Sabtu, Disember 31, 2011

Kembara Sastera 36 : London ke Coventry

Pada Ahad, 12 Jun 2011 saya bangun dengan rasa yang segar. Segala sakit-sakit badan dan kepenatan malam sebelumnya sudah susut. Pagi ini ada agenda perjalanan dari London ke Coventry sebelum saya berangkat pulang meninggalkan Tanah Inggeris ini pada 13 Jun.

Kredit foto : Nisah Haron
Semalam, setelah mengambil laluan dari Westminster ke Notting Hill Gate, melalui pertukaran di Bond Street, saya tidak sempat mencatat apa-apa di dalam tube. Saya terlalu bersyukur kerana dapat duduk dan setiap pergerakan kereta api bawah tanah itu ertinya saya semakin hampir untuk sampai ke hostel.

Perjalanan dari Notting Hill Gate ke hostel di Holland Park menemukan saya dengan sebuah pasar raya Tesco. Saya cukup dahaga (walaupun saya masih ada air mineral). Cuma ketika itu saya sangat teringin minum sesuatu yang manis. Barangkali kerana tahap tenaga sudah terlalu rendah.

Di Tesco, saya bukan sahaja membeli dua botol air tetapi terjumpa pula buah potong (ada pelbagai buah di dalam satu bekas) yang dijual dengan harga 85 pence di bahagian reduce to clear. Tanpa berfikir panjang saya terus beli buah itu juga. Saya tidak terus naik ke hostel. Saya berhenti di Holland Park dan duduk di salah satu bangku panjang yang disediakan. Sungguh nyaman, makan buah botong (yang kalau dibuka bekas itu dan dihidangkan menyamai sepinggan kecil) yang cukup mengenyangkan, sihat dan cukup untuk memberi tenaga pada hari itu.
Tiket tube. Kredit foto : Nisah Haron

Ketika saya sudah berada di lobi hostel semula, saya terus online kerana tidak sabar mahu muat naik gambar-gambar di Charing Cross Road ke Facebook. Pada waktu itu, saya ditegur seorang junior yang sama belajar di UKM dulu. Dia kini sedang melanjutkan pelajaran di London dan pada waktu itu dia baru pulang dari Rome; dalam perjalanan dari lapangan terbang menuju kota London.

Pendek cerita, kami berjanji untuk bertemu di Piccadilly Circus dengan dua tujuan: 1) untuk bertemu dengannya; dan 2) untuk mendapatkan satu lagi buku The Library of Shadows untuk seorang sahabat Goodreads. Bukankah tempoh hari hanya ada satu naskhah di Waterstones Trafalgar Square. Saya perlu dapatkan satu naskhah lagi di Waterstones Piccadilly Circus.

Ripley's Believe it or Not Museum. Kredit foto : Nisah Haron

Untuk ke stesen Piccadilly, mungkin saya tidak ada masalah kerana saya sudah mula faham bagaimana tube berfungsi. Masalahnya, di Piccadilly Circus, saya tidak pasti di manakah letaknya Waterstones cawangan tersebut. Saya tidak cukup masa pula untuk menelah peta secara online ketika itu. Terima kasih kepada sahabat yang baru pulang dari Rome ini.

Dengan beg tarik masih di tangan, kami bertemu di luar stesen dan saya terus dibawa ke Waterstones. Berdepan dengan Muzium Ripley's Believe it Or Not. Benarlah, memang masih ada naskhah buku tersebut di situ.

sumber imej dari sini
Dan... Waterstones Piccadilly Circus sangatlah besar! Bertingkat-tingkat dan ada lif untuk ke aras yang berlainan. Terasa seperti sebuah hotel yang lobi dan kawasan sekelilingnya penuh dengan buku. Mujur saja saya sudah kehabisan tenaga dan stamina untuk membeli buku. Namun, masih lagi bertenaga untuk merayau-rayau di dalam kedai itu.

Bahagian dalam Waterstones Piccadilly Circus
sumber imej dari sini

Makan malam di Khan's Restaurant, Queensway. Dia sengaja membawa saya ke situ kerana tempat itu tidak berapa jauh dengan Notting Hill Gate. Jadi mudah untuk saya pulang kerana waktu sudah semakin lewat ketika itu. Untungnya cuma, malam bermula secara rasmi (hari mula gelap) sekitar pukul 9.00 malam.

Saya berpuas hati dapat bertemu kenalan lama dan mendapatkan buku untuk seorang kenalan lagi. Dua dalam satu.

Pagi Ahad itu, hujan turun dengan lebat. Saya tidak fikir saya boleh menarik beg dari hostel ke Notting Hill Gate. Saya habiskan sarapan nasi briyani yang disimpan baik-baik, baki daripada yang dibelanja sahabat malam tadi dari Restoran Khan di Queensway! Seperti biasa, nasi dijual dalam kuantiti yang banyak. Untuk perut perempuan Asia seperti saya, memang boleh bahagi dua. Cuaca yang masih dingin ini juga menyebabkan nasi ini tidak mudah basi.

Sempat menegur Kak Ira yang bakal saya temui di Coventry melalui Facebook, "Hebat juga bomoh hujan Queen Elizabeth. Semalam sambutan hari lahirnya berlangsung dalam panas terik. Hari ini alih-alih hujan pula!"

Kami sama-sama tertawa.

Muzium Madame Tussauds, London. Sumber imej di sini.
Saya tidak ada pilihan kecuali mengambil teksi dari hostel terus ke stesen Euston. Dari situ saya akan mengambil tren terus ke stesen yang bernama Canley. Perjalanan yang dibawa oleh pemandu teksi itu melalui Madame Tussauds. Cukuplah dapat lihat dari jauh, muzium yang penuh dengan patung lilin itu. Ketika itu belum pukul 10.00 pagi tetapi orang yang berbaris di luar Madame Tussaud cukup panjang.

Stesen London Euston sudah mula sibuk walaupun belum tengah hari. Ini stesen pertukaran yang besar. Di stesen ini juga boleh ambil tren untuk ke utara seperti Birmingham, Manchester, Liverpool atau Glasgow. Di London, boleh ambil tube dari mana-mana stesen untuk ke Stesen London Euston. Saya sepatutnya naik dari Notting Hill Gate, tukar di Oxford Circus ambil Victoria Line (biru) untuk ke London Euston.

Nota : Stesen London Euston harus disebut demikian kerana ada lagi satu stesen yang bernama Stesen Euston Square. 

Pagi itu hujan lebat. Kalau renyai, saya redah juga. Jadi, saya minta petugas di hostel panggilkan teksi untuk terus ke Euston. Pagi Ahad lalu lintas juga tidak sibuk. Saya sampai ke Euston lebih kurang 15 minit sahaja. Menurut Kak Ira, walaupun destinasi saya secara umumnya ialah Coventry, elok saya turun di stesen Canley kerana itulah stesen yang paling hampir dengan rumahnya.

Tiket tren dari London Euston ke Canley. Kredit foto : Nisah Haron

Selamat tinggal, London! Ada umur kita bertemu lagi. Saya pun memulakan perjalanan 2 jam 20 minit terus ke Coventry. Hati rasa tidak sabar untuk bertemu teman penulis yang juga merupakan mantan peserta Minggu Penulis Remaja 1991 dan tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah idola saya sebelum karya-karya saya sendiri tersiar di dalam majalah Dewan Siswa.


Kembara Sastera 35 : London Bahagian 7

Petang terakhir di London

Kedai-kedai buku di Charing Cross Road, London. Kredit foto : Nisah Haron
Menemui 84, Charing Cross Road, bukanlah bererti pencarian dan kembara di Kota London sudah tamat. Sepanjang jalan dari Kensington ke Charing Cross ini saya menahan diri daripada membeli sebarang buku kerana saya tidak mahu memberatkan beg galas. Dua kali saya terpandang kedai buku Waterstones, sebanyak itu juga saya tidak singgah kerana bercadang untuk membeli buku dalam perjalanan pulang.

Antiquarian books - Charing Cross Road, London. Kredit foto : Nisah Haron

Berpatah pulang melalui Charing Cross Roads dengan deretan kedai buku terpakai atau antiquarian books ini menjadikan sepanjang perjalanan pulang tambah menyeronokkan. Perasaan yang bercampur-baur sewaktu di hadapan 84, Charing Cross Roads itu jadi lebih terarah apabila singgah masuk ke beberapa buah kedai buku di sepanjang jalan. Antara yang saya masuk dan membeli buku ialah Henry Pordes Books. Kedainya bukan sahaja berbilik-bilik, malah ada ruang ke tingkat bawah (tanah) juga. Buku lama dan terpakai memang terlalu banyak, malah buku baharu juga tidak kurang dipamerkan.

Di sini saya mencapai buku The Natural History of Unicorns oleh Chris Lavers (Granta Publications, London, 2009). Barangkali buku ini boleh  menjadi sumber tambahan untuk penulisan siri Hanani dan Semberani. Saya tidak berlengah lagi kerana ada banyak sekali kedai buku yang mahu dilewati. Paling tidak, pastinya mahu lihat dari kaca cermin luar sahaja.

Beg galas sudah semakin menggigit bahu. Tapak kaki semakin terasa dicucuk objek tajam dari beberapa arah. Jelas saya sudah kepenatan, tetapi hati masih berdegil. Apatah lagi, ini ialah petang terakhir saya di London. Esok, harus berangkat meninggalkan kota ini kerana ada lokasi lain yang sedang menanti.

Setelah masuk - keluar - masuk dan kemudian keluar di beberapa kedai sepanjang Charing Cross Road ini, saya berjalan lagi ke hadapan. Kali ini terjumpa kawasan yang dinamakan Cecil Court. Ini pertemuan yang tidak disangka-sangka. Lorong kecil sebelah kiri dari Charing Cross ini benar-benar syurga kedai buku terpakai. Kalau di Hay-on-Wye dulu saya ke sebuah pekan yang penuh dengan kedai buku, Cecil Court seperti sebuah replika kerana kawasan pejalan kaki ini penuh dengan kedai buku di kiri dan kanannya, kecuali ada beberapa kedai sahaja yang bukan kedai buku.

Cecil Court, London. Kredit foto : Nisah Haron 
Daerah ini benar-benar unik bagi pencinta buku!

Cecil Court, London. Kredit foto : Nisah Haron
Kawasan ini juga pernah menjadi lokasi filem "Miss Potter" (2006) ketika Renée Zellweger yang memegang watak Beatrix Potter melihat kedai-kedai buku yang menjual bukunya di London bersama-sama Ewan McGregor yang memegang watak Norman Warne, editor dan penerbit bukunya.

Cecil Court juga dikatakan memberi inspirasi kepada J.K. Rowlings ketika mencipta Diagon Alley dalam buku Harry Potternya itu. Mungkin tidak semua foto yang saya muat naik di blog ini boleh menggambarkan suasana sebenar di Cecil Court. Ketika membuat carian, saya terjumpa video yang sederhana dan boleh membantu pembaca (yang belum pernah sampai ke kawasan ini) untuk membayangkan keadaan tempat ini.

Berikut ialah video di kawasan Cecil Court yang saya temui di Youtube :





Ada sebuah filem lagi, khabarnya berjudul "The Last Bookshop" (tidak pasti ini ialah working title atau tajuk yang sudah disahkan). Lokasi pengambarannya juga mengambil kawasan Charing Cross Road dan Cecil Court ini. Saya rasa teruja untuk menonton atau mencari DVDnya jika benar filem ini sudah siap.

Saya terus berjalan sehingga kembali ke Trafalgar Square. Kumpulan penunjuk perasaan itu masih lagi berdemonstrasi. Saya tinggalkan mereka begitu sahaja. Pada mula saya setuju bahawa wanita itu seharusnya ada kemerdekaan dalam berpakaian, termasuklah jika dia memilih untuk berhijab. Namun, demonstrasi itu nampak lebih cenderung ke arah cara berpakaian yang mendedahkan hampir apa sahaja. Maaf, dalam hal ini saya tidak dapat bersetuju. There should be some amount of decency, ladies!

Saya teringat kedai buku Waterstone Trafalgar Square sewaktu saya mencari Charing Cross Road. Saya mencari kembali kedai itu kerana ada buku yang memang saya mahu beli, hatta sewaktu masih di Dublin lagi. Itu sahaja yang saya mahu cari di Waterstone. Oleh sebab Waterstone ialah kedai buku rangkaian yang boleh dikatakan ada di hampir semua tempat di UK, saya tangguhkan pembelian buku tersebut di Dublin. Saya tidak mahu ada excess baggage dari Dublin ke Stansted tempoh hari.

Saya masuk ke Waterstone dengan satu tujuan. "Saya mencari The Library of Shadows," kata saya kepada pembantu jurujual dalam Bahasa Inggeris.

Dia menyemak stok di dalam komputer dan membalas, "Karya Mikkel Birkegaard?"

Saya mengangguk sahaja. Sebenarnya saya tidak ingat nama pengarang itu kerana nampak sepintas lalu sewaktu di kedai buku Chapter, Dublin. Yang saya tahu, namanya bukan nama orang Inggeris kerana buku tersebut telah diterjemahkan dari bahasa Danish (Denmark). Buku itu katakan national bestseller di Denmark. Tentu sahaja saya ingin tahu apa yang menjadikan buku itu hebat di tempatnya. Novel atau buku-tentang-buku sentiasa ada tempat di rak buku saya. Oleh itu, mesti beli.

Turut membeli penanda buku untuk
3 orang puteri penggila karya Roald Dahl.
Sumber imej dari sini.
Kala itu juga saya teringat seorang kenalan di Goodreads yang barangkali berminat dengan buku-buku seperti ini. Buku ini buku yang agak baharu dan saya percaya dia mungkin sahaja belum membacanya. Apatah lagi, kenalan saya ini telah beberapa kali menghadiahkan buku keapda saya tanpa dipinta. Dia menolak sebarang bayaran, saya fikir saya hadiahkan sahaja buku ini kelak kepadanya. Surprise! Tentu dia tidak akan menolaknya. Ini kenangan-kenangan dari London!

