Rabu, Februari 19, 2014

Robohnya Surau Kami


Tiada siapa yang suka kegagalan, pengakhiran sedih atau pun sebuah kematian. Ya, kita tahu, kegagalan dan kematian ialah satu pusingan yang melahirkan sesuatu yang baharu. Itupun, jika kita dapat melihat sesuatu dalam kerangka yang lebih besar. Lalu, kita mengerti fungsi sebuah kegagalan dan juga fungsi sebuah kematian.

Surau kampung kami mula dirobohkan kerana surau baharu akan dibina di tempat yang sama. Pembaharuan ini ialah sesuatu yang amat diraikan, namun tidak dapat tidak, saya berasa sedih kerana surau ini betul-betul di sebelah rumah. Ia sebuah surau cuma. Tiada kelebihan yang luar biasa. Namun, barangkali ada jiwanya di situ. Jiwa itulah yang sedang direnggut keluar.

Saya terkenang zaman menjadi peguam syarie yang telah saya tinggalkan hampir 8 tahun yang lalu. Ketika di dalam mahkamah, saya paling tidak suka berada sewaktu pasangan mahu melafazkan talak. Saya rasa tertikam setiap kali suami melepaskan isterinya. Saya tahu ia tidak salah di sisi syarak. Saya faham bahawa jodoh mereka hanya sampai di situ. Namun, saya amat terkesan apabila lelaki melafazkan akad sewaktu menikahi isterinya kini melafazkan talak dari bibir yang sama.

Sebagai peguam, saya terus memakai wajah profesional. Seolah-olah tiada 'rasa'. Saya terkesan beberapa hari setiap kali kes permohonan cerai harus tamat dengan cara yang demikian. Ibarat terkena radiasi, saya harus 'kuarantin' jiwa dan perasaan supaya tidak dibawa oleh emosi.

Mungkin juga hal yang sama dirasakan oleh para doktor yang menghadapi pesakitnya, saat pesakitnya menghadapi kematian. Doktor juga manusia yang harus memakai wajah profesional pada setiap kali menghadapi kematian. Kematian ialah sesuatu yang wajib dilalui. Namun, kematian itu juga harus dilihat dalam kerangka yang lebih besar, bukan sesuatu yang individualistik.

Kematian Ahmad Ammar, misalnya, menjadikan almarhum ikon kepada anak-anak muda pada saat mereka mencari seorang suri teladan (role model). Hendak diharapkan pada Imam Muda, mungkin kerana sifatnya sebagai selebriti, saya kurang percaya kepada trend. Sifat trend amat bermusim dan tidak akan kukuh mengakar.

Saya memandang pokok belimbing di luar pagar. Buahnya sedang lebat walaupun sudah saya sedekah kepada ramai sahabat dan taulan, sudah diambil juga oleh jiran-jiran yang terasa mahu menggulai telur masak lemak dengan belimbing. Namun, masih banyak yang jatuh melecak-lecak. Pangkalnya penuh dengan belimbing gugur yang ranum lalu menjadi baja kepada pokok belimbing untuk terus menjadi pokok belimbing yang berbakti kepada sesiapa sahaja di sekelilingnya. Menjadi teduhan kepada sang unggas. Menyejukkan angin yang panas.

Kematian Ahmad Ammar telah 'menghidupkan' nama Ahmad Ammar. Kematiannya ibarat baja yang menyuburkan pohon perjuangan.

Kematian menjadi gapura kepada kehidupan yang lain. Ramai antara kita yang mahu masuk syurga tetapi enggan mati terlebih dahulu. Aneh sekali!

Terima kasih kepada surau lama yang sudah dirobohkan ini untuk memberi laluan kepada sebuah surau yang lebih baik, khabarnya. Semoga yang dibina kelak, bukanlah sekadar bentuk fizikal sebuah surau tetapi surau yang ada jiwa yang langsung dapat menarik minat anak-anak muda bagi memenuhkan saf pada waktu Subuh, khasnya.

Bukankah lelaki-lelaki yang hebat itu ialah mereka yang mampu menerjah kedinginan subuh, berjihad melawan nafsu sendiri dan berdiri membina saf-saf subuhnya?

Nota : Surau baharu ini dijangka siap menjelang Ramadhan tahun ini, insya-Allah.



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails