| Kedai-kedai buku di Charing Cross Road, London. Kredit foto : Nisah Haron |
| Antiquarian books - Charing Cross Road, London. Kredit foto : Nisah Haron |
Berpatah pulang melalui Charing Cross Roads dengan deretan kedai buku terpakai atau antiquarian books ini menjadikan sepanjang perjalanan pulang tambah menyeronokkan. Perasaan yang bercampur-baur sewaktu di hadapan 84, Charing Cross Roads itu jadi lebih terarah apabila singgah masuk ke beberapa buah kedai buku di sepanjang jalan. Antara yang saya masuk dan membeli buku ialah Henry Pordes Books. Kedainya bukan sahaja berbilik-bilik, malah ada ruang ke tingkat bawah (tanah) juga. Buku lama dan terpakai memang terlalu banyak, malah buku baharu juga tidak kurang dipamerkan.
Di sini saya mencapai buku The Natural History of Unicorns oleh Chris Lavers (Granta Publications, London, 2009). Barangkali buku ini boleh menjadi sumber tambahan untuk penulisan siri Hanani dan Semberani. Saya tidak berlengah lagi kerana ada banyak sekali kedai buku yang mahu dilewati. Paling tidak, pastinya mahu lihat dari kaca cermin luar sahaja.
Beg galas sudah semakin menggigit bahu. Tapak kaki semakin terasa dicucuk objek tajam dari beberapa arah. Jelas saya sudah kepenatan, tetapi hati masih berdegil. Apatah lagi, ini ialah petang terakhir saya di London. Esok, harus berangkat meninggalkan kota ini kerana ada lokasi lain yang sedang menanti.
Setelah masuk - keluar - masuk dan kemudian keluar di beberapa kedai sepanjang Charing Cross Road ini, saya berjalan lagi ke hadapan. Kali ini terjumpa kawasan yang dinamakan Cecil Court. Ini pertemuan yang tidak disangka-sangka. Lorong kecil sebelah kiri dari Charing Cross ini benar-benar syurga kedai buku terpakai. Kalau di Hay-on-Wye dulu saya ke sebuah pekan yang penuh dengan kedai buku, Cecil Court seperti sebuah replika kerana kawasan pejalan kaki ini penuh dengan kedai buku di kiri dan kanannya, kecuali ada beberapa kedai sahaja yang bukan kedai buku.
| Cecil Court, London. Kredit foto : Nisah Haron |
| Cecil Court, London. Kredit foto : Nisah Haron |
Cecil Court juga dikatakan memberi inspirasi kepada J.K. Rowlings ketika mencipta Diagon Alley dalam buku Harry Potternya itu. Mungkin tidak semua foto yang saya muat naik di blog ini boleh menggambarkan suasana sebenar di Cecil Court. Ketika membuat carian, saya terjumpa video yang sederhana dan boleh membantu pembaca (yang belum pernah sampai ke kawasan ini) untuk membayangkan keadaan tempat ini.
Berikut ialah video di kawasan Cecil Court yang saya temui di Youtube :
Ada sebuah filem lagi, khabarnya berjudul "The Last Bookshop" (tidak pasti ini ialah working title atau tajuk yang sudah disahkan). Lokasi pengambarannya juga mengambil kawasan Charing Cross Road dan Cecil Court ini. Saya rasa teruja untuk menonton atau mencari DVDnya jika benar filem ini sudah siap.
Saya terus berjalan sehingga kembali ke Trafalgar Square. Kumpulan penunjuk perasaan itu masih lagi berdemonstrasi. Saya tinggalkan mereka begitu sahaja. Pada mula saya setuju bahawa wanita itu seharusnya ada kemerdekaan dalam berpakaian, termasuklah jika dia memilih untuk berhijab. Namun, demonstrasi itu nampak lebih cenderung ke arah cara berpakaian yang mendedahkan hampir apa sahaja. Maaf, dalam hal ini saya tidak dapat bersetuju. There should be some amount of decency, ladies!
Saya teringat kedai buku Waterstone Trafalgar Square sewaktu saya mencari Charing Cross Road. Saya mencari kembali kedai itu kerana ada buku yang memang saya mahu beli, hatta sewaktu masih di Dublin lagi. Itu sahaja yang saya mahu cari di Waterstone. Oleh sebab Waterstone ialah kedai buku rangkaian yang boleh dikatakan ada di hampir semua tempat di UK, saya tangguhkan pembelian buku tersebut di Dublin. Saya tidak mahu ada excess baggage dari Dublin ke Stansted tempoh hari.