"Boleh beri saya dua naskhah," saya beritahu kepada jurujual.

"Maaf, puan. Cawangan ini cuma tinggal senaskhah sahaja. Mungkin puan boleh ke Waterstones cawangan Piccadilly Circus. Kedai kami di sana lebih besar, stok kami menunjukkan mereka ada 5 naskhah lagi."

Piccadilly Circus? Di manakah itu? Saya bertanya di dalam hati. Jurujual yang nampak wajah saya keliru terus memberitahu, "Senang sahaja puan. Ambil tube dari Charing Cross menghala ke Piccadilly Circus. Cuma satu stesen sahaja."

Big Ben. Kredit foto : Nisah Haron
Saya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Saya bayar harga dan terus keluar dari situ. Saya sungguh-sungguh sudah penat untuk menyambung kembara ini. Tidak dapat saya menangkap apa yang diterangkan oleh jurujual tadi. Saya nampak semua stesen itu sama sahaja. Semuanya jauh belaka.

Saya perlu berhenti rehat dan saya baru teringat yang saya belum makan tengah hari lagi.

Saya berjalan terus mencari stesen terdekat untuk pulang ke Kensington. Saya mendongak mencari jam kerana malas hendak menyelongkar telefon bimbit yang memang saya padamkan. Big Ben membalas pandangan saya. Jarum jamnya menunjukkan waktu sudah melepasi pukul 4.00 petang. Memang tidak hairanlah saya berasa letih dan lapar.

Saya tidak fikir saya mahu merayau lagi di sekitar Embankment atau tepi sungai Thames atau mencari The Tower Bridge yang cukup sinonim dengan London itu. Lagipun, saya beberapa kali mengingatkan diri bahawa saya ke London bukanlah untuk berjalan-jalan semata.

Saya buka kembali peta London Underground atau Tube. Kali ini saya mesti mengambil laluan Circle Line (kuning) atau District Line (hijau). Kedua-duanya akan membawa saya ke High Street Kensington - stesen yang paling hampir dengan Holland Park Youth Hostel. Saya tidak rela menapak dari stesen Holland Park dan melalui laluan yang seperti cerita The Legend of Sleepy Hollow itu lagi!

Peta laluan dari Westminster - Bond Street - Notting Hill Gate
Sampai di stesen Westminster, saya dikhabarkan berita kurang baik. Kedengaran pengumuman di dalam stesen yang menyatakan kedua-dua laluan Circle Line dan District Line ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan (yang biasanya dilakukan pada hujung minggu). Oleh itu penumpang dinasihatkan supaya mengikut laluan lain.

Kepenatan! Saya tidak ada pilihan lain. Harus mengambil juga tren yang menggunakan Jubilee Line (kelabu) dari Westminster dan turun di stesen Bond Street. Di sana tukar laluan untuk Central Line (merah) yang akan ke Holland Park. (rujuk peta di atas)

Oh, tidak Holland Park juga! Pun, kali ini saya nekad untuk turun di Notting Hill Gate. Selain mengambil sempena filem Notting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant, saya perlu tahu laluan ini kerana esok, untuk meninggalkan London saya juga tidak boleh menggunakan Stesen High Street Kensington kerana kerja-kerja penyelenggaraan itu masih lagi berlangsung. Ya, memang memenatkan tetapi ini semua pengalaman yang amat berharga.


Jumaat, Disember 30, 2011

Kembara Sastera 34 : London Bahagian 6

84, Charing Cross Road 

Leicester Square Station, Charing Cross Road, London. Kredit foto : Nisah Haron
Ada dua lokasi di United Kingdom yang menguja saya supaya datang ke Tanah Inggeris ini :
  • Lake District - setelah menonton filem "Miss Potter" (2006) dan membaca biografi Beatrix Potter serta karya-karyanya. Beliau banyak menghasilkan buku cerita kanak-kanak yang sangat terkenal di serata dunia; dan
  • 84, Charing Cross Road - sebuah buku yang menghimpunkan kisah dua sahabat seberang lautan yang membeli buku secara pos pasca Perang Dunia Kedua. Seorang di Amerika Syarikat, si pembeli bernama Helene Hanff dan Frank Doel, pekerja yang bertugas di kedai buku Marks & Co. yang beralamat di no. 84, Charing Cross Road, London. Saya pernah menulis tentang buku itu di sini. 

Kredit foto : Nisah Haron
Dengan penuh debaran, saya mempercepatkan langkah. Saya terpandang nama jalan yang ditampal di kebanyakan tempat sepanjang laluan ini. Benarlah, jalan ini bernama Charing Cross! Soalnya, di manakah nombor 84 itu?

