat-pusat sastera, penulis, kedai-kedai buku dan sebagainya, harus cari buku-buku yang berkenaan. Kalau rajin, cari juga di internet kerana maklumatnya lebih terkini.

Sebelum sampai ke Edinburgh, seperti dalam entri saya yang lalu, saya mengkaji pusat-pusat kesusasteraan dan mencari tanda-tanda mengapa Edinburgh dinobatkan sebagai City of Literature oleh UNESCO. Kalau tempat itu tinggal sejarah sekali pun, saya mahu lihat kesannya.

Hal itu menemukan saya pada buku-buku berikut :

Reading Round Edinburgh -
A Guide to Children's Books of the City
Prakata oleh J.K. Rowlings
The Literary Traveller in Edinburgh
oleh Allan Foster

















Peta yang mudah (untuk kanak-kanak) dalam buku "Reading Round Edinburgh"
 Kedua-dua buku ini amat membantu pergerakan saya dalam mencari destinasi yang berkaitan dengan buku dan penulis di Edinburgh. Perkara pertama yang saya lakukan pada awal pagi pertama di Edinburgh ialah berjalan kaki dari Leith Walk ke Princes Street Garden. Agak jauh juga dan perjalanannya agak mendaki namun, cuaca pagi yang dingin menjadikan aktiviti berjalan kaki di sini jauh berbeza dengan apa yang kita alami di Malaysia.

Patung Sir Walter Scott di belakang saya itu sedang
memegang buku. Saya terpanggil untuk membaca
di Princes Street Garden yang damai lagi nyaman ini

Di Princes Street Garden, saya keluarkan tripod (yang sama tinggi dengan saya) dan bergambar sepuas-puasnya sambil Tugu Sir Walter Scott dan Tugu Livingstone yang memandang saya dari jauh. Taman ini bertentangan dengan Stesen Edinburgh Waverly dan juga Jambatan Waverly. Saya boleh katakan kawasan inilah yang menghidupkan nama Sir Walter Scott. Memang tidak ada apa-apa di Scott Monument atau Tugu Sir Walter Scott ini kecuali patung-patung (dan ada banyak lagi patung di sekeliling Princes Street Garden yang tidak dapat saya kenal pasti setiap satunya). Namun, inilah cara orang Edinburgh mengangkat kepengarangan seorang tokoh penulis yang hidup berabad-abad yang lalu (lahir pada 15 Ogos 1771 dan meninggal pada 21 September 1832).

Antara buku terkenal Sir Walter Scott ialah Ivanhoe, Rob Roy dan Waverly. Buku-buku beliau yang lain ialah The Lady of The LakeThe Heart of Midlothian and The Bride of Lammermoor. Mungkin tidak ramai yang membaca buku-buku tulisannya, malah saya sendiri hanya pernah membaca Ivanhoe tanpa menyedari bahawa ia ditulis oleh Walter Scott kerana usia yang masih muda. Mengagungkan pengarang dengan mengabadikan judul karyanya pada nama stesen dan juga jambatan selain membina sebuah tugu menyebabkan saya sendiri ingin membaca lagi karya-karyanya dan ingin tahu apa yang menyebabkan warga Edinburgh mengangkat diri pengarang ini. Tidak kurang dengan itu, novelnya Waverly, khususnya, dan karya-karyanya yang lain dijual merata-rata kedai buku dan juga kedai serbaneka di sini.


Apalah erti sebuah taman tanpa bunga-bungaan
Hal ini wajar dicontohi - cuma dalam hal membina tugu, tidak perlu membina patung, cukup sebagai tanda seperti imej buku yang dibuat di persimpangan Serting ke Bandar Muazzam, khas untuk Za'ba (sayangnya, lokasi itu bukanlah lokasi pelancongan). Karya pengarang itu dibesar-besarkan dan dibina fenomenanya oleh pihak berwajib. Lantas, ini memancing rasa ingin tahu oleh mereka yang belum berkesempatan membaca sebarang karya seseorang penulis. 


Leka bermain-main di Princes Street Garden dan bergambar berlatarbelakangkan banyak bangunan yang cantik ini, saya terus ke National Gallery of Scotland. Sayangnya, saya terlalu awal. Baru pukul 9.45 pagi. Sedangkan galeri itu dibuka pada pukul 10.00 pagi. Saya enggan membuang masa dan terus mendaki anak-anak tangga yang dipanggil Playfair Steps dan sampai di kawasan The Mound. Dari sini, sudah mula boleh nampak sisi tebing Istana Edinburgh. Saya sangat tidak sabar mahu ke kawasan puncak istana, namun saya harus menyabarkan diri. Ada lokasi lain yang mahu saya cari di kawasan Old Town Edinburgh yang penuh dengan lokasi-lokasi menarik. 