Saya masuk ke Waterstone dengan satu tujuan. "Saya mencari The Library of Shadows," kata saya kepada pembantu jurujual dalam Bahasa Inggeris.
Dia menyemak stok di dalam komputer dan membalas, "Karya Mikkel Birkegaard?"
Saya mengangguk sahaja. Sebenarnya saya tidak ingat nama pengarang itu kerana nampak sepintas lalu sewaktu di kedai buku Chapter, Dublin. Yang saya tahu, namanya bukan nama orang Inggeris kerana buku tersebut telah diterjemahkan dari bahasa Danish (Denmark). Buku itu katakan national bestseller di Denmark. Tentu sahaja saya ingin tahu apa yang menjadikan buku itu hebat di tempatnya. Novel atau buku-tentang-buku sentiasa ada tempat di rak buku saya. Oleh itu, mesti beli.
![]() |
| Turut membeli penanda buku untuk 3 orang puteri penggila karya Roald Dahl. Sumber imej dari sini. |
"Boleh beri saya dua naskhah," saya beritahu kepada jurujual.
"Maaf, puan. Cawangan ini cuma tinggal senaskhah sahaja. Mungkin puan boleh ke Waterstones cawangan Piccadilly Circus. Kedai kami di sana lebih besar, stok kami menunjukkan mereka ada 5 naskhah lagi."
Piccadilly Circus? Di manakah itu? Saya bertanya di dalam hati. Jurujual yang nampak wajah saya keliru terus memberitahu, "Senang sahaja puan. Ambil tube dari Charing Cross menghala ke Piccadilly Circus. Cuma satu stesen sahaja."
| Big Ben. Kredit foto : Nisah Haron |
Saya perlu berhenti rehat dan saya baru teringat yang saya belum makan tengah hari lagi.
Saya berjalan terus mencari stesen terdekat untuk pulang ke Kensington. Saya mendongak mencari jam kerana malas hendak menyelongkar telefon bimbit yang memang saya padamkan. Big Ben membalas pandangan saya. Jarum jamnya menunjukkan waktu sudah melepasi pukul 4.00 petang. Memang tidak hairanlah saya berasa letih dan lapar.
Saya tidak fikir saya mahu merayau lagi di sekitar Embankment atau tepi sungai Thames atau mencari The Tower Bridge yang cukup sinonim dengan London itu. Lagipun, saya beberapa kali mengingatkan diri bahawa saya ke London bukanlah untuk berjalan-jalan semata.
Saya buka kembali peta London Underground atau Tube. Kali ini saya mesti mengambil laluan Circle Line (kuning) atau District Line (hijau). Kedua-duanya akan membawa saya ke High Street Kensington - stesen yang paling hampir dengan Holland Park Youth Hostel. Saya tidak rela menapak dari stesen Holland Park dan melalui laluan yang seperti cerita The Legend of Sleepy Hollow itu lagi!
![]() |
| Peta laluan dari Westminster - Bond Street - Notting Hill Gate |
Kepenatan! Saya tidak ada pilihan lain. Harus mengambil juga tren yang menggunakan Jubilee Line (kelabu) dari Westminster dan turun di stesen Bond Street. Di sana tukar laluan untuk Central Line (merah) yang akan ke Holland Park. (rujuk peta di atas)
Oh, tidak Holland Park juga! Pun, kali ini saya nekad untuk turun di Notting Hill Gate. Selain mengambil sempena filem Notting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant, saya perlu tahu laluan ini kerana esok, untuk meninggalkan London saya juga tidak boleh menggunakan Stesen High Street Kensington kerana kerja-kerja penyelenggaraan itu masih lagi berlangsung. Ya, memang memenatkan tetapi ini semua pengalaman yang amat berharga.




2 reaksi:
Salam Kak Nisah,
Membaca cerita ini mengembalikan seribu kenangan di London.
Memang gembira berjalan-jalan di celah-celah kedai buku terpakai itu! :)
Dua kali berhujung minggu di London, memang mencabar juga menaiki tube di sana. Kerja-kerja penyelenggaraannya pula hanya selesai sehingga 2013.
Salam Waida,
Tube sebenarnya tak sesusah mana. Mesti tahu ke mana destinasi dan line mana yang patut diambil. Kemudian perhatikan stesen mana patut turun jika harus menukar line. Rasanya dalam sehari kena naik 3 - 4 kali, dah boleh kuasai laluan. Sistemnya juga sama kalau naik MRT di Singapura dan juga sistem LRT/Rapid di KL.
Ya, bertemu buku memang terasa seperti bertemu kekasih! Terus menulis catatan di Eropah tu ya. :-)
Catat Ulasan