Seperti kata jurujual di kedai alat-alat lukisan Cass Art London di dalam entri sebelum ini, benarlah di kawasan ini ada banyak kedai-kedai buku terpakai atau second hand book dealers. Dahulu, saya tidak faham mengapa kedai buku terpakai menjadi satu bisnes yang baik di sini. Saya pernah membaca tentang hal ini seawal tulisan Christopher Morley yang berjudul Parnassus on Wheel - kisah penjual buku terpakai yang membawa kereta kudanya (wagon) dari kampung ke kampung menawarkan buku-buku yang baik tetapi bukanlah buku baharu.

Melalui bacaan juga saya dapati, apabila seorang yang kaya meninggal dunia, ada yang menjual perpustakaan peribadi kerana itu juga sebahagian daripada aset si mati. Agen pembeli buku terpakai inilah yang akan membelinya dan kemudian menjualnya kepada pihak ketiga yang berminat untuk mendapatkan buku-buku yang lama tetapi sangat berkualiti. Melalui buku 84, Charing Cross Road pula saya melihat bahawa ada satu komuniti yang memang suka membeli buku terpakai ini. Mereka seronok apabila mendapat buku demikian, apatah lagi apabila dapat pula mengetahui nama pemilik terdahulu. Lebih membahagiakan bahawa buku yang sama ini telah berjaya membahagiakan lebih daripada orang pemiliknya.

Saya temui kisah (kali ini fiksyen) tentang dua orang yang bertemu kerana sebuah buku dalam novel epistolari berjudul The Guernsey Literary and Potato Peel Pie Society karya Mary Ann Shaffer dan Annie Barrows. Juga kisah buku, persahabatan dan pascaperang. Saya pernah tulis reviu buku tersebut di Goodreads. Boleh baca di sini.

Akhirnya saya memahami sedikit sebanyak mengapa penjual buku terjadi. Hartanah di United Kingdom mahal, khususnya di bandar-bandar besar. Mereka yang mampu memiliki rumah, pastinya orang yang berada. Yang kurang mampu, akan menyewa. Rumah mereka kecil kerana faktor cuaca juga. Rumah memerlukan alat pemanas ketika musim dingin. Rumah yang kecil ruangannya dapat mengoptimumkan penggunaan alat pemanas dan boleh menjimatkan kos.

Oleh sebab rumah yang kecil, pencinta buku terpaksa buat pilihan ketika membeli buku. Jika mahu tambah 5 naskhah judul baharu, seseorang yang sudah mempunyai rak yang penuh, harus 'keluarkan' sejumlah buku yang sedia ada bagi memberi ruang kepada buku yang lebih baru itu. Lantas, buku lama ini harus dijual, sama ada kepada agen penjual buku terpakai, atau semasa car boot sale dengan harga yang nominal.

Sistem ini telah merancakkan penjual buku terpakai dan 'rajanya' ialah Richard Booth yang pernah memiliki Richard Booth Bookstore di Hay-on-Wye. Kedai beliau merupakan kedai buku terpakai pertama di luar London yang sekali gus menaikkan nama pekan kecil itu menjadi Kampung Buku Pertama Dunia. Hal ini juga ada ditulis oleh Richard Booth di dalam autobiografinya My Kingdom of Books.

Saya ada menulis tentang Hay-on-Wye Bahagian 1 dan Bahagian 2 dalam entri terdahulu.

Saya sudah terlalu jauh melencong bercerita tentang industri buku terpakai dan saya sungguh-sungguh mencuci mata sepanjang jalan kerana memang benarlah, ada banyak deretan kedai buku terpakai di sini dan juga di Cecil Street. Cuma, saya masih lagi tidak berada di 84, Charing Cross Road. Saya jalan langkah demi langkah, melintasi lorong demi lorong yang merentangi Charing Cross Road. Boleh dikatakan, hampir setiap kedai saya ambil gambarnya, hinggakan kedai "Pizza Hutt" saya abadikan juga tetapi kedai itu bernombor 83.

Saya semakin berdebar!

Saya melintas jalan lagi. Kedai yang berikutnya di seberang jalan itu ialah kedai bernombor 84. Saya tahu kedai Marks & Co. sudah lama tutup. Malah Helene Hanff sendiri tidak dapat bertemu dengan Frank Doel yang bertugas di kedai itu kerana kedai itu sudah ditutup sekitar 1950-an lagi. Helene juga datang mencari Frank dan juga kedai bernombor 84, Charing Cross Road. Dia masih berpuas hati jika yang dilihat itu hanyalah tapak kedai sahaja.

Saya juga demikian.

Saya masih berdiri di persimpangan jalan. Lampu isyarat dengan imej the little red man masih belum berubah menjadi the little green man. Debaran saya memuncak.