Sangat berpuas hati menemui tempat yang selama ini hanya
dibaca di dalam buku dan internet
Melalui kawasan Royal Mile, saya mencari The Writers' Museum. Tempat ini mengabadikan kerja-kerja dan sekaligus muzium untuk tiga pengarang besar Scotland - Sir Walter Scott, Robert Burns dan Robert Louis Stevenson. Robert Burns ialah penyair terkenal Scotland dan sangat diraikan di sini. Masih ingat lagu "Auld Lang Syne"? Lagu itu dikarang oleh Robert Burns. Robert Louis Stevenson, dikenali melalui karyanya Treasure Island, Kidnapped dan The Strange Case of Dr. Jekyll and Mr Hyde



Muzium ini menyimpan contoh-contoh manuskrip, alat tulis termasuk mesin taip yang digunakan, paip, dan banyak tinggalan lain. The Writers' Museum ada 3 tingkat (2 atas tanah, satu lagi di bawah tanah). Setiap tingkat dikhususkan kepada seorang pengarang. 

Kegembiraan yang tidak dapat disembunyikan lagi!
 Paling menarik : masuk percuma!

Kedai cenderamata? Tentu sekali ada. Pun, saya cepat sedar diri kerana kembara ini masih jauh. Buku-buku dan pamflet yang telah dikutip selama ini juga sudah agak berat. Saya bimbang tidak dapat terbang ke Dublin kerana penerbangan RyanAir tidak berkompromi dalam hal-hal berat beg. Mereka tidak teragak-agak untuk mengenakan harga yang tinggi bagi bagasi yang lebih had.

Oleh itu, saya capai buku yang berkaitan dengan The Writers' Museum, dan sebuah buku kecil yang mengandungi puisi-puisi Robert Burns sebagai tanda kenangan saya pernah sampai di sini. Hadirnya saya di sini sahaja, saya mendapat lebih daripada apa yang saya jangkakan. Selebihnya, saya abadikan dengan panca indera yang ada kerana tidak semua yang saya alami di sini dapat saya terjemahkan dalam kata-kata.

Akan datang : Ada apa di Istana Edinburgh dan keistimewaan The Royal Mile.







Sabtu, Jun 18, 2011

Kembara Sastera 11 : Edinburgh Bhg. 1

Kalau boleh, saya mahu berlama-lama lagi di Lake District. Tapi, kalau saya tinggal di sini buat satu malam lagi, saya akan lari daripada jadual asal. Mungkin ini juga kesilapan sendiri dalam merancang kerana semua perkiraan dibuat berdasarkan maklumat di internet. Adakalanya, ada banyak lain yang harus dipertimbangkan juga, seperti apabila sudah jatuh cinta dengan tempat seperti pinggir Tasik Windermere dan Grasmere ini.

Tempat yang mengangkat nama Beatrix Potter pula ada 3 yang utama iaitu The World of Beatrix Potter, Hill Top (The Home of Beatrix Potter) dan Beatrix Potter Gallery  di Hawkshead. Itu pun ada lagi kalau betul-betul mahu menyelami dan memahami dunia wanita Victorian in. Sumber ini saya ambil dari laman Beatrix Potter in Cumbria.




Principal Places to Visit
Hill TopFar Sawrey
Beatrix Potter GalleryHawkshead
Armitt Museum and LibraryAmbleside
The World of Beatrix PotterBowness-on-Windermere


Other Places of Interest
Wray CastleHawkshead
Yew Tree FarmConiston
Troutbeck Park FarmKirkstone Pass



Oleh itu saya terpaksa memilih dan tak dapat habis kesemuanya. Tempat yang paling signifikan pada saya ialah Hill Top Farm. Namun, saya terlalu mengagumi tempat itu dan tidak mahu wajah saya 'mengganggu' keindahan tempat ini.

Tentang Hill Top, boleh baca lanjut di sini.