Sebaik-baik sahaja lampu bertukar hijau, saya melangkah bersama-sama pejalan kaki yang punya tujuan tersendiri. Saya ada tujuan saya juga. Lalu, saya terus melangkah dan berhenti betul-betul di hadapan kedai yang memiliki no. 84, Charing Cross Road itu.

Dahulunya kedai buku Marks & Co. Kini restoran. Plat di bahagian kiri tiang
berwarna perang mengesahkan inilah tempat yang saya cari-cari.
kredit foto : Nisah Haron
Kedai itu kini dinamakan Med Kitchen, sebuah restoran. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang restoran itu bagi saya. Cuma, saya cukup teruja kerana akhirnya saya sampai juga ke bekas kedai yang pernah menemukan buku dan mempererat persahabatan seisi warga kedai buku Marks & Co. dengan Helene Hanff suatu masa dahulu.

Inilah bekas kedai yang pernah merumahkan kedai buku terpakai Marks & Co.! Saya tersenyum riang. Saya ambil gambar kedai ini entah berapa kali. Paling manis, pada tiang kedai ini ada dilekatkan satu tanda yang mengesahkan bahawa inilah kedai yang saya cari-cari!

kredit foto : Nisah Haron
Saya merasai bahagia itu bagai terapung di sekeliling saya. Saya tersenyum. Hati saya juga tersenyum. Saya membayangkan dunia harus berhenti kerana semuanya harus meraikan apa yang saya temui di Kota London ini. Saya pandang kiri, saya pandang kanan. Sayangnya, dunia masih berjalan seperti biasa. Orang ramai di Kota London tetap berjalan seperti selalunya.

Teringat terus kepada kata-kata Helene Hanff dalam bukunya itu : "If you happen to pass by 84 Charing Cross Road, kiss it for me? I owe it so much." Helene, saya tak fikir saya boleh begitu kepada restoran ini.

Tiada siapa pun di sisi saya untuk meraikan suatu euforia yang luar biasa ini. Hanya pencinta buku sahaja yang faham perasaan saya pada ketika itu. Orang lain barangkali hairan : apakah masalah wanita ini yang sangat teruja apabila ternampak sebuah restoran sedangkan dia tidak masuk pun untuk makan!

Saya teringin untuk mengambil gambar di hadapan kedai itu, sayangnya, plat yang bertulis "The booksellers Marks & Co were on this site..." itu diletakkan agak tinggi. Kalau saya guna tripod, ia harus diletakkan di tengah jalan. Tentulah itu suatu yang mustahil apabila Charing Cross Road itu sendiri sebuah jalan raya yang sangat sibuk.

Sudahnya, saya tidak pasti reaksi yang bagaimana harus saya tunjukkan. Hendak telefon orang di Malaysia sekali pun, rasa seperti kurang logik kerana pukul 3.00 petang di London bermakna lebih kurang pukul 10 - 11 malam di tanah air. Masa itu juga saya membayangkan, alangkah lebih bahagianya jika saya ada seseorang di sisi - suami, sahabat, pencinta buku - yang boleh berkongsi rasa gembira itu.

Saya mundar-mandir di hadapan restoran itu beberapa minit lagi sebelum patah semula mengikut laluan yang sama menuju haluan Trafalgar Square. Saya sudah capai apa yang saya cita-citakan sejak saya membaca 84, Charing Cross Road (Helene Hanff).

Rasa letih yang menyelubungi diri, kaki yang terasa sengal dan sakit kerana berjalan sejak dari Kensington Garden - Buckingham Palace - Trafalgar Square sehinggalah ke Charing Cross ini masih belum mampu menguasai diri. Euforia atau rasa gembira ini masih menjadi anestetik kepada diri.

Apakah kembara saya di London sudah tamat? Oh, belum lagi. Masih ada kisah tentang kedai buku yang saya singgah dalam perjalanan pulang ke hostel. Mungkin di dalam entri yang berikutnya.


 

Khamis, Disember 29, 2011

Kembara Sastera 33 : London Bahagian 5

Satu daripada singa pada Nelson's Column.
Sumber imej dari sini.
Trafalgar Square menanti saya sebaik-baik sahaja melangkah meninggalkan Admiralty Arch. Istana Buckingham semakin sayup di belakang. Barangkali mengambil sempena hari lahir Ratu Elizabeth II, dan hari itu ialah hari Sabtu, Trafalgar Square yang lapang itu (sekitar 12,100 meter persegi) itu boleh menjadi sangat penuh. Saya tidak masuk ke bahagian tengahnya kerana orang terlalu ramai. Yang bersantai dengan patung-patung singa itu menjadikan saya tidak mungkin mengambil fotonya.

Empat ekor singa ini seperti mengawal Nelson's Column yang menjadi mercu tanda utama Trafalgar Square ini. Mengikut sejarahnya, singa-singa ini diukir oleh Sir Edwin Landseer.