Kembara saya ke Edinburgh bermula dari Stesen Windermere semula dan bertukar lagi di Oxenholme. Dari Oxenholme, terus ke Edinburgh melalui stesen-stesen seperti Penrith, Carlisle, Lockerbie, Haymarket dan Edinburgh Waverly Station. Pukul 3.30 petang dari stesen Oxenholme dan tiba di Edinburgh pada pukul 5.37 petang. Agak jauh juga perjalanannnya, namun saya terhibur kerana pemandangan yang sungguh mengujakan pada sepanjang perjalanan. Saya sanggup bertukar tempat duduk hanya untuk mendapatkan tempat di sebelah tingkap! Apalah ertinya kembara ini jika saya tidak dapat menikmati keindahannya.

Bagaimana saya boleh ingat nama-nama stesen ini? Dalam setiap kembara, khususnya dalam kereta api, saya akan mencatat dan kalau sempat mengambil gambar nama setiap stesen yang boleh dimanfaatkan kemudian.

Turun sahaja daripada Stesen Edinburgh Waverly yang berada di bawah tanah, saya tidak tahu apa yang harus bayangkan tentang bandar ini. I didn't know what to expect. Saya hanya terus berjalan keluar dan mencari hostel yang bernama YHA Edinburgh Central yang terletak di kawasan Leith Walk.

Arahan petunjuk jalan yang diberikan melalui e-mel kali ini lebih jelas dan mujur juga bandar Edinburgh tidaklah terlalu berbukit-bukau berbanding sewaktu di Lake District. Pun saya rasa bertuah kerana perjalanan dari Stesen Edinburgh Waverly itu lebih banyak menurun jalannya berbanding mendaki. Hanya untuk keluar dari stesen terbesar di Edinburgh itu perlu mendaki.

Stesen yang paling sibuk ini juga menjadi destinasi terakhir jika mahu ke bandar ini. (Stesen kedua sibuk ialah Edinburgh Haymarket, yang lebih sesuai turun jika mahu ke Edinburgh Airport).

Stesen Edinburgh Waverly - pandangan dari Istana Edinburgh
(sumber gambar dari sini)
Stesen ini juga ada sejarah tersendiri. Nama "Waverly" itu diambil dari judul novel pengarang terkenal Scotland, Sir Walter Scott. Boleh baca lanjut tentang sejarah Stesen Edinburgh Waverly di sini. Mula-mula sampai di bandar ini sahaja sudah disambut dengan nuansa sastera. Tidak hairanlah Edinburgh dinobatkan oleh UNESCO sebagai Bandar Kesusasteraan atau City of Literature pada tahun 2004.






Visit Edinburgh City of Literature

Edinburgh
Scotland, awarded October 2004
 
read more
Visit Melbourne City of Literature

Melbourne
Australia, awarded August 2008
 
read more
Visit Iowa City of Literature

Iowa City
USA, awarded November 2008
 
read more
Dublin City of Literature

Dublin
Republic of Ireland, awarded July 2010
 
read more



(sumber di sini)

Saya sudah baca, cari dan kaji tentang Edinburgh sebelum terbang ke Kepulauan British ini. Edinburgh memanglah lokasi penting dalam kembara ini. Apabila keluar dari Stesen Edinburgh Waverly, saya sungguh terpegun dengan seni bina bandar ini. Apatah lagi Edinburgh Waverly terletak di tengah-tengah antara Edinburgh Old Town dan Edinburgh New Town.

Sebaik-baik sahaja keluar dari stesen bawah tanah ini saya terus disambut oleh pemandangan seperti gambar-gambar di bawah :

Sumber gambar - koleksi peribadi Nisah Haron

Sumber gambar - koleksi peribadi Nisah Haron

Sumber gambar - koleksi peribadi Nisah Haron





Berjalan kaki ke Hostel Edinburgh Central yang memakan masa sekitar 15 minit itu langsung tidak terasa kerana saya leka melihat keindahan seni bina yang ada. Saya langsung jadi mengerti mengapa bandar Edinburgh yang telah menjadi ibu negeri Scotland sejak kurun ke-15 ini dinobatkan sebagai World Heritage Site oleh UNESCO. Edinburgh mempunyai sejarah yang amat panjang. Paling mengujakan ialah bagaimana seni bina yang ada di bandar ini masih lagi dapat dikekalkan dan mana yang rosak sentiasa dipulihara.