Saya menghampiri kawasan lapang ini kerana seperti ada demonstrasi aman yang sedang berlangsung. Rasa ingin tahu menyebabkan saya menghampiri seorang daripada petugas yang sibuk menyebarkan risalah pada orang awam yang lalu lalang. Umum mengetahui bahawa Trafalgar Square telah menjadi medan banyak sekali demonstrasi sama ada yang aman atau pun yang bertukar ganas kemudiannya. Kebebasan bersuara benar-benar dijalankan di sini.

Petugas Socialist Worker. Kredit foto : Nisah Haron
Semakin saya hampir, demonstrasi di sini ialah protes tentang pakaian wanita. Mereka mahu bebas memakai apa sahaja. Premis mereka mudah : wanita tidak harus dimangsakan dalam jenayah rogol. Menurut mereka, wanita boleh pakai apa sahaja, termasuk pilihan pakaian yang saya pilih pada hari itu. Pun, kita mempunyai sejarah, peradaban dan jati diri yang berbeza. Saya tidak akan menghukum mereka atas apa yang mereka perjuangkan.

Protes mereka bermula dengan kenyataan Setiausaha Keadilan Ken Clarke yang menyentuh sensitiviti wanita tempatan. Pautannya boleh dibaca di sini :
http://www.thesun.co.uk/sol/homepage/news/3588801/Sex-attack-victim-demands-Ken-Clarke-sacking-for-endangering-women.html

Demonstrasi ini anjuran Socialist Workers Party.

Barangkali saya tidak setuju dengan sebahagian pilihan pakaian wanita di sana, namun saya setuju bahawa wanita itu tidak wajar dimangsakan apatah lagi dipersalahkan dalam kes-kes keganasan wanita. Yang wajar dihukum ialah pemangsa dan bukannya mangsa itu menjadi mangsa sebanyak dua kali.

Trafalgar Square. Asap kemerah-merahan itu kerana kapal terbang yang membawa
asap merah baru saja membuat lintas hormat di ruang udara Istana Buckingham.
Kredit foto : Nisah Haron
Trafalgar Square saya tinggalkan dulu buat sementara waktu. Biarlah medan itu menjadi saksi kepada setiap aktiviti manusia di situ. Apabila saya toleh kembali ke belakang, Big Ben membalas renungan saya dari jauh.
Menara jam Big Ben di hujung jalan. Dua ekor singa di kaki Nelson Column
turut sama setia di Trafalgar Square ini. Kredit foto : Nisah Haron
Saya tidak menunggu mereka lebih lama di situ kerana agenda pada hari itu masih panjang. Biarkanlah mereka dengan perjuangan masing-masing. Saya berjalan terus menghampiri National Potrait Gallery.

Pintu masuk National Potrait Gallery di belakang Trafalgar Square.
Kredit foto : Nisah Haron
Semua yang ada di dalam tempat ini ialah lukisan berbentuk potret. Tidak kurang hebatnya ialah kedai cenderamata yang menjual bukan sahaja menjual cenderamata unik tetapi buku dan alat-alat berkaitan dengan seni visual. Buku seni lukis paling banyak di sini, tentu sahaja tidak kurang buku berkaitan seni melukis potret.

Graphite Stick
Keadaan kedai yang sangat komprehensif ini menyebabkan saya tidak dapat tidak membandingkan juga kedai cenderamata di Balai Seni Visual Negara yang sangat sederhana dan tidak banyak yang boleh dimanfaatkan oleh pengunjung. Semoga pihak BSVN akan cuba menambah koleksi cenderamata supaya mereka yang tidak minat lukisan juga boleh memanfaatkan tempat itu.

Reviu buku ini di sini
Saya sempat mencapai buku The Literary Pocket Companion, buku tentang pakaian orang Inggeris (untuk kanak-kanak) dan sebatang graphite stick yang banyak membantu saya membuat lakaran sejak pulang.

Tidak jauh di sebelah National Potrait Gallery saya terpandang sebuah kedai bernama Cass Art London. Saya yang baru berjinak-jinak dengan dunia lukisan ini terasa seperti kanak-kanak yang dilepaskan dalam kedai mainan! Saya percaya produk di dalam kedai ini lebih kepada artis yang profesional. Namun, sebagai pelukis amatur, banyak juga bahan yang menarik di sini. Paling menarik, kedai ini penuh dengan kakitangan yang berpengalaman dalam bidang seni lukis dan boleh memberi khidmat nasihat tentang apa yang mereka ada untuk dipadankan dengan apa yang kita cari.

Cass Art London. Kredit foto : Nisah Haron
Saya suka dengan ungkapan yang diletakkan pada bahagian hadapan kedai : Let's fill this town with Artists. Kedai menjual hampir apa sahaja berkenaan alat-alat lukisan.