Edinburgh Central Youth Hostel di Leith Walk
Sedar-sedar saya sudah sampai di hostel yang telah ditempah. Saya berada di sini selama dua malam. Walaupun sebuah hostel, perkhidmatannya 5 bintang. Kebersihan terjaga, kebajikan penghuninya terpelihara. Waktu daftar masuk ialah 24 jam. Kita tidak akan dibiarkan tersadai di luar. Kawasan Leith dalam bandar Edinburgh ini juga merupakan kawasan tempat tinggal J.K. Rowlings ketika belum terkenal sebagai pengarang Harry Potter. Edinburgh juga sarat dengan nama-nama besar dalam dunia kesusasteraan. Sementara saya bercerita lagi tentang Writer's Museum pula, izinkan saya bermalam dulu di kawasan Leith dan menyerap aura penulisan Rowlings serta mencari bagaimana dia boleh menulis di sini.


Catatan berikutnya: Edinburgh Writer's Museum dan kawasan Royal Mile

Jumaat, Jun 17, 2011

Kembara Sastera 10 : Lake District Bhg. 4

Di kawasan menuju Muzium William Woodsworth di Grasmere, Lake District
Awal pagi saya telah sedar. Apatah lagi, pada musim panas, subuh sangat awal di daerah ini (sekitar 3.30 pagi) dan 4.30 pagi matahari sudah memancarkan cahaya paginya.
Sebelum bersarapan, saya menulis catatan di luar cottage dengan iringan suara burung dan desiran angin dingin, sambil sesekali cahaya matahari mencuri-curi jelingannya pada buku catatan saya.Catatan dengan tulisan tangan itu mesti saya lakukan sebelum saya lupa akan hal-hal yang rinci mengenai kembara ini. 
imej dari sini
Usai sarapan, saya ke Tourist Information Centre dan membeli beberapa keping poskad. Ada beberapa penerima terpilih (yang sempat saya bawa alamat mereka) dan terus saya pos di situ. Hal yang menarik ketika kembara di UK dan khususnya di kawasan pusat pelancongan, ada banyak peti surat warna merah merata-rata. Peti surat ini sangat ikonik dan sering juga dijual sebagai cenderamata dalam bentuk rantai kunci atau fridge magnet.

Maklumat dari petugas di Tourist Information Centre amat membantu untuk saya ke Grasmere, lokasi pertama untuk pagi itu. Saya mahu ke Muzium William Woodsworth, seorang daripada penyair yang dikenali sebagai The Lakeland Poets. Untuk itu, saya mengambil bas yang menuju ke Grasmere dan berhenti di rumah Woodsworth yang dinamakan Dove Cottage.

Khabarnya, sebelum ada pembangunan di kawasan hadapan rumah Woodsworth ini, tingkap rumahnya memang berhadapan dengan Tasik Grasmere - sebuah lagi tasik yang terkenal di kawasan Lake District. Kalau kita melihat peta Lake District, di sini ada banyak tasik yang terbentuk secara semula jadi dan tidak hairanlah kawasan ini terus mendapat nama 'Daerah Tasik' - jika diterjemah secara langsung. Berbeza dengan Tasik Windermere yang lebih besar dari Tasik Grasmere, tasik ini juga tidak ada bot pelancong untuk menyeberang. Barangkali oleh sebab saiznya yang lebih kecil. Pada saya, keadaan ini menyebabkan kawasan tasik ini nampak lebih terpelihara kerana tiada 'gangguan' manusia.

Kampung Grasmere yang lebih kecil dari Ambleside tentunya, lebih segar dan tidak ramai yang mahu ke kawasan ini berbanding di Ambleside atau di pekan Windermere sendiri.

Tasik Grasmere, Lake District
Ketika saya sampai di Dove Cottage, ada sekumpulan pelancong dari Jepun (atau mungkin Korea?) sedang bergambar-gambar di luar cottage ini. Saya pun, tumpang sama dan meminta mereka tolong ambilkan gambar saya di sini. Ada banyak barang yang dikekalkan di dalam muzium ini dan dijaga dengan sebegitu baik. Kita seolah-olah dihantar kembali ke zaman ketika Woodsworth menulis puisi-puisinya. Saya boleh bayangkan dia duduk di atas kerusi santainya dan melontarkan pandangan ke arah Tasik Grasmere (kini sudah terhalang oleh bangunan yang diwujudkan lebih kemudian) lalu menulis puisinya yang terkenal iaitu :

The Daffodil

I wandered lonely as a Cloud
That floats on high o'er Vales and Hills,
When all at once I saw a crowd
A host of dancing Daffodils;
Along the Lake, beneath the trees,
Ten thousand dancing in the breeze.

The waves beside them danced, but they
Outdid the sparkling waves in glee: --
A poet could not but be gay
In such a laughing company:
I gazed -- and gazed -- but little thought
What wealth the show to me had brought:

For oft when on my couch I lie
In vacant or in pensive mood,
They flash upon that inward eye
Which is the bliss of solitude,
And then my heart with pleasure fills,
And dances with the Daffodils.


William Woodsworth
1807

(sumber puisi dari sini)

Bahagian luar Dove Cottage yang sudah dipanjat bunga mawar.
Pasti harum baunya jika berada di sebelah jendela itu.
Bahagian yang paling suka di kawasan rumah Woodsworth ini ialah kebun kecil sekali gus taman di luar rumahnya. Ada banyak tanaman yang boleh dimanfaatkan di dapur dan ada juga bunga-bungaan yang menghiasi cottage itu. Bunga ros liar dan ros Inggeris, tak perlu diceritakan lagi. Seperti mana bunga daisy putih yang tumbuh di mana-mana, bunga ros juga adalah tumbuhan yang sangat biasa di sini. Namun, yang paling mencuri perhatian saya ialah bagaimana tulisan-tulisan yang diukir (etch) pada kepingan batu dan diletakkan pada tumbuhan yang berkenaan.

Hampir setiap batas ada petikan puisi seperti dalam gambar ini
Ini mengingatkan saya bagaimana dalam Lentera Mustika saya ada meletakkan pantun-pantun Melayu di taman-taman dan saya mahu supaya Ainur Mustika mengabadikan pantun-pantun itu di kawasan taman universiti. Ah, sangat sinonim dan relevan benar pertemuan di Dove Cottage ini!

Bunga Foxglove yang banyak
menghiasi kawasan
countryside di sini.
Dengan berat hati, saya harus tinggalkan Dove Cottage yang mengabadikan seorang penyair romantis, saudara perempuannya (Dorothy Woodsworth - juga seorang penyair) dan isterinya Mary.

Tempat ini terlalu indah dan tenang. Tidak hairanlah ramai penulis menghabiskan masa di sini. Menulis tidak memerlukan tempat khusus seperti ini, tetapi tempat yang menawarkan ketenangan pastilah melahirkan inspirasi kepada insan-insan seni.

Woodsworth dan sahabat-sahabat penyairnya seperti Coleridge, Southey dan Ruskin; serta tidak ketinggalan Beatrix Potter telah menjadikan Lake District tempat mereka bermastautin dan mengabadikan juga tempat ini di dalam karya-karya mereka. Tidak cukup dengan itu kerajaan tempatannya menghidupkan kembali tempat ini dengan mengekalkan apa yang ada dan membesar-besarkan legenda tempat ini sebagai tarikan kepada pelancong.

Saya terus membayangkan mengapa di tempat saya tiada siapa yang mahu menghidupkan Kampung Talang yang pernah diabadikan oleh penyair Dharmawijaya, 'menghidupkan' Perang Bukit Putus (atau mengadakan satu muzium khusus tentang perang ini) sepanjang jalan sehinggalah ke Bukit Kerdas yang telah dijadikan Teratak Za'ba, di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Saya fikir ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa. Muzium bukanlah tempat menghimpunkan artifak yang mati, tetapi muzium ialah tempat artifak dan sejarah lampau 'dihidupkan' semula.

Lokasi berikutnya : Edinburgh




Kembara Sastera 9 : Lake District Bhg. 3

Mendaftar masuk ke Ambleside Backpackers (dan mana-mana hostel juga) amat mudah. Saya telah bayar deposit sebanyak GBP5 secara online. Adam, petugas pada petang itu terus menyambung masuk dengan dokumentasi untuk saya yang telah disediakan.

Peta kedudukan Ambleside, Windermere dan pekan kecil sekitar Lake District

Ketika berurusan dengannya, dia menegur, "Your English is very good. There people from Malaysia who stayed here before but their English is not as good as you are." Saya hanya ucapkan terima kasih sambil dalam hati membayangkan mereka yang baik Bahasa Inggerisnya, barangkali belum tentu memilih untuk tinggal di tempat-tempat yang dianggap murah seperti hostel ini. Ada banyak hotel dan lodge yang bertaburan di kawasan ini. Saya juga ada terlihat pasangan Arab yang duduk di hotel mahal di kawasan Ambleside ini.