Ketika membayar harga alat lukisan, saya bertanya kepada juruwang, "Saya mencari Charing Cross Road. Bagaimana saya boleh ke sana?" 

Mata si gadis juruwang itu bercahaya sambil menerangkan, "Ini memang Charing Cross Road. Puan mahu mencari buku-buku terpakaikah? Sepanjang jalan ini memang ada banyak kedai buku."

Wah, giliran mata saya pula bercahaya (agaknya!). Terasa bahagia benar dengan jawapan itu. Inilah kemuncak perjalanan saya di London. Mencari satu lokasi penting yang telah membawa saya ke Tanah Inggeris ini.


Rabu, Disember 28, 2011

Bacaan Tahun 2011

2011 Reading Challenge

2011 Reading Challenge
Nisah has completed her goal of reading 50 books in 2011!
hide

Nisah's bookshelf: read

The 100 Best Poems of All Time
Penyeberang Sempadan
Novel Destinations: Literary Landmarks From Jane Austen's Bath to Ernest Hemingway's Key West
Terminus A Quo
Leaving Microsoft to Change the World
Ella Enchanted
Bulan di Atas Champs-Elysees
Bumi Lestari
A Writer's Notebook
Huyan dan Mimpy
The Borrower
Masitah
The Quotable Book Lover
Hikayat Parang Puting
Writing Picture Books: A Hands-On Guide from Story Creation to Publication
Fantastic Mr. Fox
Mentari Mediterranean
Esio Trot
Sebelas Patriot
The Guernsey Literary and Potato Peel Pie Society


Lihat semua buku kegemaran Nisah Haron di Goodreads »







Bagi tahun 2011, Goodreads.com menyediakan ruangan untuk mencabar diri untuk membaca sebanyak mungkin. Dengan jumlah sasaran yang sesuai bagi setiap individu, letaklah satu jumlah buku yang dijangka boleh ditamatkan sepanjang tahun 2011.

Saya meletakkan angka 50 sebagai jumlah yang munasabah kerana tahun 2011 saya banyak aktiviti dan juga kembara. Seorang penulis harus ada banyak input untuk membolehkan dia terus menghasilkan output yang bermutu. Kata orang, "garbage in - garbage out" ertinya, kalau kita membaca bacaan picisan, hasilnya kita akan menulis hal-hal yang picisan juga.

Oleh itu, saya sering mengawal apa yang saya baca. Hal ini sama seperti kita mengawal apa yang kita makan kerana apa yang dimakan akan menjadi darah dan daging. Apa yang kita baca membentuk apa yang ada di dalam akal dan apa yang bakal kita fikirkan. Penulis tidak mampu menipu dalam ideologi, pegangan, prinsip atau pendirian.

Penulis boleh menipu penampilannya tetapi dia tidak mungkin menipu apa yang ada di dalam fikirannya. Apa yang ada dalam fikirannya itulah yang akan ditulis dalam karyanya. Kawal apa yang dibaca, apa yang difikir - pendek kata, kawal diri dan betulkan diri, insya-Allah, semua yang baik-baik itu kelak akan terhasil di dalam karya.

 Tujuan entri ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kerana setakat 50 buah buku ini apalah sangat ertinya kepada orang lain yang mungkin mampu membaca lebih banyak daripada itu. Ada yang membaca 150 buah buku setahun. Saya sendiri kalah dengan anakanda yang juga menyertai cabaran ini. Dia telah membaca 115 buah buku mengatasi sasarannya sebanyak 100 buah.

Sayangnya, guru sekolah pasti tidak ambil kira hal ini kerana Goodreads tidak termasuk di dalam program NILAM. Itu tidak menjadi hal. Yang penting bukanlah kuantiti yang dibaca tetapi proses pembacaan itu sendiri yang akan mematangkan dirinya dan diri sesiapa sahaja yang membaca. Saya fikir, saya boleh berbangga dengan usianya yang masih belum tamat sekolah rendah, si sulung ini sudah khatam Al-Quran dan mampu membaca buku-buku yang saya sentuh hanya ketika saya berada di sekolah menengah.

Saya galakkan semua anak saya membaca kerana itu akan segera mematangkan akal. Menonton televisyen juga saya kawal rancangannya, hanya yang terpilih. Maaf, drama Melayu dan rancangan hiburan berselera rendah tidak termasuk dalam kategori rancangan yang wajar ditonton.

Setiap keluarga ada kaedah tersendiri untuk membina pendirian dan prinsip ini.
Ini cara kami.

Semoga tahun 2012 memberikan lebih banyak ruang untuk membaca lebih banyak bahan bacaan yang lebih mencabar buat kami sekeluarga.
Related Posts with Thumbnails