Walaupun tempat ini hanyalah sebuah cottage yang telah diubahsuai menjadi hostel, saya kagum dengan kebersihannya dan kecantikan tempat ini yang terjaga dengan rapi. Bilik air dan tandasnya putih berkilat seperti baru pasang semalam. Bilik tidur yang saya tempah berkongsi dengan 5 orang backpackers wanita yang lain. Ada yang dari China, Taiwan dan Canada. Semuanya memang backpackers tegar yang sudah merata-merata kembaranya.

Jeti di pinggir Tasik Windermere untuk menyeberang
Antara tradisi biasa backpackers ialah sifat tolenrasi yang tinggi. Maklumlah, sama-sama menumpang dan berkongsi bilik. Mereka ini biasanya ramah dan bertegur sapa setiap kali bertembung sama ada di bilik, di dapur, di ruang rehat malah di mana sahaja. Ungkapan hello, hi, thank you, sorry dan please; serta memberi laluan kepada orang lain terlebih dahulu adalah perkara biasa. Tidak ketinggalan juga bertukar-tukar maklumat tentang kembara masing-masing dan bertanya lokasi kembara yang seterusnya.


Petang itu, setelah makan tengah hari yang terlewat, saya keluar ke pinggir tasik. (Walaupun sudah hampir 5 petang, belum sempat jamah makanan yang dibungkus dari Al-Jazeera, Manchester). Masa saya tidak banyak di Lake District ini. Esok saya mahu ke muzium dan rumah William Woodsworth dan Beatrix Potter. Tempat Beatrix Potter sahaja ada 3 lokasi yang berasingan. Saya bimbang tidak sempat untuk menikmati daerah ini. Petang esok juga, saya harus berangkat ke Edinburgh. Kalau tidak, saya akan lari dari jadual asal kembara ini.

Burung ini banyak berterbangan di sekitar tasik, sejenis camar
Pinggir Tasik Windermere hanya tidak sampai 10 minit berjalan kaki. Konsep berjalan kaki di sini jauh berbeza dengan berjalan kaki di Kuala Lumpur. Walaupun musim ini ialah musim panas, namun cuacanya tetap dingin seperti hawa di Bukittinggi, Sumatera. Cahaya mataharinya boleh sahaja memancar dan mencarak-carak cahayanya, tetapi hawanya tetap nyaman dan bertambah sejuk menggigit jika ada angin yang bertiup. Oleh sebab itu, sepanjang kembara ini saya tidak boleh menanggalkan jaket yang berfungsi sebagai pemanas badan dan juga pelindung kala gerimis turun tanpa sebarang isyarat awal.

Sampai di pinggir tasik ini saya sungguh terpegun dan terasa seperti mahu menangis melihat keindahan tempat ini. Sesungguhnya, apabila kita menjaga alam, Tuhan akan balas dengan sebaik-baiknya. Tasiknya dan kawasan bukitnya cantik tak tergambar oleh kata-kata. Semuanya bagai tidak terusik oleh tangan manusia. Betapa besarnya wakaf yang telah ditinggalkan oleh pengarang-pengarang seperti Beatrix Potter untuk tempat ini dinikmati generasi hari ini.

Antara bunga yang menjadi kegemaran sepanjang jalan dari hostel ke pekan
Mengikut biografinya, Beatrix Potter, pengarang buku kanak-kanak yang terkenal dengan siri Tales of Peter Rabbit  telah membeli tanah-tanah di kawasan Lake District ini supaya tidak terjual kepada pemaju yang mahu membangunkan kawasan ini. Dengan wang royaltinya, dia membeli banyak ladang (working farms) dan ada yang diusahakannya sendiri. Tanah-tanah yang dibeli itu kemudiannya diwakafkan kepada Lake District National Trust. Hasilnya ialah apa yang dapat dinikmati pada hari ini. Berekar-ekar tanah yang dikekalkan seperti sediakala.

Ada ramai pengarang lain yang turut tinggal di sini selain Beatrix Potter. Antaranya ialah para penyair seperti William Woodsworth dan Samuel Taylor Coleridge juga Robert Southey. Ketiga-tiga penyair itu dikenali sebagai The Lake Poets. Bagi yang mengkaji sastera Inggeris, pasti mengetahui puisinya terkenal Woodsworth iaitu The Daffodil - baris pertamanya berbunyi :

I wandered lonely as a cloud

Tapi, itu cerita lain. Akan saya sambung dalam catatan yang berikutnya.



Related Posts with Thumbnails